Hari Ahad Tidak Akan Sama Lagi Tanpa Mu...

Diterbitkan: Jumaat, 18 November 2016 10:02 AM

Ewe Jin yang dikenali ramai menerusi penulisan di ruangan Sunday Starters telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Damansara pada petang Khamis.

(Ubah saiz teks)

KHAMIS 17 November 2016. Jam 4.16 petang, Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan kami telah menghantar pesanan whatsapps dengan kata-kata; "Teman-teman, saya berada di Hospital Pakar KPJ Damansara di samping Ewe Jin. Ini adalah saat-saat terakhir beliau bersama kita. Doktor hanya memberi masa empat hingga enam jam sahaja lagi sejak tengah hari tadi untuk beliau bertahan. Dan beliau sedang bertahan..."

Selang dua jam kemudian, Tommy Lee, seorang lagi rakan sepejabat mengesahkan yang Soo Ewe Jin, pengarang eksekutif Kumpulan Media Star telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Pemergian seseorang yang sangat kita kenali adalah sesuatu yang menyedihkan dan menyentuh perasaan apatah lagi beliau seorang rakan sekerja yang kita temui saban hari dan berasal dari negeri yang sama dan berkongsi budaya dan cara hidup yang tidak asing dengan kita. Sudah tentulah latarbelakang ini semua membuatkan persahabatan kita menjadi bertambah rapat dan akrab.

Sebagaimana Chun Wai, Tommy dan juga penulis, Ewe Jin adalah anak jati Pulau Pinang dan bekas pelajar Penang Free School - sekolah Inggeris yang paling tua di Asia Tenggara. 

Tetapi mendiang Ewe Jin yang meninggal dunia selepas bertarung dengan kanser untuk sekian lama bukan sekadar teman sepejabat. Beliau juga adalah mentor dan teman sejati sama ada menerusi tulisan-tulisannya di kolum mingguannya Sunday Starters atau dalam hubungan seharian. 

Kartunis, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat bersama mendiang Ewe Jin dan Miss Malaysia 2009 Thanuja Ananthan ketika menyertai program Anak Anak Malaysia Walk 2016.

Kolumnya sangat menarik dan disukai ramai kerana beliau menulis dalam bahasa yang mudah dan sentiasa menyentuh tentang kehidupan seharian dan tentang keharmonian dalam sebuah masyarakat majmuk.

Beliau sentiasa memetik pengalaman sehariannya berinteraksi dengan jiran-jiran yang terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan latarbelakang dan juga tentang hubungan peribadinya sebagai seorang wartawan untuk dikongsi bersama para pembaca.

Chun Wai menyifatkan pemergian Ewe Jin, 57, sebagai satu 'kehilangan peribadi'. Begitulah juga yang dirasai oleh kami semua di The Star.

Ewe Jin dilantik sebagai pengarang eksekutif pada hari yang sama dengan penulis pada 1 Januari 2014. Ketika penulis belum sempat mengetahui mengenai pelantikan itu, beliau yang terlebih dahulu mengucapkan kata-kata tahniah dan syabas. Sebelum itu mendiang adalah timbalan pengarang eksekutif kumpulan. 

Pada 27 Oktober tahun lalu pada hari beliau menerbitkan bukunya yang merupakan himpunan artikel pilihan daripada kolumnya Sunday Starters, penulis tidak mahu melepaskan peluang untuk menjadi yang pertama mengucapkan syabas. 

Yang terkilan ialah penulis tidak sempat untuk memintanya menurunkan tanda tangan ke atas buku tersebut kerana Ewe Jin sudah jatuh sakit dan tidak lagi datang ke pejabat. Hanya bekerja dari rumah. 

Sesuatu yang lucu ialah beliau berbangga kerana menjadi 'suri rumah' sepenuh masa namun masih meneruskan kerja-kerja penyuntingan sepertimana biasa dan kolumnya tidak pernah terhenti melainkan ketika beliau menjalani proses kemoterapi.

Kemudian pada 26 Jun yang lalu, Ewe Jin yang masih lagi menjalani rawatan kemo telah menghantar satu pesanan ringkas kepada penulis. Beliau bertanyakan tentang artikel yang sepatutnya penulis turut sama menyumbang untuk projek buku "Kesederhanaan" yang sedang disuntingnya. 

Tan Sri Johan Jaaffar dan mendiang Ewe Jin di hari pelancaran buku Moderation. Beliau merupakan salah seorang penyumbang dalam buku suntingan Ewe Jin itu.

Perkara pertama yang beliau tanya ialah tentang kesihatan ibu penulis yang sedang sakit ketika itu. Penulis telah memaklumkan kepadanya yang tumpuan penulis sedikit terganggu dengan situasi kesihatan ibu.

Beliau sentiasa membalas dengan kata-kata semangat dan peransang yang jelas sekali mengambarkan tentang keperibadiannya yang mengambil berat akan hal ehwal kawan-kawan.

"Jangan gusar, jika kamu perlukan masa saya boleh berikan ruang yang cukup tetapi oleh kerana muka depan buku ini akan memaparkan semua gambar para penyumbang, saya perlukan pengesahan apakah saudara dapat menyumbangkan artikel saudara," tulisnya.

 "Saya sedang memikirkan untuk menarik diri Ewe Jin. Ternyata saya tidak dapat memberikan tumpuan dan perhatian kepada projek ini kerana keadaan ibu saya," jawab penulis.



Beberapa minit kemudian beliau pun balas; "Kalau begitu tak pa...jangan khuatir. Saya faham situasi saudara. Mungkin kali ini saudara tidak dapat bersama kami. Mungkin dalam projek akan datang. Ingatlah Ibu lebih penting dari segala-galanya. Kamu adalah anak yang baik." 

Kata-katanya itu sangat menyentuh perasaan kerana seorang teman sejati telah mengingatkan rakannya betapa ibu adalah segala-galanya dan jauh lebih utama daripada yang lain.

Buku yang sepatutnya penulis turut sama menyumbang artikel tetapi tidak kesampaian. Ia adalah hasil suntingan terakhir mendiang Ewe Jin.

Tidak berapa lama kemudian di hari pelancaran buku ini, Ewe Jin muncul di pejabat dengan berkerusi roda ditemani isteri kesayangannya Angeline Lim. Perkara pertama yang beliau sebut sebaik sahaja bertemu dengan penulis ialah; "Bagaimana keadaan ibu kamu? Adakah dia ok?"

"Ewe Jin, dia telah menjalani pembedahan dan sekarang sedang pulih...." kata saya.

"Syukur kepada Tuhan...saya doakan dia cepat sembuh," balas Ewe Jin.

Itulah kali terakhir penulis bertemu dan berbual dengannya. Ewe Jin, Sunday Star tidak akan sama lagi tanpa Sunday Starters. Saudara telah pergi meninggalkan kami tetapi saudara tetap di hati kami selama-lamanya.

Tags / Kata Kunci: Soo Ewe Jin , The Star , Sunday Starters

iklan

Video

Jumaat, 21 Julai 2017 3:00 PM

Nadzmi Adhwa Bolot Semua 'Job'

Jumaat, 21 Julai 2017 11:09 AM

Lagak Lelaki Ini Seperti…

Jumaat, 21 Julai 2017 9:00 AM

#akuStar: iR Radzi - Cinta Terakhir

Khamis, 20 Julai 2017 3:30 PM

Luahan Ezlynn Beraya Tanpa Zuriat

Khamis, 20 Julai 2017 12:30 PM

Diana Muntah, Mabuk Teruk - Zamarul

Rabu, 19 Julai 2017 5:00 PM

Sauk Jangan Tak Sauk...

Rabu, 19 Julai 2017 3:27 PM

Beraksi 'Ghairah'? OK Je Kalau...

Rabu, 19 Julai 2017 1:20 PM

Ulat Buku Naik Superbike

Kolumnis

iklan

Iklan