Memahami Erti Hak Asasi Manusia

Diterbitkan: Sabtu, 19 Disember 2015 11:00 AM

(Ubah saiz teks)

RAMAI yang beranggapan bahawa ia bererti kebebasan mutlak dan bukannya mengenai hak-hak asasi seperti hak untuk hidup dengan terhormat, hak kewarganegaraan, hak pendidikan dan hak bekerja.

Jarang sekali anda akan mendapat permintaan daripada seseorang yang berada di sebuah negara yang terlalu asing bagi anda sehingga anda sukar untuk menyatakan tidak apabila dijemput untuk berjumpa. Itulah yang terjadi kepada saya tatkala berjumpa dengan calon muda PhD dari Estonia untuk berkongsi cerita mengenai negara masing-masing.

Saya akui, perbualan tersebut bermula dengan pertanyaan lokasi sebenar negara Estonia. Ternyata Estonia adalah sebuah negara kecil yang terletak berhampiran Finland dan Latvia di Timur Eropah dengan kapasiti penduduk sejumlah 1.3 juta, lebih kecil berbanding populasi di Kuala Lumpur.

Ternyata, kami berdua mempunyai minat yang sama dalam isu-isu berkaitan hak asasi di negara masing-masing dan menemukan titik persamaan terutamanya dalam soal memahami maksud sebenar hak asasi manusia.

Seperti di Malaysia, ramai penduduk Estonia beranggapan bahawa hak asasi manusia bererti kebebasan mutlak berbanding maksud sebenarnya yang berkisar tentang hak-hak yang wajar dinikmati oleh setiap manusia seperti hak untuk hidup dengan terhormat, hak kewarganegaraan, hak pendidikan, hak bekerja dan sebagainya.

Bagi mereka yang menentang hak asasi beranggapan bahawa ia bererti seseorang boleh bertelanjang di khayalak umum atau terlibat dalam penyalahgunaan dadad serta berperangai anti-sosial.

Tanpa pendidikan yang mencukupi mengenai maksud sebenar hak asasi, rakyat Malaysia dan Estonia kebanyakannya memiliki persepsi negative tentang hak asasi.

Bahkan kedua-dua negara memiliki sikap yang sama dalam mendepani isu pekerja migran dan pelarian. Mujurlah penduduk Estonia merupakan sebahagian daripada Kesatuan Eropah maka mereka boleh bekerja di mana-mana sahaja di Eropah.

Pada masa yang sama, wujud satu  perdebatan besar mengenai penerimaan pelarian Syria di mana ianya berkisar tentang ketakutan bahawa kumpulan pelarian ini akan ‘merampas’ peluang pekerjaan penduduk Estonia.

Hakikatnya, negara tersebut hanya mengambil 300 orang pelarian daripada keseluruhan jumlah ratusan ribu pelarian yang terdampar di pesisiran Eropah, ketakutan yang dicipta adalah tidak berasas. Barangkali ketakutan itu dicipta oleh ahli-ahli politik yang mahu meraih undi.

Tambahan pula, Estonia bukanlah pilihan pertama bagi pekerja-pekerja migran serata dunia. Sebaliknya, kajian mendapati lebih ramai penduduk Estonia yang berhijrah ke luar negara untuk bekerja bagi sebab-sebab tertentu berbanding mereka yang datang ke Estonia dengan nisbah seramai 25,000 orang.

Lebih menghairankan ialah terdapat cadangan pengharaman hijab dan niqab oleh kerajaan Estonia. Mengambil kira populasi Muslim di sana sekitar 1000 orang dan kebanyakan wanitanya tidak memakai hijab mahupun niqab, cadangan tersebut pastinya mencabar logik akal seseorang.

Mereka yang menyokong pengharaman tersebut berhujah bahawa ia adalah penting bagi mencegah kebanjiran wanita-wanita berhijab dan berniqab yang dianggarkan seramai kira-kira 300 orang yakni wanita-wanita pelarian yang dibawa masuk ke Estonia.

Bukankah ia sesuatu yang menakjubkan apabila politikus di mana-mana negara menggunakan logik dan alasan yang sama?

Jika ada seseorang yang mempelajari subjek logika politikus, pastinya beliau mendapat banyak bahan pembelajaran sepanjang minggu lepas. Ada politikus yang menganggap dirinya ‘suci’, mengisytiharkan bahawa pakaian pramugari syarikat penerbangan kita yang telah diamalkan sejak 30 tahun lepas mempunyai unsur-unsur Yahudi maka ia harus dihapuskan.

Mengambil kira hakikat bahawa uniform tersebut adalah hasil rekaan Fakulti Rekaan di UiTM, pastinya tuduhan tersebut kedengaran lebih aneh dan setahu saya, tidak ada wanita-wanita Yahudi yang berpakaian sarung kebaya. 

Dan ada juga pada minggu lepas menyatakan bahawa pemimpin kita dipilih oleh Tuhan dan memandangkan Tuhan tidak melakukan kesilapan maka pemimpin kita tidak mungkin seorang yang jahat dan melakukan kesilapan.

Ia membuatkan anda tertanya-tanya: kalau begitu mengapa masih diadakan pilihan raya? Kenapa tidak tunggu sahaja isyarat dari langit yang terus menunjukkan Lelaki Pilihan tersebut sambil diiringi dengan cahaya yang terang benderang dan berlatarbelakangkan musik Arab?

Saya menunggu hari di mana isyarat tersebut menunjukkan arah kepada Wanita Pilihan. Pastinya saat itu kekecohan yang maha besar akan berlaku dan akhirnya mereka akan memutuskan bahawa pilihan raya adalah jalan terbaik kerana ia dapat memperbaiki masalah tersebut dan memilih lelaki yang tepat untuk menjadi pemimpin.

Setelah satu perhimpunan berorientasikan agama dan bangsa dijalankan, salah seorang pemimpin kita meminta agar umat Islam menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang mencintai kedamaian dalam menanggapi masalah Islamofobia. Saya yakin beliau mendapat pendidikan yang sama dengan politikus berhaluan kanan di Estonia.

Kelihatannya realiti masa kini ialah apabila anda bercakap sesuatu yang buruk tentang kepercayaan seseorang, itu adalah satu perbuatan yang tidak salah. Hanya apabila anda mula melakukan kekasaran terhadap seseorang itu, barulah anda dikira salah dan wajar ditangkap serta dihukum penjara.

Dengan kata-kata, anda hanya menggunakan hak asasi anda tetapi apabila anda mula melakukan kekasaran fizikal, anda akan dicop tidak waras dan tidak layak hidup bermasyarakat.

Sementara di luar sana, mereka yang berbangsa Yahudi di Amerika Syarikat melakukan protes menentang Islamofobia dan masyarakat Islam Palestin pula mengenakan pakaian santa claus dan bernyanyi bersama sahabat-sahabat mereka yang beragama Kristian di sana. Kerajaan Jerman pula sedang dalam proses menerima 300,000 pelarian Syria.

Saya pula menanti hidangan ayam turki, pai daging, keamanan di dunia serta kebaikan kepada semua manusia.

Selamat Hari Natal saya ucapkan kepada para pembaca!



Tags / Kata Kunci: Estonia , Syria , hak asasi , Muslim , UiTM

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan