Berdikit-dikit Menabung Ke Tanah Suci

Diterbitkan: Khamis, 12 Mei 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Murah rezeki awak selalu berpeluang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat umrah. Itu antara kata-kata yang sering saya terima daripada kawan-kawan dan kenalan rapat.

Alhamdulillah, rezeki daripada Allah SWT untuk menjemput saya menjadi tetamu-Nya. Itu yang sering saya balas.

Hakikatnya, bukan disebabkan wang bertimbun kita berpeluang ke Tanah Suci tetapi jika sudah diundang ke Baitullah, segala halangan dan rintangan dapat ditempuhi. Ketika saya bertugas di sebuah agensi pelancongan di tanah air, hati saya terasa sayu apabila melihat sepasang suami isteri mendaftar sebagai jemaah umrah.

Mereka bukan kaya raya, memiliki harta bertimbun atau aset keliling pinggang. Namun, sangat sederhana. Hati saya terusik apabila si isteri menyerahkan kepingan duit sebagai pendahuluan untuk menempah tempat sebagai tetamu Allah walaupun tempoh untuk berangkat masih lebih daripada empat bulan.

Ketika wanita berkenaan dan suaminya yang berusia dalam lingkunan 60-an menyerahkan wang, saya sempat bertanya:

“Ini kali ke berapa makcik pergi?” tanya saya.

“Kali pertama…,” balas beliau ringkas.

“Alhamdulillah. Nanti boleh ikuti kursus setiap Sabtu,” ujar saya lagi.

Terpancar kegembiraan pada wajah pasangan suami isteri itu. Sudah tentu mereka tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci apatah lagi kali pertama menghadap Baitullah dan berkunjung ke makam Rasulullah. Mereka turut mengajukan beberapa soalan sebelum melangkah pulang.

Saya menyerahkan wang berjumlah RM4,000 kepada kakitangan kewangan sejurus pasangan itu memohon diri untuk beredar dari pejabat.

“Duit lima ringgit pun ada…,” ujar saya pada Timah.

“Agaknya, mereka simpan sendiri je duit ini, tak simpan di bank,” balas Timah.

“Terharu rasanya tengok duit ni. Ya Allah, bersungguh-sungguh mereka hendak pergi. Entah dah berapa tahun mereka simpan duit ye,” ujar saya sekali lagi.

“Mesti dah lama. mereka simpan sikit-sikit setiap bulan agaknya,” balas Timah pula.

Hakikatnya, saya kagum dengan kesungguhan mereka untuk menunaikan ibadat umrah. Bersusah payah, berdikit-dikit mengumpul wang namun akhirnya wang yang terkumpul cukup untuk menampung kos pakej umrah ketika itu yang bernilai RM4,990 seorang.

Saya yakin usaha untuk menjadi tetamu Allah akan menjadi kenyataan dengan doa, niat dan kesungguhan. Akhir sekali tawakal kepada Allah agar dipilih menjadi tetamu-Nya.

Begitu juga dengan pengalaman yang pernah saya lalui ketika mahu membawa anak sulung ke Tanah Suci pada Ramadan 2005 bersama-sama ibu bapa saya.



Mulanya saya bertanya suami dan adik-adik adakah mereka mempunyai masa atau boleh memohon untuk bercuti bagi menemakan bapa menunaikan umrah. Saya paling bimbang jika warga tua tidak ditemani waris terdekat, iaitu anak-anak atau menantu.

Namun, hampa kerana suami dan adik-adik lelaki tidak dapat menemankan bapa kerana kekangan tugas serta tanggungjawab. Aliff, anak sulung saya menjadi perhatian namun disebabkan dia anak istimewa, hati saya agak gusar untuk melepaskannya sendirian dengan bapa.

Fikiran kacau seketika tetapi saya terfikir juga, Aliff sentiasa membawa bapa saya menunaikan solat di madrasah berhampiran rumah ibu bapa saya dan insha Allah, tiada masalah jika dia membawa bapa ke Masjid Nabawi dan Masjidil Haram tatkala kami menunaikan umrah.

Setelah berbincang dengan suami, akhirnya kami mengambil keputusan agar Aliff , yang begitu rapat dengan datuknya mengikut kami menunaikan umrah ketika itu. Kunjungan itu juga adalah kali kedua buat Aliff kerana kali pertama dia ke Tanah Suci pada 2001 ketika berusia hampir tujuh tahun.

Saya memohon jasa baik pemilik agensi pengendali umrah agar memberi saya diskaun terbaik kerana Aliff baru sahaja memasuki usia 12 tahun pada Ogos tahun berkenaan. Kami berangkat ke Tanah Suci pada September. Alhamdulillah, beliau memberi pengurangan yang banyak tambahan pula Aliff  adalah anak istimewa.

Setelah mendapat pengurangan harga pakej dan mencongak duit di dalam simpanan, saya masih kekurangan RM500!

“Di mana pula saya hendak dapatkan duit itu?” tanya saya pada diri sendiri.

Buntu juga fikiran pada masa itu. Saya tidak maklumkan kepada ibu bapa. Hanya berkongsi masalah itu dengan suami.

Namun, segala kebuntuan itu terlerai pada suatu petang ketika saya berkemas pakaian di dalam laci di dalam bilik. Satu-persatu saya keluarkan pakaian untuk disusun semula. Saya mengeluarkan pakaian yang tidak mahu lagi dipakai untuk diserahkan kepada orang lain yang lebih memerlukan.

Tiba-tiba tangan saya terpegang suatu gulungan. Saya lantas menarik gulungan berkenaan yang ada di hujung laci.

“Masya Allah…duit siapa pula ni?” bisik hati saya sendirian.



Saya pegang duit itu dan menarik getah yang mengikat gumpalan duit berkenaan. Sejurus itu, saya mengira wang itu sekeping demi sekeping. Banyak duit RM10 dan ini menyebabkan saya mengambil sedikit masa.

Dalam pada mengira duit itu saya terfikir, mungkin duit itu saya tidak masukkan ke dalam bank dan ia adalah milik anak-anak. Namun, saya kurang pasti dan terus mengiranya.

“Subhanallah…RM500. Genap-genap pula. Boleh bayar baki duit umrah untuk Aliff,” ujar saya di dalam hati.

Saya bersyukur dan terharu. Terus memanjatkan doa kepada Allah atas kebesaran-Nya. Esoknya, saya terus menjelaskan baki bayaran RM500 itu kepada wakil agensi pengendali umrah berkenaan.  

Hakikatnya, Allah yang mencukupkan dan rezeki bertemu duit RM500 di dalam laci tidak dapat saya lupakan. Sesekali saya terfikir duit yang ditemui di dalam laci tidak tahu milik siapa. Namun, rezeki menyebelahi anak saya untuk bersama-sama kami ke Tanah Suci.

Saya terasa lega kerana Aliff boleh menemankan datuknya ke Masjid Nabawi atau tandas. Setelah urusan visa selesai, kami berangkat ke Tanah Suci pada hujung Syaaban dan berpeluang menyambut Ramadan di Tanah Suci Makkah. Biarpun hanya berpeluang berpuasa di Makkah tiga hari tetapi kemanisannya abadi dalam ingatan.

Gembira bukan kepalang kerana kali pertama berpeluang berpuasa di Makkah. Teruja dan bersyukur setiap kali berbuka puasa di Masjidil Haram. Masih jelas terbayang kemeriahan menyambut Ramadan di Tanah Suci. 

Tidak sampai satu bulan lagi umat Islam akan menyambut Ramadan.  Bulan yang menjanjikan ganjaran berlipat ganda dalam amal ibadat. Justeru, tatkala ini, tentu sekali mereka yang berhasrat untuk mengerjakan umrah sudah mencongak duit untuk membereskan bayaran pakej umrah Ramadan.

Biarpun harga pakej ketika Ramadan lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain, tetapi keistimewaan dan kelebihan menunaikan umrah serta berpuasa di Tanah Suci tiada tolok bandingnya. 

Teringat saya pada cerita adik lelaki yang bekerja di sebuah institusi pengajian tinggi antarabangsa di tanah air, sebahagian besar pensyarah berbangsa Arab akan bercuti semata-mata mahu merebut peluang untuk menunaikan ibadat umrah kerana arif mengenai kelebihan berpuasa di Tanah Suci.

Justeru, rebutlah peluang untuk mengerjakan umrah ketika Ramadan. Tidak kiralah sama ada awal, pertengahan atau akhir Ramadan kerana ia menjanjikan ganjaran lumayan.

Ikuti catatan saya pada minggu hadapan, insyaAllah.

Tags / Kata Kunci: Tanah Suci , Ramadan , Baitullah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan