Pentingnya Adab, Budi Pekerti Sebagai Wartawan

Diterbitkan: Rabu, 20 Januari 2016 6:48 PM

(Ubah saiz teks)

PENULIS menyertai bidang kewartawanan, salah satu cabang persuratan yang diminati di awal 1970an.

Sejak dari awal, pengarang dan pemilik akhbar di mana penulis bertugas mengingatkan bahawa kebebasan akhbar ada hadnya. Jika leka, ia boleh mengakibatkan pembatalan lessen penerbitan. Dan ini berlaku di sekitar 1987 kepada beberapa akhbar popular.

Sejak awal juga penulis diberitahu bahawa bidang kewartawanan, seperti jurusan profesional lain, mempunyai tatasusila yang tidak sepatutnya dikompromi.

Dalam erti kata lain, seseorang yang bergelar wartawan atau pemberita mesti mengikut adab yang termaktub dalam kerjaya itu.

Sebelum pembaca terkeliru, penulis ingin menyatakan bahawa tatasusila kewartawanan bukanlah undang-undang yang terpahat di batu granit untuk menyukarkan kerjaya mereka yang menyertai bidang ini.

Ia lebih cenderung kepada dasar dan panduan untuk warga wartawan menjalankan tugasan tanpa menjejaskan kepentingan awam.

Kerjaya ini juga menekankan ciri-ciri kejujuran,  tanggungjawab kepada masyarakat, mengelak konflik kepentingan diri dan tatacara kerja berbudi.

Di antara pantang larang yang mesti dijaga ialah perkara-perkara di dalam Perlembagaan yang berkaitan dengan agama, ehwal istana, hak asasi kaum serta kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Perkembangan jurusan ini sejak lebih 40 tahun dulu sungguh menakjubkan. Malahan, ada kalanya ia menakutkan!

Disiplin penyiaran kini meliputi blog serta media sosial seperti emel, Facebook, YouTube, Instagram  dan portal berita ‘online’ selain saluran komunikasi biasa seperti akhbar, majalah, radio dan televisyen.

Wartawan di zaman digital ini membuat piawaian sendiri; malah mereka acapkali membuat laporan hanya berdasarkan pendapat peribadi atau perkhabaran yang belum tentu  kesahihannya.

Juga, ada berita yang dirancangkan dan diatur demi kepentingan politik secara sulit atau sembunyi-sembunyi dan paling utama apabila dalang di sebalik berita yang diseleweng itu tidak diketahui umum.

Mereka gemar mencabar pihak atasan serta pihak berkuasa atas nama “kebebasan” dan “hak asasi” akhbar untuk menyiarkan maklumat kepada umum tanpa terlebih dulu disaring atau diperiksa kebenarannya.

Seolah-olah itu saja perjuangan mereka. Tidak hirau samada penulisan mereka boleh menyebabkan kegelisahan antara kaum atau dengan pihak berkuasa.

Karya mereka lebih banyak berunsur fitnah dan hasad dengki daripada ciri-ciri perpaduan rakyat. Dan apabila ada yang menyaran “jom bantah”, ada pengikut yang sanggup buang masa dan perbelanjaan rumah untuk menyertainya. Kemudian mengeluh tiada wang dan tiada siapa yang membantu. 

HITAM DAN PUTIH

Maka, tidak keterlaluan jika penulis menyatakan kebanyakan kemelut dan masalah negara yang kita hadapi sekarang berpunca daripada pelanggaran “pantang larang” profesion ini dan istilah “wartawan” itu pun sudah menyeleweng daripada pengertian asal.

Empat elemen utama menjadi amalan penulis sepanjang terlibat dalam profesion ini iaitu:

BENAR DAN JUJUR - Perkara ini tidak boleh ditolak ansur, tiada ruang kelabu atau samar-samar. Cuma hitam atau putih. Penulis yakin kebanyakan wartawan, terutama yang bertugas di media perdana, merupakan insan yang jujur dan mementingkan kebenaran dan menyampaikan maklumat tepat dalam laporan mereka.

Di samping itu kebanyakan akhbar juga memberi peluang untuk pengikut dan pembaca beri respon kepada sebarang tuduhan di samping membetulkan kesilapan atau ralat dalam percetakan berita.

ELAK KONFLIK KEPENTINGAN DIRI - Ada sesetengah pemberita secara sukarela menawarkan diri untuk membuat liputan mengenai sesuatu hal atau isu di mana dia ada kepentingan sebagai seorang aktivis sosial.

Sebaiknya, wartawan hendaklah mengelak daripada membabitkan kepentingan diri di dalam tugasan yang boleh menjejaskan usaha membawa sesuatu berita dengan tepat, benar dan adil.

Seseorang pemberita itu hendaklah memaklumkan kepada  editor apabila diberi sesuatu tugasan dan tidak dapat menyempurnakannya kerana ada kepentingan di dalam isu berkenaan. Maruah pertubuhan akhbar boleh terjejas akibat penyelewengan pemberita dan editor.

HORMATI MASYARAKAT -  Kita mesti menghormati audien atau mereka yang berkaitan dengan laporan yang disiarkan. Lebih-lebih lagi di era Internet yang tiada sempadan, kita mesti peka agar tidak menyinggung perasaan dan peribadi mereka yang menjadi subjek berita.

TINDAKLAKU PERIBADI - Di zaman ini mudah untuk sesiapa cut and paste apa-apa maklumat dari Internet dan mengaku ia berpunca dari penyelidikan sendiri. Jangan meniru tanpa terlebih dulu bertanya dan membuat kajian sendiri.

Mengimbas kisah lama sememangnya amalan biasa di bilik berita, tetapi ia cuma sebagai background atau latar belakang kepada laporan terkini bukan untuk mengetengahkannya sebagai “berita baharu”.

INTEGRITI PADA NAMA 

Pihak wartawan mesti sedar bahawa mereka dikenali umum dari byline yang ada pada laporan atau artikel mereka. Itulah  jenama  peribadi dalam profesion yang diceburi. Apa saja pendirian dan pendapat yang diketengahkan seseorang wartawan, byline menjadi jaminan bahawa penulisan beliau mempunyai integriti tersendiri.

Bila membuat keputusan atau hujahan yang baik, ia tentunya dilahirkan dari sikap wartawan berkenaan terhadap tatasusila  profesionnya serta nilai pendapat peribadainya yang berasaskan kepatuhan kepada agama dan  Perlembagaan.

Bak kata pepatah lama, mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Juga, siapa makan cabai, dialah yang merasai pedasnya.


Tags / Kata Kunci: wartawan , integriti , Perlembagaan , Internet , byline

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan