Nasihat Che Nyah Berbekas Di Hati

Diterbitkan: Khamis, 21 Januari 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Setelah tiba di Madinah pada tengah hari 10 Disember 2015, sebahagian besar jemaah bergegas menuju ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat Zuhur berjemaah. Begitu juga jemaah sebilik saya, Cikgu Senah dan ibunya makcik Salbiah yang berasal dari Sarawak.

Saya pula tidak berpeluang bersama-sama mereka kerana keuzuran. Sememangnya terasa sedih jauh di sudut hati namun ia adalah fitrah sebagai wanita dan tidak mampu mengelaknya. Saya redha.

Apabila mengalami keuzuran ketika di Tanah Suci, saya tidak mengeluh tetapi berdoa agar dapat menyempurnakan umrah kerana yakin pasti ada hikmah di sebalik setiap yang dilalui.

Lazimnya jemaah wanita bertanya pernahkah saya mengambil ubat-ubatan untuk menahan haid dan saya katakan tidak pernah mengambilnya. Selalunya, jika hendak melewatkan kedatangan haid saya baca ayat satu surah al-Masad dan berselawat tiga kali.

Jika sudah didatangi haid, maka perbanyakkan doa dan meminta jemaah lain mendoakan kita agar dapat menyempurnakan umrah sebelum pulang ke tanah air. Tidak dinafikan ramai wanita yang akan bertanya perihal kedatangan haid di Tanah Suci dan bimbang haid mereka berpanjangan.

Pesan saya kepada mereka agar tidak terlalu stres dan memikirkan kedatangan haid kerana ia adalah fitrah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada setiap wanita. Jika terlalu stres, dikhuatiri haid boleh berterusan, sekali gus menjejaskan keseluruhan ibadat di Tanah Suci.

Ketika menunaikan umrah pada 2008, saya didatangi haid. Sebelum itu, kunjungan saya ke Tanah Suci tidak pernah terhalang kerana keuzuran dan memudahkan saya untuk ulang alik ke masjid bersolat jemaah.

Namun, pada tahun berkenaan, saya terasa sangat sedih kerana halangan keuzuran menyebabkan saya tidak berpeluang ke Masjid Nabawi ketika tiba di Madinah. Kesedihan itu saya turut kongsikan dengan ibu sahabat saya, yang menyertai rombongan umrah ketika itu.

Sahabat saya itu, Mona bersama-sama ibunya, Che Nyah antara 45 jemaah yang menyertai rombongan umrah pada waktu itu.

“Cik…Ana tak dapat solat. Harap keuzuran ini tidak berpanjangan,” ujar saya dengan nada hampa.

“Samalah awak dengan Mona…” balas beliau yang pernah bertugas sebagai guru.

“Emm. Sedihlah tak dapat beribadat bila datang sini. Terasa rugi sangat,” sambung saya lagi melontarkan kekecewaan.

“Jangan ingat macam tu…. Banyak lagi yang boleh Ana buat,” ujarnya lagi.

“Iyelah tapi tak dapat solat…”balas saya pula.

“Usah ingat solat saja sebagai amal ibadat. Banyak lagi yang boleh dilaksanakan. Berzikir, tolong orang dan banyak lagi perkara baik-baik yang Ana boleh buat,” katanya lembut.

“Baiklah makcik,” balas saya ringkas yang masih dalam keadaan kecewa dan hampa.

“Doa saja. Insha Allah dikabulkan. Jangan susah hati dan kecewa,” sambung makcik Nyah lagi.

“Terima kasih makcik,” balas saya terus.

“Itu juga yang makcik bagitahu pada Mona. Jangan kecewa kerana macam-macam yang awak dan dia boleh buat,” pujuk makcik Nyah lagi.

Gambar Hiasan

Saya dan Mona mendengar penuh tekun dan tersenyum selepas beliau selesai menasihati kami. Betul cakap makcik Nyah. Pesanan dan nasihat beliau terpahat sehingga sekarang.

Justeru, setiap kali apabila terhalang disebabkan keuzuran, saya tidak mengeluh mahupun tertekan kerana banyak lagi yang boleh dilakukan di Tanah Suci untuk memperoleh ganjaran.

Ketika kunjungan pada tahun itu, adik lelaki saya membawa tiga anaknya yang masih kecil. Secara kebetulan kunjungan mereka ke Tanah Suci adalah untuk kali pertama. Justeru, mereka mahu merebut peluang semaksimum boleh untuk ke Masjid Nabawi.

Justeru, saya menjaga ketiga-tiga anaknya setiap kali mereka ke Masjid Nabawi untuk solat berjemaah. Alhamdulillah, halangan saya itu memudahkan adik saya dan adik ipar saya untuk menunaikan solat berjemaah dan menziarahi Rasulullah S.A.W.

Hakikatnya, pesanan dan nasihat makcik Nyah itu juga sering saya sampaikan kepada jemaah wanita yang mengalami keuzuran di Tanah Suci Makkah atau Madinah. Saya katakan kepada mereka, banyak lagi amal yang boleh dilakukan jika terhalang dengan keuzuran.

Lazimnya, ketika uzur saya lebih gemar duduk di perkarangan masjid terutama pada waktu Maghrib dan Isyak. Namun, pada waktu Zuhur atau Asar, saya duduk di lobi hotel bersama-sama wanita lain yang turut mengalami keuzuran.

Secara kebetulan ketika solat Asar, saya berjumpa dengan seorang wanita berusia lingkungan 30-an.

“Kakak tak pergi masjid ke?” tanya wanita itu.

“Uzur,” balas saya ringkas.

“Samalah macam saya,” ujarnya dengan nada kecewa.

“Saya harap tidak berpanjangan kerana lusa saya hendak pergi ke Makkah,” balasnya penuh mengharap.

“Mudah-mudahan. Doa…” ujar saya.

Beliau ramah bercerita dan menyatakan kesedihannya kerana kunjungan kali pertama ke Tanah Suci dan tidak dapat ke masjid bersama-sama jemaah lain serta suami untuk bersolat.

“Sabarlah. Insha Allah dapat tunai umrah nanti. Jangan putus asa. Teruskan doa. Suruh suami doakan awak,” pujuk saya.

“Sedihlah kak sebab kali pertama datang dan tak jangka pula akan uzur,” katanya lagi.

“Kadang-kadang haid boleh cepat sebab kita aktif bergerak, makanan yang kita ambil ataupun tertekan,” kata saya pula.

“Itulah yang sedih tu.  Tak tau nak buat macam mana lagi kak,” balas ibu dua anak itu.

“Awak ada ambil ubat ke?” tanya saya.

“Ada. Tapi entahlah kenapa haid datang juga,” balasnya kecewa.

“Nak buat macam mana kan. Sabar sajalah. Kak dulu pun sedih juga bila datang haid tapi sebenarnya banyak lagi perkara baik yang kita boleh buat,” ujar saya.

Beliau memberi sepenuh perhatian kepada setiap percakapan saya.

“Awak boleh tolong orang lain. Awak datang dengan siapa lagi?” tanya saya.

“Dengan suami dan kakak ipar,” balasnya.

“Awak boleh tolong kakak ipar atau suami. Contohnya, lipat pakaian mereka dan uruskan keperluan mereka jika mereka hendakkan bantuan. Malah, awak boleh tolong sesiapa saja di kalangan jemaah. Banyakan berzikir atau bersedekah. Itu juga amalan dan insha Allah ada ganjarannya,” pesan saya pula.

“Insha Allah kak. Terima kasih. Kak selalu datang ke?” tanya dia pula.

“Alhamdulillah. Kadangkala uzur juga tetapi kakak selalu fikir mesti ada hikmah dan ini beri peluang untuk kita buat amal ibadat lain selain daripada solat,” ujar saya.

“Emm. Kak dah selalu datang, jadi tak kisahlah jika uzur pun. Kak ada ambil ubat tak?” tanya wanita itu yang masih lagi kelihatan hampa.

“Bukan macam itu. Dulu kak seperti awak juga. Kecewa, hampa dan sedih. Tapi kita kena ingat tentu ada hikmah. Kak tak pernah ambil ubat. Kita perlu fikir positif. Jangan buruk sangka pada Allah. 

Banyakkan berdoa dan berzikir,” pesan saya lagi.

“Selalu kak duduk di lobi ke jika uzur?” tanya beliau.

“Selalu akak duduk di perkarangan masjid. Tak kiralah di Madinah atau Makkah. Kak tak suka duduk dalam bilik atau di lobi. Terasa segan juga jika duduk di lobi sahaja. Jadi lebih baik duduk di pekarangan masjid terutama waktu Maghrib dan Isyak. Terasa lebih selamat dan selesa. Orang solat kita berzikir. Selesai solat, kita berdoa,” balas saya.

“Elok ye duduk di masjid daripada di lobi. Betullah,” ujar beliau.

“Dahlah jangan sedih. Terimalah dengan redha,” pujuk saya sambil tersenyum.

“Baiklah kak. Insha Allah. Terima kasih kak,” balas beliau.

Dalam pada masa yang sama, seorang demi seorang jemaah memasuki ruang lobi Hotel New Shourfah menandakan tamat sudah solat Asar berjemaah pada petang itu.

Wanita itu memohon diri untuk naik ke kamar hotel sejurus melihat kakak iparnya memasuki ruang lobi. Sebelum jemaah semakin memenuhi lif, saya juga naik ke bilik penginapan.

Ikuti catatan saya pada minggu hadapan, insyaAllah.

Tags / Kata Kunci: Masjid Nabawi , Che Nyah , Hotel New Shourfah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan