Khidmat Dobi Di Kota Suci

Diterbitkan: Khamis, 30 Jun 2016 7:30 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Perkhidmatan dobi di Tanah Suci banyak membantu jemaah umrah dan haji, manakan tidak, tanpa perkhidmatan itu, sudah tentu kita bakal membawa pulang selonggok pakaian tidak bercuci.

Tanpa khidmat dobi juga, kita terpaksa membawa banyak pakaian kerana lazimnya pakej umrah adalah di antara 9 hingga 14 hari. Justeru, khidmat mencuci pakaian amat diharapkan dan diperlukan oleh hampir setiap jemaah.

Jika suatu ketika dahulu, jemaah lebih gemar membasuh pakaian sendiri kerana kemudahan menjemur dan menggantung pakaian mudah didapati di dalam kamar hotel tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini sukar menjemur pakaian di dalam bilik.

Ini kerana, di dalam bilik yang serba moden, terutama di Madinah, sukar untuk kita mendapatkan tempat sesuai yang boleh menjemur pakaian kecuali terpaksa menyidainya di dalam bilik air. Bagi mereka yang tidak cerewet, sudah semestinya ini tidak menimbulkan masalah.

Lazimnya, pakaian dalam dan kecil bolehlah disidai di dalam bilik air tetapi jika membabitkan jubah, kurta, kain pelikat, kain batik sarung dan ihram, sudah tentu menimbulkan masalah serta kesulitan untuk menjemur.

Di Makkah, bilik yang kecil dan ruang yang terhad menyebabkan pakaian yang sudah dicuci tidak sesuai untuk digantung di dalam bilik. Jika ada tempat pun untuk menyidai pakaian, adalah di antara rel langsir. Namun, bukan semua bilik membolehkan jemaah berbuat demikian kerana ada juga bilik di Makkah tidak bertingkap dan berlangsir.

Keadaan sekarang jauh berbeza. Sebahagian besar hotel tidak lagi menyediakan kemudahan menjemur pakaian dan sekali gus menuntut jemaah untuk mendapatkan khidmat dobi di sekitar Tanah Suci.

Paling beruntung jika hotel dihuni untuk beberapa hari menyediakan mesin basuh, sekurang-kurangnya bolehlah jemaah mencuci pakaian sejurus tiba di hotel berkenaan. Ketika menunaikan umrah pada 2014 bersama-sama sekumpulan rakan media, kami menginap di Hotel Majidee di Madinah.

Hotel yang terletak di barisan pertama dari perkarangan Masjid Nabawi itu menyediakan mesin basuh di ruang pantri. Selain mesin basuh, ruang pantri turut menyediakan peti sejuk besar dan ketuhar.

Alhamdulillah, rezeki saya dan tiga lagi jemaah wanita lain yang turut berkongsi bilik di Hotel Majidee. Menyedari ada kemudahan mesin basuh, saya dan rakan jemaah tidak lepaskan peluang untuk mencuci pakaian sejurus kami pulang dari menunaikan solat fardu Subuh berjemaah di Masjid Nabawi.

Saya mencuci pakaian saya dan suami manakala jemaah lain juga berbuat demikian selepas saya menjemur jubah saya dan pakaian suami. Kami jemur pakaian itu di ruang pantri yang agak luas.

Namun, setelah pakaian kering, kami memerlukan seterika pula kerana pakaian yang sudah dicuci agak ronyok dan tidak sesuai jika dipakai terus. Oleh sebab tiada seterika di hotel berkenaan, saya mengambil keputusan untuk melipat saja jubah saya dan mendapatkan khidmat dobi khusus untuk seterika jubah apabila tiba di kota Makkah.

Suatu ketika dahulu, ketika mula ke Tanah Suci pada tahun 2000, saya lebih sering memcuci pakaian sendiri dan menggantungnya di pantri, sekitar bilik dengan mengikat tali rafiah atau di tingkat atas hotel yang kadangkala menyediakan tempat menyidai pakaian.

Tidak dinafikan, mencuci pakaian di Tanah Suci bukan menjadi masalah kerana baldi dan sabun mudah didapati. Malah, sabun serbuk hanya bernilai SR1 sahaja namun kesulitan ketika ini ialah tempat menyidai pakaian.

Kadangkala rimas juga melihat pakaian bergantungan di dalam bilik ataupun bilik air dan bukan semua jemaah selesa dengan keadaan seumpama itu. Bimbang juga gara-gara mencuci pakaian dan menjemur pakaian, jemaah boleh bermasam muka.

Faktor penyumbang seumpama ini perlulah dielakkan kerana sudah tentu kita berkongsi bilik untuk tempoh 10 malam bersama-sama rakan jemaah lain. Justeru, berusahalah untuk mengelakkan keadaan berkenaan.

Masalah ketidakpuasan hati rakan jemaah sebilik ini mungkin dapat dielakkan jika kita berkongsi bilik dengan ahli keluarga sendiri, yang lazimnya, lebih memahami, InsyaAllah.

Teringat saya ketika mahu menunaikan ibadat haji kira-kira 16 tahun lalu, kakak ipar berpesan agar banyak bersabar dengan karenah jemaah yang satu bilik dan tidak kita kenali.

“Jemaah ada macam-macam perangai. Ana kena sabar. Kadang-kadang kita dah basuh baju dan baju hampir kering, tapi tiba-tiba ada jemaah meletakkan bajunya yang baru dicuci berdekatan dengan baju kita atau menghempapkannya di baju kita, sudah tentu baju yang kita hampir kering menjadi lembap semula,” ujar kak Fuzi.

“Oh ye ke? Ada juga yang macam itu ye? Terima kasih kak bagitahu Ana. Mudah-mudahan tak jadi pada Ana masa di sana nanti,” balas saya. 

Alhamdulillah, saya tidak pula berdepan dengan situasi sebegitu walaupun berkongsi bilik dengan 13 lagi jemaah lain pada waktu itu kerana kami terus menjemur pakaian di pantri yang lengkap dengan kabinet dapur dan sinki.

Pernah juga rezeki saya sekeluarga yang ditempatkan di paras sembilan sebuah hotel di Makkah mempunyai kemudahan mesin basuh pakaian dan secara kebetulan tempat menjemur pakaian di aras 10.

Ketika itu saya memikul tanggungjawab sebagai petugas umrah di sebuah agensi pengendali umrah di tanah air dan hampir setiap hari suami akan mencuci pakaian apatah lagi mesin basuh terletak di depan bilik hotel kami ketika itu.

Selesai mencuci, suami terus menjemur pakaian di paras 10. Cuaca panas kering di Arab Saudi menyebabkan pakaian kering dalam masa satu jam sahaja. Disebabkan kemudahan itu, tidak banyak pakaian belum bercuci perlu dibawa pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, perubahan semasa dan keadaan di hotel ketika ini menyebabkan saya lebih sering menghantar jubah ke dobi bagi melancarkan lagi segala urusan ibadat dan tugas yang perlu digalas, terutama apabila membawa rombongan jemaah umrah dan haji.

Tidak sukar mencari khidmat dobi di Tanah Suci. Jika di Madinah, khidmat dobi ada tertulis di dewan makan malah ada juga kakitangan hotel yang akan bertanya sama ada jemaah memerlukan khidmat mencuci pakaian atau tidak.

Lazimnya, saya mendapatkan khidmat dobi di Madinah satu kali dan jubah yang perlu dicuci pun hanya dua helai. Harga berbeza mengikut tempat dan jubah. Jika di Madinah, upah mencuci pakaian lebih murah kerana untuk sehelai jubah hanya dikira SR5 tidak kiralah sama ada jubah itu bermanik atau polos.

Bagaimanapun, di Makkah, harga upah mencuci pakaian lebih tinggi kerana sehelai jubah bermanik boleh mencecah sehingga SR10. Saya selesa mendapatkan khidmat dobi kerana pakaian siap dicuci dan digosok.

Ramai jemaah yang rajin bertanya adakah perlu mencuci pakaian di Tanah Suci dan jawapan saya ringkas saja, cuci saja di dobi kerana mudah, cepat dan bersih. Sebagai contoh, jika pakaian dihantar selepas solat Subuh, insyaAllah, setelah solat Isyak kita akan dapat semula pakaian itu atau paling lewat, pada hari esok selepas solat Subuh.

Jadi, usah gusar untuk mendapatkan khidmat dobi di Tanah Suci kerana ia mudah ditemui. Peruntukkan sedikit wang untuk khidmat dobi ketika menjadi tetamu Allah SWT untuk membolehkan anda memberi sepenuh tumpuan serta perhatian kepada amal ibadat di kota suci.

InsyaAllah bersambung minggu hadapan. Selamat Hari Raya dan maaf zahir batin.

Tags / Kata Kunci: dobi , Makkah , Hotel Majidee

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan