Sucikan Hati Menerusi Program Kembara Rohani

Diterbitkan: Selasa, 12 April 2016 2:30 PM

(Ubah saiz teks)

BERCUTI atau makan angin tentu digemari ramai. Tanyalah pada sesiapa sahaja, sudah pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk mengembara dan bersantai bersama keluarga mahupun teman.

Namun, ketika bercuti, minda kita lebih tertumpu untuk berehat, melihat keindahan alam semulajadi dan berbelanja. Sangat jarang atau mungkin tiada antara kita terfikir untuk mengisi waktu bersantai ketika cuti-cuti  dengan program berfaedah untuk memantap dan menguatkan lagi keimanan serta kerohanian dalam menuju keredhaan Allah SWT.

Pada 4 Mac lalu, saya berpeluang menyertai Program Kembara Rohani ke Krabi dan Hatyai di selatan Thailand anjuran Nat Tour Sdn Bhd. Terpikat dengan konsep yang diketengahkan oleh Pengarah Urusan agensi pelancongan itu, Hajah Ramlah Ismail kerana program itu membuka peluang kepada peserta untuk mendengar tazkirah, usrah, qiamulail dan kuliah Subuh.

Peserta program bukan sekadar berpeluang menikmati keindahan alam semulajadi di Krabi dan berbelanja pelbagai barangan di Hatyai, malah, pengisian rohani meninggalkan kesan dalam diri mereka.

Pendakwah bebas, Ustaz Wan Hamidi Wan Mat tidak menang tangan melayan 118 peserta program yang mengisi tiga bas persiaran sepanjang perjalanan di antara Kuala Lumpur ke Krabi.

Beliau mulanya duduk di bas C tetapi perlu berpindah ke bas A dan bas B untuk memastikan setiap peserta tidak terlepas peluang mendengar tazkirahnya.

Program lima hari tiga malam itu, yang julung kali diadakan mendapat sambutan luar biasa, terutama daripada warga emas kerana ia membuka peluang kepada peserta untuk mengembara dengan kos berpatutan selain memperoleh ilmu bermanfaat menerusi pengisian kerohanian. 

Menurut Ustaz Wan Hamidi, mengembara melihat bumi ciptaan Allah SWT hukumnya harus tetapi perlu diingatkan mengembara juga boleh menyebabkan seseorang itu menjadi lalai dan leka jika ada unsur-unsur maksiat.

Beliau berkata, menerusi program Kembara Rohani, seseorang itu dapat mendidik, mensuci dan menjernihkan hati kerana berpeluang meningkatkan ilmu dan memantapkan lagi jiwa mereka melalui pengisian sepanjang kembara.

“Hati manusia terbahagi kepada tiga jenis iaitu qalbun salim (hati yang sejahtera), qalbun maridh (hati yang sakit) dan qalbun mayit (hati yang mati),” katanya ketika menyampaikan tazkirah kepada peserta program bas A.

Dalam usaha memperoleh hati yang sejahtera atau qalbun salim, jangan bawa perasaan iri hati, dengki dan dendam terhadap manusia lain kerana sifat negatif ini seumpama kita membawa suatu beban yang banyak lagi berat dalam menuju keredhaan Allah. 

Justeru, katanya, elak membawa beban yang berat lagi banyak dalam menuju Allah kerana kita tidak akan sampai kepada-Nya dengan bebanan yang berlebihan. Dalam keadaan ini, jika kita banyak beribadat sekalipun, hati kita tidak akan tenang kerana terkandung sifat-sifat mazmumah.

Apa pula qalbun maridh atau hati yang sakit? Hati yang tidak sihat semestinya memerlukan rawatan menerusi solat, zikir dan doa.

“Mintalah kepada Allah SWT agar mengurniakan hati yang bersih lagi jernih kepada kita dalam usaha membebaskan hati daripada pelbagai penyakit yang tidak baik. Oleh itu, menerusi program kembara seumpama ini, kita perlu rebut peluang untuk menjernihkan hati,” ujarnya.

Ingatlah, Rasulullah S.A.W sentiasa berpesan bahawa Allah tidak pandang pada rupa paras dan harta kekayaan seseorang kerana Allah hanya melihat kepada ketakwaan diri kita.

Hati jenis ketiga ialah qalbun mayit atau hati yang mati. Dalam hal ini, hati seseorang itu sudah mati atau tiada perasaan terhadap kebesaran Allah.

“Golongan ini tidak akan rasa nikmat Allah kerana hati mereka sudah tidak bernyawa lagi,” katanya.

Penulis bersama pelajar Madrasah Tahfiz Darul Furqan yang dikunjungi semasa Program Kembara Rohani.

Beliau turut berpesan pada setiap peserta supaya memperbanyak doa sepanjang bermusafir kerana doa daripada mereka yang bermusafir tidak ditolak oleh Allah.

“Jika ibu atau bapa kita sudah tiada, berdoalah untuk mereka agar dirahmati Allah, mohon ampun untuk kedua-duanya dan bebas daripada azab neraka. Tidak semestinya doa kita hanya makbul apabila di Tanah Suci tetapi doa juga makbul tatkala kita bermusafir,” katanya selepas menikmati hidangan tengah hari di Sami Kitchen, Songkhla.

Terdahulu, pada kuliah Subuh di Masjid Sahe Pakistan, Hatyai, beliau turut berceramah dan mengajak peserta menghafal doa-doa yang diamalkan oleh baginda Rasul dalam kehidupan seharian selain turut membekalkan salinan fotokopi doa berkenaan. Hampir semua peserta mengalirkan air mata pada hari terakhir sejurus tamat kuliah Subuh.

Berikutan terkesan dengan penyampaian Ustaz Wan Hamidi, peserta mengharapkan program Kembara Rohani itu diteruskan pada masa-masa akan datang. Justeru, Hajah Ramlah berhasrat meneruskan program seumpama itu pada tahun hadapan dan memberi tumpuan kepada negara Islam yang dilanda kesusahan dan kemiskinan.

Sumbangan untuk operasi Madrasah Tahfiz Darul Furqan di Wilayah Pattani.

Dalam kunjungan ke Krabi dan Hatyai, peserta berkunjung ke Madrasah Tahfiz Darul Furqan Kampung Tia Wilayah Pattani, yang mula beroperasi sejak 2008 dan kini menempatkan sejumlah 140 pelajar lelaki berusia di antara 8 dan 23 tahun. 

Setelah menikmati makan tengah hari masakan Thailand disediakan secara gotong royong oleh guru, ibu bapa dan pelajar madrasah, sumbangan RM40,000 dan pelbagai barangan keperluan pelajar diserahkan kepada Pengetua Madrasah Tahfiz Darul Furqan, Baba Ramli Bintia. 

Selesai meninjau madrasah itu, kami meneruskan perjalanan dan tiba di Trang pada jam 8.30 malam untuk menikmati makan malam di sebuah restoran Muslim. Satu jam kemudian, perjalanan diteruskan ke Krabi sejauh 135 km lagi.

Kami tiba di di Krabi tepat jam 11 malam waktu tempatan. Penginapan peserta bas A ialah di Tenera Boutique Hotel manakala peserta bas B dan C di Thai Hotel Krabi. Setelah mengharungi perjalanan yang panjang satu hari satu malam, semua keletihan dan perlu beristirahat. 

Esoknya, selepas bersarapan di Restoran Abdullah Halal Food di Maharach Road, kami tidak sabar untuk ke pantai Krabi yang sering diperkatakan mengenai keindahannya.  Tiga bot laju disediakan untuk menampung kesemua peserta dan empat pemandu pelancong.

Bot meluncur laju menyusuri pantai . Kami berhenti di Tam Pranang Island untuk bergambar kenangan. Airnya jernih biru kehijauan. Sejurus bot berhenti di tepian pantai, kaki melangkah ke pasir putih dan halus.

Selepas itu kami dibawa ke Kok Kai Island atau Chicken Island. Dari kejauhan jelas ternampak pulau itu seakan-akan bentuk seekor ayam. Bot meluncur terus dan menuju ke bahagian belakang Chicken Island.

Pemandu pelancong, Pak Dun menasihatkan peserta yang minat snorkling agar bersiap sedia. Warga berusia 78 tahun paling teruja. Beliau tampak relaks dan tidak perlu diberi banyak arahan sebelum turun dari bot.  Selepas satu jam, kami menuju ke Poda Island untuk menikmati makan tengah hari dan bertemu peserta lain yang sudahpun tiba lebih awal kerana tidak minat dengan aktiviti snorkling. 

Pada jam 3 petang, kami menaiki bas semula untuk pulang ke penginapan dan beristirahat sementara menunggu mentari terbenam bagi menikmati hidangan malam di Restoran Ruantalay. Hidangan tom yam adalah kemestian dalam setiap menu hidangan tengah hari dan malam. 

Setelah dua malam di Krabi, kami ke Hatyai. Dalam perjalanan, singgah sebentar di pusat bandar Krabi untuk melihat mercu tanda pulau itu, replika ketam hitam yang menjadi tumpuan pelancong asing untuk bergambar kenangan.

Perjalanan diteruskan lagi ke Trang untuk berbelanja pelbagai jenis manisan. Berhenti makan tengah hari di Sami Kitchen di Songkhla dan memperoleh cenderahati iaitu tas tangan daripada ejen pelancongan Thailand, Aida Bannop dari Aida World Tour & Travel. 

Selesai makan tengah hari, kami ke Masjid Tengah Songkhla untuk bersolat Zuhur dan Asar sebelum meneruskan perjalanan ke Kaysorn (kedai cenderamata), Nora Plaza, gedung barangan kulit, seperti tas tangan, dompet, kasut, tali pinggang dan aksesori. Akhir sekali ke kedai gajus dan makanan kering sebelum singgah makan malam di restoran Muslim serta menginap di Hatyai Holiday Hotel.

Kami berangkat pulang ke tanah air pada jam 10 pagi waktu tempatan dan singgah di beberapa destinasi termasuk Chukai, Seberang Jaya dan Tapah. Perjalanan kami disulami selawat dan zikir yang dipimpin oleh Ustaz Wan Hamidi.

Sesungguhnya program Kembara Rohani meninggalkan kesan di hati peserta kerana dapat mengeratkan lagi silaturahim, menambah kenalan, membeli-belah, melihat keindahan alam dan menyumbang kepada golongan memerlukan.


iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan