Temui Cincin Permata Biru

Diterbitkan: Khamis, 21 April 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Cerita duit hilang atau barang berharga hilang pernah saya paparkan di dalam ruangan ini. Jika kehilangan duit atau baranganberharga redha sahaja dan usah difikirkan secara mendalam atau berlarutan. Anggap sahaja sudah tiada rezeki lagi dan insyaAllah digantikan dengan lebih baik.

Pada minggu ini saya memaparkan kisah barang berharga yang ditemui di dalam sebuah bilik hotel di Makkah, iaitu Hotel Safoa Tamiz yang kini sudahpun dirobohkan dan tapak asal bangunan itu kini adalah tanah lapang di Ibrahim Khalil Street.

Bersama-sama rombongan jemaah seramai 27 orang, termasuk dua krew media dari TV9, saya berangkat ke Tanah Suci menerusi penerbangan Gulf Air dan kami transit di Manama, Bahrain untuk tiga jam. Selepas itu, perjalanan diteruskan lagi hingga pesawat mendarat di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah.

Dari Jeddah, perjalanan diteruskan lagi ke Madinah dan Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar dan mengikut jadual ditetapkan oleh agensi pengendali umrah ketika itu. Sebagai petugas, saya tidaklah sendirian tetapi berkongsi bilik dengan kak Norisah, Hajah Jamaliah dan seorang ustazah.

Walaupun jarak usia antara saya dengan mereka agak ketara tetapi kami dapat menyesuaikan diri. Gembira dan saling membantu di dalam bilik Hotel Safir Saha (sekarang Al-Saha).  Saya paling serasi dengan kak Norisah dari Klang dan kami sering bergurau.

“Ana tak payahlah beli sabun. Guna sabun akak bawa ni,” ujar kak Norisah sambil menunjukkan sabun serbuk satu botol yang dibawa dari tanah air.

“Banyaknya kak bawa sabun,” balas saya sambil ketawa.

“Hah. Senang. Tak payah cari di kedai. Ana tak payah beli. Ambil je sabun kak bila nak cuci baju,” katanya lagi.

Saya tersenyum memandang kak Norisah. Dalam hati saya bagai digeletek. Geli hati melihatnya. Memang dia begitu gemar membasuh baju. Setiap hari dia mencuci pakaian. Dari hari pertama tiba di Madinah. 

Berbeza dengan saya yang akan hanya membasuh pakaian apabila tiba di Makkah atau menghantarnya ke dobi jika terlalu penat dan sibuk menguruskan jemaah.

Setelah empat hari di Madinah berziarah dan memantau krew media membuat liputan di Madinah, kami berangkat ke kota suci Makkah selepas Zuhur dan berhenti di miqat Bir ‘Ali untuk berniat ihram umrah.

Perjalanan diteruskan lagi dan berhenti kira-kira satu jam di kawasan rehat untuk kami mengalas perut dan menunaikan solat Maghrib serta Isyak. Kami tiba di Makkah pada sebelah malam setelah menempuh perjalanan hampir tujuh jam.

Selesai urusan daftar masuk di Hotel Safoa Tamiz, semua jemaah menikmati hidangan malam sebelum masuk ke dalam bilik masing-masing untuk membersihkan diri dan berwuduk. Selepas itu, kami berkumpul semula di lobi untuk bersama-sama menyempurnakan rukun umrah, iaitu tawaf, saie dan tahalul.

Seperti di Madinah, saya masih sebilik dengan kak Norisah, Hajah Jamaliah dan seorang ustazah yang juga guru kepada kak Norisah. Sejurus kaki melangkah masuk ke dalam kamar hotel, saya agak terkejut tetapi tidak berkata apa-apa.

Begitu juga dengan tiga lagi jemaah. Bergilir-gilir kami memasuki tandas. Setelah semua siap, kami turun ke lobi semula untuk bersama-sama mutawif yang sedia menanti di ruang lobi. Setelah semua berkumpul, kami beramai-ramai menuju ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan rukun umrah. 

Alhamdulillah, sebelum azan Subuh yang pertama berkumandang, selesai segala urusan umrah. Ada jemaah pulang semula ke hotel dan ada juga yang beriktikaf sehingga selesai solat Subuh.

Selesai sarapan pada pagi itu, saya dan tiga lagi jemaah berbual di dalam bilik dan kak Norisah mula bersuara:

“Ana, bilik kita ni kecil sangat,” ujar beliau.

“Betul kak. Ana pun perasan juga,” balas saya.

“Tandas pun kecil juga. Susah makcik nak mandi,” ujar Hajah Jamaliah pula.

Hajah Jamaliah berbadan agak besar dan tidak salah dia berkata demikian kerana tentu sekali tidak selesa apabila hendak mandi di tandas yang terlalu sempit.

“Baiklah kak, makcik. Nanti Ana tengoklah macam mana dan apa yang Ana boleh buat,” balas saya.

Pada waktu makan tengah hari, saya membangkitkan perkara itu kepada Ustaz Bakhtiar yang bertindak sebagai pembimbing jemaah umrah. 

“Hajah duduk bilik yang dibelakangnya nombor satu ke?” tanya Ustaz Bakhtiar.

“Ye ustaz. Bilik 301. Kenapa ustaz?” tanya saya.

“Saya di bilik 101. Memang bilik yang di belakang berakhir dengan nombor satu agak sempit berbanding bilik lain,” balas Ustaz Bakhtiar lagi.

“Oh. Jemaah ngadu bilik kecil tandas sempit. Saya ingat nak minta tukar bilik lain,” kata saya.

“Cubalah. Mana tahu ada jemaah lain keluar, boleh hajah dan jemaah lain pindah ke bilik yang lebih selesa,” balas Ustaz Bakhtiar.

Pada masa yang sama, saya meninjau beberapa bilik jemaah lain. Bilik mereka besar dan selesa, sekali gus menyebabkan saya berusaha untuk berpindah ke bilik lain.

Selesai solat Isyak di Masjidil Haram dan menikmati makan malam bersama-sama jemaah, saya naik semula ke bilik dan berbincang dengan mereka. 

“Ana cadang kita pindah ke bilik lain esok. Macam mana? Setuju tak kak, makcik dan ustazah?” tanya saya.

“Oh, bagus tu Ana. Cubalah,” balas mereka tanda setuju.



Esoknya, selepas sarapan, saya bertanya pada kakitangan di kaunter lobi hotel berkenaan dengan siapa saya boleh berurusan untuk menukar bilik yang lebih selesa. Kakitangan warga Bangladesh meminta saya datang ke lobi pada jam 9 pagi untuk bertemu pengurus hotel berkenaan.

Justeru, tepat jam 9 pagi, saya sudah terpacak di depan kaunter di lobi hotel itu. Sejurus terlihat kakitangan, saya sekali lagi bertanya sudahkah pengurus hotel berkenaan tiba dan beliau menunjukkan kepada saya seorang lelaki berbangsa Arab di sebelahnya.

Spontan saya membangkitkan masalah yang dihadapi dan sepantas kilat juga pengurus itu mengarahkan kakitangannya supaya memindahkan saya dan tiga lagi jemaah ke bilik lain. 

Alhamdulillah, tidak susah berurusan dengan beliau malah saya terkejut kerana tindakan serta merta itu.

Saya mengekori dua kakitangan hotel naik ke bilik saya dan tiga lagi jemaah. Tiba di muka pintu hotel saya menyuruh mereka tunggu sebentar kerana mahu memaklumkan kepada jemaah.

“Kak, makcik, ustazah, kita pindah bilik sebelah. Ada orang dah keluar, jadi bilik sebelah kosong. 

Pekerja hotel nak angkat barang kita semua ini,” ujar saya tergesa-gesa.

“Hah, sekarang ni? Cepatnya Ana,” balas kak Norisah tersenyum.

“Ana pun terkejut kak. Tak sangka cepat sangat dapat pindah bilik lain,” ujar saya sambil mencapai barangan keperluan saya di atas katil.

Selepas itu, saya membuka pintu dan mengizinkan pekerja hotel itu mengangkat bagasi kami. Melihatkan kepantasan mereka mengalihkan beg, kami tertawa.

Tidak sampai lima minit kami sudah berada di dalam bilik baru yang jauh lebih besar dan selesa. Alhamdulillah. 

“Eh cincin. Cantiknya…” ujar saya sambil membelek cincin bertakhta permata biru dan sungguh comel.

“Ambillah Ana. Rezeki kamu tu,” ujar kak Norisah.

“Hah, ambil? Tak berani kak,” balas saya.

“Kamu muat ke cincin tu?” tanya kak Norisah lagi.

“Cukup je ni. Cantik pulak dah pakai di jari manis ni,” balas saya lagi.

“Jumpa di mana?” tanya Hajah Jamaliah pula.

“Di tepi katil Ana. Tapi tak nak ambillah cik. Bukan kita punya. Biarlah saja,” balas saya lagi.



Saya meletakkan cincin itu di dalam laci dan melupakan saja cincin berkenaan. Tidak terlintas di fikiran saya untuk mengambilnya atau menyerahkannya kepada pihak pengurusan hotel kerana mengetahui jemaah yang menghuni bilik berkenaan sudah berangkat pulang sehari sebelum itu.

Sebelum berangkat pulang ke tanah air, sekali lagi saya melihat cincin itu yang tersimpan rapi di dalam laci. Namun, tidak sekali pun terdetik di dalam hati saya untuk memiliki cincin itu walaupun hakikatnya saya gemar membeli cincin apabila berkunjung ke Tanah Suci Madinah dan Makkah.

Saya yakin, bukan saya seorang sahaja yang tidak akan mengambil barangan yang ditemui di Tanah Suci, malah, jemaah lain juga tentu tidak mahu menyimpannya kerana bukan milik kita.

Ikuti catatan saya pada minggu hadapan, insyaAllah.


Tags / Kata Kunci: permata biru , Ibrahim Khalil Street

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan