Bersuara Untuk Hak Bersuara Kita

Diterbitkan: Rabu, 11 November 2015 9:01 PM

(Ubah saiz teks)

RAKYAT Malaysia cenderung untuk tidak menghargai sesuatu sehinggalah kita kehilangannya.

Dalam usaha untuk menurunkan berat badan baru-baru ini, saya menjalani diet yang memerlukan pengambilan kuantiti makanan berkhasiat yang terhad.

Apabila makanan menjadi komoditi yang sangat berharga, saya mendapati diri ini menjamah makanan dengan lebih perlahan dan menikmati setiap kunyahan. Perkara yang sama juga berlaku tatkala menyambut Ramadan apabila kita menghargai makanan lebih daripada bulan-bulan biasa kerana kita tidak menjamahnya sejak awal pagi.

Hal yang sama juga berlaku selepas berbulan kita menghadapi musim jerebu. Kehadiran langit biru dan cahaya matahari minggu lepas menarik setiap orang untuk merakam sesuatu dengan telefon bimbit mereka; sesuatu yang kita selalu terlepas pandang dan tidak ambil kisah sebelum ini.

Saya membiarkan wajah saya dilimpahi dengan cahaya matahari sambil menikmati kehangatan radiasinya, seolah-olah saya tinggal di negara yang mengalami kesukaran untuk mendapatkan sumber vitamin D ini.

Dan sebelum kita kehilangan nikmat tersebut, pelbagai rungutan timbul di bibir akan betapa panasnya negara ini dan bagaimana penghawa dingin yang sudah mencecah suhu beku sahaja belum mampu menandingi kepanasan suhu di Malaysia.

Adakah ini karakter rakyat Malaysia yang hanya menghargai sesuatu selepas kita kehilangannya? Atau kita tidak pernah pun terfikir bahawa kehilangan itu hanya terjadi lantas kita ‘memerahnya’ seolah-olah esok tidak wujud?

Kita tidak menghargai pokok-pokok dan hutan yang ada sehinggalah kita kehilangannya dan akhirnya membuat kaitan antara kehilangan tersebut dengan cuaca panas dan banjir. Bahkan kita meminta agar pokok-pokok di kawasan perumahan ditebang kerana kita tidak suka membersihkan daun-daun yang berguguran dan akhirnya kita terpaksa menggunakan penghawa dingin sepanjang hari. Dan kemudian kita merungut pula akan kenaikan bil elektrik.

Kita beriya-iya mahu membeli kereta dan kemudiannya merungut tentang kesesakan lalu lintas yang disebabkan oleh pemandu lain. Pembinaan kemudahan pengangkutan awam seperti LRT bertujuan untuk mengurangkan kesesakan tetapi pada masa yang sama, kita merungut akan kesusahan yang timbul dek kerana pembinaan tersebut.

Macamlah kita yang memandu kereta ini akan menggunakan pengangkutan awam apabila ia sudah siap. Sudah tentu tidak. Kita hanya akan terus menaiki kereta dan terus merungut dan merungut.

Satu-satunya cara lain untuk menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam ialah dengan memberi insentif untuk menggunakannya dan mengurangkan kelebihan/insentif penggunaan kereta. Tetapi apa yang akan dilakukan oleh seseorang tanpa Mercedes yang dipandu oleh supirnya?

Mungkin kita memerlukan satu titik kemuncak di mana kesesakan lalu lintas menjadi terlalu buruk dan mengecewakan sehingga ia menjadi satu insentif utama untuk menggunakan pengangkutan awam.

Isunya sekarang ini ialah kita cenderung untuk tidak menghargai sesuatu sehingga kita kehilangannya. Ambil contoh identiti masyarakat kita yang berbilang agama dan etnik. Melihat perkembangan semasa dalam masyarakat ini, kita mungkin, satu hari nanti akan mengenang semula kenangan-kenangan di waktu kita hidup dalam keadaan aman damai tanpa sebarang masalah.

Walaupun kita dijanjikan dengan kata-kata manis politikus bahawa mereka sangat menghargai identiti kepelbagaian ini, namun amat sukar bagi kita mempercayai kata-kata mereka apatah lagi kita tahu bahawa acapkali mereka ‘cakap tidak serupa bikin’.

Sebilangan politikus memahami harmoni sebagai menerima setiap perkara mengikut ‘acuan rakyat Malaysia’, meskipun kita semakin sedar bahawa ia mendatangkan ketidakadilan dalam jangka masa panjang memandangkan hanya sebilangan kecil sahaja yang bersedia untuk menuruti acuan tersebut.

Saya membaca sambil berusaha menahan rasa mual akan ucapan seseorang yang bercerita tentang perlunya demokrasi, urus tadbir baik dan hak asasi manusia sebagai jalan membendung ekstremisme dan pengganas, seolah-olah ekstremis adalah satu-satunya sebab kita memerlukan demokrasi di negara ini.

Malangnya, majoriti rakyat yang bukan ekstremis tidak dapat menikmati demokrasi di negara ini.

Barangkali kita patut kehilangan sesuatu yang kita nikmati selama ini atas sebab sikap sambil lewa kita dan mengambil mudah sesuatu perkara. Sebagai contoh, kita seakan-akan tidak menyedari betapa cepatnya kita kehilangan kebebasan di Malaysia.

Setiap hari, kebebasan untuk menyatakan pendapat terhadap sesuatu perkara semakin dirantai oleh undang-undang yang digubal. Ada antara kita mungkin berpendapat bahawa cara terbaik untuk mengelakkan diri daripada ditimpa masalah ialah dengan tidak berkata apa-apa.

Tetapi, sikap tersebut menyebabkan kita bersekongkol dalam ‘membungkus’ kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kita fikir bahawa hal ini bukanlah sesuatu yang besar bagi majoriti rakyat Malaysia kerana hanya pembikin masalah sahaja yang patut berasa risau. Namun mengambil kira trend penangkapan individu yang menyuarakan pendapat, bagaimana kita boleh yakin bahawa kita bukanlah sasaran tangkapan seterusnya?

Kita mungkin berfikir bahawa hanya orang-orang yang terkenal sahaja perlu berhati-hati tetapi ada juga individu yang tidak terkenal ditangkap atas sebab-sebab tertentu. Kita mungkin tidak peduli tentang mereka sekarang, sehinggalah kita sendiri yang merasai kesejukan tatkala meringkuk di dalam lokap.

Tidak guna kita mengenang sesuatu dan menghargai hak bersuara apabila kita telah kehilangannya. Apabila ia telah hilang, amat sukar untuk menikmatinya semula. Justeru, lebih baik kita buat apa yang kita mampu untuk melindunginya sebelum terlambat.

Tags / Kata Kunci: Marina Mahathir , Ramadan , Malaysia

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan