Cuaca Panas Kering Uji Kesabaran

Diterbitkan: Khamis, 1 September 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Cuaca panas kering di Tanah Suci Makkah dan Madinah sering menguji kesabaran setiap jemaah haji.

Bermula April hingga September, kepanasan begitu terasa terutama sekitar Julai hingga September. Ketika menunaikan ibadat haji pada tahun lalu, jemaah berdepan dengan cuaca panas dengan suhu di antara 45 dan 50 darjah Celcius.

InsyaAllah, tidak sampai dua minggu lagi, jutaan jemaah akan berkumpul di Arafah, kemuncak ibadat haji dan satu daripada rukun haji yang perlu ditunaikan. Namun, yakinlah bantuan Allah pasti ada biarpun kita berdepan dengan suhu memuncak dan menyebabkan ketidakselesaan.

Ketika menunaikan ibadat haji untuk kali pertama, saya tidak berdepan dengan cuaca panas kerana ketika itu haji adalah pada Februari dan cuaca sangat nyaman di Arafah dan diingin di Mina. Namun, bagi mereka yang tidak tahan sejuk dengan suhu di Mina, mereka terasa tidak selesa, apatah lagi di kalangan jemaah haji lelaki.

Teringat saya pada kata-kata ibu saya:

“Ibu lebih suka cuaca panas daripada sejuk masa tunai haji,” ujar ibu ketika saya sedang membuat persediaan sebelum menunaikan ibadat haji pada Februari 2000.

“Kenapa? Balas saya ringkas.

“Lebih baik panas. Tak tahanlah masa sejuk. Nak ambil wuduk pun menggigil,” jawab ibu yang pernah menunaikan haji ketika Disember 1973.

“Kalau sejuk bestlah. Taklah senang demam,” ujar saya pula.

“Sakit lain pulak kalau tak demam. Ibu sakit jugak. Hampir kena pneumonia,” balas ibu lagi.

“Oh ye ke?’ tanya saya.

“Ye. Alhamdulillah, tak masuk hospital, tapi tak sihat. Batuk teruk. Banyak kahak.

“Oh…kesiannya,” balas saya.

Begitu juga dengan suami yang menunaikan ibadat haji pada Januari 2005 dengan keadaan sejuk agar ketara. Dia juga tidak tahan dengan keadaan sejuk, terutama di Mina. Tambahan pula ketika itu banjir lumpur melanda Mina dan hujan lebat di Makkah.

Apapun, setiap jemaah haji pasti melalui pengalaman yang berbeza. Setiap orang ada pengalaman tersendiri untuk dikongsi bersama ketika melalui kembara agung menyempurnakan rukun Islam kelima.

Cuaca panas terutama di Arafah benar-benar menguji kesabaran jemaah musim haji tahun lalu. Difahamkan, suhu pada ketika itu adalah 50 darjah Celcius. Sebagai petugas saya sendiri risau melihatkan keadaan jemaah dan berdoa agar semuanya sihat dan dipermudahkan segala urusan ibadat kami.

Selepas Maghrib 8 Zulhijah, kami berangkat ke Arafah. Bahang panas masih terasa walaupun kami tiba di khemah Arafah pada jam 9.30 malam. Sebelum tiba di Arafah, sahabat saya maklumkan hujan ribut di Arafah dan khemah mereka hampir melayang ditiup angin.

Risau juga sejurus membaca whatsapp beliau. Perjalanan lancar ke Arafah dan hujan renyai mengiringi bas kami. Namun, Alhamdulillah, sejurus tiba di khemah, tidak pula kami berdepan dengan hujan ribut seperti dikatakan oleh sahabat saya itu.

Sampai di khemah, semua jemaah mengambil tempat dan meletakkan barangan masing-masing. Khemah hanya diterangi sebatang lampu kalimantang yang tidak begitu terang. Kami makan dan solat Isyak. Seorang demi seorang mula mengeluarkan bahan dan kepingan kotak untuk dijadikan sebagai kipas.

Malam semakikin larut. Keletihan dan ketidakselesaan tidak menghalang jemaah untuk tidur. Biarpun mungkin tidak lena, mata dapat dipejamkan untuk beberapa jam. Sebelum Subuh, ramai yang sudah terjaga untuk mendirikan tahajud dan seterusnya menunggu Subuh.

Usai solat dan matahari mula mengintai, saya keluar dari khemah dan meninjau persekitaran khemah. Terasa syahdu. Semua orang sama. Tidak kira pangkat, harta dan paras rupa. Semua berkumpul di Arafah dengan niat yang satu.

Ketika berjalan pulang menghampiri khemah jemaah wanita, saya terlihat Hadi,seorang lagi petugas haji, membawa makanan dan minuman sebagai sarapan. Dia menuju ke khemah wanita dan saya tersenyum mengiringnya.

Sejurus tiba, saya mengagihkan makanan dengan bantuan beberapa jemaah lain. Kami makan bersama-sama. Di sinilah jalinan silaturahim semakin akrab. Bertukar dan berkongsi makanan yang dibawa seperti serunding, sambal bilis dan pelbagai bekalan makanan kering untuk membuka selera.

Matahari semakin meninggi. Panas semakin terasa menjelang wukuf yang bermula apabila masuk waktu Zuhur yang ketika itu sekitar jam 12.30 tengah hari waktu tempatan. Sungguh panas. Saya lihat jemaah yang bermasalah tekanan darah tinggi mula resah.

Ada jemaah yang demam sebelum berangkat ke Arafah dalam keadaan semakin membimbangkan. Jemaah yang batuk-batuk menjadi semakin teruk. Namun, jemaah yang sihat tidak banyak bercakap. Ramai yang berzikir dan membaca buku doa.

Tuala basah sentiasa menemani jemaah yang demam. Dia terbaring lesu. Sesekali kedengaran jemaah itu batuk keras. Kasihan melihatnya. Jemaah itu kelihatan tidak selera makan. Sesekali suami di khemah lelaki datang menjenguk untuk bertanya khabar.

Seorang lagi jemaah terbaring dengan penuh kebimbangan.

“Hajah, saya ada masalah darah tinggi. Panas sangat sekarang ni. Macam mana hajah?” tanya wanita berusia 55 tahun itu.

“Sabar ye kak. Semua orang mesti datang ke Arafah walaupun tidak sihat. Kakak fikir sihat dan minta sihat. InsyaAllah sihat,” balas saya.

“Kalau panas nanti darah pun boleh naik sebab kita stress,” balas beliau pula.

“Kakak jangan fikir sakit. Jangan sebut darah boleh naik. Kita minta supaya sihat untuk beribadat.

Selepas ini nak pergi Mina dan duduk di dalam khemah lagi,” pinta saya.

Beliau diam tidak membalas. Wajahnya kemerah-merahan. Risau juga melihat wanita berkenaan.

Alhamdulillah, selepas solat Zuhur dan makan tengah hari, sebungkus besar air batu dihantar ke khemah kami.

Saya terus mengagihkan air batu itu kepada setiap jemaah dan sudah semestinya dua jemaah menjadi perhatian utama saya iaitu yang demam dan berpenyakit tekanan darah tinggi kerana bimbang dengan tahap kesihatan mereka.

Air batu dapat diagihkan kepada setiap jemaah wanita seramai 50 orang. Air batu semakin mencair dan untuk saya hanya tinggal air saja. Lalu saya mencelupkan tuala muka saya ke dalam air yang masih berbaki itu. Tuala saya menyerap semua air dingin itu dan saya meletakkannya di atas kepala. 

Terasa dingin. Lega.

Selepas Asar, mentari tidak lagi terik. Semua tampak lega apatah lagi sebahagian besar kanvas khemah diangkat dan dibuka. Menjelang jam 5.30 petang, ramai jemaah yang mula keluar dari khemah dan membawa haluan masing-masing.

Semua berdoa di kawasan terbuka dan lapang sehingga menjelang waktu Maghrib. Suasana ketika itu sungguh hening. Sukar dicerita dan digambarkan. Sedih tatkala melafazkan doa ketika itu.

Mengharapkan keampunan dan syurga daripada Allah SWT selain kebaikan di dunia serta akhirat.

Sejurus masuk waktu Maghrib, semua masuk ke dalam khemah untuk menunaikan solat Maghrib dan menunggu Isyak. Usai menyempurnakannya, semua bersiap untuk mabit di Muzdalifah dan seterusnya ke Mina untuk melontar ketiga-tiga jamrah.

Pengalaman di Muzdalifah pada haji tahun lalu berbeza seperti yang saya lalui sebelum ini. Sebelum ini, jemaah hanya turun dari bas, mengutip batu dan menaiki semula bas berkenaan. Namun, saya difahamkan sejak tujuh tahun lalu, jemaah perlu turun dari bas dan duduk di kawasan Muzdalifah dan beratur menunggu bas untuk ke khemah di Mina.

Keadaan ini sekali lagi menguji kesabaran jemaah terutama yang sudah berusia kerana ia menuntut ketahanan fizikal dan mental. Akibat keletihan dan kurang tidur di Arafah, ada yang lena sehingga dikejutkan. Namun, saya tidak dapat melelapkan mata ketika itu melihatkan kebanjiran jemaah haji yang duduk, baring dan tidur di Muzdalifah.

Dalam keletihan dan mengantuk, saya terdengar suara yang mengatakan ada jemaah berusia pengsan dan muntah. Sudah semestinya dia terlalu letih dan berkemungkinan dehidrasi akibat cuaca panas kering.

Semua beratur untuk menaiki bas. Tidak guna berebut kerana bas pasti datang dan tunggu sahaja giliran anda. Di sinilah kesabaran paling utama, tambahan pula semua jemaah dalam ihram.

Sejurus tiba giliran saya dan rakan jemaah lain menaiki bas, jam di tangan sudah menunjukkan 3 pagi. Terasa sangat mengantuk. Saya pejamkan mata di dalam bas berhawa dingin dan serba baru itu.

Tidak sampai satu jam perjalanan, kami tiba di Mina. Terasa lega sejurus tiba kerana dapat melelapkan mata dan melunjurkan kaki di dalam khemah selepas mandi. Alhamdulillah, ketika itu belum ramai jemaah di sekitar khemah dan tidak perlu beratur ke bilik air.

Ikuti pengalaman saya di Mina minggu hadapan, insyaAllah.



Tags / Kata Kunci: Arafah , Mina

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Kolumnis

iklan

Iklan