Kembara Umrah Bersama Anak Syurga

Diterbitkan: Khamis, 12 Januari 2017 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Ketika menulis artikel ini, saya baru seminggu pulang dari mengerjakan ibadat umrah bersama-sama insan istimewa seramai tujuh orang berusia dari 18 tahun hingga 47 tahun.

Banyak pengalaman yang dilalui bersama-sama mereka selama 12 hari 10 malam. Tidak mampu saya lupakan selagi hayat dikandung badan.

Semuanya terpahat abadi dalam ingatan. Segala-galanya masih segar di sanubari. Ada yang akan saya kongsikan bersama pembaca dan mungkin ada yang tidak sesuai untuk dicoretkan di dalam halaman yang terbatas ini. Selain insan istimewa, kunjungan ke Makkah dan Madinah kali ini turut disertai 21 lagi jemaah warga Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Titiwangnsa.

Tidak pernah saya duga berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci tidak lama selepas pulang dari menunaikan ibadat haji pada 10 Oktober 2016. Namun, segala-galanya berkemungkinan dan tidak ada yang mustahil kerana ia adalah panggilan serta undangan daripada Maha Esa.

Justeru, pada 24 Disember 2016, program Kembara Umrah Anak Syurga yang kedua berjaya direalisasikan. Program anjuran PDK Titiwangsa dan mendapat tajaan Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd dan orang perseorangan berjalan seperti dikehendaki.

Tujuh insan istimewa yang menyertai program Kembara Umrah Anak Syurga pada 2016 adalah Mohamad Khuzairy, Mior Azif, Nor Azizah, Muhaimin, Mohd Izanuddin atau dikenali sebagai Along, Nurul Atikah dan Rosidi.

Perasaan saya bercampur baur pada pagi 24 Disember sejurus tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang. Syukur, terharu dan gembira. Namun, terasa sebak seketika melihat Khuzairy dan ibunya, Nor Aziah berpakaian serba putih menyambut kedatangan saya di KLIA.

Mereka yang pertama saya temui pada hari berkenaan sejurus tiba. Saya dan Nor Aziah saling bersalam dan berpelukan. Mereka begitu bersemangat dan teruja untuk berangkat kerana mula berada di KLIA sebelum jam 8 pagi.

Tidak lama selepas itu, seorang demi seorang kelihatan dan kami berkumpul di kaunter F sebagaimana diminta oleh Aini, kakitangan Zahafiz dalam whatsapp berkumpulan.

Ketika bagasi diatur, anak saya, Humaira menghampiri saya dan berkata:

“Umi, flight delay sampai pukul 4.20 petang…” katanya.

“Mana Humaira tahu?” tanya saya.

“Tu dah tulis atas kaunter tu,” balasnya.

Saya lantas melihat ke kaunter dan mengatakan:

“Ok jugaklah delay. Lagi senang boleh solat di sini, tak perlu solat atas kapal terbang,” balas saya tesenyum.

Kami dijadualkan berangkat pada jam 1.25 tengah hari tetapi ditunda sehingga jam 4.20 petang. Penerbangan terus ke Tanah Suci Madinah menerusi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) lewat tiga jam daripada jadual asal. Namun, ia bukan masalah besar kerana saya lebih selesa jika solat Zuhur dan Asar (Jamak Takdim) dilaksanakan di tanah air.

Sejumlah 400 jemaah Zahafiz Travel & Tours bakal berangkat di dalam pesawat sewa khas A380 itu pada hari berkenaan dan tentu sekali urusan daftar masuk mengambil masa panjang tetapi semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah.

Setelah semua pasport dikembalikan kepada setiap jemaah, kami bersalaman dengan ahli keluarga dan waris yang turut menghantar di KLIA. Pada yang bakal berangkat semua tersenyum gembira dan yang ditinggalkan sudah tentu kesedihan.

Pemergian insan istimewa turut ditemani lima pengiring iaitu Md Omar, Mohd Zaini, Zainab, Zuraini dan saya sendiri. Kami bertanggungjawab memantau dan menjaga insan istimewa sepanjang program dari hari pertama berangkat hingga kembali ke tanah air.

Kelewatan itu melayakkan semua jemaah mendapat kupon makan di terminal sebelum berangkat. Justeru, semua tidak melepaskan peluang untuk menikmati hidangan tengah hari dan seterusnya bersolat di surau berhampiran.

Sejurus solat, kami mula beratur untuk masuk ke dewan menunggu dan seterusnya menaiki pesawat. Kapal terbang berangkat hampir jam 5 petang. Saya duduk sebaris dengan kakak dan abang ipar Mior Azif serta Zuraini.

Khuzairy pula diapit ibunya dan Mohd Zaini. Kami seramai 28 orang termasuk tujuh insan istimewa duduk berdekatan. Semua ini memudahkan lagi pemantauan terhadap mereka jika timbul sebarang masalah.

Along yang di bawah pemantauan saya duduk bersebelahan dengan ibu Mior Azif, iaitu Datin Ainiah manakala Nurul Atikah duduk bersebelahan emaknya, Fauziah.

Sejurus pesawat kian tinggi, kedengaran Along bersuara.

“Siapa pulak yang mengandung tu, muntah-muntah…”ujarnya bersahaja.

Saya dan Zuraini tertawa kecil sejurus terdengar suara Along yang baru sahaja saya kenali pada hari berkenaan.

Along kelihatan gembira ketika menaiki aerotrain malah beliau mengucapkan Allahuakbar ketika kaki melangkah masuk ke dalam aerotrain serta tersenyum lebar.

Malah, ketika hidangan tengah hari dihantar kepadanya, dia begitu gembira dan spontan mengatakan seperti makan di hotel lantas mengambil gambar makanan yang terhidang. Setelah kira-kira 15 minit di dalam pesawat, terdengar rengekan Along.

“Along nak mak. Along nak mak…” ujarnya.

Saya menghampiri dan memujuknya.

“Mak tak ikut. Mak tak ada. Along doakan mak. Along jangan nangis. Kita nak pergi Makkah,” ujar saya memujuk. Along diam seketika dan menundukkan pandangan.

Alhamdulillah, Datin Ainiah di sebelahnya turut membantu menenangkan Along ketika itu. Along berusia 30 tahun dan bermasalah Sindrom Down adalah dari PDK Petaling di Taman Desa. Dia tidak ditemani ibu bapa.

Selepas kira-kira sembilan jam di udara, kami tiba di Lapangan Terbang Prince Mohamad di Madinah  pada kira-kira jam 8 malam waktu tempatan. Suasana di lapangan terbang begitu sibuk dengan kedatangan jemaah dari negara lain, terutama dari Indonesia.

Urusan imgresen mengambil masa hampir empat jam. Namun, tepat jam 11.45 malam, semua jemaah Zahafiz yang ditempatkan di dalam 10 bas meninggalkan lapangan terbang Madinah. Alhamdulillah, kami tiba di hotel penginapan pada jam 12.15 tengah malam.

Kami menginap di Hotel Sofaara Eman. Saya terpesona dengan hiasan dalaman hotel berkenaan. Kamar yang luas menjanjikan keselesaan. Jemaah warga PDK ditempatkan di paras empat hotel berkenaan.

Semua keletihan selepas menempuhi perjalanan yang panjang di dalam pesawat dan kelewatan penerbangan. Justeru, semua berehat di dalam bilik penginapan sementara menunggu waktu Subuh yang bakal berkumandang pada jam 5.40 pagi.

Ketua rombongan kami, Haji Rodi pula mengagihkan kebab dan air mineral di setiap bilik biarpun kami lewat tiba daripada jadual asal.

Pada jam 4.45 pagi, kami berkumpul di lobi hotel untuk bersama-sama ke Masjid Nabawi. Azan pertama berkumandang sejurus kami tiba di lobi. Berjalanlah kami menuju ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah kira-kira satu jam selepas azan pertama dialunkan.

Damai terasa sejurus kaki melangkah di perkarangan masjid. Saya bersama-sama Zuraini dan Nor Aziah terus menuju ke ruang dalam masjid. Terasa dingin jika mahu solat di perkarangan. Alhamdulillah, masih ada ruang di dalam masjid untuk membolehkan kami bersolat di dalamnya.

Mohd Zaini bersama-sama Muhaimin, Rosidi, Khuzairy dan Along berjalan beriringan menuju ke masjid. Kami berjanji berjumpa di dewan makan sekembali dari solat Subuh. 

Ikuti catatan saya seterusnya, insyaAllah.

Tags / Kata Kunci: PDK , Kembara Umrah Anak Syurga

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan