Hikmah Doa Di Baitullah

Diterbitkan: Khamis, 3 Mac 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Setiap kali melangkah ke Tanah Suci, pasti ramai yang memohon doa. Bimbang terlupa dengan kiriman doa menyebabkan saya meminta agar sama ada ditulis di dalam sekeping kertas, ditaip dan dicetak, menerusi pesanan ringkas dan terkini whatsapp.

Ramai memohon doa kerana menyedari kunjungan ke tempat paling mustajab berdoa dan memohon segala kebaikan itu segera terjawab atau dimakbulkan oleh Allah SWT. Bagi yang memohon doa, insha Allah saya sampaikan.

Namun, kadangkala ada antara rakan atau kenalan yang tidak tahu saya ke Tanah Suci  tetapi saya teringat mereka secara tiba-tiba sama ada di dalam Masjid Nabawi atau di Baitullah. Lazimnya saya terus mendoakan mereka.

Hebatnya doa di Tanah Suci hanya mereka yang sudah melaluinya lebih mengetahui. Ada yang memperoleh apa yang dihajat dalam sekelip mata. Ada juga yang perlu menunggu untuk beberapa ketika dan tidak kurang juga yang hanya memilikinya setelah sekian lama.

Namun, usah bersedih jika doa dipohon tidak terjawab kerana hanya Allah yang lebih mengetahui setiap yang baik untuk hamba-Nya. Kita hanya berdoa dan usah putus asa untuk bermunajat kepada Maha Esa.

Ibu saya pernah menasihatkan saya mengenai doa dan pesanan itu kadangkala saya sampaikan kepada rakan atau kenalan yang bakal melangkah ke Tanah Suci. Pesan ibu agar kita berhati-hati dengan doa yang dilafazkan dan dipohon kepada Allah.

“Masa ibu pergi haji kali pertama pada 1973, ibu berdoa di depan Kaabah agar mengurniakan ibu seorang lagi anak perempuan. Ibu bersungguh-sungguh berdoa dan begitu berharap doa akan dimakbulkan,” ujar ibu sebelum saya melangkah ke Tanah Suci untuk kali pertama kira-kira 16 tahun lalu.

Alhamdulillah, Allah makbulkan permintaan ibuku dengan mengurniakan seorang cahaya mata perempuan dua tahun kemudian. Namun, ibu diuji dan diduga apabila adikku disahkan berpenyakit jantung berlubang setelah berusia satu setengah bulan.Ujian hebat untuk ibu kerana adikku, Najua, hampir saban bulan dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung dihadapi.

Namun, beliau tetap tabah dan tidak jemu untuk berulang alik ke hospital dan dalam masa yang sama, membawa adikku menjalani pelbagai rawatan alternatif yang disyorkan oleh kawan-kawan. 

Setelah berusia tujuh tahun Najua tidak lagi menjadi tetamu setia Hospital Kuala Lumpur tetapi dia perlu diberi lebih perhatian dan tidak boleh tersilap makan atau minum. Malah, dia juga tidak boleh aktif bersukan dan bermain seperti kanak-kanak seusianya ketika itu.

Ibu tidak henti-henti berdoa dan sering mengirim doa apabila ada saja saudara mara hendak melangkah ke Tanah Suci. Beliau memohon kesihatan yang baik untuk adikku.

Tahun silih berganti dan Najua semakin sihat dan ceria. Alhamdulillah, setelah berusia sembilan tahun, pakar jantung mengesahkan dia tidak perlu menjalani pembedahan tetapi perlu bijak menjaga pemakanan. 

Berkat kesabaran dan doa berterusan, Najua sihat dan mendirikan rumah tangga serta dikurniakan lima cahaya mata sekarang. Saya melihat doa ibu yang berterusan dan ketabahan hatinya yang tidak mengenal putus asa begitu berkesan dalam kehidupan.

Namun pesanannya agar berhati-hati dengan doa menyebabkan saya berfikir panjang dan kesimpulan yang saya buat adalah kita usah keterlaluan meminta sesuatu. Justeru, setiap kali berdoa saya akan selitkan kata-kata ‘jika itu yang terbaik untukku atau si polan’ (pengirim doa).

Ketika berkunjung ke Jakarta, Indonesia pada awal Februari lalu, menitis air mata saya mendengar kisah seorang kenalan yang sangat rapat dengan keluarga saya. Beliau menceritakan pengalaman berdoa di depan Kaabah memohon diberi kesembuhan dan kemampuan untuk kembali bertutur dengan jelas.

Segala-galanya berlaku empat hari sebelum Tante Rusmi berangkat ke Makkah untuk menunaikan umrah bersama-sama suaminya, yang saya panggil Pak Usman. Segala persiapan diatur rapi untuk berangkat ke Baitullah.

“Pada awal pagi Rabu, saya bangun untuk bersolat tahajud. Selesai solat, saya tidur seketika dan apabila azan Subuh berkumandang saya tidak mampu untuk berkata-kata dan terasa perbezaan dalam diri ini. Suami mengejutkan saya untuk solat Subuh tetapi saya tidak mampu berkata-kata dan hanya memberi  isyarat saja.”

“Kenapa ni Mie? Ayuh bangun solat Subuh,” cerita Tante Rusmi mengimbas semula kata-kata suaminya, Pak Usman.

Dia diserang strok. Tubuhnya masih mampu bergerak namun dia tidak mampu berkata-kata dengan jelas.  Keadaan dialami mengundang kesedihan anak-anak. Mereka bergegas membawanya ke hospital.

“Doktor menasihatkan saya agar membatalkan hasrat untuk ke Makkah kerana bimbang saya boleh diserang strok sekali lagi jika tidak dijaga dengan baik,” ceritanya lagi.

“Tante pergi atau tidak akhirnya?” tanya saya tidak sabar.

“Pergi. Semua tidak benarkan tetapi saya cakap, biarkan mami berjumpa Baitullah. Biarkan mami berdoa di depan Kaabah. Mami mahu mengadu pada Allah agar memberi kesembuhan pada mami,” ceritanya dengan air mata mula bergenang di kelopak mata.

Beliau mengumpul segala kekuatan dan bersungguh-sungguh untuk melangkah ke Tanah Suci dalam keadaan yang membimbangkan anak-anak dan doktor pakar yang merawatnya.  Doktor turut menasihatkan Pak Usman agar tidak meninggalkan isterinya sendirian kerana bimbang strok berulang.

Beliau meminta doktor membekalkan ubat-ubatan secukupnya dan mengatakan kepada anak-anak tidak dapat berbuat apa-apa jika hanya duduk di rumah semata-mata. Akhirnya, pada hari Ahad berangkatlah beliau ke Tanah Suci bersama-sama Pak Usman dan sekumpulan lagi jemaah umrah dari Indonesia.

Selesai menyempurnakan tawaf, beliau bersolat sunat tawaf dan berdoa di belakang makam Nabi Ibrahim. Doanya yang panjang memohon kesembuhan menyebabkan beliau tidak sedar sudah ditinggalkan oleh suami dan rakan-rakan wanita di dalam rombongan.

Dia tidak mampu berkata-kata dengan jelas. Dia kerisauan kerana suami dan rakan-rakan tiada di sisi. Malam semakin larut. Hendak pulang ke hotel, beliau tidak berani. Justeru, dia gagahkan diri  untuk bersaie sendirian.

“Takkan saya mahu tunggu mereka. Jadi, saya terus bangun sendirian dan berjalan menuju ke Safa dan Marwah untuk sempurnakan saie. Selesai saie, saya perlu tahalul tetapi gunting dengan Pak Usman,” katanya sedih.

“Saya terlihat sepasang suami isteri warga Indonesia dan menghampiri mereka sambil menunjukkan  isyarat hendak menggunting rambut. Alhamdulillah si isteri membantu mengguntingkan rambut saya,” cerita Tante Rusmi lagi.

Sejurus bertahalul, beliau kembali semula di dataran Kaabah dengan penuh harapan dapat bertemu semula suami atau rakan-rakan serombongan. Beliau berdoa agar Allah menghantar salah seorang jemaah rombongannya untuk membolehkannya pulang ke hotel.

Doanya terjawab apabila seorang lelaki yang turut menyertai rombongannya melintas di depan beliau dan memanggil namanya.

“Pak Usman ada di depan Kaabah. Tunggu sini, nanti saya panggilkan,” ujar Rusmi mengingati semula kata-kata lelaki berkenaan.

Tidak lama selepas itu, datanglah Pak Usman dan membawa isterinya pulang ke hotel berhampiran pada kira-kira jam 3 pagi. Beliau menyangka isterinya ditemani rakan-rakan wanita manakala kawan wanita pula menyangka Pak Usman bersama-sama isterinya. Semuanya terbongkar apabila mereka bersaparan.

Esoknya, pasangan itu beribadat di dalam masjid dan selepas Isyak, Tante Rusmi mengatakan mahu solat tahajud di Masjidil Haram. Justeru, pada kira-kira jam 3 pagi, pasangan itu menuju ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat sunat tahajud dan hajat.

“Pak Usman di depan dan tante di belakang. Tiba-tiba sewaktu menyebut Assalamualaikum warahmatullah, suara tante sudah jelas kembali. Tante menangis kerana tidak sangka dapat mengeluarkan semula suara dengan jelas.

“Tante terus memanggil Pak Usman dan beliau juga menangis ketika mendengar suara tante. Kami menangis semahu hati selepas itu. Bersujud dan bersyukur. Saya terus berdoa diberi kesembuhan,” katanya dengan linangan air mata.

Saya tidak mampu menahan tangisan. Hebat sungguh doa yang dipohon kepada Allah. Dalam tempoh singkat beliau mampu bertutur dengan jelas kembali. Keyakinan dan kesungguhannya ketika berdoa terjawab dalam masa yang singkat. Alhamdulillah.

Ikuti catatan saya minggu hadapan, insyaAllah.

Tags / Kata Kunci: strok , Baitullah , Nabi Ibrahim , Makkah

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan