Kaabah Cantik & Indah

Diterbitkan: Khamis, 28 Julai 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Saya dan lapan lagi jemaah umrah akhir Ramadan tiba di Tanah Suci Makkah pada pukul 2 petang selepas menempuhi perjalanan hampir lima jam dengan coaster yang dipandu oleh Abu Fuaad dari kota Madinah Munawwarah.

Alhamdulillah, perjalanan dimulakan pada jam 9.30 pagi waktu tempatan terasa singkat dan tidak meletihkan walaupun berpuasa. Sejurus tiba di kawasan Ajyad, saya lihat banyak kenderaan keluar masuk menuju Masjidil Haram.

Justeru, kenderaan kami tidak dapat berhenti di depan hotel penginapan iaitu Retaj Safwah yang terletak berhampiran hotel Le Meridien kerana dikhuatiri mengambil masa kira-kira satu jam jika mahu membuat pusingan U. Jadi, kami perlu melintasi jalan utama untuk membolehkan kami ke hotel penginapan.

Bagasi besar dibawa oleh kakitangan hotel Retaj Safwa dari dalam coaster untuk melintasi Ajyad Street. Sejurus kunci bilik hotel diserahkan, saya dan dua lagi rakan sebilik iaitu makcik Kamariah dan kak Hasnah masuk ke bilik dan berehat.

Ketua rombongan, Haji Mohd Ridzwan Abdullah yang juga Pengarah Urusan TM Tours & Travel memaklumkan bahawa hidangan buka puasa dan bersahur boleh dinikmati di hotel Saraya Ajyad yang terletak berhampiran hotel penginapan kami.

Beliau juga memaklumkan bahawa sesudah iftar dan solat Maghrib, rukun umrah seterusnya iaitu tawaf, saie dan tahalul boleh disempurnakan. Oleh sebab kami dalam kumpulan kecil dan pernah menunaikan umrah, semua berhasrat untuk mengerajakannya mengikut masa masing-masing.

Ada yang mula menyempurnakan rukun umrah sejurus solat Asar manakala kak Hasnah, makcik Kamariah dan saya pula bercadang selepas solat Isyak. Begitu juga dengan Haji Mohd Ridzwan dan isteri, Hajah Naaimah Abdullah, yang juga Pengarah TM Tours & Travel.

Justeru, sesudah iftar dan solat Mahgrib, kami bersiap sedia untuk menuju ke Masjidil Haram. Cukup ramai ketika itu biarpun azan Isyak belum berkumandang tetapi ribuan jemaah tidak berganjak keluar dari dalam masjid.

Azan Isyak dilaungkan selepas dua jam azan Maghrib berkumandang dan ini sekali gus membolehkan jemaah berehat seketika selepas iftar. Namun begitu, bukan semua jemaah keluar dari kawasan dalam masjid kerana ramai yang iktikaf, menyempurnakan umrah dan bertawaf sunat.

Sejurus tiba di perkarangan Masjidil Haram, Haji Mohd Ridzwan, kak Naaimah, kak Hasnah dan saya tidak berpeluang masuk ke dalam masjid kerana semua laluan ditutup dengan penghadang merah dan hijau. Makcik Kamariah tidak mengikut kami kerana beliau berkerusi roda dan mengupah orang untuk menolaknya.

Akhirnya, kami bersolat di perkarangan masjid iaitu di hadapan pintu masuk Ismael, yang terletak bersebelahan pintu Ajyad dan berhampiran pintu King Abdul Aziz. Sejurus solat fardu Isyak diikuti solat jenazah dan selepas itu kami mula bergerak masuk ke dalam masjid.

Dari pintu masuk Ismael, Kaabah dapat dilihat dari luar. Kami menunggu peluang untuk masuk ke dalam masjid dengan sabar. Pada masa yang sama, terlihat enam jenazah dibawa oleh tiga buggy. Setiap buggy ditempatkan dua jenazah.

Sejurus penghadang hijau dibuka, Haji Mohd Ridzwan, kak Naaimah, kak Hasnah dan saya mula berjalan menuju ke dalam masjid. Namun, saya terus mengambil gambar jenazah yang dibawa oleh buggy sehingga tiba-tiba tidak sedar Haji Mohd Ridzwan dan kak Naaimah hilang dari pandangan. Hanya kak Hasnah yang ada bersama-sama saya ketika itu.

“Mana kak Naaimah dan haji ye kak?” tanya saya pada kak Hasnah.

“Dah tak nampak mereka…” ujar kak Hasnah.

“Tu lah, Ana ni pula leka ambil gambar tadi. Sampai tak perasan mereka,” balas saya pula.

“Kak pun tak nampak mereka. Tiba-tiba saja dah tak ada,” ujar kak Hasnah lagi, yang juga adik kepada kak Naaimah.

“Tak mengapalah, insha Allah kita berdua sama-sama tawaf dan saie,” balas saya lagi.

Kami terus memasuki masjid dan turun ke dataran Kaabah dengan eskelator. Sejurus tiba di dataran Kaabah, saya dapati tidaklah begitu ramai jemaah yang bertawaf. Alhamdulillah.

Sejurus solat Isyak, solat sunat terawih dimulakan. Justeru, ketika kami bertawaf, sebahagian besar jemaah di dalam masjid sedang menunaikan solat terawih.

“Sungguh mendamaikan…” detik hati kecil saya tatkala mula tawaf. 

Saya lihat Kaabah semakin cantik dan indah. Terasa Kaabah yang saya lihat pada malam itu paling cantik berbanding pada setiap kunjungan saya sebelum ini. Alhamdulillah. Surah Yassin yang dibaca oleh imam pada malam itu ketika solat terawih turut diikuti oleh mereka yang sedang bertawaf, termasuklah saya.

Hati saya cukup sayu ketika itu. Suasana hening menyelubungi diri. Semua yang bertawaf tampak tenang. Doa dan terus berdoa sehingga selesai setiap pusingan. Terasa sangat rindu pada Baitullah yang kali terakhir saya temui ketika kunjungan pada Disember 2015.

Dalam masa 45 minit, saya dan kak Hasnah selesai tawaf tujuh pusingan. Setelah itu, kami menunaikan solat sunat tawaf dan minum air zamzam seketika sebelum memulakan saie umrah.

Pada saie pusingan pertama, kedua dan ketiga, tidak ramai jemaah umrah tetapi masuk pusingan keempat hingga ketujuh, berduyun-duyun jemaah membanjiri kawasan Safa dan Marwah.

“Semakin malam, bertambah ramai orang saie ye kak,” ujar saya pada kak Hasnah di sebelah.

“Yelah. Ramai sungguh. Tadi tak ramai sangat,” balas kak Hasnah.

Selesai pusingan keenam, saya terlihat Prof Datuk Dr Mat Saat Baki dan menyapa beliau yang ketika itu turut bersaie bersama-sama isteri.

“Datuk…apa khabar?” tanya saya.

“Alhamdulillah,” balas beliau.

“Bila Datuk sampai sini?” tanya saya.

“Baru sampai tadi. Sebelum ini di Madinah,” balas beliau.

“Duduk di mana?” tanya saya lagi.

“Di sekitar Ajyad tapi entah apa nama hotel tu. Tak ingat saya,” balas beliau sambil tersenyum.

“Ok Datuk. InsyaAllah jumpa lagi,” ujar saya.

Alhamdulillah, hampir jam 12 malam, kami selesai saie dan tahalul. Melihatkan orang semakin ramai dan tubuh bertambah letih manakala mata mula mengantuk, kak Hasnah dan saya mengambil keputusan untuk pulang terus ke hotel penginapan.

Berjalanlah kami berdua menuju jalan pulang ke hotel penginapan yang terletak kira-kira 180 meter dari masjid. Sejurus tiba di dalam bilik di paras tiga, kami melelapkan mata seketika dan perlu bangun sahur pada jam 2.30 pagi.

Saya turun dulu dan menuju ke hotel Saraya Ajyad untuk bersahur. Sejurus tiba di dewan makan, saya ternampak Dr Mat Saat sedang makan sendirian lalu saya menghampirinya.

“Pinggan datin ke ni Dato? tanya saya.

“Bukan. Dia tak turun. Sahur dalam bilik saja,” balas beliau tersenyum.

“Oh ok. Boleh saya duduk sini?” tanya saya lagi.

“Duduklah. Tak ada orang,” balas beliau pula.

Kami bersembang. Dr Mat Saat pernah menjadi kolumnis majalah Aniqah, yang ketika itu saya adalah sebagai Editor majalah berkenaan.

Tidak lama selepas itu kelihatan kak Hasnah dan makcik Kamariah. Selesai makan, Haji Mohd Ridzwan dan kak Naaimah pula muncul.

“Macam mana Ana dan Hasnah boleh tak ada tiba-tiba semalam?” tanya kak Naaimah.

“Entahlah, tiba-tiba sahaja Ana tengok kak dan Haji dah tak ada,” balas saya pula.

“Kak dan Haji tunggu juga hampir setengah jam tapi tak nampak Ana dan Hasnah,” ujar beliau lagi.

“InsyaAllah semua Alhamdulillah. Kami selesai umrah dekat jam 12 malam,” balas saya pula.

Selesai bersahur, kami bergegas pula ke masjid untuk menunaikan solat Subuh yang berkumandang pada jam 4.10 pagi ketika itu.

Ikuti catatan pengalaman saya pada minggu hadapan, insyaAllah.

Tags / Kata Kunci: Masjidil Haram , Madinah , saie

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan