Hampir Terlepas Ziarah Makam Rasulullah, Raudah

Diterbitkan: Khamis, 21 Julai 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Minggu lalu saya bercerita mengenai kemeriahan bersahur dan iftar di Masjid Nabawi serta kawasan di dataran masjid berkenaan. Bagaimana pula dengan aktiviti ziarah ketika akhir Ramadan?

Bagi mereka yang bercadang untuk menunaikan umrahpada akhir Ramadan, wajar sekali mengikuti pengalaman yang saya coretkan ini.

Lazimnya, setelah tiba di Madinah, jemaah akan merebut peluang menziarahi makam Rasulullah S.A.W dan memasuki Raudah. Bagi jemaah wanita, waktu yang ditetapkan adalah dari jam 7 pagi hingga 11 pagi, di antara 1 tengah hari dan 3 petang serta dari 9 malam hingga 12 tengah malam.

Bagaimanapun, ketika berkunjung ke Tanah Suci itu baru-baru ini, jadual menziarahi makam baginda Rasul dan Raudah sedikit berbeza apatah lagi kehadiran saya adalah pada akhir Ramadan, yang mana selepas solat Isyak, semua tertumpu untuk berterawih dan seterusnya berqiamulail.

Usaha saya untuk menziarahi makam dan Raudah tidak kesampaian selepas menunaikan solat Zuhur pada 25 Jun 2016 kira-kira jam 1.30 tengah hari kerana terlewat beberapa minit dan penghadang kayu yang dibuka untuk laluan ke makam dan Raudah sudahpun ditutup sejurus saya tiba.

Bukan saya sendirian yang terlepas tetapi ratusan jemaah wanita yang lain turut mengalami nasib yang sama. Semua hampa dan kami hanya berdiri mengintai di celah-celah penghadang ukiran kayu yang tertutup rapat.

Tiada rezeki kami. Detik hati saya setelah dimaklumkan oleh seorang daripada jemaah dari Pakistan. Namun, saya kurang yakin lalu bertanya dengan pekerja wanita warga Indonesia di dalam Masjid Nabawi yang sedang menyusun al-Quran.

“Jam berapa boleh ke makam dan Raudah? Waktu sudah ditukar ke?” tanya saya.

“Untuk ziarah hanya pada waktu pagi dan tengah hari saja,” jawab beliau.

“Tapi sekarang sudah tutup walau baru setengah jam selesai solat Zuhur,” ujar saya lagi.

“Jika mahu ke makam dan Raudah, perlu cepat . Selesai solat Subuh dan Zuhur, teruslah berkumpulan kerana penghadang kayu kadangkala dibuka terus selepas waktu itu,” balas beliau lagi.

“Terima kasih ya…” ucap saya.

Penulis bersama mutawif, Fitri di Masjid Quba'.

Terfikir seketika adakah rezeki saya untuk menziarahi makam Rasulullah dan Raudah kerana esoknya, pada 26 Jun, kami akan berangkat ke Makkah apatah lagi sudah dimaklumkan oleh ketua rombongan yang juga Pengarah Urusan TM Tours and Travel, Haji Mohd Ridzwan Abdullah, bahawa perjalanan ke Makkah dijadualkan pada kira-kira jam 7 pagi.

“Mana mungkin saya menziarahi makam dan Raudah esok pagi? Ya Allah, bantu aku ya Allah…” bisik hati kecil saya penuh hiba.

Saya berdoa dan memohon agar mendapat kesempatan menziarahi makam dan berdoa di Raudah. Pada masa yang sama teringat dua lagi jemaah sebilik, makcik Kamariah dan kak Hasnah yang juga belum berpeluang menziarah makam.

Kami tiba di Madinah pada 24 Jun jam 5.30 pagi bersamaan Jumaat. Justeru, kami tidak sempat untuk ziarah selepas Subuh dan sesudah waktu solat Jumaat. Jadi, satu-satunya hari untuk kami menziarahi makam baginda Rasul dan Raudah adalah pada Sabtu.

Tambahan pula, pada Sabtu jam 8 pagi kami sudah mula menziarahi tempat bersejarah seperti Masjid Quba’, Bukit Uhud, ladang dan pasar tamar serta melewati Masjid Qiblatain, sekali gus tidak membolehkan ziarah makam selepas solat Subuh.

Keadaan ini juga mendorong saya untuk menziarahi makam selepas solat Zuhur pada hari berkenaan tetapi hampa kerana penghadang kayu sudah ditutup sebelum saya tiba.

Oleh sebab tiada peluang, saya iktikaf di dalam masjid sehingga waktu berbuka puasa. Sementara menunggu berbuka, saya habiskan masa membaca al-Quran dan berzikir. Cuaca di luar sungguh terik mencecah 46 darjah Celcius tetapi di dalam masjid begitu nyaman.

Sesekali saya mengambil gambar di dalam masjid dan bergambar kenangan dengan beberapa jemaah wanita. Ketika mengaji, saya disapa oleh seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an.

“Anta iktikaf (anda iktikaf)?” tanya wanita itu.

“Naam (Ya),” jawab saya ringkas.

“Speak English? (Anda berbahasa Inggeris?)” tanya dia lagi.

“Yes...(Ya),” balas saya lagi.

“Could you please look after my things for a while? (Bolehkah anda menjaga barang-barang saya sekejap? ” dia bertanya lagi sambil menunjukkan barang-barangnya di sebelah saya .

“Yes insha Allah. Where are you going to? (Ya insha Allah. Anda hendak ke mana?)” tanya saya pula.

“Need to go out for a while to see my husband…(Hendak keluar sekejap dan bertemu suami saya),” balas beliau lagi.

Azan Asar berkumandang dan wanita berkenaan tidak juga kelihatan. Jemaah semua hendak bersolat dan perlu merapatkan saf. Saya menolak ke hadapan barang-barangnya. Selesai solat, wanita itu muncul kembali dengan tersenyum lebar dan mengucapkan terima kasih kepada saya.

Saya mengangguk dan tersenyum. Saya menyambung membaca al-Quran manakala dia pula mengeluarkan buku kecil yang dipenuhi doa. Melihatkan saprah putih mula dihamparkan di depan kami, saya bertanya nama wanita itu dan dari negara mana.

Sarah namanya dan dari Hyderabad. Dia mengikut suaminya yang mula bertugas di Al-Qasim, yang terletak kira-kira 360 km dari Madinah hampir setahun lalu. Kedua-duanya adalah doktor dan sudah berkahwin hampir lima tahun tetapi belum dikurniakan cahaya mata.

Tatkala menghampiri waktu berbuka, dia memohon saya mendoakannya agar dapat menimang anak. Saya lihat Sarah begitu khusyuk berdoa menadah tangan dengan linangan air mata. Setelah iftar dan bersolat, saya bersalam serta memeluk Sarah sebelum meninggalkan masjid.

Saya berjalan menuju ke hotel untuk makan malam dan sejurus tiba di dewan makan bertemu Haji Mohd Ridzwan dan isteri, Hajah Naaimah Abdullah dan beberapa rakan jemaah lain. Selesai makan, saya masuk semula ke dalam masjid untuk bersolat Isyak dan seterusnya solat terawih.

Selesai solat terawih, saya kembali semula ke hotel tetapi sempat minum kopi di ruang lobi sebelum naik ke dalam bilik. Kira-kira jam 12 malam waktu tempatan, Haji Mohd Ridzwan menghantar whatsapp di dalam grup umrah akhir Ramadan dan mengatakan perjalanan ke Makkah ditunda hingga jam 8.30 pagi bagi membolehkan pemandu coaster, Abu Fuaad tidur secukupnya.

Gembira bukan kepalang dan saya mengucapkan Alhamdulillah atas maklumat terkini itu kerana mula memikirkan peluang menziarahi makam serta Raudah pada esok pagi sesudah Subuh.

“Kak, makcik, esok bolehlah kita pergi ziarah makam Rasulullah dan Raudah,” ujar saya pada kak Hasnah dan makcik Kamariah.

“Makcik memang nak pergi. Sempat ke?” tanya makcik Kamariah, yang berusia 73 tahun.

“InsyaAllah sempat. Syaratnya kita solat di pintu 25. Jadi tak ambil masa untuk kita berjalan dari pintu 17 ke pintu 25,” ujar saya penuh yakin.

Justeru, pada pagi itu sejurus solat Subuh, kak Hasnah, makcik Kamariah dan saya menziarahi makam baginda Rasul dan Raudah. Kami tidak mempunyai banyak masa. Penghadang kayu hanya dibuka pada jam 6.30 pagi dan berpusu-pusu jemaah menyerbu masuk sejurus ia dibuka.

Sekatan kedua untuk masuk ke makam perlu juga ditempuhi tetapi Alhamdulillah tidak lama kerana melihatkan sudah jam 7.00 pagi, kami menyerbu masuk menghampiri makam Rasulullah dan seterusnya ke Raudah.

Kami bertiga saling berpaut dan mencari tempat sesuai untuk solat di Raudah setelah memberi salam kepada Rasulullah dan sahabat. Asakan dan serbuan jemaah dari negara lain menyebabkan kesukaran untuk bersolat sunat di Raudah. Saya sekadar berdoa tetapi bersolat di tempat lain.

Alhamdulillah, segala-galanya selesai dalam tempoh setengah jam. Kami perlu bergegas pulang kerana perlu bersiap untuk mandi sunat ihram sebelum berangkat ke Bir ‘Ali untuk bersolat sunat ihram dan melafazkan niat umrah di miqat berkenaan.

Saya terpaksa meninggalkan makcik Kamariah dan kak Hasnah pulang berdua kerana bergegas pulang untuk mandi terlebih dahulu. Jam 8.30 pagi kami sudah berada di lobi dengan bagasi menunggu kedatangan Abu Fuaad.

Kami menuju ke masjid Bir ‘Ali pada kira-kira jam 9 pagi. Sejurus tiba di masjid berkenaan, kami bersolat sunat. Lengang dan selesa bersolat ketika itu kerana tidak ramai jemaah. Lazimnya sebahagian besar jemaah umrah meninggalkan kota Madinah selepas solat Zuhur. Tidak sampai setengah jam di situ, kami berangkat ke Makkah.

Perjalanan lancar dan selesa. Kami tiba di kota Makkah pada jam 2 petang waktu tempatan. Ikuti catatan seterusnya pada minggu hadapan, insyaAllah.


Tags / Kata Kunci: Masjid Nabawi , Raudah , Ramadan , Bukit Uhud

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan