Berakhir Pengalaman Haji

Diterbitkan: Khamis, 7 Januari 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM.  Masa terlalu pantas berlalu di Madinah. Terasa singkat di Madinah kerana tidak sampai 10 hari saya berada di Tanah Suci yang bersemadinya jasad junjungan mulia, Nabi Muhammad S.A.W.

Dalam kesuntukan masa dan tanpa sebarang perancangan untuk bertemu kenalan di Madinah, Alhamdulillah, Allah izinkan saya untuk berjumpa dengan anak kelahiran Mersing, Johor, Ustaz Farkhan dan Ustaz Fitri.

Ustaz Farkhan saya kenal ketika kunjungan menunaikan umrah pada 2014 dan beliau banyak membantu urusan media ketika kami hendak ke Muzium Media Madinah manakala Ustaz Fitri pula saya kenal ketika kunjungan ke Madinah pada 2015.

Dalam usia awal 20-an, kedua-dua jejaka itu sudahpun berumah tangga dan dikuriakan cahaya mata. Segala-galanya berlaku secara kebetulan dala kedua-dua pertemuan yang berbeza di kota bercahaya Madinah Munawarrah ketika saya menunaikan ibadat haji.

Hakikatnya, saya ingat mereka tetapi tidak pula menghubungi kedua-duanya untuk bertemu kerana bimbang kesuntukan masa. 

Ustaz Fitri berasal dari Thailand saya temui pada suatu pagi selepas sarapan di depan hotel New Shourfah. Sejurus sarapan, saya keluar dari hotel seketika untuk meninjau bazar di sekitar hotel untuk membeli cenderahati.

  

“Assalamualaikum Fitri..” ucap saya sejurus ternampak Fitri yang berdiri di depan hotel bersama-sama seorang wanita dan bayi.

“Waalaikumsalam. Apa khabar mak?” balas beliau gembira. Fitri memanggil saya mak.

“Alhamdulillah sihat,” balas saya.

“Kenalkan ini isteri saya dan anak saya,” ujar beliau tersenyum lebar.

Isterinya bersalaman dengan saya dan saya mengambil kesempatan memicit pipi si kecil yang tembam.

“Mak datang untuk haji ye? Mak selalu datang ya. Alhamdulillah,” katanya.

“Alhamdulillah Fitri. Rezeki…” balas saya.

Kami berbual seketika dan Fitri memaklumkan bahawa beliau akan menyambung pengajian peringkat doktor falsafah di Sudan selepas Ramadan tahun ini. Pertemuan itu membatalkan hasrat saya untuk meninjau bazar di sekitar hotel dan terus naik ke kamar serta bersiap sedia untuk berziarah ke Quba bersama-sama jemaah Destinasia pada jam 8 pagi.

Ustaz Farhan pula saya temui sehari sebelum saya berangkat pulang ke tanah air. Pada malam itu saya ke Masjid Nabawi bersama-sama kak Zaini. Selesai Isyak, kami berjalan menuju ke hotel New Shourfah.

“Ana tak nak makan di hotel. Ingat nak makan di Rumah Makan Indonesia,” ujar saya kepada kak Zaini.

“Boleh juga. Kak Zaini dah pernah makan soto di situ,” balas beliau.

“Sedap ke?” tanya saya.

“Oklah. Bolehlah juga. Sesekali tukar selera kalau dah selalu makan nasi,” balas beliau tersenyum.

“Jomlah kita ke sana,” ujar saya.

Sejurus tiba di situ, saya terlihat seorang lelaki berjubah seakan-akan orang yang saya kenal lalu menghampiri pemuda itu yang sendirian menunggu pesanan.

“Assalamualaikum ustaz,” ujar saya.

“Waalakumsalam. Masya Allah, Puan Hajah,” balas ustaz Farkhan.

“Apa khabar?” tanya saya.

“Alhamdulillah. Puan Hajah tunai haji ye?” soal ustaz Farkhan.

‘Ye. Alhamdulillah. Awak seorang saja? “ tanya saya pula.

“Aisyah ada. Dah sarat sangat tu,” balas beliau.

Dalam masa yang sama saya memperkenalkan kak Zaini kepada ustaz Farkhan. Saya memesan makanan. Satu bakso dan satu soto lantas beratur bersama-sama ustaz Farkhan untuk membayar makanan dan minuman.

Saya tersenyum lebar ketika melihat Aisyah. Alhamdulillah beliau sihat dan menunggu kehadiran cahaya mata.

“Apa khabar makcik…” tanya Aisyah yang berusia awal 20-an.

“Alhamdulillah sihat,” balas saya ringkas.

Kami rancak berbual apatah lagi selepas menikmati hidangan.  Kak Zaini banyak bercerita dengan ustaz Farkhan. Pelbagai pertanyaan dikemukakan kepada anak muda yang sedang menuntut dalam jurusan Dakwah dan Usuluddin di Universiti Islam Madinah.

Hampir jam 10 malam, kami meninggalkan Rumah Makan Indonesia yang terletak berhampiran hotel New Shourfah dan berjalan pula hotel Anwar Movenpick untuk mengambil barangan yang siap ditempah.

Esoknya, semua jemaah sibuk dengan bagasi masing-masing. Semua menimbang bagasi yang akan dibawa kerana sudah ditetapkan setiap jemaah hanya boleh membawa 46 kg. Jadi sebahagian besar membawa dua bagasi yang setiap satu seberat tidak lebih daripada 23 kg.

Alat penimbang milik seorang jemaah Sabah, Haji Rahim menjadi sasaran. Seorang demi seorang jemaah meminjam daripada beliau kerana semua agak bimbang jika melebihi had muatan ditetapkan oleh syarikat penerbangan Saudi Airlines.

Pada pagi itu, selepas sarapan, saya dan beberapa jemaah wanita lain menziarahi makam Rasulullah dan Raudah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kekasih Allah. Ziarah wada pada pagi itu perlu dilaksanakan segera dan tidak boleh tunggu sehingga semua jemaah keluar dari kawasan Raudah.

Justeru, kami berjalan beramai-ramai dan memasuki makam Nabi serta Raudah. Saya membaca doa ziarah wada dan diaminkan oleh jemaah wanita yang lain. Sebak menyelubungi diri dan semua tidak dapat menahan tangisan kerana bakal meninggalkan kota suci Madinah selepas solat Zuhur.

Sebelum meninggalkan Raudah, dengan penuh sebak saya berkata kepada jemaah: “Berdoa dan mintalah Allah terus menjemput kita ke sini lagi.” 

Semua wajah tampak pilu dan hiba. Hakikatnya, memang sedih untuk meninggalkan kedua-dua kota suci yang sering menggamit rindu apatah lagi bagi mereka yang pernah diundang sebagai tetamu Allah.

Selesai solat Zuhur berjemaah dan menunaikan solat Asar secara qasar, semua jemaah bergegas pulang ke hotel untuk makan dan bersiap sedia untuk berangkat pulang.

Bas tiba di depan hotel pada jam 2.30 petang dan semua jemaah menaiki bas, termasuk saya. 

Namun, selepas 10 minit di dalam bas, saya diarahkan turun bersama-sama Nor Baya oleh Haji Masrol.

“Hajah Raihanah dan Hajah Baya harap turun dari bas. Biarkan beg di atas bas. Kami uruskan,” ujar beliau.

Saya kehairanan tetapi mengikut arahan. Disebabkan saya dan Noor Baya tidak bersama-sama jemaah ketika menaiki bas ke Madinah, jadi kepulangan kami pun berbeza dengan mereka. Kami menaiki coaster bersama-sama empat lagi jemaah.

Tidak sampai setengah jam kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammed Abdul Aziz di Madinah. Cantik, detik hati kecil saya sejurus melihat lapangan terbang itu yang baru dibuka ketika Ramadan tahun lalu. 

Rakan-rakan jemaah yang menaiki bas belum tiba. Saya dan Noor Baya menyerahkan pasport kepada Haji Mahmud, seorang daripada petugas haji Destinasia untuk urusan pengambilan air zamzam.

Penuh kesabaran kami menunggu rakan-rakan jemaah yang lain dengan harapan semua bagasi kami tidak lupa diambil. Alhamdulillah, selesai menunaikan solat Maghrib dan qasar Isyak di masjid berhampiran saya terus berjalan menuju ke terminal lapangan terbang semula.



Tidak lama selepas itu, kelihatan kak Nora menyeret beg kabin saya.

“Ya Allah, kakak bawakan beg Ana. Terima kasih kak. Kesiannya. Kami tunggu tapi tak nampak semua jemaah turun bas,” ujar saya.

Kak Nora tersenyum dan mengatakan air zamzam di dalam bekas saya sudah dibuang kerana bimbang tidak boleh bawa masuk ke dalam pesawat nanti.

“Insha Allah mereka tak buang air zamzam kak,”  ujar saya dengan nada hampa.

“Ye ke? Selalu mesti buangkan. Mana boleh cecair masuk dalam pesawat,” balas kak Nora.

“Boleh jika air zamzam. Ikut pengalaman Ana, mereka tak pernah buang air zamzam. Naiklah pesawat apa sekalipun,” jawab saya.

“Kak Nora minta maaf Ana kalau macam tu. Kak tak tau,” balas kak Nora.

“Tak mengapalah kak. Tak ada rezeki,” jawab saya ringkas sambil melihat wajah kak Nora yang begitu serba salah dan keletihan.

Saya mengucapkan terima kasih sekali lagi kepadanya kerana membawa beg saya manakala kak Zaini membawa beg Noor Baya.

Kira-kira setengah jam kemudian, Haji Aminuddin menyerahkan pas berlepas dan pasport kepada setiap jemaah. Satu persatu nama dipanggil. Sejurus mendapat pasport semua jemaah membawa haluan masing-masing. 

Sebelum berangkat pulang, masing-masing kelihatan singgah di restoran makanan segera di dalam terminal berlepas dan membeli cenderahati di kedai bebas cukai.

Tanggal 13 Oktober pada jam 2.30 petang kami selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.  Berakhir sudah catatan perjalanan ibadat haji saya. Mudah-mudahan saya dan semua jemaah memperoleh haji mabrur dan diundang lagi ke Tanah Suci Makkah dan Madinah sama ada untuk menunaikan ibadat haji mahupun umrah.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan