Sejam Sempurnakan Tawaf Haji

Diterbitkan: Khamis, 10 Disember 2015 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Setelah melontar ketiga-tiga jamrah di Mina, semua jemaah kembali semula menginap di Hotel Al-Jewar yang terletak hanya kira-kira 80 meter dari Masjidil Haram.

Hotel itu bukan bertaraf lima bintang dan tidaklah dilengkapi pelbagai keperluan tetapi jarak ke masjid begitu dekat, sekali gus memudahkan jemaah untuk menunaikan solat berjemaah.

Kami tiba di hotel pada kira-kira jam 8 pagi. Bas yang membawa kami terpaksa berhenti jauh dari hotel kerana laluan di sekitar Masjidil Haram masih ditutup untuk mengelakkan kesesakan berikutan jutaan jemaah menyempurnakan ibadat rukun dan wajib haji ketika itu.

Semua tidak merungut kerana terpaksa berjalan jauh kira-kira 300 meter kerana faham dengan situasi di Makkah ketika itu. Alhamdulillah. Tiba saja di lobi hotel, semua menarik nafas lega kerana dapatlah beristirehat untuk seketika sebelum menunaikan ibadat tawaf dan saie.

“Semua jemaah boleh berehat dan insha Allah selepas Isyak kita menunaikan tawaf dan saie haji. Bagi mereka yang memilih haji ifrad, hanya perlu tawaf haji tetapi jemaah haji tamatuk perlu menyempurnakan tawaf dan saie haji,” ujar ketua operasi, Haji Masrul Apandi mengingatkan semula jemaah yang bakal menyempurnakan rukun itu.

Semua menunggu dan menaiki lif dengan penuh kesabaran. Suasana di lobi agak sibuk dengan puluhan jemaah dari negara lain. Mereka juga sudah tentu mahu selesaikan segala rukun haji dengan segera.

Zuhur, Asar dan Maghrib berlalu dengan begitu pantas sekali. Selesai makan malam, sebahagian besar jemaah menuju ke Masjidil Haram untuk mengerjakan tawaf. Namun, kali ini, kami tidak lagi berkumpul di lobi kerana ramai yang mengerjakannya secara berkumpulan apatah lagi sudah berpengalaman.

Justeru, jemaah pergi dengan rakan sebilik atau pasangan masing-masing. Malah, ada juga yang sudah selesai tawaf dan saie sejurus kembali dari Mina kerana tidak mahu berlengah untuk menyempurnakannya.

Jemaah yang sudah tawaf dan saie turut berkongsi pengalaman mereka ketika makan tengah hari di dewan makan hotel berkenaan.

“Ramai sungguh yang tawaf tadi. Tak boleh tawaf cepat-cepat. Kadangkala macam tak bergerak pula ketika tawaf,” ujar seorang jemaah.

Kami yang lain sekadar mendengar kerana maklum sudah tentu Masjidil Haram penuh sesak dengan jutaan jemaah yang mahu tawaf dan saie kerana bagi yang belum ziarah ke Madinah, pasti  bersegera mengerjakannya apatah lagi jika tempoh di Tanah Suci agak singkat, iaitu kira-kira dua atau tiga minggu.

Selesai makan malam, saya dan dua lagi rakan sebilik iaitu Noor Baya dan kak Zaini bersiap untuk menyempurnakan tawaf haji. Kami mengambil haji ifrad dan hanya perlu tawaf haji kerana saie haji sudahpun kami selesaikan selepas tawaf qudum ketika tiba di kota Makkah.

Ketika itu, waktu Isyak adalah hampir jam 8 malam dan setelah makan malam, kami kembali semula ke dalam bilik untuk membersihkan diri dan berwuduk, kami berjalan semula ke masjid pada kira-kira jam 9.30 malam.

Sungguh ramai dan kedua-dua mataf penuh dengan jemaah yang bertawaf. Dari kejauhan saya lihat umpama tiada ruang untuk tawaf tetapi yakin segala-galanya akan dipermudahkan oleh Allah untuk setiap tetamu-Nya.

Kami berjalan perlahan menuju ke dataran Kaabah setelah menuruni tangga bergerak. Di tangga juga penuh sesak dengan jemaah. Dalam hati saya sudah mula berzikir dengan Rabbi Yassir Wala Tu Assir, Rabbi Tammim Bilkhair…(Ya Allah, Permudahkan, Usah Disukarkan).

Kaki tidak mampu melangkah pantas kerana lautan manusia membanjiri kawasan masjid. Bersabar dan bertenang untuk menyempurnakan ibadat. Tidak perlu bergegas kerana tiada apa yang perlu dikejarkan. Detik hatiku.

Saya, kak Zaini dan Noor Baya berjalan seiring menuju ke kawasan dataran Kaabah untuk memulakan tawaf. Kami terpaksa tawaf di kawasan yang agak jauh dari Kaabah kerana keadaan sesak yang keterlaluan.

Sejurus melafazkan niat tawaf haji, kami mula bergerak perlahan menuju ke penjuru Hajar Aswad untuk memulakan tawaf dan beristilam. Di kawasan permulaan tawaf paling sesak, lebih-lebih lagi jika jemaah datang dalam kumpulan yang besar kerana jemaah yang tawaf dalam kumpulan kecil perlu memberi laluan kepada mereka.

Lazimnya, di rukun yamani, perjalanan jemaah akan terhenti seketika atau langkah menjadi kecil kerana perlu memberi ruang kepada jemaah yang beristilam di penjuru Hajar Aswad dan memulakan pusingan. 

Saya tidak membaca doa dari buku yang dibekalkan. Hanya berdoa dan berzikir mengikut pengetahuan.  Dalam keadaan bersesak, doa dipohon menjadi lebih panjang. Itu kelebihannya. Jika tawaf dalam keadaan tidak ramai dan singkat, sudah tentu, doa dan zikir juga tidak banyak.

Pusingan demi pusingan disempurnakan sehingga selesai tujuh keliling. Alhamdulillah kami masih bersama-sama. Tidak pula terpisah walaupun perlu bersesak dengan limpahan manusia. Kami bermandi peluh dan tawaf haji pada malam itu mengambil masa satu jam. Selesai tawaf, kami menunaikan solat sunat tawaf.

Kaabah tersergam indah dari kejauhan. Saya memanjatkan doa selesai solat tawaf. Memohon dan meminta daripada Allah dengan bersungguh-sungguh. Linangan air mata tidak mampu ditahan.

Selesai berdoa, saya menoleh ke kiri dan melihat kak Zaini dan Noor Baya yang belum selesai berdoa. Saya memandang ke arah jam di Menara Abraj Al-Bait. Tepat jam 11.30 malam. Sejurus kak Zaini selesai berdoa, saya memeluknya dan mengucapkan tahniah. Begitu juga Noor Baya. Kami sebak dan air mata bergenang tanda syukur kerana ibadat haji sudah selesai. Kami berjalan perlahan menuju ke tangga bergerak untuk kembali semula ke hotel. 

“Saya nak ambil air zamzam ye,” ujar Noor Baya.

“Ok. Jom. Kita pergi sekali,” balas saya pula.

Sudah menjadi kelaziman setiap kali ke masjid, air zamzam akan dibawa pulang ke hotel untuk bekalan pada sebelah malam dan  awal pagi. Pulang semula ke hotel kami keletihan. Semua tidur  nyenyak pada malam itu sehingga terjaga semula untuk menunaikan solat Subuh setelah azan pertama memecah kesunyian di bilik hotel kami.

Kadangkala jika tidak sempat ke masjid, kami solat berjemaah di Hotel Al-Jewar kerana hotel itu turut menyediakan kemudahan kepada jemaah untuk bersolat di musolla berhampiran dewan makan. Malah, kami solat berjemaah mengikut imam di Masjidil Haram kerana pengurusan hotel turut menyediakan speaker di hotel berkenaan.

Selesai solat Subuh, sarapan menunggu jemaah. Ketika bersarapan, sebahagian besar jemaah bercerita pengalaman mereka bertawaf dan bersaie haji. Hakikatnya, tidak kiralah waktu bila mereka pergi, yang pasti, semua perlu berdepan dengan situasi yang sama, iaitu ribuan jemaah haji turut bertawaf.

Selesai menyempurnakan ibadat haji, beberapa hari kemudian, kami dibawa menziarahi tempat bersejarah di kota Makkah. Namun, bukan semua jemaah bersama-sama berziarah kerana ada yang tidak sihat dan segelintir lagi mahu beriktikaf di masjid.

Justeru, tidak sampai 30 jemaah yang menziarahi Hudaibiah. Ketika bas melewati kawasan Mina, semua jemaah memerhati kerana Mina sudah dibersihkan dan lengang tanpa penghuni. Bas meluncur terus ke Muzium Dua Kota Suci.

Hampir satu jam di muzium. Kami bergambar kenangan di dalam muzium yang menempatkan pelbagai barangan, peralatan dan bahan yang pernah digunakan di kedua-dua masjid berkenaan. 

Sejurus keluar dari muzium, kami dihadiahkan payung lipat berwarna hijau dan senaskhah al-Quran. Semua gembira. Alhamdulillah.

Seterusnya kami bergerak pula ke masjid Hudaibiah untuk menunaikan solat sunat ihram dan melafazkan niat ihram umrah di miqat. Hampir sebahagian besar jemaah turut merebut peluang untuk menunaikan umrah sekali lagi.

Kami tiba semula di hotel dan sebahagian besar terus menyempurnakan tawaf, saie dan tahalul. Alhamdulillah, saya dan kak Zaini menyempurnakan tawaf sebelum waktu Zuhur manakala saie pula diselesaikan selepas Zuhur. Menjelang Asar, sempurnalah ibadat umrah kami.

Tanggal 30 September 2015, semua jemaah Destinasia Travels berangkat ke Madinah tetapi saya perlu menemani Noor Baya di Makkah. Untuk mengetahui mengapa saya tidak keMadinah bersama-sama rombongan Destinasia, ikuti catatan saya minggu hadapan, insyaAllah.

Tags / Kata Kunci: tawaf , haji , Hotel Al-Jewar , Masjidil Haram

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan