Umrah Musim Dingin Menjadi Perhatian

Diterbitkan: Sabtu, 24 Disember 2016 4:14 PM

GAMBAR FAIL

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Ramai bertanya mengenai keperluan yang sesuai dibawa ke Tanah Suci Makkah dan Madinah kerana mahu menunaikan ibadat umrah ketika musim dingin, iaitu di antara Disember hingga Februari.

Paling dingin pernah saya lalui ialah ketika Disember kerana pada Februari tidaklah begitu sejuk sebagaimana Disember. Bagi mereka yang belum pernah melalui pengalaman musim dingin, sebaik-baiknya buatlah persediaan rapi kerana tidak mahu kedinginan menjejaskan kelancaran untuk beribadat.

Selalunya suhu musim dingin di Madinah sekitar 5 darjah Celcius ketika waktu malam dan anggaran 15 darjah Celcius pada waktu tengah hari pada Disember.

Biarpun mentari masih bersinar tetapi angin sejuk menyebabkan kita terasa sejuk apatah lagi angin dingin yang kering boleh menyebabkan kulit mudah menjadi kering, bibir merekah dan tumit pecah-pecah.

Teringat saya pada kata-kata ibu saya yang pernah melalui musim dingin dan panas ketika mengerjakan ibadat haji.

“Ibu lebih suka pergi sana (Makkah dan Madinah) ketika musim panas. Tak tahan musim sejuk ini, hendak ambil wuduk pun menggeletar. Batuk pun teruk juga masa tu hingga hampir masuk hospital kerana pneumonia,” ujar ibu bercerita mengenai dua musim berbeza di Tanah Suci yang pernah ditempuhinya.

Berbeza dengan saya yang lebih gemar ke Tanah Suci pada musim dingin. Terasa seronok dan selesa untuk ke sana-sini terutama ketika berziarah.

Pernah beberapa kali saya berpeluang menunaikan umrah pada Februari dan saya amat selesa dengan cuaca yang nyaman kerana tidak terlalu panas dan tidak juga terlalu sejuk. Pernah saya lalui pengalaman hujan batu di Makkah selepas tawaf wada’ sebelum berangkat ke Madinah.

Keadaan di Makkah ketika itu mendung dan angin bertiup agak kencang menjelang tengah hari. Setelah mengerjakan tawaf wada’ selepas solat Zuhur berjemaah di Masjidil Haram, saya pulang ke hotel penginapan.

Namun dalam perjalanan pulang di kawasan Ajyad, angin semakin kencang dan hujan membasahi bumi Makkah. Namun, ia hanya seketika saja. Setelah menaiki bas untuk ke Madinah, hujan berhenti tetapi dalam perjalanan kami dapat menyaksikan ribut pasir.

Pada Disember 2013, saya dan keluarga dipelawa oleh seorang rakan yang bermastautin di Makkah untuk menunaikan ibadat umrah. Sudah tentu saya teruja dan bersyukur kerana kesudian beliau untuk mempelawa saya sekeluarga ke Tanah Suci.

Alhamdulillah. Saya hanya membeli tiket kapal terbang manakala urusan visa dikendalikan oleh sebuah agensi pengendali umrah.

Anak-anak gembira bukan kepalang, Namun, anak kedua saya tidak berpeluang menyertai pemergian kami kerana tiada cuti semester. Dapatlah kami menikmati cuaca dingin pada Disember yang sering diperkatakan oleh jemaah yang sudah berpengalaman melaluinya.

Ketika itu, ramai berpesan agar membawa sweater atau jaket sebagai persediaan. Justeru, saya membeli sweater rona krim di sebuah pusat beli-belah selain membawa shawl berwarna merah hati pemberian seorang jemaah yang pernah mengerjakan umrah bersama-sama saya.

Pesawat Saudi Airlines yang dinaiki mendarat di lapangan terbang Jeddah. Tidak terasa dingin ketika di terminal lapangan terbang tetapi sejurus keluar, ada jemaah yang sudah mengambil jaket dari beg kabin kerana angin sejuk mula berhembus sepoi-sepoi bahasa. Saya dan keluarga turut menempatkan jaket di dalam beg kabin tetapi tidak mengambilnya.

Perjalanan lancar ke Madinah. Semua keletihan setelah menempuh perjalanan kira-kira lapan jam menuju destinasi.

Sebelum tiba di hotel penginapan, ketua rombongan ketika itu, Ustaz Md Roslan Mohamad Jaafar menasihatkan jemaah agar mengenakan pakaian tebal kerana suhu pada waktu itu adalah 5 darjah Celcius.

“Pakai jaket cepat. Sejuk di luar tu,” ujar saya pada Hajar yang cukup selesa dan gemar pada cuaca dingin.

Aliff sudah terlebih dahulu mengenakan jaket kerana dia tidak tahan sejuk. Begitu juga suami. Dari dalam bas sudah terasa sejuk. Saya turut menyarung sweater setelah terasa dingin menggigit kulit.

Dingin malam itu. Kami tiba di depan hotel penginapan pada jam 2.30 pagi waktu tempatan. Namun, sejurus bas berhenti dan bagasi dikeluarkan, kami bergegas masuk ke dalam hotel kerana kedinginan.

Ketika menunaikan solat Subuh, saya tetap mengenakan sweater tetapi sejurus memasuki Masjid Nabawi, saya menanggalkannya.

Pada waktu siang, saya hanya memakai shawl untuk ke masjid. Begitu juga ketika berziarah di Madinah. Namun, saya lihat ramai yang berjaket tebal kerana tidak tahan sejuk, terutama menjelang malam dan waktu Subuh.

Ada juga yang memakai sarung tangan tetapi perlu diingatkan ketika dalam ihram tidak boleh bersarung tangan. Justeru, memadai jika menggunakannya di Madinah atau selepas selesai segala rukun umrah.

Musim dingin yang kering di Madinah menyebabkan kulit cepat menggelupas. Justeru, jangan lupa memakai pelembap setiap kali keluar untuk beribadat atau gunakannya di dalam bilik hotel.

Ada yang bertanya, jenis pelembap yang sesuai digunakan di Tanah Suci dan lazimnya saya mengatakan sukar untuk mengatakan jenama yang spesifik, bimbang tidak serasi pada kulit seseorang, apatah lagi jika kulit anda sensitif.

Selalunya ramai jemaah menggunakan krim nivea, vaselin atau franch oil tetapi saya lebih gemar menggunakan minyak zaitun. Namun, saya akan hanya melumurkannya ke muka pada sebelah malam manakala di sebelah siang, hanya setitik dua saja saya ratakan pada wajah.

Untuk jemaah lelaki pula masalah tumit pecah dan bibir kering sering dialami. Mungkin kerana mereka amat jarang menitikberatkan penjagaan diri dan enggan menggunakan salap bibir.

Hakikatnya, mereka perlu menggunakan pelembap dan salap bibir untuk mengelakkan masalah kekeringan melampau.

Jemaah lelaki juga mungkin perlu membawa mafla untuk membalut leher mereka daripada kedinginan subuh dan malam. Jika tidak mempunyai mafla, anda boleh beli atau bawa kain rida’.

Kedua-duanya boleh menutup leher dan bahagian kepala.

Jika terlupa membawa peralatan dandanan diri, usah bimbang kerana anda boleh membelinya di farmasi berhampiran hotel yang sangat mudah ditemui di Tanah Suci tetapi harganya agak tinggi berbanding di Malaysia.

Selain peralatan untuk mengelakkan kulit kering, minyak untuk disapu pada kaki juga sangat penting kerana ada jemaah yang mudah mengalami kekejangan akibat cuaca sejuk. Jadi, bawa minyak gosok yang sesuai dan sering digunakan untuk mengelakkan kekejangan otot kerana ia boleh menjejaskan kelancaran ibadat anda.

Selain itu, jemaah juga tidak digalakkan menggunakan sabun secara berlebihan kerana ini mempercepatkan kulit menjadi kering. Justeru, mandi sehari sekali dan elakkan guna sabun dengan banyak.

Ubat-ubatan, suplemen dan vitamin juga usah diabaikan. Anda boleh terus mengambilnya untuk memelihara tubuh agar sihat untuk beribadat.

Ketika anda membaca artikel ini, saya sedang berada di Tanah Suci Makkah bersama-sama tujuh anak istimewa dan Alhamdulillah sekali lagi melalui pengalaman umrah musim dingin, terutama di Madinah.

Nantikan cerita saya seterusnya , insha Allah.

Tags / Kata Kunci: Umrah , Mekah , Madinah

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan