Rawatan Dialisis Mudah Diperoleh Di Tanah Suci

Diterbitkan: Khamis, 7 April 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Masih lagi cerita Arif yang menjalani rawatan dialisis di Tanah Suci. Sejurus tiba di Makkah, Arif ditemani krew media, Zahir dan Pak Uda, bapa saudara Teh Syuhaida, untuk menyempurnakan ibadat umrah. Mereka tawaf dan saie bersama-sama jemaah lain yang turut menyertai rombongan.

Usai tawaf dan saie, Arif kelihatan letih dan wajahnya agak pucat. Rakan-rakan jemaah agak bimbang melihat keadaan Arif namun anak muda itu kuat semangat dan melawan kelemahannya dengan memperbanyak ibadat solat berjemaah di Masjidil Haram.

Selepas dua hari di Makkah, Arif ditemani krew Media Prima, iaitu Mazlin Nordin, Teh Syuhaida dan Zahir untuk menjalani rawatan dialisis. Turut serta adalah Norhaita dan saya yang mewakili Farhan Travel & Tours dan seorang lagi kenalan, Ustaz Wan.

Kami ke Al-Noor Specialist Hospital di Makkah dengan sebuah coaster selepas bersarapan. Tidak sampai setengah jam kami tiba di depan hospital dan sejurus memasuki bangunan yang khusus untuk rawatan dialisis, Norhaita dan Ustaz Wan ke kaunter pendaftaran untuk memaklumkan nama Arif.

Suasana di dalam hospital selesa dan bersih. Di ruang kiri dan kanan ada tempat menunggu. Di sebelah kanan khusus untuk lelaki manakala di sebelah kiri pula ruang untuk wanita. Ruang menunggu wanita bertutup dengan langsir.

Saya, Mazlin, Teh memasuki ruang berkenaan manakala Arif dan Zahir turut berdiri berhampiran kaunter pendaftaran.   Selesai pendaftaran, semua memasuki ruang menunggu. Kira-kira 15 minit kemudian, nama Arif dipanggil menandakan anak muda itu akan memasuki ruang rawatan dialisis.

Sejurus itu, Arif dibawa ke bilik rawatan. Kami sekadar memerhatikannya dan setelah mendapat keizinan untuk melihat Arif, Mazlin dan saya masuk ke dalam bilik rawatan dialisis. Pintu kaca automatk terbuka tatkala kami mahu melangkah masuk dan sejurus membelok ke kiri, saya lilhat ramai pesakit sedang baring dan menjalani rawatan dialisis.

Lelaki dan perempuan di bilik rawatan yang berlainan. Luas, bersih dan selesa. Jururawat dari Filipina melayan kami dengan baik dan menunjukkan katil Arif. Arif tersenyum melihat kehadiran Mazlin dan saya di sisinya. Kami membalas senyumannya.

“Nampak Alhamdulillah ye hospital ini. Kakitangan pun ok,” ujar saya memecah kesunyian di tepi katil Arif.

“Oklah. Bersih dan besar dari di Madinah,” balas Mazlin pula.

“Insha Allah, lebih mudah nak buat rakaman proses rawatan dialisis,” usik saya sambil tersenyum mengingatkan peristiwa di pusat perubatan di Madinah.

Tidak lama selepas itu, kami meninggalkan Arif bersendirian. Saya kembali semula ke ruang menunggu dan bertemu Norhaita dan Teh Syuhaida. Terlihat kelibat Ustaz Wan yang bersandar di deretan kerusi di ruang menunggu lelaki.

Mazlin berbincang dengan Teh Syuhaida mengenai penggambaran yang bakal dirakamkan di sekitar hospital.

“Kak berceritalah dengan Teh Syuhaida dan Norhaita sekejap lagi ye. Saya nak buat sedikit rakaman di sekitar kawasan ini,” pinta Mazlin kepada saya.

“Nak cakap apa Mazlin?” tanya saya tersenyum.

“Tak kisahlah. Kak boleh bersembang apa-apa saja. Suara tidak dirakamkan. Hanya aksi kita sahaja diperlukan,” balas Teh Syuhaida pula membalas senyuman.

Norhaita dan saya terasa segan seketika dan kami sama-sama tertawa kecil.

Teh Syuhaida mengambil tempat dan mula bersembang kosong dengan Norhaita dan saya, menandakan sebentar lagi rakaman dimulakan. Hanya seketika.Tidak lama selepas itu, saya nampak Zahir memasuki bilik rawatan dialisis untuk merakamkan pula proses rawatan dialisis yang sedang dilalui Arif. Tidak lama selepas itu beliau keluar dan kami beredar dari hospital berkenaan.

Panas cukup terik pada hari itu dan perut terasa lapar. Ustaz Wan mengajak kami singgah di sebuah restoran Arab dengan hasrat mahu menikmati hidangan tengah hari.

Sejurus tiba di restoran itu, saya lihat hanya lelaki saja di dalamnya. Tiada seorang wanita pun duduk makan di situ.

“Perempuan tak boleh makan di sini sebab tiada kawasan khusus untuk keluarga yang disediakan,” ujar Ustaz Wan.

Terasa hampa tetapi apakan daya. Kami akur dengan peraturan yang sudah ditetapkan. Akhirnya nasi dibungkus untuk dibawa pulang ke penginapan kami di Hotel Al-Jewar, yang terletak 80 meter dari perkarangan Masjidil Haram.

Nikmat makan di Tanah Suci sukar diceritakan apatah lagi nasi Arab, nasi unta, nasi mandy, nasi beriani dan bukhari, semuanya sedap belaka.

Arif menjalani rawatan dialisis hampir empat jam. Justeru, Norhaita dan Ustaz Wan menjemputnya di hospital pada lewat petang. Pada malam itu, Arif muncul di dewan makan dan nampak letih setelah melalui proses rawatan dialisis.

“Makanlah Arif,” ujar saya perlahan.

“Ye Puan. Terima kasih. Abang Zahir ada simpankan makanan yang dibeli di restoran Arab siang tadi,” kata Arif tersenyum.

“Sedap nasi tu…,” balas saya.

“Hah. Memang sedap,” ujar Arif pula.

“Berehatlah. Nampak muka awak letih sangat,” pesan saya kepada Arif.

“Baiklah Puan, terima kasih,” balas Arif.

“Arif cadang nak buat badal umrah untuk arwah ibunya,” ujar Zahir.

“Oh bagus tu. Alhamdulillah,” balas saya spontan.

“InsyaAllah, nanti saya bawa dia kak hajah,” ujar Zahir lagi.

“Oklah. Awak pun dah ada pengalaman. Senanglah ajak Arif nanti,” balas saya.

“InsyaAllah kak. Bolehlah saya rakamkan sekali perjalanan ibadat umrah Arif nanti sebab masa umrah kali pertama tak sempat nak rakam kerana perlu bagi tumpuan pada ibadat umrah,” cerita Zahir.

“Selalunya begitu. Umrah kali pertama janganlah ada sebarang rakaman penggambaran. Kita tumpukan sepenuh perhatian pada ibadat dulu. Sempurnakan ibadat umrah kita dulu. Pada hari lain bolehlah buat rakaman,” balas saya panjang lebar.

Lazimnya, apabila membawa krew media membuat liputan di Tanah Suci Madinah dan Makkah, saya tidak mahu membebankan mereka dengan tugasan kerana semua jemaah perlu memberi perhatian bagi menyempurnakan rukun umrah. Justeru rakaman penggambaran akan hanya dibuat selepas selesai umrah pertama.

Ketika ziarah di kota Makkah dan bermiqat di Jaaranah, Arif berniat umrah untuk arwah ibunya. Biarpun keadaan kesihatan kurang mengizinkan di samping cuaca panas terik ketika itu sekitar 45 darjah Celsius, Arif tetap bertenaga dan bersemangat untuk menyempurnakan umrahnya. Alhamdulillah.

Seingat saya, di Makkah, dua kali Arif menjalani rawatan dialisis di Al-Noor Specialist Hospital sebelum pulang ke tanah air. Beliau berpuas hati dengan layanan dan rawatan di hospital berkenaan selain mendapati tidak timbul sebarang masalah untuk mendapatkan rawatan dialisis di Tanah Suci.

Arif sihat sekembali ke tanah air dan bersyukur kerana berpeluang menjalani ibadat umrah tanpa kesulitan meskipun dia memerlukan rawatan dialisis. Bagaimanapun, Mazlin dan Zahir sering memantau makan minum Arif untuk memastikan tidak timbul permasalahan yang boleh menjejaskan tahap kesihatannya sepanjang bergelar tetamu Allah.

Dua hari sebelum pulang, krew media membuat rakaman Aidilfitri di kediaman seorang warga Malaysia yang sudah bermastautin di Makkah lebih 30 tahun. Norhaita, Arif, Pak Ud, krew media dan beberapa jemaah lain turut berkunjung ke rumah Hajah Sharifah Che Din atau lebih dikenali sebagai Kak Pah dan suaminya, Haji Kamil.

Ikuti catatan saya menerusi kolum ini minggu depan, insyaAllah.

Tags / Kata Kunci: dialisis , Teh Syuhaida , Pak Uda , miqat , Jaaranah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan