Jauhi Sifat Meninggi Diri di Tanah Suci

Diterbitkan: Khamis, 24 Mac 2016 6:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Pangkat, jawatan dan gelaran usah dibawa ke Tanah Suci. Tinggalkan ia di negara asal apabila kita hendak melangkah ke Makkah dan Madinah. Demikian pesan seorang rakan kepada rakan sekerja yang bakal menunaikan umrah pada suatu pagi.

Saya yang ketika itu sedang minum bersama-sama mereka turut bersetuju dengan pesanan rakan saya itu dan turut menasihatkan perkara yang sama.

“Di Tanah Suci semua kita adalah sama. Orang tak kenal dan tak tau pun jika kita ada gelaran dan pangkat. Jangan marah jika orang tak panggil kita dengan gelaran. Kita pun usah pula mengatakan kita ada gelaran tertentu,” pesan saya.

Teringat saya pada kisah seorang sahabat yang seringkali ke Tanah Suci untuk menguruskan jemaah haji dan umrah. Beliau bertugas di sebuah agensi pengendali umrah terkemuka ketika itu.

“Ustaz pernah kena marah  ke dengan jemaah yang menunaikan ibadat haji?” tanya saya pada suatu hari selepas selesai bertugas.

“Biasalah tu hajah. Manusia. Macam-macam ragam. Kita kena banyak bersabar sahaja,” ujar ustaz berkenaan.

“Kejadian apa yang tak boleh ustaz lupa sepanjang mengendalikan jemaah haji dan umrah?” tanya saya lagi.

“Hampir dilempang jemaah wanita…,” kata ustaz tersenyum.

“Hah? Jemaah tu lempang ustaz tak akhirnya?” tanya saya terus.

“Alhamdulillah tak sempat dia nak lempang saya, akhirnya dia dan suami demam sehingga mereka terpaksa ditolak dengan kerusi roda,” ujar ustaz itu lagi.

“Mujur tak lempang ye ustaz. Di Tanah Suci pulak tu, sepatutnya dia kena sabarlah walaupun berdepan dengan macam-macam ujian dan dugaan,” kata saya lagi.

“Ye betul hajah. Entahlah kenapa jemaah meradang dengan saya. Tapi dari pengalaman saya, jemaah akan mudah naik angin jika perut lapar. Bila lapar, ada sahaja yang tidak kena. Jemaah saya itu mengatakan dia bayar lebih jadi perlulah diberi perhatian yang lebih,” ujar ustaz itu lagi.

“Biasalah tu ustaz. Mungkin dah keletihan ada sahaja yang dia tak puas hati dan dipandang semua serba tidak kena,” balas saya.

“Selepas demamnya kebah, jemaah suami isteri itu memohon maaf pada saya. Alhamdulillah berkat kesabaran saya juga, sehingga sekarang kami berbaik,” ujar ustaz itu pula sambil tersenyum lebar.

“Alhamdulillah. Ada hikmahnya,” balas saya ringkas.

“Saya dapat tahu suaminya baru bergelar dato. Jadi, mungkin juga disebabkan gelaran itu mereka agar kasar dengan petugas seperti saya,” ujarnya lagi.

“Tak mengapalah ustaz. Alhamdulillah, mereka sedar apa yang mereka buat dan mohon maaf kepada ustaz selepas itu,” kata saya.

Coretan ini mungkin tidak asing dalam diari seorang petugas, mutawif dan mutawifah yang menguruskan jemaah haji serta umrah.

Hakikatnya, jemaah kadangkala hilang sabar apabila berdepan pelbagai situasi yang boleh mencabar keimanan mereka.

Kadangkala bukan petugas sahaja berdepan dengan pelbagai ragam jemaah tetapi jemaah yang menjadi rakan sebilik juga boleh mencetuskan pelbagai permasalahan.

Sebagai petugas saya seboleh-bolehnya mahu berlaku adil kepada semua jemaah. Saya tidak mahu dipandang memihak kepada seorang dua jemaah kerana boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan mereka.

Ketika bertindak sebagai ketua jemaah pada kunjungan ke Tanah Suci beberapa tahun lalu, seorang daripada jemaah wanita yang turut menyertai rombongan saya adalah ibu kepada seorang selebriti tanah air.

Saya tidak mengenali selebriti itu apatah lagi ibunya. Hanya setelah di Madinah saya mengetahui bahawa jemaah wanita berkenaan adalah ibu seorang selebriti yang namanya sedang meningkat naik di persada seni tanah air.

“Ana tak tau ke teman sebilik akak ibu kepada artis?” soal Hajah Siti (bukan nama sebenar).

“Tak tau langsung kak hajah. Maaflah, Ana bukan kenal artis sekarang. Ramai sangat,” ujar saya spontan.

“Anak dia datang di KLIA. Ana tak perasan ke yang lambai-lambai mama dia,” tanya kak Hajah Siti lagi.

“Tak perasan pulak,” jawab saya tersenyum.

Rakan-rakan sebilik dengan ibu selebriti itu kelihatan rapat pada hari pertama di Madinah.  Mereka dilihat bersama-sama ke Masjid Nabawi dan menziarahi makam Rasulullah dan berkunjung ke Raudah.

Namun esoknya selepas ziarah luar seperti Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan ladang tamar, saya lihat mereka hanya tinggal bertiga sahaja sedangkan sebelum itu, mereka berempat ke mana-mana.

Saya lihat ibu selebriti itu lebih banyak menyendiri manakala tiga lagi rakan sebilik menjauhkan diri. Namun, saya buat tidak faham sahaja dan malas hendak masuk campur urusan mereka walaupun sudah terdengar desas desus mengatakan ibu selebriti itu suka menunjuk-nunjuk.

“Ana tak beli jubah?” tanya ibu selebriti itu pada saya pada suatu malam.

“Adalah sehelai dua. Awak dah beli ke jubah?” tanya saya.

“Saya dan beli tujuh helai jubah. Untuk anak-anak dan diri saya juga,” balas beliau.

“Wah banyaknya,” ujar saya ringkas.

Selesai makan dan bersembang mengenai anaknya, beliau berlalu pergi meninggalkan saya di dewan makan.

Di Makkah, keadaan menjadi semakin ketara. Ibu selebriti itu semakin jauh daripada rakan-rakan sebilik. Terbit juga perasaan simpati apabila tiga rakan sebiliknya semakin menjauhkan diri malah apabila saya bertanya mengenai ibu selebriti itu, mereka mengatakan entah atau tidak tahu.

“Kenapa ye kak hajah dan dua lagi rakan sebilik jauhkan diri daripada ibu selebriti itu?” tanya saya.

“Susah berkawan dengan dia. Ana tak sebilik dengan dia, jadi Ana tak tau,” balas Hajah Siti.

“Iyelah kenapa kak hajah. Ana nak tahu jugalah sebab dia selalu sendirian sahaja walaupun kak hajah dan dua lagi jemaah sebilik dengan dia,” tanya saya terus.

“Bukan apa, kami meluat tengok sikap ibu selebriti itu. Dia nak orang pandang dia macam diva sebab anaknya artis. Dia orang layan dia macam diva juga…susahlah begitu,” cerita Hajah Siti mencuka.

“Oh ye ke? Itu puncanya. Patutlah semua jauhkan diri,” balas saya pula.

“Ye betul. Malas nak layan. Jadi lebih baik buat haluan masing-masing. Nak cakap banyak pun tak elok sebab Tanah Suci,” ujar Hajah Siti lagi.

“Betullah kak hajah. Sabar sajalah,” ujar saya lagi.

Saban malam, ibu selebriti itu makan sendirian. Dia ke masjid sendirian. Berbelanja pun bersendirian. Sesekali jika saya sedang bersarapan atau makan tengah hari atau malam, dia menghampiri saya dan ibu untuk bersembang.

Dia rajin bercerita perihal keluarganya dan perniagaan yang diusahakan. Saya sekadar mendengar dan mengangguk memberi perhatian namun ibu rajin juga mengemukakan pelbagai soalan mengenai keluarganya.

Ketika hari terakhir di Makkah, beliau menggantung kamera di tengkuknya dan ketika hampir mengambil gambar, saya mengingatkannya agar tidak mengambil foto selepas mengerjakan tawaf wada’ sebagaimana pesanan seorang ustaz.

Kadangkala timbul perasaan kasihan melihat dia tanpa teman walaupun pada mulanya, dia ditemani rakan-rakan sebilik. Sekembali ke tanah air, secara kebetulan seorang kenalan lama mengetahui ibu selebriti itu adalah seorang daripada jemaah saya lantas bertanya.

“Ana, betul ke ibu selebriti itu kata semua orang tak layan dia waktu di Makkah. Semua orang jauhkan diri daripada dia. Kenapa ye?” tanya kenalan saya itu penuh kesungguhan.

“Betul. Rakan-rakan sebilik jauhkan diri daripada dia tapi atas sebab apa Ana tidak pula ketahui secara terperinci,” ujar saya yang kurang selesa dengan soalan dikemukakan.

Justeru, usahlah bangga diri dan mengharapkan kita dipandang tinggi di Tanah Suci. Semua kita adalah sama dan yang membezakan hanya ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Ikuti catatan saya minggu hadapan insha Allah.


iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan