Sabar Hadapi Karenah Remaja di Tanah Suci

Diterbitkan: Khamis, 5 Mei 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Menunaikan ibadat umrah tanpa perlu menggalas tanggungjawab sebagai petugas memang sering saya nantikan. Peluang itu selalunya saya gunakan untuk memperbanyak ibadat di masjid bersama-sama keluarga.

Lazimnya, jika bertindak sebagai petugas, urusan memantau dan menjaga jemaah perlu diberi keutamaan. Justeru, sejurus solat di masjid, saya bergegas pulang ke hotel penginapan untuk memastikan jemaah menikmati sarapan, makan tengah hari dan malam.

Selain itu, perhatian juga perlu diberikan ketika berziarah dan apabila ada perkara berbangkit dan keadaan seumpama itu selalunya sedikit sebanyak menuntut petugas agar prihatin terhadap keperluan dan kepentingan jemaah.

Pada Disember 2013, saya menunaikan umrah bersama-sama suami dan dua anak, iaitu Aliff dan Hajar. Anak kedua tidak dapat bersama-sama kami kerana sedang belajar dan tiada cuti semester ketika itu.

Terdahulu pada Februari 2013 saya membawa sekumpulan jemaah menunaikan umrah dan seperti biasa, kepentingan jemaah menjadi keutamaan. Justeru, apabila berpeluang mengerjakan umrah pada Disember bersama-sama keluarga, sudah tentu saya memikirkan tidak perlu menguruskan jemaah seperti mana yang kerap dilakukan. 

Namun, jangkaan saya silap kerana anak saya juga adalah jemaah umrah yang perlu saya uruskan dan sekali gus membuka peluang kepada saya menimba pengalaman baru.

“Puan, Hajar dah remaja. Dia uzur syarie,” ujar seorang ustazah di sekolah Hajar ketika saya mengambilnya pada petang Rabu di asrama. 

“Hah, ye ke?” balas saya terkejut.

“Puan nak ajak dia pergi umrah kan?” tanya ustazah berkenaan.

“Betul ustazah. InsyaAllah esok kami berangkat,” balas saya.

“Itulah, Hajar bagitahu juga. Sedih sangat dia,” cerita ustazah itu lagi.

Saya terlihat Hajar yang tersipu-sipu malu dan menundukkan pandangan.

“Ala tak apa. Semua perempuan macam tu…” pujuk saya sejurus melihat Hajar menghampiri saya.

Di dalam kereta, pelbagai soalan Hajar tujukan pada saya dan saya jawab dengan tenang. Persiapan diatur rapi. Berangkatlah kami ke Tanah Suci Madinah dan Makkah dengan pesawat Saudi Airlines bersama-sama rombongan jemaah umrah yang dibimbing oleh Ustaz Roslan Jaafar. 

Persiapan mental diperlukan untuk membawa remaja menunaikan ibadah di Tanah Suci.

Sebelum berangkat Hajar menangis di dalam tandas KLIA manakala di dalam pesawat sekali lagi dia menangis semahu hati. Puas saya memujuk dan menenangkannya. Dia malu dan terasa tidak selesa apatah lagi kehadiran ‘teman’ baik itu empat hari sebelum berangkat ke Tanah Suci. Dalam hati saya berkata-kata, inilah ujian untuk saya. 

Tiba di Madinah, Hajar sekali lagi menangis kerana memikirkan saya akan melangkah ke masjid manakala dia perlu duduk di pekarangan Masjid Nabawi. Namun, ketika saya melangkah keluar dari Hotel Mubarak Madinah dan melalui pintu hadapan hotel Fayroz Shatta, pembimbing ibadat umrah dan haji, Ustaz Roslan menyapa saya.

“Hajah nak ke masjid dah ke?” tanya beliau.

“InsyaAllah haji, tapi Hajar saya kena tinggalkan di luar masjid kerana dia uzur. Baru kali pertama pula tu. Jadi dia memang sedih dan tak selesa,” ujar saya dengan nada perlahan. 

“Hajar duduk di lobi hotel dengan jemaah wanita lain,” balas Ustaz Roslan sambil tersenyum lebar.

Hajar malu-malu kerana beberapa kali dia meminta saya merahsiakan perihal dirinya tetapi apakan daya, dalam keadaan itu tidak mampu saya menyembunyikan perkara sebenar.

“Hajar nak duduk di luar masjid atau di lobi hotel. Di hotel, ada jemaah lain boleh temankan Hajar. 

Jangan malu, jemaah wanita lain pun macam Hajar juga,” ujar saya memujuk.

“Oklah, kita duduk di lobi hotel. Nanti, umi dah habis solat, ambil kita,” balas Hajar manja.

Saya minta jemaah wanita yang duduk di lobi memerhatikan Hajar dan mengucapkan terima kasih kepada mereka. Sejurus itu, saya memohon diri untuk bersolat Subuh di masjid.  Selesai solat, saya membawa Hajar ke Hotel Mubarak Madinah untuk bersarapan. 

Saban waktu, Hajar memohon agar saya berdoa untuknya dapat bersolat di dalam Masjid Nabawi. Alhamdulillah, pada hari terakhir di Madinah, Hajar saya bawa ke Masjid Nabawi untuk mengucapkan salam dan selesai solat Zuhur, kami melafazkan doa ziarah wada’ kepada Rasulullah.



Bagaimanapun, Hajar tidak sempat ke Raudah dan menziarahi makam kerana bas berangkat ke Makkah pada jam 2.30 petang pada hari yang sama. Dia tampak gembira kerana dapat mengerjakan umrah bersama-sama dan wajahnya tidak lagi kelihatan stres.

Tiba di Makkah, kami menunaikan tawaf saie dan tahalul sekeluarga. Kami tidak mengikut rombongan Ustaz Roslan untuk menyempurnakan rukun umrah. Setiap waktu solat, Hajar akan mengikut saya ke Masjidil Haram. Namun, selepas dua hari berulang alik ke masjid, Hajar sekali lagi didatangi haid. Wajahnya mencuka tidak terkata. Marah apabila disapa.

Namun, saya dan suami memahami keadaan yang dialami olehnya dalam meniti usia remaja. Ketika itu, kami sekeluarga baru sahaja selesai menunaikan solat Asar di masjid dan selesai solat, kami ke Zamzam Tower untuk mengalas perut. Kiosk makanan dari Turki menjadi pilihan kami pada petang itu.

Selesai minum, saya membawa Hajar ke tandas untuk membuang air kecil dan berwuduk sebelum masuk semula ke dalam masjid bagi menunaikan solat Maghrib berjemaah. Lazimnya, kami tidak pulang ke Hotel Jawharat Hussain yang terletak kira-kira 200 meter dari perkarangan Masjidil Haram.

“Hajar tak nak buang air ke?” tanya saya.

“Tak nak,” balas Hajar ringkas.

“Ok, tunggu umi di sini (tempat ambil wuduk),” ujar saya.

Sejurus keluar dari tandas, saya terlihat seorang wanita sedang menegur Hajar. Dia seakan-akan marah pada anak saya itu tetapi Hajar hanya mendiamkan diri.

Melihatkan keadaan itu, saya menghampiri wanita berkenaan untuk bertanyakan apa masalah yang sedang dihadapi dan mengatakan Hajar adalah anak saya.

Wanita berbangsa Arab itu menunjukkan jubahnya yang terkena percikan air wuduk Hajar.

“Hajar, kenapa ambil wuduk sampai terkena orang lain?” tanya saya.

“Kita tak perasanlah umi…”balasnya.



Saya memohon maaf kepada wanita itu bagi pihak anak saya. Wanita itu tertawa sejurus saya meminta maaf kepadanya dan terus berlalu pergi.

“Lain kali, Hajar janganlah ambik wuduk sampai orang sebelah pun boleh terkena air wuduk Hajar,” pesan saya.

“Baiklah,” balas Hajar dengan muka sedikit takut selepas dimarahi wanita berkenaan.

Selepas itu, saya dan Hajar masuk semula ke dalam masjid untuk bersolat Maghrib. Selalunya, saya tidak pulang sehingga selesai Isyak dan akan hanya bertemu suami dan Aliff di lobi hotel untuk makan bersama-sama.

Namun, selesai solat Maghrib, Hajar mengatakan bahawa ada kemungkinan dia didatangi haid semula dan wajahnya kembali tidak ceria.

“Eh betul ke ni? Dah dua hari selesai tawaf saie dan solat, boleh datang lagi…” tanya saya.

“Yelah umi. Kita tahu,” balas Hajar lagi.

“Baiklah, macam tu, Hajar duduk di luar masjid. Tunggu sampai umi habis solat Isyak,”pinta saya.

“Umi kena hantar kita. Kita tak tahu,” mohon Hajar.

Sejurus itu, saya terus menghantar Hajar di perkarangan masjid dan meminta dia menunggu saya sehingga selesai solat. Alhamdulillah, kelihatan ada beberapa wanita berbangsa Arab dan warga Indonesia turut berkumpul di situ.

Dalam menunggu waktu Isyak, hati saya berkata-kata, adakah sah tawaf dan saie yang dibuat oleh Hajar dua hari lepas?

Esoknya, selesai solat Subuh, kami sekeluarga bertemu dengan Ustaz Roslan untuk mengemukakan kemusykilan yang dihadapi itu.

“Sah tawaf saie dan tahalul yang dah disempurnakan oleh Hajar,” ujar Ustaz Roslan selepas mendengar pertanyaan saya.

“Alhamdulillah…” balas saya.

“Selepas tempoh 24 jam kering dari haid, wanita boleh mandi dan menyempurnakan rukun umrah. Namun, jika haid datang semula selepas dua atau tiga hari, semua rukun umrah yang disempurnakan sebelum itu adalah sah,” ujar Ustaz Roslan.

Lega mendengarnya. 

Namun, dalam perjalanan pulang ke hotel, saya teringat semula insiden Hajar ditegur oleh wanita di tempat wuduk.

“Sepatutnya Hajar minta maaf pada perempuan semalam. Dia marah dengan Hajar. Jadi kenalah minta maaf sendiri. Lain kali ingat, jika dah buat silap, terus mohon maaf dengan orang,” pesan saya.

Esoknya, Hajar mengikut saya semula menunaikan solat di dalam Masjidil Haram sehingga kami berangkat pulang ke tanah air.

Biarpun tidak bertindak menjaga ramai jemaah, saya tetap menjaga seorang jemaah yang memerlukan sepenuh perhatian dan tumpuan daripada saya. Ikuti catatan saya dalam ruangan ini minggu hadapan, insyaAllah.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan