Menghidupkan Malam Ketika Ramadan

Diterbitkan: Jumaat, 5 Ogos 2016 6:00 PM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Usai solat Subuh pada hari kedua di Tanah Suci Makkah, saya berjalan pulang sendirian ke hotel penginapan.

Fikiran saya tiba-tiba teringat arwah bapa yang bekerja shif malam dan tidur pada sebelah siang. Allahyarham bapa saya keluar bekerja pada jam 5 petang iaitu sesudah solat Asar dan pulang semula ke rumah pada jam 4.30 pagi setiap hari.

Sekembali ke rumah, beliau makan, bersolat Subuh, mengaji dan membaca akhbar. Hanya pada jam 9 pagi, barulah beliau tidur sehingga hampir waktu Zuhur.

Memikirkan cara beliau mengatur masa untuk bekerja dan beribadat, saya tergerak untuk mempraktikkan perkara yang sama sepanjang di Makkah. 

Justeru, saya mengubah jadual tidur untuk membolehkan saya menghidupan malam bersama-sama jutaan jemaah di Tanah Suci ketika berada di sana sepanjang 10 malam terakhir Ramadan.

Saya kagum melihat sebahagian besar jemaah menghabiskan masa beribadat dan menghidupkan malam di Tanah Suci. Mereka tidak pulang ke hotel penginapan pada sebelah malam.

Mereka akan mengaji, berzikir, bertawaf, berdoa, makan, minum, bertegur sapa dengan jemaah lain, berkongsi makanan, baring dan tidur seketika di dalam masjid.

Malah, mereka mula beriktikaf di dalam masjid sejak dari buka puasa sehinggalah waktu sahur malah ada yang hanya meninggalkan masjid selepas solat Subuh berjemaah atau selesai waktu dhuha.

Ada juga antara mereka yang membawa bekalan yang siap di pek dari rumah atau dibeli di tempat makan di pusat beli-belah. 

Tidak kurang juga ada di kalangan jemaah di dalam masjid membawa selimut dan comforter yang siap dibalut rapi kerana sesetengah ruang masjid agak dingin, terutama di kawasan solat King Abdullah dan King Fahd.

Melihatkan senario seumpama itu, hati saya terdetik mahu mencontohi mereka. Justeru, saya nyatakan hasrat hati pada rakan sebilik, kak Hasnah dan makcik Kamariah.

“Kak, mulai malam ni, Ana tak balik tidur di hotel ye. Ana akan berbuka di masjid dan balik pada esok pagi,” ujar saya pada kak Hasnah, yang tidur di sebelah katil saya. “Awak sahur di mana nanti?” tanya kak Hasnah yang pendiam.

“Insha Allah Ana beli saja makanan di restoran di dalam hotel berhampiran masjid,” balas saya lagi. 

“Baiklah Ana,” balas beliau ringkas sambil memandang saya. Saya turut menyatakan perkara yang sama pada kak Naaimah agar beliau tidaklah tertanya-tanya jika tidak nampak saya di dewan makan ketika berbuka dan bersahur. 


Bagaimanapun, pada hari berkenaan, beliau mempelawa saya untuk berbuka puasa di food court Hotel Safwa.

Tidak sampai hati saya menolak pelawaan beliau apatah lagi beliau yang bersungguh-sungguh bercerita mengenai kemanisan dan kehebatan menunaikan umrah akhir Ramadan.

Sehubungan itu, pada jam 5 petang, kami berlima, iaitu kak Naaimah dan suami, Haji Mohd Ridzwan, kak Hasnah, makcik Kamariah dan saya berjalan menuju ke Hotel Safwa. Kami berbelanja seketika sementara menunggu waktu iftar.

Mulanya saya tidak bercadang berbelanja tetapi apabila ternampak jubah, mata menjadi rambang dan teringat pula pada dua anak gadis dan ibu di tanah air. Akhirnya, belilah juga jubah dan minyak wangi.

Pada jam 6.30 petang, kami menuju ke food court untuk membeli makanan berbuka. Nasi mandy ayam, murtabak, samosa, nugut ayam menjadi pilihan selain air mineral serta jus. 

Selepas iftar seketika, kami bersolat Maghrib di dalam food court. Hakikatnya, bukan kami sahaja, ratusan jemaah turut bersolat di dalam tempat makan dan pusat beli-belah berkenaan.

Selepas itu, kami menyambung semula juadah yang belum dihabiskan. Selesai makan, kami berjalan pulang ke hotel penginapan. 

Saya meletakkan semua barang di dalam almari dan mengambil wuduk sebelum meminta diri daripada rakan sebilik untuk ke masjid bagi menunaikan solat Isyak berjemaah dan pulang pada esok pagi. Bermula hari berkenaan, saya hanya pulang ke hotel penginapan sesudah solat Subuh.

Terasa satu kepuasan dan kenikmatan apabila berada di dalam masjid, berbuka dan bersahur dengan jemaah lain.

Hotel penginapan saya tidak jauh, hanya 180 meter dari Masjidil Haram tetapi saya mahu merasakan kemanisan beribadat pada malam terakhir Ramadan di dalam masjid selain peluang berbuka dan bersahur dengan masyarakat dari negara lain.

Saya menunaikan solat Zuhur dan Asar di dalam bilik hotel penginapan dan lazimnya meninggalkan hotel di antara jam 5 hingga 5.30 petang untuk ke masjid. Persiapan saya ialah tamar, kismis, buah-buahan dan air zamzam di dalam beg galas.

Namun, ketika menuju ke masjid, ada sahaja orang yang memberi makanan, terutama roti, kek dan buah-buahan. Belum lagi tiba di perkarangan masjid, tamar dan manisan pula diberikan sebelum kaki melangkah masuk ke dalam ruang solat di dalam masjid. Suasana iftar di Makkah dan Madinah berbeza.


Di Madinah, makanan yang diberikan lebih banyak dan berat manakala di Makkah selalunya hanya roti, tamar dan makanan kering menjadi juadah iftar di dataran masjid dan di dalam masjid.

Namun, ramai jemaah yang gemar berkongsi makanan apatah lagi di kalangan masyarakat tempatan yang membawa juadah berbuka yang disediakan dari rumah.

Roti berinti telur atau kepingan daging atau ayam sering menjadi bekalan mereka.  Masyarakat tempatan juga sering membawa gahwa (kopi Arab) dan teh di dalam teko pemanas atau thermos.

Saya tidak melepaskan peluang untukmengatakan mahu jika gahwa diberikan kepada saya. Namun, bukan semua orang sesuai meminumnya kerana ada yang terasa sakit perut atau kurang senang dengan bau kopi berkenaan.

Selesai solat Isyak, solat sunat terawih 20 rakaat bermula dan selalunya akan selesai pada jam 11 malam.

Lazimnya, ramai jemaah yang akan keluar dari masjid sesudah solat terawih, mungkin ada yang pulang ke hotel penginapan dan tidak kurang juga berjalan-jalan di hotel berhampiran kerana kedai-kedai dibuka sepanjang masa. Justeru, ada yang merebut peluang berbelanja dan membeli cenderahati untuk dibawa pulang ke tanah air.

Saya pula tidak suka keluar dari masjid selepas solat terawih tetapi menggunakan masa itu untuk mengaji dan melelapkan mata seketika. Pada jam 12.45 tengah malam, qiamulail bermula. Dua belas rakaat solat sunat, termasuk tahajud dan witir tiga rakaat berakhir pada jam 2.15 pagi. 

Lazimnya, pada ketika itu, jumlah jemaah yang bersolat cukup ramai berbanding ketika solat sunat terawih. Selesai qiamulail, ramai yang meninggalkan masjid untuk seketika kerana mencari juadah bersahur. 

Begitu juga saya. Usai qiamulail, saya berjalan ke food court di dalam hotel.  Kadangkala saya membeli roti sandwic atau burger dan adakala nasi menjadi pilihan.

Selalunya, saya makan di kaki lima food court bersama-sama jemaah wanita dari negara lain. Melihatkan saya sendirian, mereka dengan murah hati memberi saya ruang untuk duduk bersama-sama mereka.

Malah, kadangkala ada yang memberi makanan kepada saya dan adakala saya turut berkongsi makanan yang dibeli dengan mereka. Pengalaman bersahur dan berbuka bersama-sama mereka tidak dapat saya lupakan.

Kadangkala sesekali terasa terharu dengan setiap pemberian dan silaturahim yang terjalin walaupun hanya seketika. Setelah bersahur, saya masuk semula ke dalam masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.

Jika laluan ke dalam masjid sudah ditutup, saya bersolat di dataran masjid atau di dalam kompleks beli-belah berhampiran masjid seperti Abraj Al-Bait. Azan Subuh berkumandang pada jam 4.10 pagi dan selalunya sebelum jam 5 pagi, solat Subuh selesai disempurnakan.

Bagaimanapun, saya tidak bergegas pulang. Selalunya saya balik ke hotel penginapan pada kira-kira jam 8 pagi. 

Ikuti catatan saya menerusi ruangan ini minggu depan, insha Allah.

Tags / Kata Kunci: Ramadan , Tanah Suci Makkah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan