Kemeriahan Sahur Dan Iftar Di Madinah

Diterbitkan: Khamis, 14 Julai 2016 6:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Minggu lalu saya bercerita mengenai pengalaman rebah di terminal haji dan banyak maklum balas daripada kawan-kawan yang diperoleh setelah saya berkongsi catatan pengalaman saya itu di Facebook sejurus disiarkan di mStar online.

Dalam kesibukan berhari raya dan berkunjung ke rumah saudara mara, sahabat handai serta kenalan, saya tidak melepaskan peluang untuk berkongsi pengalaman berpuasa pada akhir Ramadan. Saya terasa kewajaran menceritakanpengalaman itu kerana ia kenangan paling manis untuk saya sepanjang menunaikan ibadat umrah.

Alhamdulillah, Allah SWT sering mengundang saya ke Baitullah dan umrah terindah dan paling manis buat saya adalah dalam kunjungan baru-baru ini, iaitu pada 10 malam terakhir Ramadan. Tidak dapat saya lupakan selagi hayat dikandung badan.

Mulanya saya bercadang untuk menunaikan umrah pada awal Ramadan iaitu pada 6 Jun baru-baru ini tetapi rezeki tidak menyebelahi saya apabila eksekutif umrah, TM Tours and Travel, Norhaita Abdul Halim menyatakan tiada bilik yang kosong walaupun ketika itu masih ada satu lagi tiket penerbangan.

Saya merayu juga pada mulanya agar Norhaita mencari bilik dan saya sanggup berkongsi dengan jemaah dari agensi pengendali umrah yang lain tetapi memang bukan rezeki saya untuk pergi pada tarikh berkenaan. Saya akur.

Bagaimanapun, Pengarah TM Tours and Travel, Hajah Naaimah Abdullah, mempelawa saya mengerjakan ibadat umrah pada akhir Ramadan setelah mendapati tiada kekosongan untuk saya bersama-sama jemaah umrah pada 6 Jun.

“Ana pernah pergi umrah akhir Ramadan?” tanya Hajah Naaimah.

“Belum. Tapi Ana pernah sambut Ramadan di Makkah pada 2005 bersama-sama keluarga,” balas saya spontan.

“Kalau macam tu, jom pergi umrah akhir Ramadan. Seronok. Percayalah cakap akak. Ramai orang yang dah pernah pergi umrah akhir Ramadan, tak nak dah pergi umrah pada bulan-bulan lain,” cerita Hajah Naaimah bersungguh.

“Oh ye ke? Pernah dengar orang cerita tapi tak bolehlah nak bayangkan macam mana,” balas saya lagi.

“Jomlah, kita pergi sekali. Memang seronok berpuasa pada akhir Ramadan. Meriah sungguh berpuasa di Tanah Suci,” katanya lagi.

“Mahal sangatlah kak. Tak mampu Ana,” balas saya lagi.

“Jangan fikir pasal harga sangat. Pergilah. Macam-macam pengalaman nanti,” ujar Hajah Naaimah tanpa putus asa.

“Insha Allah…,” balas saya sambil tersenyum.

Saya menghantar whatsapp kepada suami yang ketika itu ada di Sarawak dan beliau izinkan. Pulang ke rumah, saya maklumkan pula pada ibu dan beliau gembira jika saya menunaikan umrah pada akhir Ramadan namun dua anak gadis saya tidak bersetuju kerana bimbang saya tidak pulang pada hari raya.

Namun, saya yakinkan kepada mereka bahawa saya akan pulang sebelum Aidilfitri tambahan pula, pakej yang dipilih adalah 12 hari 10 malam bermula dari 23 Jun hingga 4 Julai. Jadi sudah semestinya saya pulang sebelum berhari raya pada 6 Julai 2016.

Bagaimanapun, ada juga syarat lain yang ditetapkan dua anak gadis saya iaitu saya perlu membuat biskut raya sebelum berangkat mengerjakan ibadat umrah.

Alhamdulillah, saya tunaikan permintaan mereka dan sebelum berangkat saya menyiapkan enam jenis biskut raya dengan bantuan mereka.

Setelah selesai urusan visa dan tiba waktu dinantikan, berangkatlah saya ke Tanah Suci menerusi pesawat Saudi Airlines pada jam 3.30 petang bersama-sama lapan lagi jemaah lain, termasuk Hajah Naaimah dan suami Haji Mohd Ridzwan Abdullah.

Perjalanan lancar dan rezeki kami kerana pesawat yang seharusnya memuatkan hampir 400 penumpang hanya diisi oleh 80 penumpang sahaja. Jadi, dapatlah kami duduk, baring dan tidur dengan selesa sepanjang perjalanan hampir sembilan jam ke Jeddah.

Penulis (kiri) bersama rakan.

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah pada jam 6.15 petang waktu tempatan. Suasana di imigresen ketika itu padat dengan sebahagian besar adalah jemaah umrah dari negara Teluk.

Mulanya kami beratur tetapi apabila hampir tiba waktu berbuka puasa, Hajah Naaimah keluar dari barisan dan mengajak berbuka terlebih dulu di kawasan berhampiran. Selesai berbuka, kami beratur semula untuk urusan imigresen.

Setelah hampir lima jam di terminal lapangan terbang, tujuh jemaah berangkat ke Madinah menaiki sebuah coaster manakala dua lagi jemaah memasuki kota Makkah. Saya ke Madinah. Perjalanan lancar sehingga kami singgah di kawasan rehat Mukhlafee pada jam 2.15 pagi waktu tempatan.

Suasana riuh rendah waktu bersahur mencuit hati saya. Seronok memerhatikan gelagat setiap pengunjung kawasan rehat berkenaan. Mereka memesan makanan dan minuman serta makan bersama-sama dengan penuh keriangan.

Sebahagian besar tentunya jemaah umrah tetapi sukar melihat jemaah dari nusantara kerana yang jelas kelihatan adalah dari negara seperti  Turki, India, Pakistan dan Bangladesh. Hanya segelintir dari Indonesia dan Malaysia.

Haji Mohd Ridzwan membeli nasi mandy ayam dan ikan satu dulang. Kami makan bersama-sama di atas saprah yang diberikan. Selesai bersahur, kami meneruskan lagi perjalanan yang masih berbaki lagi 150 kilometer ke Madinah.

Alhamdulillah, kami berhenti sekali lagi untuk bersolat Subuh yang masuk waktu pada jam 4.10 pagi dan akhirnya tiba di Madinah pada jam 5.30 pagi waktu tempatan. Setelah segala urusan daftar masuk di Hotel Gawharat Fayros selesai, kami berehat sementara menunggu waktu solat Jumaat.

Cuaca di Madinah panas terik tetapi sesekali berangin. Keletihan berpuasa tidak begitu dirasakan. Bazaar di sekitar hotel beroperasi seperti biasa namun agak lengang sebelum waktu solat Jumaat. Hanya setelah solat Asar, kemeriahan mula terasa.

Agihan makanan dan minuman di depan hotel dan laluan menuju ke Masjid Nabawi bermula sebelum jemaah bersiap sedia untuk iftar. Usai solat Asar, makanan siap dipek, jus, air mineral dan berkotak mula diagih-agihkan. Kanvas biru dihamparkan di dataran Masjid Nabawi manakala saprah plastik putih diletakkan di atas kanvas sebagai persiapan berbuka puasa.

Anak-anak muda lelaki berkulit sawo matang berganding bahu menggalas tugasan yang ditetapkan. Pantas menghamparkan kanvas dan saprah.

Hari pertama di Madinah, saya melalui pengalaman berbuka puasa di dataran Masjid Nabawi bersama-sama Hajah Naaimah, Hajah Hasnah dan Hajah Kamariah. Ketika menuju ke masjid, anak-anak muda memberi kami makanan, minuman dan tamar.

Tiba di dataran Masjid Nabawi dan sejurus duduk di atas kanvas, makanan dan minuman diletakkan satu persatu di depan kami. Jus, laban, air mineral, tamar, kopi Arab atau gahwa dan roti antara yang diberikan.

Sementara menunggu waktu azan Maghrib berkumandang, saya memerhatikan setiap jemaah yang khusyuk mengaji dan berdoa sebelum iftar. Sukar melihat mereka berbual kosong. Sebahagian besar menadah tangan berdoa, berzikir dengan tasbih atau memegang al-Quran atau buku doa.

Sejurus azan dilaungkan oleh muazin, semua menikmati hidangan tetapi hanya 10 minit sahaja kerana selepas itu, anak-anak muda akan meminta kami bergegas menunaikan solat Maghrib. Lima minit kemudian, laungan qamat pula kedengaran sekali gus menandakan solat Maghrib berjemaah akan bermula.

Kepantasan mereka berkemas dan memastikan kami semua solat berjemaah amat saya kagumi.  Mereka bersungguh-sungguh meminta semua berhenti makan dan bersolat.

Lain pula jika berbuka puasa di dalam Masjid Nabawi kerana di dalam masjid, kami hanya makan roti dan bukan hidangan berat seperti nasi mandy atau nasi beriani.

Di dalam masjid, saprah putih akan dibentangkan di depan setiap jemaah dan selepas itu, minuman panas seperti gahwa dan teh akan diberi. Roti atau sandwich turut diberikan untuk mengalas perut. Namun, bagi saya, itu pun sudah cukup mengenyangkan kerana pelbagai jenis tamar disediakan selain manisan yang diberikan oleh jemaah dari negara lain.

Solat Isyak akan hanya berkumandang dua jam selepas waktu Maghrib. Justeru, jemaah mempunyai waktu secukupnya untuk menikmati hidangan di hotel penginapan dan kembali semula ke masjid untuk  bersolat Isyak serta terawih.

Ikuti catatan lanjut saya minggu hadapan, insha Allah.

 

Tags / Kata Kunci: Madinah , Umrah , Ramadan

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan