Bantuan Yang Esa Di Saat Susah

Diterbitkan: Khamis, 18 Februari 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Cerita mengenai alat hawa dingin di dalam bas kurang berfungsi, bas agak kotor dan kurang selesa sering kita dengar dan saya juga pernah memaparkan kisah mengenai keadaan bas yang agak panas hingga menyebabkan ketidakselesaan kepada jemaah ketika perjalanan dari Madinah ke Makkah.

Namun, ada jemaah yang umpama tidak ambil peduli keadaan bas dan ada juga yang begitu cerewet apabila mendapati bas dinaiki tidak memenuhi kehendak mereka.

Hakikatnya, bukan setiap bas yang kita naiki ketika perjalanan dari Jeddah hingga kedua-dua Tanah Suci menjanjikan keselesaan 100 peratus. Jika diperhati, tentu ada yang menimbulkan perasaan tidak puas hati.

Mungkin bas yang menyambut kedatangan kita di terminal haji serba selesa tetapi tiba-tiba apabila hendak ziarah di kota Madinah, bas lama menunggu di hadapan lobi hotel penginapan. Mungkin juga ketika hendak berangkat ke Tanah Suci Makkah, bas yang dinaiki pula tidak selesa dan alat hawa dingin pula kurang berfungsi dengan baik. 

Semua itu pastinya menuntut kesabaran daripada setiap jemaah. Paling mencabar jika bas yang disediakan untuk berangkat ke Makkah bagi menyempurnakan umrah kurang selesa, mungkin sempit dan bas lama.

Bas terlalu dingin juga menyebabkan jemaah tidak dapat melelapkan mata. Situasi ini berlaku ketika saya berkunjung ke Tanah Suci pada tahun lalu kerana bas terlalu sejuk walaupun alat hawa dingin sudah dikecilkan tetapi jemaah masih menggigil kesejukan.

Secara kebetulan saya tertinggal ‘shawl’ di dalam beg bimbit yang sudahpun dimuatkan di bawah perut bas, jadi tidak berpeluang mengambilnya sehinggalah  bas singgah di kawasan rehat dan rawat dalam perjalanan kami di antara Jeddah ke Madinah.

Paling lucu apabila seorang jemaah menyangka hanya dia sendirian yang terpaksa menahan kesejukan, manakala orang lain tidak.

Saya tertawa kecil dan mengatakan: ‘Kak Ana juga sejuk Ann. Bukan awak seorang.”

“Oh ingatkan Ann seorang je yang sejuk. Nak bagi tahu jemaah lain tapi bimbang juga sebab ingat ujian untuk Ann saja,” katanya sambil ketawa.

Sejurus bas berhenti di kawasan rehat dan rawat, semua jemaah terasa lega dapat menghirup udara luar yang lebih nyaman dan segar berbanding udara di dalam bas yang menyebabkan semua menggeletar.



Kami saling tersenyum dan tertawa. Sebelum menaiki bas semula, ada jemaah mencadangkan agar alat hawa dingin dimatikan untuk sementara waktu dan dibuka semula selepas satu jam. Kami semua setuju.

Namun begitu, kunjungan saya untuk menunaikan umrah pada Disember 2015 menjanjikan pengalaman menaiki bas yang serba selesa. Sejak dari ketibaan di terminal haji hinggalah ke hari berangkat pulang ke tanah air, bas dinaiki cukup selesa.

Pemandu berhemah dengan keadaan bas serba bersih, selesa, masih baru dan alat hawa dingin nyaman. Itu yang boleh saya katakan. Sukar memperoleh pengalaman mendapat bas yang serba baik dari awal hingga akhir. 

Segala puji kepada Allah. Bertuah jemaah ketika itu. Memang tiada seorang pun mengadu atau mengeluh mengenai keadaan bas disediakan. Semua tampak gembira.

Namun di sebalik semua itu, terselit cerita yang benar-benar menguji kesabaran, ketegasan dan pertimbangan saya sebagai ketua jemaah ketika itu. Tidak seorang jemaah pun tahu mengenai kegusaran dan kesulitan saya sebelum meninggalkan kota suci pada tanggal 19 Disember 2015.

Selepas solat Isyak 18 Disember 2015, saya memberi taklimat berangkat pulang kepada jemaah. Antara lain yang saya tekankan ialah mengenai bagasi besar perlu diletakkan di luar pintu bilik pada 19 Disember, jam 11 pagi dan jemaah perlu tunaikan tawaf wada’ pada jam 2.30 petang, iaitu selepas solat Zuhur dan makan tengah hari.

Saya meminta jemaah berkumpul di lobi pada jam 4.00 petang kerana bas dijadualkan tiba pada jam 4.30 petang. Walaupun penerbangan pulang ke tanah air ialah pada jam 2.30 pagi, 20 Disember, tetapi saya bercadang singgah di masjid terapung atau Masjid Ar-Rahmah di Jeddah sebelum ke terminal haji. 

Hakikatnya, kita hanya mampu merancang. Hanya Allah SWT yang menentukan segala-galanya. Lawatan singkat ke masjid terapung tidak kesampaian apabila bas yang ditunggu tidak tiba tepat pada waktu sehingga menyebabkan saya hampir hilang kesabaran dengan mutawif yang bertanggungjawab menguruskan pengangkutan kami sepanjang di Tanah Suci.

Tepat jam jam 4.15 saya menghubungi Adi.

“Assalamualaikum,” ucap saya.

“Waalaikumsalam,” balas lelaki yang menjawab telefon dan ternyata bukan Adi.

“Adi ada?” tanya saya ringkas.

“Sedang tidur,” balas beliau.

“Hah? Tidur? Kejutkan dia sekarang juga dan bagitahu saya tunggu di depan hotel untuk berangkat pulang pada jam 4.30 petang ini,” tegas saya.

“Baiklah Ibu. Saya maklumkan,” katanya.

Tepat jam 4.30 petang, Adi berdiri di depan saya. Lantas saya bertanya adakah bas akan datang sedikit masa lagi.

“Bas sampai insyaAllah selepas Maghrib,” kata Adi.

“Hah? Kenapa lambat? Tak boleh macam ni,” balas saya.

“Bas yang sepatutnya datang jam 4.30 petang tiada. Jadi ada bas tapi lepas Maghrib. Jadi jemaah kakak boleh naik bas selepas Maghrib,” balas Adi.

“Tidak. Bas mesti datang sebelum Maghrib. Mereka sudah tawaf wada’. Tidak boleh ke masjid lagi untuk solat Maghrib,” balas saya pula.

“Ya. Boleh saja solat di lobi hotel untuk solat Maghrib nanti,” katanya lagi.

“Tidak. Bas mesti sampai sebelum Maghrib. Kamu mesti pastikan ada bas untuk jemput kami ke Jeddah sebelum Maghrib,” tegas saya lagi.

“Tidak boleh. Jalan sudah tentu ditutup sebelum Maghrib. Jadi bas sampai selepas solat Maghrib,”  katanya berkali-kali.

“Saya tidak peduli. Kamu yang bagi tahu bas sampai jam 4.30 petang. Jadi kakak sudah suruh jemaah tawaf wada’ jam 2.30 petang. Jika hendak keluar lepas Maghrib, tidak perlu tawaf wada’ lebih awal. 

Kasihan pada jemaah. Kamu tidak kasihan pada jemaah ya?” tanya saya.

“Kamu kena ingat, jika jalan sesak sebab hari ini Sabtu dan kami terlepas pesawat, siapa mahu tanggung kos pulang ke Malaysia?” leter saya dengan tegas.

“Ya, insyaAllah kakak. Kita usaha dapatkan bas sebelum Maghrib,” balas beliau sambil menghembus asap rokok.

Adi nampak stres dengan asakan pertanyaan saya yang bertubi-tubi mahu pulang mengikut jadual ditetapkan kerana bimbang kesesakan lalu lintas ke Jeddah boleh menimbulkan masalah dan kelewatan.

Dia meminta saya memahami keadaan dialami tetapi saya tetap dengan pendirian agar bas tiba sebelum waktu Maghrib demi kepentingan jemaah yang sudah menunggu di lobi hotel Retaj As-Safwah dan Le Meridien.

Kami berbual di depan hotel Saraya Ajyad yang tidak jauh dari hotel Retaj As-Safwah. Saya tidak mahu jemaah mengetahui masalah yang sedang dihadapi dan berusaha menyelesaikan dengan baik. 



Dalam masa yang sama, jemaah mula menuju ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat Maghrib pada jam 5.41 petang. Hati saya gusar manakala Adi pula tidak tenang, asyik dengan telefon bimbit dan rokok.

Tepat jam 5.20 petang, sebuah bas besar berwarna biru cair berhenti di depan hotel Saraya Ajyad. Adi meluru ke pemandu bas manakala saya pula di bahagian pintu depan bas sejurus jemaah Indonesia turun seorang demi seorang. 

Bas itu cukup cantik, besar, selesa dan masih baru. Kedengaran Adi bercakap dengan pemandu bas. Namun entah apa yang diperkatakan, saya kurang dengar.

“Ibu mahu ziarah ke Jeddah?” tanya pemandu bas itu sambil menoleh ke arah saya.

“Tidak. Mahu ke terminal haji dan pulang ke Malaysia,” balas saya ringkas.

“Mana jemaah ibu?” tanya pemandu bas itu.

“Semua sedang tunggu di lobi,” ujar saya pula.

“Panggil sekarang. Cepat,” pinta pemandu bas itu.

Sejurus itu saya bergegas menuju lobi Retaj As-Safwah dan meminta semua jemaah menaiki bas berkenaan. Dalam masa yang sama, saya menghubungi jemaah di Le Meridien untuk bergerak ke bas yang sedia menanti.

Tepat jam 5.35 petang, kami meninggalkan kota suci Makkah setelah semua urusan bagasi selesai dimuatkan di dalam perut bas dengan bantuan kakitangan hotel. Alhamdulillah.



Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Adi dan pemandu bas yang juga berbangsa Indonesia. Bantuan daripada Allah SWT datang tanpa disangka-sangka. Kata-kata saya adalah doa kerana bas datang di depan mata 20 minit sebelum azan Maghrib berkumandang.

Yakinlah, jika Allah menjemput kita sebagai tetamu-Nya, bantuan daripada-Nya tentu ada. Segala puji bagi Allah.

Apa pula yang berlaku di dalam bas dan terminal haji sebelum kami berlepas pulang ke tanah air? 

Ikuti catatan saya pada minggu hadapan, insyaAllah.


Tags / Kata Kunci: Masjid Ar-Rahmah , Jeddah , Retaj As-Safwah

iklan

Video

Jumaat, 28 Julai 2017 8:18 PM

Tautan Kasih Siti Saleha & Lutfi

Jumaat, 28 Julai 2017 3:00 PM

Zahid Terpaksa Kerja Keras!

Jumaat, 28 Julai 2017 12:24 PM

Atmosfera Tak Cukup Popular?

Jumaat, 28 Julai 2017 9:00 AM

#akuStar: Najwa Latif - KAMU

Khamis, 27 Julai 2017 3:00 PM

Aksi Separuh Bogel Tu Kisah Lamalah!

Khamis, 27 Julai 2017 12:30 PM

Mal Imran Artis Bermusim?

Khamis, 27 Julai 2017 9:00 AM

Panas! Hisyam Hamid & Aaron Aziz Bergaduh?

Rabu, 26 Julai 2017 3:46 PM

Saya Bukan Artis Murahan! - Elvina

Kolumnis

iklan

Iklan