Usah Alpa Solat Ketika Bermusafir

Diterbitkan: Khamis, 9 Jun 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Selamat menyambut Ramadan kepada semua pembaca beragama Islam. Bulan penuh keberkatan yang membuka peluang kepada setiap umat Islam untuk melipatgandakan amal ibadat dan memperoleh ganjaran lumayan, insyaAllah.

Pada bulan ini juga, umat Islam berlumba-lumba untuk menunaikan solat terawih berjemaah di masjid dan surau. Selain tarawih, tentu ramai yang merebut peluang untuk mengerjakan solat sunat lain selain bertadarus al-Quran bersempena kedatangan bulan mulia ini. Semoga usaha itu berterusan.

Menyentuh mengenai ibadat solat, ingin saya paparkan kisah solat ketika bermusafir yang membabitkan jemaah umrah khususnya.

Ketua rombongan, pembimbing atau petugas umrah wajar mengingatkan jemaah agar menitikberatkan solat walaupun ketika bermusafir, hatta di dalam pesawat sekalipun. Tidak keterlaluan dikatakan segelintir jemaah alpa terhadap tanggungjawab menunaikan solat apabila di dalam pesawat walaupun baru sahaja pulang dari Tanah Suci.

Pelbagai alasan diberikan seperti tiada air di dalam tandas pesawat dan sukar untuk berwuduk di dalam kapal terbang. Semua itu alasan terlalu kecil jika dibandingkan dengan dosa yang perlu dipikul apabila meninggalkan solat.

Lazimnya, jadual pesawat dari Arab Saudi ke Malaysia adalah tengah malam atau sekitar jam 2 pagi. Jadual seumpama itu menyebabkan jemaah perlu menunaikan solat Subuh di dalam pesawat apabila tiba di destinasi tertentu yang sudahpun memasuki waktu Subuh sebelum tiba di Kuala Lumpur.

Saya puji sikap seorang petugas lelaki yang sanggup berjalan dari bahagian tengah pesawat hingga belakang yang menempatkan sebahagian besar jemaah umrah ketika itu.

“Solat Subuh ye. Solat Subuh…bangun, bangun dan bersedia untuk wuduk kerana sebentar lagi kita boleh solat Subuh,” tegas suara petugas lelaki berkeanan.

Sebahagian besar penumpang masih tidur tetapi terjaga tatkala mendengar suara petugas berusia dalam lingkungan lewat 50-an itu.

Saya tidak mengenalinya tetapi secara kebetulan ketika berangkat ke Makkah pada Disember lalu saya duduk bersebelahan dengannya. Namun, ketika perjalanan ke Tanah Suci, semua jemaah sudahpun bersolat Maghrib serta Isyak dan kami tiba Jeddah ketika tengah malam dan tidak perlu solat di dalam pesawat.

Bagaimanapun, ketika perjalanan pulang ke tanah air, semua jemaah perlu menunaikan solat Subuh dan Alhamdulillah, pesanan tegas daripada petugas berkenaan menyebabkan ramai yang tersedar.

“Bangun ye. Kita baru saja balik dari Tanah Suci. Mesti solat terus,” ujarnya lagi.

Saya melihat saja gelagat beliau berjalan pantas umpama jemaah umrah sedang bersaie. Ramai juga yang memerhati dan mula bertindak sejurus mendengar kata-kata petugas berkenaan dari sebuah agensi pengendali umrah di tanah air.

Sebagai petugas tidak pernah saya bertindak sedemikian. Sekadar mengingatkan jemaah secara perlahan agar bersedia untuk solat Subuh apabila masuk waktu.

“Hajah, macam mana nak ambil wuduk ye? Dalam tandas airnya kecil sangat dan susah nak ambil wuduk,” tanya jemaah di sebelah saya.

“Boleh ambil wuduk daripada botol je kak. Cukup ni. Akak ada bawa botol sembur tu tak?” tanya saya.

“Dah simpan dalam beg besar,” jawab jemaah itu ringkas.

“Tak mengapalah. Ana ada ni. Masih berisi air lagi. Kak boleh gunakan,” balas saya sambil mengeluarkan botol berisi air yang dibeli sebelum saya menunaikan ibadat haji pada September tahun lalu.

Tidak lama selepas itu, jemaah berkenaan pun bersolat dan usai solat, dia tidur kembali. Lazimnya, jemaah akan bertanya adakah tempat yang sesuai untuk solat dan saya katakan solat di atas kerusi pesawat sahaja sudah memadai.

Jika menaiki pesawat Saudi Airlines, ada ruang khusus untuk bersolat walaupun agak terhad dan menjadi tumpuan penumpang. Bagaimanapun, bukan semua kapal terbang menyediakan tempat khas seumpama itu.

Justeru, memadai bersolat di tempat duduk sahaja dan pastikan anda memaklumkan terlebih dahulu kepada sesiapa sahaja di sebelah bahawa anda mahu bersolat seketika.

Namun, bukan ruang khusus yang utama, bersolat lebih utama dan perlu disempurnakan segera apabila tiba waktu walau di mana saja kita berada.

Bercerita mengenai solat di atas pesawat, saya teringat kisah yang pernah saya lalui ketika mengendalikan jemaah umrah pada 2009 bersama-sama beberapa rakan petugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.

Setelah pembimbing umrah, Ustaz Roslan Jaafar mengingatkan setiap jemaah agar menunaikan solat Subuh di dalam pesawat, seorang gadis berusia awal 20-an menghampiri bapanya dan timbul perselisihan pendapat antara mereka.

Pesawat Egypt Air yang membawa sebahagian besar jemaah umrah pada waktu itu singgah di Mesir selama tujuh jam dan mereka perlu solat Subuh di dalam pesawat yang akan berangkat pada jam 2 pagi.

Ustaz Roslan sibuk melayan pelbagai pertanyaan dibangkitkan jemaah manakala ada dua beranak yang bertikam lidah mengenai solat di dalam pesawat.

Saya memerhatikan sahaja. Si anak tidak mahu kalah walaupun sudah dimaklumkan bekali-kali oleh si bapa yang kelihatan sungguh tenang menjawab setiap pertanyaan anak gadisnya.

Si ibu dan seorang lagi anak perempuan pasangan itu tidak masuk campur dan hanya memandang anak sulungnya dengan perasaan cemas.

“Kenapa kak?” tanya saya.

“Tak habis-habis lagi mereka bercakap pasal solat di dalam pesawat,” ujar si ibu.

“Anak akak tak puas hati ke dengan saranan ustaz?” tanya saya pula.

“Entahlah. Dia memang susah nak terima pandangan orang,” balas si ibu.

“Oh ye ke?” soal saya lagi.

“Selalu anak saya itu rapat dengan bapa dia. Jika ada apa-apa semua tanya bapa dia. Jadi kalau ada yang tak kena pun, selalu mereka berdua berbalah,” balas si ibu lagi.

Beliau kelihaan tertekan.

“Sabarlah kak, doa saja. Mungkin ini sebahagian daripada ujian yang perlu kakak tempuhi sebelum tunai umrah,” pinta saya.

Dengan langkah perlahan, saya menghampiri dua beranak yang kelihatan rancak berbual.

“Assalamualaikum,” ucap saya.

“Waalaikumsalam…” jawab si bapa mengalihkan pandangan pada saya tatkala rancak berbual dengan anak gadisnya.

“Kenapa Encik?” tanya saya.

“Anak saya ni tak terima dengan saranan ustaz agar solat menghormati waktu di dalam pesawat dan mengulanginya setelah tiba di destinasi.

“Kenapa dik? Ada yang tak kena ke?” tanya saya lagi.

“Dia tak boleh terima ustaz cakap pasal solat hormati waktu kerana dia ada pandangan tersendiri,” balas si bapa.

“Apa pandangan dia?” tanya saya ingin tahu.

“Dia cakap tiada solat hormati waktu. Kita mesti terus solat saja,” balas si bapa.

“Ye. Tiada solat hormati waktu. Bukan kita tak boleh wuduk dan solat. Dengan sebotol air ni pun dah boleh wuduk dan terus solat,” balas si gadis itu sambil menunjukkan sebotol air mineral kepada saya.

Saya tersenyum dan mengatakan Alhamdulillah kerana dia ingat untuk bersolat.


“Puan, saya cakap pada anak saya ini, bukan senang nak ambil wuduk dalam pesawat tambahan pula jika melibatkan ramai jemaah dan terpaksa beratur menunggu giliran ke tandas tetapi dia berkeras dan mengatakan boleh wuduk dengan sebotol air,” cerita si bapa serba salah.

“Betullah dia cakap. Boleh ambil wuduk dengan sebotol air mineral dan terus solat di dalam pesawat.

Sabarlah, yang penting solat jangan ditinggalkan,” ujar saya.

“Mungkin anak encik ada pandangan tersendiri dalam hal ini walaupun pada masa yang sama kita ada dengar juga pandangan mengenai solat menghormati waktu,” balas saya pula.

“Saya katakan, solat hormati waktu dapat membantu memudahkan lagi urusan solat kerana kita bermusafir tetapi dia tetap tak boleh terima dan mahu semua jemaah ambil wuduk serta solat seperti biasa,” ujar si bapa lagi.

Saya nasihatkan si anak agar tunailah solat di dalam pesawat seperti mana pandangan yang dipegangnya itu dan memohon maaf daripada ibu bapanya sebelum meninggalkan tanah air.

Alhamdulillah perbalahan antara si anak dan si bapa berakhir sebelum mereka menuju ke kaunter imigresen.

InsyaAllah, ikuti catatan saya minggu depan.

Tags / Kata Kunci: musafir , Islam , al-Quran , solat , pesawat

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan