Hilang Selipar Salah Siapa?

Diterbitkan: Khamis, 16 Jun 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Selipar atau kasut hilang sering kita dengar berlaku di kalangan jemaah umrah lelaki ataupun perempuan. Namun, rungutan jarang sekali kita dengar daripada mereka yang kehilangan selipar atau kasut, seolah-olah redha dengan apa yang berlaku apatah lagi di Tanah Suci.

Alhamdulillah, saya belum pernah kehilangan kasut yang dibawa. Lazimnya, itulah kasut yang saya bawa dari Kuala Lumpur dan itulah juga kasut yang sama saya pakai semula apabila kembali ke tanah air. Saya tidak pula membeli selipar atau kasut lain kecuali ibu membelikannya untuk saya di Tanah Suci.

Lazimnya, saya akan memastikan sandal, kasut ataupun sepatu yang dibawa dari tanah air sesuai digunakan sepanjang di Tanah Suci Madinah dan Makkah. Tidak keterlaluan dikatakan, ada jemaah yang membawa dua atau tiga pasang kasut kerana pada peringkat awal lagi sudah bimbang akan kehilangannya.

Hakikatnya, usah terlalu bimbang mengenai perkara itu. Jika ada rezeki sudah tentu setiap barang keperluan yang dibawa dari tanah air atau pemberian orang, tidak ke mana dan menjadi hak kita sahaja.

Menerusi kolum ini, ingin saya paparkan pengalaman dan kisah jemaah umrah serta haji yang kehilangan milik peribadi, terutama kasut dan kaca mata mata yang sering dipakai ketika musim panas di Tanah Suci.

Ketika kali pertama menunaikan ibadat haji, sering saya dengar jemaah pulang ke maktab atau hotel penginapan berkaki ayam, terutama jemaah lelaki tetapi mereka kelihatan tenang sahaja dan apabila ada yang menegur, jemaah terbabit hanya tertawa.

Hilang kasut tidak menjadi masalah besar kerana banyak sandal dan selipar yang boleh ditemui di sekitar bazar di Masjidil Haram atau Madinah dengan harga berpatutan serta begitu rendah. Justeru, ini tidak menjadi masalah atau kesulitan kepada jemaah untuk mendapatkan keperluan itu.

Pengalaman menunaikan ibadat haji pada tahun 2000 dengan arwah nenek tidak dapat saya lupakan. Saya sering menemani nenek ke masjid untuk solat berjemaah bersama-sama ibu saudara dan lazimnya ketika meletakkan kasut, kami letakkan di atas rak yang sama.

Pada suatu pagi sebelum azan Subuh berkumandang, saya, nenek dan ibu saudara menuju ke Masjidil Haram untuk solat berjemaah. Ketika itu kami menginap di Hotel Makkah (kini sudah dirobohkan) yang terlalu dekat dengan pintu masuk ke masjid.

Kami meletakkan di atas rak kasut kayu berwarna putih gading yang lengkap bernombor. Ini memudahkan lagi setiap jemaah untuk mengenal pasti rak yang menempatkan kasut mereka. Justeru, penting untuk kita mengingati nombor dan kedudukan rak kasut berkenaan untuk memudahkan kita untuk mengambilnya semula.

Selesai solat Subuh dan berdoa, kami menuju ke rak untuk mengambil kasut tetapi nenek terkejut apabila sandal jenama Scholl hilang di dalam beg kasut yang dibekalkan oleh agensi pengendali haji.

“Mana pula sandal nenek ni?” tanya nenek.

“Tadi kita letak di sini,” balas saya pula.

“Itulah. Macam mana boleh hilang. Ada dalam beg kasut,” ujar nenek lagi.

Pada masa yang sama, saya mencari kasut nenek di sekitar rak tetapi gagal. Ibu saudara bersuara mengatakan sandal itu sudah hilang dan mungkin ada yang tersalah ambil.

Kami pun berlalu meninggalkan masjid dan menuju ke hotel. Sebelum tiba di lobi, nenek membeli sandal di bazar berhampiran. Sesudah itu kami ke dewan makan untuk menikmati sarapan. Nenek reda dengan kehilangan itu.

Seperti biasa, kami terus berjemaah di masjid sepanjang hari itu. Esoknya, sekali lagi kami menunaikan solat Subuh bersama-sama dan tidak sangka peristiwa yang sama sekali lagi menimpa nenek.

“Letakkan sandal nenek di dalam beg Ana,” pinta nenek sejurus saya membuka uncang beg kasut saya yang dibawa dari tanah air.

Saya memasukkan kasut saya terlebih dahulu dan diikuti nenek. Selepas itu, saya mengikat uncang beg itu dan terus menuju ke ruang solat yang sebahagian besar sudah dipenuhi jemaah.

Berjalanlah kami mencari ruang solat dan selepas bersolat fardu dan jenazah, kami menuju ke tempat rak kasut. Dari kejauhan saya sudah ternampak ikatan uncang kasut saya terlerai dan tentu sekali sudah ada yang mengintai. 

Saya membuka uncang beg kasut dan yang tinggal hanya kasut saya manakala sandal baru nenek yang baru sehari dibeli hilang.

“Astaghfirullahalazim hilang lagi…” ucap nenek dengan wajah terkejut.

“Sabarlah nenek…,” pujuk saya.

“Ada orang keluarkan dari beg Ana dan ambil sandal nenek. Kasut Ana tak hilang,” ujar nenek lagi.

“Saiz kaki nenek mungkin sesuai dengan dia. Kasut Ana besar, jadi longgarlah,” balas saya sambil tertawa kecil.

“Heran sebab dia ambil sandal nenek tapi kasut Ana dia biarkan sahaja,” kata nenek seolah-olah tidak puas hati.

“Orang tu berkenaan sandal nenek. Kasut Ana biasa saja,” balas saya tersenyum.

Di bazar berhampiran Hotel Makkah, nenek sekali lagi membeli sandal sebelum singgah di dewan makan untuk bersarapan.

Lain pula cerita suami saya yang kali pertama ke Makkah pada tahun 2001 untuk menunaikan umrah dan hilang sandal ketika mahu mendirikan solat Zuhur di Masjidil Haram. Melihatkannya berkaki ayam selepas keluar dari masjid setelah menunaikan solat Zuhur berjemaah, timbul simpati kerana dia bukan sekadar kehilangan sandal malah cermin mata yang baru dibeli juga lesap.

Namun, bagi saya, kehilangan cermin mata berpunca daripada kelalaian sendiri manakala hilang sandal adalah lumrah kepada jemaah umrah mahupun haji.

“Kita dah dapat kunci bilik hotel ke?” tanya suami pada saya.

“Alhamdulillah sudah. Kenapa awak nampak lain ye?” tanya saya yang tidak perasan cermin matanya tiada.

Dia tidak menjawab pertanyaan saya.

“Eh sandal hilang ke?” tanya saya.

“Ya, waktu ambil wuduk tadi,” balas suami ringkas.

“Cermin mata pun hilang? Patutlah awak nampak lain.

“Betul. Cermin mata dan sandal hilang waktu ambil wuduk,” balasnya.

“Boleh ke awak nampak ni tanpa cermin mata?” soal saya.

“InsyaAllah boleh,” balas suami ringkas dan mengatakan dia akan meletakkan air zamzam pada mata dan tidak mahu mencari pengganti bagi kaca mata yang hilang pada masa itu.



Melihatkan ayahnya tidak berkaca mata dan berkaki ayam, anak sulung kami, Aliff, tertawa. Saya mengatakan kepadanya, usah ketawakan ayahnya tetapi dia terus tertawa. Ketika itu, Aliff berusia hampir 8 tahun.

Kami menginap di Hotel Firdaus Marwah (kini sudah tiada lagi) dan jarak ke masjid hanya 30 meter dan ini memudahkan kami ulang alik ke masjid untuk solat berjemaah walaupun ketika itu membawa dua anak kecil dan saya hamil enam bulan.

Ketika pulang dari solat Isyak, tiba-tiba suara Aliff menangis nyaring berhampiran pintu Bab As-Salam. Dia bersama-sama ayahnya manakala saya pula dengan Humaira.

“Kenapa Aliff nangis?…” detik hati kecil saya.

Sayat terlihat Aliff dan suami seolah-olah mencari sesuatu dan pasti yang dicari adalah selipar Aliff ketika itu kerana mereka berada di depan rak kasut yang tinggi.

Melihatkan dia menangis bersungguh-sungguh kerana kehilangan kasut, kami tertawa kecil walaupun tidak sampai hati untuk mentertawakannya.

Tadi Aliff ketawakan ayahkan…dahlah jangan nangis lagi. Nanti kita beli selipar baru,” pujuk saya sambil menahan tawa.

Kami lantas membawanya ke deretan bazar berhampiran kawasan Marwah dan hanya selepas membeli sandal, Aliff tertawa semula bersama-sama adiknya.

Kisah ibu saya juga mirip pengalaman yang dilalui nenek saya. Alhamdulillah, acapkali ibu saya berpeluang bersama-sama saya untuk menunaikan umrah dan setiap kali ke masjid, uncang beg kasut saya turut menempatkan sandal ibu.

Namun, pada satu hari, ibu terkejut apabila uncang beg kasut saya hanya menempatkan kasut saya sedangkan sandalnya sudah diambil.

“Macam mana boleh hilang? Kasut Ana tak hilang pada hal letak dalam satu uncang,” ujar ibu sedikit mengeluh.

“Kaki Ana ni besar. Susah nak sesuai dengan ramai orang. Kaki ibu saiz sederhana, sesuai dengan ramai orang,” balas saya.

“Nasib baik ada bawa dua kasut. Boleh gunakan lagi satu nanti,” ujar ibu.

Kami berjalan pulang ke hotel dan selang dua hari, sekali lagi ibu kehilangan sandal yang dibawa dari tanah air. Ibu hairan kerana kasut saya tidak diambil tetapi sandal beliau yang jadi sasaran.

“Mungkin orang tu tersilap ambil. Tak sengaja agaknya. Tak apalah, beli lain nanti,” ujar saya.

Berjalanlah kami ke bazar di sekitar Ajyad dan ibu membeli sandal berharga SR10. Hakikatnya, bimbang untuk mengatakan setiap sandal, kasut atau selipar yang hilang itu sengaja diambil kerana tentu sekali setiap jemaah takut untuk mengambil milik jemaah lain. Justeru, ada kemungkinan mereka tersilap uncang beg atau kerana setiap sandal adalah sama apatah lagi jika dibeli di Tanah Suci.

Bagi mereka yagn sering ke Tanah Suci pasti pernah melihat pekerja Masjidil Haram menyapu timbunan selipar, kasut dan sandal. Semua itu sudah tentu ada pemiliknya.

Ikuti catatan saya minggu depan, insyaAllah.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan