Hati-Hati Gelagat Penagih Simpati

Diterbitkan: Khamis, 2 Jun 2016 12:06 PM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Pada Isnin ini atau 6 Jun, insyaAllah, umat Islam di seluruh dunia akan berpuasa. Setiap kali menyambut Ramadan, kenangan di Tanah Suci bermain di ingatan.

Alhamdulillah, saya pernah mengecapi kemanisan berpuasa di Makkah bersama-sama ibu bapa dan cahaya mata. Diharapkan segala urusan saya hendak berpuasa dan beribadat sekali lagi di Tanah Suci pada akhir Ramadan dipermudahkan oleh Allah SWT.

Saya mohon diberi kesihatan yang baik agar segala urusan ibadat dapat disempurnakan dengan lancar. Mohon doa daripada pembaca sekalian. Terima kasih.

Menerusi kolum ini, saya sudahpun mencoretkan kenangan dan pengalaman berpuasa di bumi Haramain. Makkah dan Madinah menjadi tumpuan umat Islam sejagat setiap kali Ramadan, terutama pada 10 malam terakhir.

Jika pembaca belum pernah menunaikan umrah ketika Ramadan, berusahalah untuk mengecapi kemanisan berpuasa di Tanah Suci. Pilihlah tarikh mengikut kesesuaian masa. Jika mahu pulang berhari raya di kampung, mungkin awal dan pertengahan Ramadan paling sesuai tetapi jika pulang berhari raya adalah agenda kedua, akhir Ramadan pilihan terbaik.

Pernah adik saya bercerita pensyarah di universiti tempat dia bekerja akan mengambil cuti tanpa gaji semata-mata mahu menunaikan ibadat umrah ketika Ramadan terutama pada 10 malam terakhir.

“Ramai pensyarah dari negara seperti Pakistan, India dan Arab ambil cuti untuk berpuasa di Makkah. Aku heran juga mula-mula tapi selepas berpeluang berpuasa di Madinah dan Makkah barulah aku tahu kemanisan beribadat di Tanah Suci ketika Ramadan,” ujar adik saya, Shahril.

Hakikatnya, sebahagian besar jemaah umrah yang pernah melalui pengalaman berpuasa di Tanah Suci lebih cenderung menunaikan umrah ketika Ramadan berbanding pada bulan-bulan lain.

Dalam kesibukan beribadat dan meningkatkan amal ketika Ramadan di Tanah Suci, jemaah juga perlu sentiasa berhati-hati apatah lagi dengan bertambahnya mereka yang menagih simpati di kaki lima hotel atau di tepi-tepi jalan.

Ketika Ramadan, jumlah pengemis di Tanah Suci semakin bertambah. Jika hendak memberi, berilah kerana golongan itu sudah tentu mengharapkan bantuan jemaah yang membanjiri Tanah Suci pada bulan penuh keberkatan.

Namun, menerusi kolum ini, saya ingin berpesan agar tidak membawa banyak wang ketika hendak bersolat kerana ia mengundang pelbagai risiko dan kemungkinan yang tidak diingini.

Jemaah umrah sering bertanya, duit yang dibawa hendak diletakkan di mana dan kadangkala sukar juga untuk menjawab soalan mereka itu.

“Hajah, saya rasa lebih selamat jika bawa semua duit ke masjid kerana di hotel belum tentu selamat,” ujar seorang jemaah yang baru kali pertama hendak menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Tidak juga…sebab ada banyak insiden wang jemaah diambil ketika sedang bersolat atau ketika pulang dari solat,” tegas saya.

“Lepas tu hendak disimpan di mana paling sesuai?” tanya beliau lagi.

“Simpan saja di dalam bilik hotel. Simpan di dalam beg. Letakkan duit itu di beberapa tempat. Ikutlah kreativiti masing-masing,” ujar saya lagi.

“Ok ke macam tu hajah?” tanya beliau lagi kurang yakin.

“Selalu saya buat begitu. Alhamdulillah,” balas saya.

“Kalau kita pakai baju yang ada saku dan simpan duit tu serta dibawa ke masjid, macam mana pula hajah?” tanya jemaah berkenaan.

“Terpulang. Boleh bawa duit ke masjid tetapi sebaik-baiknya usah dibawa terlalu banyak ke masjid kerana kita tidak tahu apa pula yang bakal berlaku sepanjang perjalanan dari hotel ke masjid,” balas saya lagi.

“Baiklah. Insha Allah, saya simpan saja di dalam bilik hotel sebagaimana yang hajah cadangkan,” ujar jemaah itu.

Bukan tujuan saya untuk menakut-nakutkan jemaah tetapi pengalaman yang pernah dilalui seorang rakan wajar dijadikan pengajaran.

Rakan saya itu, Misa, membawa sejumlah wang yang banyak ke Masjidil Haram. Terdahulu, beliau membawa duit itu ke Masjid Nabawi. Saban hari beliau ulang alik menunaikan solat berjemaah dan Alhamdulillah tiada musibah melanda.

Namun, selepas beberapa hari di Tanah Suci Makkah, Misa begitu tertekan selepas melalui peristiwa yang tidak dapat dilupakan, apatah lagi, kunjungan itu adalah yang pertama ke Tanah Suci bersama-sama suami.

Selepas menunaikan solat Asar, Misa berjalan pulang sendirian ke hotel penginapan di kawasan Ajyad. Hanya tinggal 50 meter untuk melangkah masuk ke tangga hotel, Misa dikepung oleh sekumpulan wanita berkulit gelap. 

Dia panik dan tidak mampu berkata-kata. Di tepi, di depan dan belakang wanita berkulit gelap mengelilinginya. Dia lantas bertanya apa yang dikehendaki oleh mereka dan semua meminta dia mengeluarkan wang yang ada pada diri.

Misa semakin terkejut sebab seolah-olah mereka mengetahui bahawa dia sedang membawa sejumlah besar wang ke masjid. Namun, apakan daya kerana Misa hanya sendirian dan tidak mampu melawan sekumpulan wanita berkenaan.

Akhirnya, Misa menyerahkan wang hampir RM8,000 kepada sekumpulan wanita berkenaan yang kemudiannya melarikan diri daripadanya dengan wajah penuh kepuasan. Wang itu adalah sebahagian daripada pemberian adik-beradik dan saudara mara yang menyumbang sebelum beliau berangkat ke Tanah Suci.

Misa menangis semahu hati dan tidak sangka perkara seumpama itu menimpa dirinya. Dia ketakutan menunggu suami di ruang lobi. Sejurus melihat kelibat suaminya, Misa terus menghampiri dan menceritakan musibah yang menimpa dalam sekelip mata.

Kisah Misa seringkali saya ceritakan kepada jemaah yang kadangkala sanggup membawa sejumlah wang yang banyak ke masjid kerana memikirkan bilik di hotel penginapan tidak selamat untuk meletakkan wang tunai dibawa.

InshyaAllah, wang yang disimpan di dalam bilik hotel selamat dan pastikan anda meletakkannya di beberapa tempat yang difikirkan selamat dan sukar diketahui jika kamar hotel dimasuki pencuri.

Saya juga katakan tidak selamat membawa sejumlah wang yang banyak ke masjid kerana ada musibah boleh melanda ketika jemaah sedang bersolat. Kejadian ini banyak berlaku dan lazimnya, mereka yang bersolat di luar iaitu di dataran Masjidil Haram menjadi tumpuan pencuri.

Pernah kami dikejutkan oleh suara seorang wanita yang meraung kerana mendapati tas tangan yang diletakkan di depan dikebas orang dalam sekelip mata. Wanita warga Mesir itu menangis menjerit-jerit selepas solat Isyak kerana tas tangan berisi wang dan beberapa dokumen peribadi dibawa lari.

Namun, tiada siapa yang dapat membantu untuk mendapatkan semula tas tangan berkenaan dalam ribuan jemaah ketika itu. Wanita itu dipujuk oleh rakan-rakan senegara dan beliau kembali tenang tidak lama selepas itu. Pesan saya, jika terpaksa bersolat di dataran masjid, pastikan anda menggalas beg yang dibawa untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Selain itu, saya sering menasihatkan jemaah untuk membuka akaun bank Al-Rajhi kerana ia jauh lebih selamat apatah lagi kemudahan ATM bank berkenaan mudah ditemui. Jika suatu ketika dahulu, sebahagian besar jemaah membawa wang tunai tetapi sekarang semakin ramai yang memilih untuk menggunakan khidmat kad Musafir atau akaun Al-Rajhi.

Bagaimanapun, tidak kurang juga ada antara jemaah yang mengeluarkan wang tunai menerusi mesin ATM di Makkah atau Madinah setelah menukar status pengeluaran wang di luar negara bagi tempoh tertentu. Hakikatnya, kaedah itu jauh lebih selamat, insyaAllah kerana jemaah hanya berbelanja mengikut keperluan dan tidak membawa sejumlah wang yang besar apabila membeli-belah di Tanah Suci.

Apa pula cerita pada minggu hadapan? Ikuti catatan saya menerusi kolum ini, insyaAllah, dan kali ini saya ingin sentuh mengenai kisah lain yang sering kita lihat apabila berada di Tanah Suci, terutama ketika Ramadan.


Tags / Kata Kunci: Ramadan , Tanah Suci , Pakistan

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan