Mohamad Ramadhan dan Tragedi Tsunami Berkesan Di Hati

Diterbitkan: Sabtu, 24 Disember 2016 12:23 PM

(Ubah saiz teks)

Dari Diari Kembara

GEMPA BUMI yang melanda Aceh baru-baru ini mengimbau kenangan saya pada Mohamad Ramadhan, 12, dari Pesantren Nurul Huda di Banda Aceh yang saya temui ketika berkunjung ke bumi Serambi Makkah itu pada  Mei 2016.

Dia berkain pelikat rona coklat gelap berjalur dan berkemeja putih berlengan panjang.

Rambutnya tidak terurus namun dia tetap tersenyum manis tersipu-sipu.

Dia sering menundukkan pandangan. Sesekali apabila ditanya, barulah dia mengangkat kepala.

Kedua-dua tangannya tidak lepas daripada memegang kemeja sehingga menyebabkan saya tertanya mengapa dia berbuat demikian.

Tatkala pendakwah bebas tanah air, Ustazah Asni Mansor memanggil Mohamad Ramadhan ke depan untuk berbual dengannya, kanak-kanak itu malu dan tidak mahu mendendangkan sebarang lagu berunsur agama dan hanya tersipu-sipu.

Puas juga Ustazah Asni memujuknya tetapi dia tetap enggan dan menggelengkan kepala serta memusingkan badan. Rakan-rakan tertawa melihat gelagat Mohamad Ramadhan namun semua itu tidak diendahkan langsung.

Ibu saya mendekati kanak-kanak itu selepas sesi interaksi kira-kira satu jam di antara Ustazah Asni  dengan anak-anak dari pesantren itu berakhir. Ibu lantas memanggil saya.


“Tengok ini Ana. Kemeja dia tak ada butang…sebab itu dia asyik tutup saja dengan tangan,” ujar ibu sambil memeluk Muhamad Ramadhan.

“Kesiannya. Patutlah dia tunduk saja. Malu sebab baju tak ada butang,” balas saya pula.

“Ana, muka dia macam Shah (adik saya) masa kecik-kecik,” ujar ibu lagi.

“Emm. Ye akan-akan,” balas saya pula.

Ibu mendampingi kanak-kanak itu, yang berkulit sawo matang dan bertubuh kecil manakala saya berbual dengan pengasuh di pesantren berkenaan yang menempatkan kira-kira 200 anak yatim dan fakir miskin lelaki serta perempuan.

Mohamad Ramadhan menjadi penghuni tetap Pesantren Nurul Huda sejak 12 tahun lalu. Dia dihantar ke situ oleh seorang doktor setelah kedua-dua ibu bapanya menjadi mangsa korban Tsunami di Aceh pada 26 Disember 2004.

Sesiapapun pasti berasa sebak dan hiba tatkala melihat Mohamad Ramadhan. Anak yatim piatu yang tidak pernah mengenal kedua-dua orang tuanya. Ketika dibawa ke pesantren itu, dia berusia dua bulan.

Mohamad Ramadhan menarik perhatian saya kerana wajahnya sendu dan matanya yang sayu mengundang simpati serta hiba dalam diri saya. Entah kenapa, mata saya tertumpu kepadanya, terutama apabila dia diminta berdiri di sebelah Ustazah Asni yang mengajaknya berinteraksi di depan ratusan penghuni pesantren berkenaan ketika berkunjung ke situ bersama-sama peserta Jejak Iman Banda Aceh dari 6 Mei hingga 9 Mei 2016 anjuran Farhan Travel and Tours Sdn Bhd.

Ustazah Asni yang bijak berkomunikasi dan melayan anak-anak di pesantren turut memberi tazkirah kepada peserta program Jejak Iman seramai 20 orang. 
Selain Mohamad Ramadhan, pendakwah ternama itu juga bermesra dengan gadis remaja yang menghuni pesantren berkenaan.

Kami menghabiskan masa lebih satu jam di situ. Kami turut meninjau persekitaran pesantren yang agak daif dan memerlukan bantuan serta sumbangan ramai.


Melihatkan wajah-wajah sendu warga di pesantren, hati terasa sungguh sayu. Saya menjenguk ke ruang belakang pesantren yang menempatkan bahagian dapur. Di situ, saya ternampak beberapa gadis remaja sedang mengacau masakan di dalam kuali besar.

Mereka hanya makan nasi dan sayur. Amat jarang sekali ikan atau ayam. Secara kebetulan ketika saya di situ, mereka sedang masak sayur taugeh. Hati saya semakin sayu melihat hidangan yang bakal dinikmati mereka lantas merakamkan gambar dan memanggil anak-anak untuk melihat hidangan tengah hari mereka.

Menerusi program Jejak Iman yang diilhamkan oleh Farhan Travel & Tours, peserta bukan saja berpeluang menjejak sisa dan tinggalan sejarah tragedi Tsunami serta membeli-belah tetapi berkesempatan menyantuni anak-anak yatim dan fakir miskin di dua pesantren dalam kunjungan singkat empat hari tiga malam itu.

Program Jejak Iman juga disertai tiga anak istimewa dari Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Titiwangsa berusia dalam lingkungan 20-an iaitu Shalin, Shikin dan Hazim.

Konsep melancong dengan pengisian itu membawa peserta Jejak Iman ke destinasi menarik dan bersejarah di sekitar Banda Aceh sejurus tiba di lapangan terbang Bandara Sultan Iskandar Muda menerusi pesawat Air Asia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) di Sepang.

Sejurus tiba, kami disambut oleh pemandu pelancong dari Aceh Great Wall Tour dikenali sebagai Rizal yang sentiasa tersenyum manis dan menghiburkan.

Sesekali wajahnya bertukar sedih dan air matanya bergenang apabila bercerita mengenai tragedi Tsunami. Ketika tragedi itu melanda bumi Aceh, Risal berusia belasan tahun dan segala yang berlaku tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.

Perjalanan dimulakan dengan kunjungan ke Taman Makam Tsunami Kampung Siron, yang terletak tidak jauh dari lapangan terbang Aceh. Di situ bersemadi 46, 718 jasad korban Tsunami. Suasana hening dan sepi. Terasa sebak tiba-tiba sejurus melangkah masuk ke kawasan taman berkenaan.

Doa menziarahi pusara dilafazkan diikuti surah Al-Fatihah untuk mereka yang sudah kembali kepada Pencipta. Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Kami menghabiskan masa hampir setengah jam di situ.

Oleh sebab ramai yang belum bersarapan, Rizal mengajak kami berkunjung ke Zakir Warkop, sebuah restoran yang menghidangkan pelbagai makanan khusus untuk sarapan dan menyajikan kopi yang enak.

“Oleh sebab hari ini Jumaat, banyak kedai yang masih tutup. Selepas solat Jumaat, insha Allah ada kedai yang akan dibuka. Jadi, kita ke restoran untuk makan siang,” ujar Rizal.

Bagaimanapun, disebabkan kami masih baru bersarapan, kami meminta Rizal agar membawa kami ke hotel untuk daftar masuk. Bagaimanapun, sejurus tiba di Hotel Sultan pada jam 12.00 tengah hari, kami diminta datang semula selepas  jam 1.30 tengah hari.

Hendak ke mana lagi? Akhirnya, kami ke restoran juga untuk menikmati makan tengah hari. Hanya selepas itu baru kami daftar masuk ke Hotel Sultan pada jam 2 petang.

Berehat seketika dan bersolat, kami kemudiannya berkumpul semula di lobi untuk berkunjung ke Kampung Lampulo untuk melihat sebuah kapal tersadai di atas rumah kesan pukulan Tsunami.

Perjalanan diteruskan lagi dengan berkunjung ke kawasan pesisir pantai Ulee Lheue (disebut ulele) untuk menikmati jagung bakar, satay Aceh dan air kelapa. Seronok menikmati pemandangan mentari terbenam dan hembusan lembut angin di tepi pantai.

Selepas itu, kami ke Masjid Baitur Rahim untuk bersolat dan membeli cenderamata. Masjid ini terletak paling hampir dengan pantai Ulee Lheue tetapi keganasan Tsunami tidak menghancurkan masjid berkenaan.

Perjalanan kami pada hari kedua diteruskan dengan berkunjung ke Gunongan atau Taman Putroe Phang, muzium Tsunami, Muzium Aceh dan menziarahi pesantren Nurul Huda dan akhir sekali berbelanja cenderahati Aceh.

Pada hari ketiga pula, jadual semakin padat kerana kami ke Masjid Baitur Rahman, yang terletak di tengah-tengah kota Banda Aceh dan menjadi kemegahan masyarakat di situ. Masjid itu juga tidak mengalami sebarang kerosakan akibat Tsunami malah dijadikan tempat berlindung penduduk Aceh yang melarikan diri dari badai Tsunami.


Kami bersolat sunat di situ dan berpeluang menyaksikan pernikahan beberapa pasang mempelai yang diijabkabulkan pada pagi itu.

Selepas itu kami singgah ke Punge Blang Cut untuk melihat kapal PLTD Apung, seberat hampir tiga tan dan sepanjang 63 meter diseret sejauh tiga kilometer oleh gelombang Tsunami.

Perjalanan diteruskan untuk melihat kubah masjid yang terdampar di tengah sawah. Hati terasa sayu apabila memandang sekeliling kawasan sawah dan bermesra dengan masyarakat di situ.

Kuasa air dan kedahsyatan Tsunami menyeret kubah seberat 80 tan hampir tiga kilometer menyebabkan saya berfikir kenapa kubah itu boleh tersadai di Desa Gurah. Apakah keistimewaan perkampungan itu. Soalan saya terjawab apabila penduduk di situ mengatakan ramai alim ulama di Desa Gurah suatu ketika dahulu.

Penduduk di situ ramah tamah dan terasa seronok di Desa Gurah. Untuk melihat kubah, anda perlu menaiki motorsikal kerana untuk berjalan kaki hampir satu kilometer, sudah tentu tidak larat.

Seterusya kami ke Lampuk, sebuah daripada kawasan yang musnah teruk akibat Tsunami kerana berhampiran kawasan pantai. Bagaimanapun, Masjid Rahmatullah, yang terletak hampir satu kilometer dari kawasan pantai tidak mengalami kemusnahan serius.

Hanya bahagian sisi dalam masjid mengalami kerosakan dan pengunjung berpeluang melihat tinggalan kesan Tsunami itu.

Kami kemudiannya ke pesantren Hidayatullah dan sekali lagi Ustazah Asni bermesra dengan penghuni di pesantren berkenaan, yang lebih teratur dan rapi.

Selepas itu, kami singgah di rumah srikandi dari Aceh yang gigih menentang penjajah Belanda iaitu Rumah Cut Nyak Dhien atau juga dikenali sebagai Rumoh Aceh di Lampisang. Sebelum pulang ke hotel penginapan, kami menikmati makan malam di pejabat pemilik Aceh Great Wall Tour, Pak Mahlizar Zakaria, di Simpang Ajun.

Hidangan enak disediakan oleh isteri Pak Mahlizar benar-benar membuka selera kami sehingga ada yang membawa pulang sedikit makanan ke hotel penginapan. 

Jika anda belum pernah ke Aceh, pergilah. Walaupun banyak yang sudah diperkatakan dan ditulis mengenainya tetapi tidak rugi ke sana. Hakikatnya, saya mahu mengulangi kunjungan ke sana bersama-sama keluarga kerana banyak yang boleh dipelajari, dijadikan pengajaran dan iktibar.

Tags / Kata Kunci: Tsunami , Aceh

iklan

Video

Jumaat, 28 April 2017 5:30 PM

Hasrat Faizal Tahir Berehat Terganggu

Jumaat, 28 April 2017 3:47 PM

'Istana' Unik Di Rusia

Jumaat, 28 April 2017 11:39 AM

Kiri, Kanan, Depan,Belakang Ais Krim

Jumaat, 28 April 2017 9:30 AM

Apa Punca Aiman Sidek Masih Tidak Popular ?

Khamis, 27 April 2017 5:32 PM

Siapa Sanggup Tunggu Elly Mazlein?

Khamis, 27 April 2017 3:30 PM

Belum Ada Rezeki Anak - Bella Dally

Rabu, 26 April 2017 10:48 AM

Meninggal Dunia Ketika Baca Al-Quran

Kolumnis

iklan

Iklan