Tangisan Azizah, Kesantunan Atikah Di Raudah

Diterbitkan: Khamis, 19 Januari 2017 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Minggu lalu saya bercerita mengenai keberangkatan dan ketibaan jemaah umrah anak-anak syurga ke Tanah Suci Madinah. Seperti mana lazim, ziarah dalam dan luar akan disempurnakan setiap kali kunjungan

Bermula dengan ziarah dalam iaitu ke makam baginda Rasulullah S.A.W dan seterusnya ke Raudah. Pada hari kedua kunjungan ke Madinah, saya dan sekumpulan jemaah wanita berkumpul di lobi untuk menunggu muzawirah yang dijadualkan membawa kami ziarah makam dan Raudah.

Kami terbahagi kepada dua kumpulan. Saya dan sekumpulan jemaah, terutama dari Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), termasuk Nor Azizah, anak istimewa berusia 18 tahun bergerak bersama-sama untuk menuju ke pintu 25.

Sebelum itu, muzawirah memberi penerangan ringkas mengenai kunjungan ke makam baginda Rasul dan Raudah di perkarangan Masjid Nabawi di pintu 16. Pada masa yang sama, saya ternampak kelibat seorang mutawif yang saya kenali sejak dua tahun lalu iaitu Ustaz Fitri. 

Beliau sudah dimaklumkan mengenai kedatangan saya menerusi whatsapp tetapi tidak sangka pula menemuinya bersama-sama seorang lelaki dan seorang gadis remaja.

Semakin dekat jarak Ustaz Fitri dengan sekumpulan jemaah, dia ternampak saya lalu saya mengangkat tangan dan beliau menghampiri.

“Masya Allah hajah jumpa di sini,” ujar Ustaz Fitri kegembiraan.

“Alhamdulillah. Apa khabar?” tanya saya.

“Sihat Alhamdulillah. Hajah datang ikut syarikat mana?” tanya beliau.

“Ikut Zahafiz. Datang bawa anak-anak istimewa,” balas saya.

“Masya Allah…Hajah nak masuk ke Raudah ke? tanya Ustaz Fitri.

“Ye, insha Allah,” balas saya ringkas.

“Ini jemaah saya, esok nak balik ke Malaysia. Boleh hajah bawa masuk ke Raudah sekali. Ini ayah dia,” ujar Ustaz Fitri sambil memperkenalkan saya pada kedua-dua beranak itu.

“Boleh insha Allah,” balas saya.


Gadis remaja itu, Dhabitah bersalaman dengan saya manakala ayahnya dan Ustaz Fitri menuju ketempat lain. Saya meminta ayah Dhabitah menunggu anaknya itu di depan pintu 25. Saya, Dhabitah dan sekumpulan lagi jemaah mengatur langkah mengikut muzawirah ke dalam Masjid Nabawi.

Kelihatan ramai jemaah mahu menuju ke makam dan Raudah. Nor Azizah duduk di kerusi roda dan ditolak ibunya, Azah manakala saya bersama-sama Dhabitah, Aziah dan Zuraini serta beberapa jemaah wanita lain di laluan tanpa kerusi roda.

Nor Azizah perlu menggunakan laluan lain manakala saya, Dhabitah, Zuraini dan Aziah bersama-sama rakan jemaah lain di laluan berbeza. Sejurus ternampak binaan makam, jemaah mula membuka doa.

Kami menunggu penuh kesabaran bersama-sama jemaah Indonesia. Sementara menunggu, ada yang mengaji dan berzikir. Tiba giliran kami memasuki makam, semua bergerak pantas ke arah hadapan dan mencari tempat untuk bersolat di hamparan hijau muda atau Raudah. Kami solat secara bergilir dan berdoa.

Saya bimbang terlepas pandang pada Dhabitah, jadi, memegang lengan anak gadis bertubuh kecil itu sepanjang di Raudah.

“Di Raudah ramai ni. Dhabitah jangan terlepas ke tempat lain. Susah nak cari nanti,” pesan saya.

Selesai kunjungan ke Raudah, kami menuju laluan keluar. Zuraini, Aziah dan Dhabitah sempat

bergambar kenangan di permaidani merah sejurus keluar dari kesesakan. Kami terlihat rakan jemaah

lain kak Noraini, Datin Ainiah dan makcik Sumah di laluan kerusi roda.

“Belum sudah lagi ye, kami baru selesai ziarah,” ujar saya.

“Belum lagi ni. Ramai…” balas Datin Ainiah.

“Mata dah ngantuk ni…” ujar kak Noraini pula.

Dalam pada bersembang seketika dengan mereka, tiba-tiba ternampak Nor Azizah dan Azah.

“Kenapa dik Nor (panggilan untuk Nor Azizah)?” tanya saya.

“Entahlah meragam pula. Mungkin dah penat dan mengantuk,” balas Azah.

Nor Azizah menangis tidak keruan. Orang di sekeliling mula memerhati. Dia menjadi perhatian sebahagian besar jemaah di laluan kerusi roda.

Disebabkan tangisannya yang semakin kerap dan kuat, jemaah lain memberi peluang kepadanya untuk terus memasuki Raudah.

Puas dipujuk tetapi tangisan Nor Azizah tidak reda, sekali gus mengundang simpati pada semua yang memandang. Tatkala ibunya bersolat, tangisan Nor Azizah makin meninggi. Entah kenapa dia menangis, hanya Allah SWT sahaja yang lebih mengetahui.

Sejurus dibawa keluar dari Raudah, tangisan Nor Azizah belum juga reda. Dia terus menangis dan menggosok-gosok mata. Sesekali Azah membetulkan tudung anaknya dengan penuh kesabaran.

Saya, Aziah, Zuraini dan Dhabitah menunggu dan berjalan bersama-sama Azah serta Nor Azizah sejurus mereka keluar dari kawasan Raudah. Biarpun semua memujuk, namun Nor Azizah masih menangis hiba.

Kami singgah minum air zamzam sebelum menuju pintu 25 dan seterusnya melangkah keluar dari Masjid Nabawi. Zuraini, Aziah, Azah dan Nor Azizah menuju ke laluan pintu 16 untuk terus pulang ke hotel penginapan manakala saya pula membawa Dhabitah ke pintu 25 untuk menemui ayah Dhabitah.

Alhamdulillah, ayah Dhabitah sudah menunggu di depan pintu 25. Dia mengucapkan terima kasih. Begitu juga Dhabitah yang kemudiannya bersalam dan memeluk saya. Berjalanlah saya sendirian menuju Hotel Sofaraa Iman. Ketika itu hampir jam 12 malam.

Jika Nor Azizah menangis di Raudah, lain pula halnya dengan seorang lagi anak syurga, Nurul Atikah, 24, dari Melaka. Zuraini, seorang daripada pengiring anak istimewa berpeluang membawa Nurul Atikah ke Raudah. 

Turut sama ketika itu ialah ibu Nurul Atikah, iaitu Fauziah dan seorang lagi jemaah, Aziah. Keempat-empat adalah rakan sebilik di Madinah dan Makkah.

Disebabkan kunjungan ke Tanah Suci Madinah dan Makkah adalah yang pertama kali buat Fauziah, Zuraini menawarkan diri untuk membawa Nurul Atikah di laluan kerusi roda manakala Fauziah dan Aziah di laluan jemaah tanpa kerusi roda.

Saya tiada bersama-sama mereka ketika itu. Justeru, sekembali dari ziarah makam Rasulullah S.A.W dan Raudah, Zuraini bercerita mengenai Nurul Atikah.

Dia kelihatan sebak dan air matanya bergenang tatkala bercerita perihal Nurul Atikah.

“Macam mana Atikah di Raudah tadi?” tanya saya pada Zuraini.

“Alhamdulillah. Tidak meragam. Dia diam saja. Fauziah pujuk Atikah ikut saya. Orang pun tak ramai

sangat macam malam yang kita pergi dengan Nor Azizah, jadi lebih mudah nak masuk ke Raudah.

Tak beratur lama,” ujar Zuraini.

“Alhamdulillah,” balas saya ringkas.

“Tapi Atikah tutup muka saja sepanjang menuju Raudah dan ketika di Raudah. Saya tanya kenapa tapi dia tak jawab apa-apa,” ujar Zuraini lagi.

“Hah…tutup muka? Apa yang dia nampak kita pun tak tahu…” balas saya pula.

“Itulah, dia tutup saja muka dia sepanjang di situ. Tapi Alhamdulillah, dia diam saja dan tidak menangis. Saya tengok saja muka dia waktu menarik tangan dia perlahan-lahan tapi dia tetap menutup mukanya dengan tudung hitam yang dipakai,” kata Zuraini.

Tiada jawapan pasti pada kedua-dua situasi yang dihadapi Nor Azizah dan Nurul Atikah. Hanya Allah SWT yang lebih mengetahui.

Nantikan sambungan kisah anak syurga di Tanah Suci minggu hadapan, insyaAllah.

Tags / Kata Kunci: PDK , Raudhah

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Kolumnis

iklan

Iklan