Makan Tanpa Ragu Di Taiwan

Diterbitkan: Khamis, 29 Disember 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

DARI DIARI KEMBARA

TAIWAN semakin menjadi perhatian. Tentu ada yang menarik di sana sehingga menyebabkan semakin ramai rakyat Malaysia, termasuk mereka yang beragama Islam memilih Taiwan sebagai destinasi percutian terutama bersama-sama keluarga pada hujung tahun atau lebih tepat lagi ketika musim dingin.

Adakah faktor kadar mata wang yang rendah menjadikan rakyat Malaysia memilih Taiwan untuk bercuti dan melancong? Bagi saya, tidak juga kerana Taiwan bukan syurga membeli-belah tetapi kemudahan mencari restoran atau makanan halal antara faktor menjadikan umat Islam di negara ini tertarik untuk ke negara itu.

Kunjungan saya bersempena Taiwan Ceria Bersama Maria Tunku Sabri dan DJ Raifa tajaan Ziarah Harmoni dari 13 hingga 18 Disember 2016 mendapati banyak restoran menghidangkan masakan halal malah hotel penginapan juga tersedia sejadah serta arah kiblat.

Kemudahan dan keselesaan yang tersedia itu sekali gus menjadi faktor penyumbang untuk masyarakat Islam di negara ini untuk memilih Taiwan sebagai destinasi percutian keluarga selain mahu menikmati kedinginan pada hujung tahun.

Kunjungan enam hari lima malam itu diketuai Pengurus Ziarah Harmoni, Murni Zainuddin. Rakan media tempatan yang turut menyertai program itu adalah dari Bernama Radio, Harian Metro, Kosmo, Utusan Malaysia, majalah Santai dan W World.

Program Taiwan Ceria Bersama Maria Tunku Sabri dan DJ Raifa turut disertai Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Pusat Pelancongan Islamik (ITC), Yuhaini Yusoff dan Pengurus Pembangunan Korporat dan Kewangan ITC, Azlan Othman.

Tidak terbit keraguan atau sebarang tanda tanya sepanjang kunjungan saya di Taiwan apabila menikmati hidangan kerana yakin semua yang disediakan halal tambahan pula sudah dimaklumkan terlebih dahulu ia adalah pelancongan Muslim.


Apa yang membuka selera saya sepanjang kunjungan itu? Banyak, tetapi paling saya gemar ialah ketika menikmati mi daging di Restoran Bismillah.

Melihatkan pelayan di restoran itu meletakkan semangkuk penuh mi di depan saya, dalam hati berkata-kata, tidak mampu saya habiskan mi ini sebab terlalu banyak. Mereka juga menghidangkan pelbagai jenis pembuka selera seperti kerabu atau urap. Semua Nampak berselera. Jika tidak cuba terasa rugi.

Namun, cili kering yang tersedia di atas meja benar-benar membangkitkan selera saya apatah lagi melihat Pengarah (Biro Pelancongan Taiwan), Tony Wu, menghabiskan dua mangkuk mi daging di depan saya.

Bagaimanapun, Ustaz Abdullah Mahmud, yang sering muncul di dalam program Tanyalah Ustaz tidak mampu menghabiskan mi daging dan hanya meratah makanan lain di depannya. 

Mungkin masakan itu tidak menepati selera beliau. Begitu juga ada seorang dua lagi rakan media yang kurang berselera dengan mi daging tetapi menghirup sup tunjang.

Saya pula memang gemarkan tunjang jadi yang terhidang di depan mata, tidak dilepaskan begitu sahaja. 

Selesai makan, pelayan menunjukkan bilik untuk bersolat tetapi ruang yang kecil menyebabkan pemandu pelancong kami dikenali sebagai Rita menasihatkan kami agar bersolat di Masjid Agung Taipei. Bagaimanapun, saya dan Yuhaini sempat bersolat di restoran berkenaan.

Sebuah lagi restoran yang berjaya menambat selera saya dan sebahagian besar peserta program ialah Restoran Tea & Rice Resort di Yilan. Restoran halal ini menyediakan stimbot yang begitu enak kerana makanan laut dan sayur-sayurannya sungguh segar apatah lagi dhidangkan dengan nasi putih umpama mutiara.

Ramai yang bertambah. Begitu juga saya, meratah udang dan cendawan. Sup disediakan begitu enak apatah lagi setelah sebati bercampur dengan makanan laut dan sayur-sayuran.

Restoran itu turut menyediakan ruang solat yang luas untuk pengunjung lelaki dan wanita cuma ia terletak di luar restoran.


Keenakan masakan Turki dan Morocco juga menjadi perhatian saya. Selain hiasan dalaman restoran yang menarik dan mencuri pandangan, masakannya juga wajar mendapat pujian.

Restoran Turki dikenali sebagai Safranbolu dan Restoran Tajin di Keelung Road yang menghidangkan masakan Morocco menepati citarasa kami. Kedua-dua restoran itu turut menjadi perhatian penduduk di Taiwan yang bukan beragama Islam.

Ketika berkunjung ke Leofoo Village Theme Park di Guanshi Town, sekali lagi kami memasuki restoran yang menyediakan makanan halal. Dengan reka bentuk dalaman yang menarik, kami menikmati masakan Asia Barat.

Saya memesan kambing yang dihidangkan bersama-sama roti pita serta nasi beriani.

Selain itu, restoran lain yang begitu popular adalah Restoran Alhamdulillah dan Restoran Yunus di Pei Ning Road, Taipei.

Kedua-dua restoran ini menghidangkan masakan Taiwan yang mirip makanan Thailand. Pencuci mulut bubur pulut hitam menghilangkan kerinduan pada tanah air buat seketika.


Bukan sekadar restoran yang menghidangkan masakan halal, kami turut menginap di hotel yang turut menyediakan masakan halal dan menyediakan kemudahan untuk bersolat.

Paling saya tertarik ialah di Shangrila Leisure Farm di Yilan. Kawasan pergunungan yang terletak jauh dari pusat bandar Taiwan ini sesuai untuk beristirahat.

Sejurus melangkah masuk ke dalam bilik penginapan di paras tiga, ruang bilik yang mempersona menambat pandangan saya. Hamparan lebar berwarna biru gelap disediakan sebagai sejadah manakala arah kiblat terpampang di atas siling.

Ada juga sesetengah hotel yang menempatkan penanda arah kiblat di atas meja solek.

Dua lagi hotel penginapan kami yang tidak kurang menarik ialah Atami Taipei Onsen di Guangming Road di Beitou. Kami menginap di situ dua malam sejurus tiba di Taiwan. Ruang bilik mencuri perhatian kerana mempamerkan seramik yang indah.

Dua malam terakhir di U Hotel, Nanjing Road di daerah Zhongshan, Taipei. Hotel itu berkonsep moden dan serba sederhana tetapi lokasi strategic memudahkan tetamu untuk ke mana-mana.

Menurut Pengarah Pelancongan Taiwan, Tony Wu, ketika ini ada 100 restoran atau kedai makan yang menghidangkan masakan halal, sekaligus memudahkan pelancong dari Malaysia, khususnya umat Islam untuk berkunjung ke Taiwan dan menikmati pelbagai hidangan halal.

“Orang Muslim tidak perlu risau mengenai makanan kerana di Taiwan tidak sukar mencari masakan halal. Malah, pengunjung juga boleh melihat sijil halal yang dipamerkan oleh pengusaha restoran sama ada di dalam atau di luar restoran.

“Cuba lihat di setiap restoran yang anda kunjungi, pasti ada terpampang sijil halal. Jadi, jangan risau untuk masuk ke dalam restoran dan menikmati makan tengah hari atau makan malam anda,” katanya yang turut bersama-sama kami sepanjang program Ceria Bersama Maria Tunku Sabri dan DJ Raifa.


Beliau yang cukup ramah dan sporting tidak jemu melayan kami sehingga hari terakhir ketika menghantar kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan.

Menurut Wu, pada tahun hadapan, Lembaga Pelancongan Taiwan menganggarkan sejumlah 500,000 warga Malaysia bakal berkunjung ke Taiwan

“Saya mengharapkan daripada jumlah itu, 50 peratus pengunjung adalah Muslim kerana kami juga sedang berusaha untuk terus meningkatkan lagi jumlah restoran yang menyediakan hidangan halal demi keselesaan pelancong beragama Islam,” katanya.

Hakikatnya, usah bimbang dan waswas untuk menikmati makanan di Taiwan kerana ada kira-kira 60,000 Muslim di negara itu. Buat masa ini, ada kira-kira 200,000 pekerja Muslim bertugas dalam pelbagai sektor di Taiwan terutama dari Indonesia, Malaysia, Thailand dan Filipina.

Tags / Kata Kunci: Taiwan

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan