Jangan Abai Kehormatan Diri Ketika Di Tanah Suci

Diterbitkan: Khamis, 10 Mac 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Berkunjung ke Tanah Suci Makkah dan Madinah untuk menunaikan ibadat umrah sudah semestinya menjadi impian setiap umat Islam.

Suatu ketika dahulu, tiada sekatan untuk wanita berusia 45 tahun ke bawah mengunjungi Baitullah tanpa mahram tetapi sejak 2013, wanita berusia bawah 45 tahun perlu ditemani mahram sama ada suami, bapa ataupun adik-beradik lelaki.

Masih saya ingat ketika membawa jemaah menunaikan ibadat haji pada Februari 2013, seorang daripada bakal jemaah berusia awal 30-an menangis semahu hati apabila dimaklumkan bahawa tidak boleh ke Tanah Suci kerana tidak ditemani mahram.

Namun, rezeki menyebelahinya dan dia undangan daripada Allah SWT kerana suaminya diberi kebenaran oleh pengetua di sekolah ketika itu untuk menemaninya walaupun sedia maklum bahawa guru amat sukar mengambil cuti jika bukan penggal cuti persekolahan iaitu pada Mac, Mei, November dan Disember.

Beliau akhirnya menunaikan ibadat umrah bersama-sama suami dan anak lelakinya yang baru berusia tiga tahun. Alhamdulillah.

Saban tahun saya lihat golongan wanita lebih ramai menunaikan umrah berbanding lelaki. Pernah saya bertanya kepada seorang ustaz mengapa lebih ramai wanita menunaikan umrah berbanding lelaki.

Secara berseloroh ustaz itu berkata, lebih ramai wanita menerima hidayah dan saya sambut kata-katanya itu dengan senyuman lebar.

Hakikatnya, lelaki selalunya  perlu memikirkan pelbagai tanggungjawab dan tugas di tanah air manakala wanita kadangkala tidak bekerja, bersara awal dan tidak terlalu memikirkan kerjaya sebagaimana lelaki.

Melalui catatan saya kali ini, saya mengimbau pengalaman bersama-sama jemaah wanita yang menunaikan umrah tanpa suami atau mahram kerana wanita sering menjadi perhatian walau di mana saja mereka berada.

Justeru, wanita perlu lebih berhati-hati, bijak mengawal diri, jaga maruah dan kehormatan sekalipun mereka di Tanah Suci. Tidak kiralah sama ada yang muda ataupun sudah berusia 45 tahun ke atas dalam menghadapi godaan.

Biarpun ditemani mahram, wanita perlu menjaga kehormatan diri dan bijak menepis usikan dan godaan lelaki di Tanah Suci. Memang selamat berjalan sendirian ke masjid tetapi pastikan kita tidak mudah melayan dan leka dengan panggilan serta gamitan lelaki.

Ibu saya pernah meninggikan suara dan menyuruh saya keluar dari sebuah bazar di dalam bangunan Safwa Tower Royale Orchid di Makkah apabila lelaki berbangsa Arab yang mengenalkan dirinya sebagai Faizal menyatakan hasrat hati mencari isteri ketiga.

Ketika itu, saya dan ibu berbelanja di bazar berkenaan. Sedang saya asyik memilih jubah, Faizal bertanya ibu saya siapa nama saya dan sudahkah saya berkahwin.

“Ye, dia sudah kahwin. Ada tiga anak,” jawab ibu.

Faizal menggelengkan kepala.

“Berapa umur?” tanya Faizal yang berusia dalam lingkungan awal 40-an dan berasal dari Yemen.

“46 tahun,” jawab saya ringkas.

Sekali lagi Faizal menggelengkan kepala tanda tidak percaya dan bertanya adakah saya berbangsa Arab. Saya mengatakan bahawa datuk saya berketurunan Arab. Beliau nampak gembira dan mengatakan mahu membawa ibu dan saya keluar berjalan-jalan selepas solat Zuhur.

“Ana, keluar sekarang dari kedai. Dia ni (Faizal) tak betul. Tak boleh percaya,” ujar ibu kepada saya.

Saya dan ibu terus keluar dari bazar milik Faizal selepas menjelaskan bayaran jubah beberapa helai yang dibeli. 

Kisah yang saya lalui ini tentu pernah berlaku pada mana-mana wanita di Tanah Suci. Jika kita melayan sudah tentu ia boleh berlarutan dan menjurus kepada perkara yang tidak diingini. Justeru perlu berwaspada.

Kejadian itu membabitkan lelaki berlainan bangsa namun lelaki dari tanah air juga kadangkala tidak kurang menimbulkan masalah kepada jemaah wanita lebih-lebih lagi jika jemaah terbabit belum berkahwin, balu atau janda.

Masih saya ingat ketika membawa jemaah pada 2011, seorang jemaah wanita berusia 35 tahun menjadi perhatian segelintir jemaah lelaki yang pergi ke Tanah Suci bersendirian, iaitu tanpa membawa isteri. Biarlah saya kenali wanita itu sebagai Ain.

Ain cantik dan menarik. Berkulit cerah, bertubuh kecil, bermata bundar dan tidak banyak bercakap. Beliau bekas peramugari dan belum berkahwin. Ain sering menjadi perhatian ramai, terutama lelaki.

Setiap kali beliau pulang dari masjid, ada saja yang memerhati dan menjeling.Di dewan makan juga ramai yang cuba berdamping dengannya. Namun, Ain pandai membawa diri kerana tidak mudah melayan, tambahan pula dia tidak banyak bercakap. 

Ketika di Madinah, gangguan ke atas Ain tidak keterlaluan namun setelah tiba di Makkah, Ain tidak selesa apabila menjadi perhatian segelintir jemaah lelaki. Akhirnya, dia terpaksa melepaskan perasaan tidak selesa itu kepada saya.

“Kak, saya risau sebab ustaz cuba ganggu saya,” ujar Ain pada suatu hari kepada saya.

“Ustaz ada buat apa-apa ke pada awak?” tanya saya.

“Dia tanya pasal peribadi saya dan latar belakang saya. Dia nak kenal dengan saya,” balas Ain.

“Awak cakap apa dengan ustaz?” tanya saya lagi.

“Saya tak layan. Takutlah kak. Ustaz dah kawin,” balas Ain dengan wajah muram.

Dalam hati saya hanya Allah sahaja yang tahu. Tidak sangka ustaz yang dibawa dari Kuala Lumpur dan bertanggungjawab membimbing jemaah menyimpan perasaan terhadap Ain. Sudah tentu Ain terasa tidak selesa dan marah kerana diganggu di Tanah Suci.

“Ain datang sini kali pertama dan niat Ain untuk beribadat,” kata Ain suram.

“Ye, kak faham. Harap Ain sabar. Tak sangka ustaz macam itu,” balas saya.

“Ain pun tak sangka. Setiap hari ustaz duduk di lobi, macam tunggu Ain pula balik dari masjid. Ain tahu ustaz pandang dan kadang-kadang bagi salam. Takkan Ain tak sambut salam dia,” kata Ain yang tinggal di Petaling Jaya, Selangor.

“Ain sabar ye. InsyaAllah tak ada apa-apa. Jangan layan jika ustaz tanya macam-macam. Buat tidak tahu sudah,” pesan saya pada Ain sebelum meninggalkan beliau di lobi sendirian. 

Ketika itu saya dan rombongan hanya tinggal empat hari di kota suci Makkah. Namun, Ain kelihatan muram, terutama ketika hendak berziarah sehingga beliau memakai niqab dan berjubah hitam ketika keluar untuk memastikan jemaah lelaki tidak memerhatikannya.

Pada suatu petang sekembali dari solat Asar saya ternampak ustaz bersama-sama beberapa lelaki duduk berkumpul di lobi. Dalam hati terdetik, sudah tentu mereka menunggu Ain pulang dari masjid. Betul sangkaan saya.

Justeru, saya mengatakan, kasihan pada Ain kerana tidak selesa beribadat di Tanah Suci jika sering diganggu oleh jemaah lelaki. Mereka terdiam seketika. Tiada lagi gelak ketawa kerana wajah berubah tidak semena-mena.

Alhamdulillah, Ain bijak membawa diri dan tidak melayan lelaki yang cuba menggodanya. Namun, bagaimana pula jika wanita tidak pandai menjaga maruah ketika di Tanah Suci, sekali gus mendorong bukan mahram mengambil kesempatan.

Pernah seorang jemaah mengadu pada saya rumah tangga seorang rakannya bergoncang gara-gara suami di tanah air mengetahui  isterinya melayan mutawif dari Indonesia sehingga sanggup meninggalkan ibu sendiri semata-mata mahu mengikut mutawif berkenaan ke Jeddah.

Suami wanita itu sangat kesal dan tidak percaya perkara seumpama itu boleh berlaku di Tanah Suci setelah mengizinkan isteri menunaikan ibadat umrah.

Tidak keterlaluan dikatakan, ada segelintir jemaah wanita yang bebas bergaul dan tanpa segan silu rancak berbual mesra dengan lelaki bukan mahram di Tanah Suci. Jemaah wanita hendaklah menjaga kehormatan diri dan tidak mensia-siakan kepercayaan serta keizinan yang sudahpun diberikan oleh suami apabila melangkah ke Tanah Suci Madinah dan Makkah.

Apa pula kisah yang bakal dipaparkan menerusi kolum ini minggu hadapan? InsyaAllah, jangan lupa mengikutinya.


Tags / Kata Kunci: Baitullah , haji , umrah , Safwa Tower Royale Orchid

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan