Mimpi Terjawab Sebaik Tiba Di Destinasi

Diterbitkan: Khamis, 28 Januari 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Lazimnya, berziarah ke sekitar kota Madinah tidak diadakan pada Jumaat kerana bimbang tidak sempat sampai semula ke hotel bagi menunaikan solat Jumaat. Ziarah di Madinah selalunya membabitkan Masjid Quba’, Jabal Uhud dan makam syuhada’, ladang tamar dan melalui Masjid Qiblatain.

Mengikut itinerari yang disediakan oleh eksekutif umrah TM Tours, Nor Haita, ziarah akan diadakan pada Sabtu dan selepas solat Zuhur pada hari yang sama, kami berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan umrah.

Justeru, saya mendapatkan pandangan daripada Ustaz Abdullah yang bertanggungjawab membawa rombongan kami menziarahi sekitar Madinah.

“Ustaz boleh ke ziarah pada Jumaat,” tanya saya sejurus menghubungi beliau menerusi telefon bimbit.

“Boleh kak. Tapi syaratnya kita kena keluar awal untuk memastikan kita dapat balik segera ke hotel untuk bersiap-siap pula ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat,” balas Ustaz Abdullah yang mula saya kenali ketika berkunjung ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah pada Mei 2015.

“Oh ye ke ustaz? Akak ingat tak boleh ziarah pada Jumaat. Tak pernah pula ziarah pada Jumaat di Madinah dan Makkah. Boleh ye ustaz?” tanya saya sekali lagi untuk meyakinkan diri.

“Ye boleh kak. Di Madinah insha Allah boleh ziarah pada Jumaat tetapi di Makkah lain pula,” balas beliau.

“Dalam aturcara, ziarah pada Sabtu dan selepas itu kami kena siap-siap pergi ke Makkah pula,” ujar saya lagi.

“Jika begitu kelam kabut nanti. Jemaah lebih penat sebab selepas ziarah dah kena bersiap-siap untuk ke Makkah. Lebih sesuai pergi Jumaat kak. Pastikan mereka berkumpul di lobi jam 7.30 pagi dan InsyaAllah kita gerak jam 8 pagi. Hari Jumaat kurang orang, lebih mudah untuk ziarah. Jika Sabtu selalunya ramai dan sesak juga di sekitar tempat ziarah,” ujar ustaz Abdullah panjang lebar. 

“Baiklah ustaz. Terima kasih. Sekejap lagi, kakak maklumkan pada jemaah mengenai pertukaran tarikh ziarah luar di Madinah,” balas saya memberi persetujuan.

Alhamdulillah, jemaah akur dengan perubahan itu malah mereka juga terasa lebih sesuai jika ziarah diadakan pada Jumaat dan bukan Sabtu.

Esoknya, sesudah sarapan, semua jemaah berkumpul di lobi hotel Jawharat Fayroz untuk berziarah. Semua tampak ceria, segar dan berseri-seri.

Seperti dijadualkan, kami berangkat ke Masjid Quba’ yang menjadi destinasi pertama ziarah pada hari berkenaan. Ustaz Abdullah memberi tazkirah kepada jemaah sepanjang perjalanan mengenai sejarah Madinah, khususnya Masjid Quba dan kebaikan menziarahi masjid berkenaan, yang menjadi masjid pertama didirikan oleh Nabi Muhammad S.A.W dan sahabat apabila tiba di Madinah.



Pada kira-kira jam 8.30 pagi, kami tiba di Masjid Quba’. Ustaz Abdullah dan jemaah lelaki menuju ke ruang solat lelaki manakala saya pula membawa jemaah wanita ke pintu solat wanita. Pagi yang cerah tetapi nyaman kerana kedinginan musim sejuk membangkitkan keselesaan pada setiap jemaah.

“Saya tunggu semua jemaah di pintu depan ni ye,” ujar saya ringkas kepada jemaah yang mahu menunaikan solat tahiyatul masjid, solat dhuha dan solat sunat yang lain.

Mereka mengangguk dan terus menuju ke ruang solat. Lengang. Itu yang boleh saya gambarkan. Tidak sesak seperti biasa. Betullah kata-kata Ustaz Abdullah bahawa Jumaat memang tidak ramai jemaah. Alhamdulillah.

Ketika menunggu jemaah di muka pintu masjid, seorang wanita berbadan gempal berusia dalam lingkungan 30-an duduk di sebelah saya.

Saya memerhati sahaja gelagat seorang anak kecil di depannya. Sesekali saya mencuit pipinya. Dia lantas meriba anak kecil itu dan saya pun membuka mulut untuk bertanya.

“Awak dari mana?” tanya saya ringkas.

Dia tidak menjawab soalan saya tetapi memandang tepat ke wajah saya dengan muka yang agak cemas dan cuak.

“Em…ah,” itu saja yang keluar daripada mulutnya.

“Awak dari mana?” tanya saya sekali lagi.

“Malaysia,” balas wanita itu ringkas.

“Oh samalah kita. Kakak pun dari Malaysia,” balas saya pula.

“Oh ye ke?” tanya dia pula.

“Kakak dari Kuala Lumpur. Kenapa awak macam takut je?” tanya saya.

“Saya ingat kakak orang sebelah sini…”ujar beliau.

Saya tertawa kecil. 

“Tak, kak dari Malaysia juga. Bawa jemaah TM Tours sambil menunjukkan raket badminton di dalam genggaman yang dijadikan sebagai penanda ketika berziarah.

“Oh… saya terkejut tadi masa kakak tanya saya sebab saya ingat orang luar tapi tiba-tiba cakap bahasa Melayu,” katanya tertawa kecil.

“Patutlah awak tak jawab soalan kakak mula-mula,” balas saya pula sambil tersenyum.

Kami berbual seketika sehingga dia meminta diri untuk bersama-sama keluarganya yang sudahpun selesai solat. Seorang demi seorang jemaah yang saya bawa selesai solat dan saya minta mereka tunggu di bawah sebatang pohon yang menjadi tempat berkumpul semua jemaah sesudah bersolat. 


Selesai semuanya, kami bergerak pula ke ladang tamar dan di situ selalunya ramai yang berbelanja membeli tamar, buah-buahan kering, minyak zaitun, gula-gula dan coklat. Lazimnya jemaah sering membangkitkan soalan yang sama setiap kali sebelum menziarahi ladang tamar. Antara soalan dikemukakan ialah hendak membeli tamar di mana dan mengapa di pasar lebih murah berbanding di ladang tamar.

Jawapan yang saya berikan adalah berikut, membeli di ladang tamar selalunya lebih segar kerana tamar yang masih baru berbanding di pasar yang tamarnya sudah lama dan kering. Sebab itu jugalah, tamar di ladang lebih mahal berbanding di pasar.

Namun, di ladang tamar juga sekarang ada beberapa gred tamar ajwa dan ambar, sekali gus memudahkan jemaah untuk membuat pilihan. Saya juga sering berpesan kepada jemaah tamar dan buah-buahan kering elok dibeli di Madinah kerana lebih murah dan segar. Di Makkah juga ada tetapi harganya agak tinggi kerana dibungkus dengan cantik.



Sebahagian besar jemaah berbelanja. Selepas itu kami menuju ke Bukit Uhud dan menziarahi makam syuhada’. Di situ juga, ramai jemaah berbelanja membeli daun-daun kering yang boleh dijadikan ubat-ubatan.

Selesai ziarah di Uhud, bas bergerak pulang ke hotel dan dalam perjalanan kami melalui masjid Qiblatain atau masjid dua kiblat.

Alhamdulillah, perjalanan yang bebas daripada kesesakan menyebabkan kami tiba jam 10.30 pagi di depan hotel Jawharat Fayroz. Semua naik semula ke bilik masing-masing untuk membersihkan diri dan seterusnya menunaikan solat Jumaat.

Saya yang masih uzur hanya duduk di dalam bilik dan mengagihkan tamar ajwa dan ambar yang dipesan oleh jemaah daripada mutawif iaitu pelajar Malaysia.

Sesudah menikmati makan tengah hari bersama-sama jemaah, saya memulakan tugasan untuk mencari sekumpulan jemaah TM Tours seramai 16 orang yang tinggal di hotel Manazel Muhajirin.

Saya diminta menemui mereka sebelum berangkat ke Makkah pada Sabtu iaitu esoknya. Namun di mana sebenarnya hotel berkenaan? Saya sendiri tidak tahu dan tidak mampu menggambarkan lokasi sebenar.

Justeru, selepas berjalan dan mencari kira-kira 45 minit, saya terlihat hotel Manazel Muhajirin setelah bertanya beberapa warga Indonesia dan peniaga kecil di sekeliling masjid Nabawi. Suatu tempat yang begitu asing bagi saya. 

Saya tidak malu bertanya walaupun terbit sedikit kebimbangan dalam diri namun segala perasaan itu saya lontarkan jauh-jauh untuk memastikan saya dapat bertemu jemaah di hotel berkenaan. 

Mulanya saya sangka di sekitar tanah perkuburan Baqi’ tetapi melihatkan sekitar kawasan itu dalam pembinaan, saya terus berjalan sehinggalah bertemu persekitaran hotel yang tidak pernah saya lalui sepanjang menunaikan umrah ataupun haji.

Alhamdulillah, setibanya saya di lobi hotel yang tersergam luas itu, saya ternampak pemilik agensi pelancongan dari Kedah, Haji Wan, yang bertanggungjawab membantu membawa 16 jemaah TM Tours bersama-sama jemaah beliau.

“Assalamualaikum Wan,” ucap saya.

“Waalaikumsalam. Lah kak. Seorang saja ke?” tanya beliau.

“Iyelah, seorang saja ni,” balas saya.

“Besar hotel ni tapi jauh nak sampai ke sini,” ujar saya.

“Untuk lelaki mudah kak. Dekat sahaja,” katanya.

“Tapi untuk perempuan jauh, lebih-lebih lagi nak pergi ziarah makam dan Raudah,” balas saya pula.

Beliau tersenyum dan terus rancak berbual dengan beberapa jemaah di depannya.

“Kak nak jumpa jemaah. Jadi nak duduk di lobi saja. Mesti sekejap lagi mereka turun nak pergi solat Asar, insyaAllah bolehlah jumpa,” kata saya lagi.

Tepat jangkaan saya. Dalam pada berbual dengan Haji Wan, seorang demi seorang jemaah TM Tours keluar dari lif. Saya mengecam mereka melalui beg yang digalas di bahu. Saya lantas memperkenalkan diri kepada mereka dan memohon mereka tunggu di lobi hotel berkenaan pada keesokan hari (Sabtu) pada kira-kira jam 2.30 petang untuk berangkat ke Makkah bersama-sama 20 lagi jemaah yang tinggal di Jawharat Fayroz.

Mereka tampak lega setelah menemui saya pada petang itu. Selesai Asar, saya berjalan pulang ke hotel penginapan. Sekali lagi saya berjalan sendirian dan setelah kira-kira setengah jam, saya tiba di depan hotel Jawharat Fayroz.

Itu kali pertama saya berjalan mengelilingi seluruh kawasan luar Masjid Nabawi. Biarpun penat namun hati saya puas kerana dapat mengelilingi seluruh kawasan luar masjid berkenaan dalam kedinginan senja.

Dalam perjalanan itu juga saya mengetahui jumlah keseluruhan pagar yang mengelilingi masjid berkenaan. Ada 40 semuanya. Ketika menghayun langkah, pelbagai perkara bermain dalam fikiran saya ketika itu dan satu daripadanya adalah mimpi sejurus pulang dari mengerjakan ibadat haji pada Oktober 2015.



Dalam mimpi itu saya ditanya oleh seseorang berapakah jumlah pintu pagar di sekeliling Masjid Nabawi dan saya tidak mampu menjawabnya. Namun, selepas bertemu jemaah di hotel Manazel Muhajirin, saya ada jawapannya.

Esoknya, apabila menghubungi Ustaz Abdullah sebelum saya dan rombongan jemaah berangkat ke Makkah, saya bercerita pengalaman berjalan ke hotel Manazel Muhajirin dan beliau terkejut apabila mengetahui saya berjalan ke hotel berkenaan.

“Kak, kenapa tak bagi tau saya nak pergi ke sana? Boleh saya dan mutawif hantar naik kereta,”ujar  Ustaz Abdullah.

“Kakak ingatkan dekat ustaz, rupa-rupanya jauh. Tak mengapalah ustaz. Alhamdulillah selamat dan selesai semuanya,” balas saya lagi.

Selepas solat Zuhur, semua jemaah bergegas ke dewan makan untuk makan tengah hari dan selepas itu naik ke bilik hotel untuk bersiap-siap berpakaian ihram dan seterusnya berangkat ke Bir Ali untuk menunaikan solat sunat ihram dan melafazkan niat ihram umrah.

Ikuti catatan berikutnya pada minggu hadapan, insyaAllah.



Tags / Kata Kunci: Jabal Uhud , Masjid Qiblatain , TM Tours , Makkah

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan