Usah Asyik Berbelanja Hingga Alpa Had Bagasi

Diterbitkan: Khamis, 19 Mei 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Jemaah umrah seringkali diingatkan oleh agensi pengendali umrah mengenai berat bagasi yang ditetapkan oleh sesebuah syarikat penerbangan agar tidak mengundang permasalahan apabila hendak pulang ke tanah air.

Namun, kadangkala pesanan dan ingatan itu bak mencurahkan air di daun keladi. Sebahagian besar jemaah tidak mengendahkannya. Jika musim haji masih tidak mengapa kerana barang-barang yang dibeli boleh dipos ke tanah air tetapi perkhidmatan seumpama itu tiada ketika umrah.

Seronok berbelanja menyebabkan jemaah alpa mengenai berat bagasi yang ditetapkan dan lazimnya pada malam terakhir sebelum berangkat pulang ramai yang sudah kecut perut dan pucat muka apabila mendapati bagasi sudah melebihi had muatan ditetapkan.

Setiap kali melihat gelagat jemaah sehari sebelum pulang dan berdepan dengan situasi lebihan muatan, kadangkala terasa geli hati dan lucu. Pelbagai soalan dibangkitkan dan selalunya mereka minta dilepaskan sahaja kerana tidak sanggup membayar lebihan muatan bagasi.

Selalunya pada malam terakhir sebelum pulang, jemaah mula mencari alat penimbang. Semua berlumba-lumba untuk menimbang bagasi di dalam bilik masing-masing. Baik jemaah wanita mahupun lelaki, sama sahaja, risau barangan mereka melebihi had ditetapkan.

Jika suatu ketika dahulu had ditetapkan oleh sebahagian besar syarikat penerbangan sekitar 20 kilogram hingga 25 kilogram tetapi sekarang, jumlah itu ditambah menjadi 30 kg untuk setiap jemaah umrah.  Namun, jika terlebih muatan, bayaran yang boleh dikenakan boleh mencecah SR60 untuk setiap kilogram.

Sukar juga jika hanya 20 kilogram atau 25 kilogram seorang sebab kain ihram sahaja sudah berat dan jika ditambah dengan barangan lain yang dibeli di Madinah serta Makkah, sudah tentu terlebih had muatan. Teringat juga saya pada tindakan ibu saya meninggalkan kain ihram bapa kerana bagasi sudah padat.

Sukar untuk memastikan jemaah tidak berbelanja apatah lagi jika baru kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Terasa semua hendak dibeli. Di Madinah, jemaah selalunya membeli makanan kering seperti tamar, kismis, kekacang, coklat tamar dan pelbagai buah-buahan kering.

Selalunya di ladang atau pasar tamar, jemaah paling banyak berbelanja. Pastinya mereka rambang mata melihat pelbagai jenis tamar seperti Ajwa, Ambar, Sukari dan tamar muda. Tidak termasuk lagi bermacam-macam buah kering yang sedia dipek rapi. 

Bayangkan jika seorang jemaah membeli setiap jenis tamar sekilo dan makanan lain sekilo, jumlah keseluruhan sudah tentu berbelas kilogram atau mahu sahaja mencecah berpuluh kilogram. Pernah saya melihat seorang jemaah membeli 20 kilogram pelbagai jenis tamar untuk dibawa pulang ke tanah air.

Apabila saya tanya anaknya mengatakan untuk jemaah di masjid. Jadi, saya hanya mengangguk. Terselit kerisauan pada hati saya juga kerana had dibenarkan oleh syarikat penerbangan Gulf Air ketika itu ialah 25 kilogram seorang.

Jika di Madinah ramai yang membeli makanan kering, lain pula ceritanya di Makkah. Saya perhatikan ramai yang suka membeli sejadah dan jubah di Makkah. Bukan Madinah tiada tetapi kesuntukan masa di Madinah dan tempoh yang agak panjang di Makkah menyebabkan jemaah lebih cenderung untuk berbelanja di Makkah.

Makanan kering berat, sejadah juga berat. Sudah tentulah bagasi semakin padat dan beranak pinak dan mungkin sekali bercucu. Melihat beg jemaah sudah beranak awal-awal lagi di Madinah, kadangkala saya mengusik kerana bimbang mereka alpa dan terus berbelanja tanpa memikirkan had bagasi ditetapkan.

Bukan tidak boleh berbelanja tetapi usah terlalu asyik membeli-belah kerana ingatlah niat dan tujuan kita ke Tanah Suci Madinah serta Makkah adalah untuk berziarah dan beribadat. 

Bagaimanapun, sangat jarang jemaah umrah dan haji dikenakan bayaran lebihan had bagasi kerana sebahagian besar terselamat, terutama apabila kakitangan di kaunter bertolak ansur dan baik hati untuk melepaskan bagasi yang terlebih had muatan.

Namun, ada juga yang tidak dapat lari daripada dikenakan bayaran dan semua perlu akur untuk menjelaskannya apabila diminta berbuat demikian.

Dalam hal ini, ketua rombongan memainkan peranan penting untuk meminta agar bayaran itu dikurangkan kerana ada kala jemaah tidak lagi mengetepikan wang untuk tujuan berkenaan.

Ketika berkunjung ke Tanah Suci pada Februari 2012 dan bertindak sebagai wartawan di sebuah majalah, rombongan umrah kami dikehendaki menjelaskan bayaran lebihan bagasi dan keadaan ini mencetuskan perasaan kurang senag di kalangan segelintir jemaah.

Insiden itu berlaku di lapangan terbang Madinah dan kami menaiki pesawat Emirates ketika itu untuk pulang ke tanah air. Selesai daftar masuk dan memperoleh pas berlepas, ketua rombongan bersuara:

“Kita kena bayar SR80 seorang kerana bagasi melebihi had ditetapkan,” ujar ketua rombongan ketika itu yang saya panggil ustaz.

“SR80? Duit dah habis,” ujar seorang jemaah lelaki.

“Jika tiada SR80, boleh bagi RM60 seorang,” sambung ketua rombongan itu lagi. Maaf saya terlupa nama ketua rombongan berkenaan.

“Saya tak nak bayar ye ustaz sebab saya dan isteri tak belanja macam orang lain…” ujar seorang lagi jemaah lelaki.

Semua yang mendengar memandang tepat kepada lelaki berkenaan yang seakan-akan marah, tidak puas hati dan menyindir.

“Beg saya dan isteri tidak beranak pun. Sama sahaja pergi balik. Jadi saya tak nak bayar,” ujar lelaki berkenaan.

“Ya, saya pun tak mahu bayar sebab beg saya tdak bertambah. Saya tak banyak belanja. Tak sampai 25 kilogram pun,” ujar seorang jemaah perempuan pula.

Sekali lagi semua jemaah tertumpu pula pada jemaah yang bersuara agak keras.

“Baiklah. Jika terasa tak belanja apa-apa, tak perlu bayarlah tetapi jika memang sudah banyak belanja, saya harap jelaskan bayaran yang diminta,” ujar ustaz itu pula.

“Ustaz tak boleh minta kurang ke? Selalu saya pergi umrah tak pernah pun kena bayar untuk lebihan bagasi. Kenapa kali ini pula kena?” soal seorang lagi jemaah.

“Saya dah bincang tadi dengan kakitangan di kaunter tetapi kita memang kena bayar juga. Itu dah kurang. Jika tidak lebih banyak kena bayar. Tambahan pula kita hanya 18 orang. Mungkin jika lebih daripada jumlah itu, kita selamat,” ujar ustaz pula.

Suasana tegang seketika. Wajah jemaah agak mencuka kerana terpaksa mengeluarkan wang untuk membayar lebihan bagasi. Saya tidak berlengah lantas menyerahkan SR80 kepada ketua rombongan. Begitu juga ibu saya dan jurugambar ketika itu.

Saya perhatikan rakan-rakan jemaah saya yang lain turut berbuat demikian. Semua tidak berkata-kata, patuh dengan arahan yagn ditetapkan oleh ketua rombongan. Semua sedia maklum setelah berbelanja dan bagasi melebihi had, perlulah menjelaskan bayaran.

Ketua rombongan mengumpulkan wang dan Alhamdulillah sekali lagi kakitangan di kaunter memberi kelonggaran dan bertimbang rasa untuk melepaskan rombongan kami walaupun ada tiga jemaah yang enggan membayar setelah memberi alasan tidak berbelanja.

Saya pun kurang pasti adakah bagasi mereka melebihi had atau sebaliknya. Tidak berani saya untuk bertanya atau mendekati mereka pada masa itu.

Ingin saya berpesan kepada pembaca, khususnya yang mahu ke Tanah Suci agar menyimpan sedikit wang sama ada Saudi Riyal atau Ringgit Malaysia bagi tujuan yang kita tidak mampu duga atau sangka.

Sebahagian besar jemaah akan menghabiskan wang di Tanah Suci Makkah atau Madinah kerana enggan membawa pulang Saudi Riyal ke tanah air tetapi perlu diingatkan bahawa kelewatan pesawat dan bayaran pelbagai khidmat bagasi memerlukan jemaah mempunyai simpanan wang secukupnya.

Jika jadual pesawat berubah dan ditunda, tentu sekali jemaah perlu mengalas perut dengan mengambil sedikit makanan manakala untuk urusan pembungkusan bagasi atau safe wrap, jemaah juga memerlukan wang untuk berbuat demikian.

Ikuti catatan saya minggu depan, insyaAllah.

Tags / Kata Kunci: kurma , bagasi , Gulf Air , Ajwa

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan