Penantian 12 Jam Di Terminal Haji Uji Kesabaran

Diterbitkan: Khamis, 29 Oktober 2015 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Setelah menempuh perjalanan hampir sembilan jam, saya dan jemaah haji yang menaiki pesawat Saudia SV831 tiba di terminal haji Jeddah, Arab Saudi pada jam 8.30 malam waktu tempatan.

Alhamdulillah, urusan imigresen tidak terlalu panjang. Tuntutan bagasi juga berjalan lancar dan jemaah menunaikan solat Maghrib serta Isyak di terminal haji sementara menunggu bagasi keluar satu persatu.

Sejurus keluar dari imigresen dan menolak bagasi masing-masing dengan troli, pasport kami diambil oleh pengurusan muasasah Kerajaan Arab Saudi.

Sebahagian besar jemaah terkejut dan enggan menyerahkan pasport mereka kerana kebimbangan dan keraguan.

Namun, melihatkan semua jemaah haji termasuk dari negara lain turut menyerahkan pasport mereka, jemaah rombongan Destinasia Travels juga menyerahkan dokumen.

Terdengar rungutan daripada jemaah yang terlalu bimbang kerana tidak pernah melalui pengalaman seumpama itu ketika tiba di terminal haji.

“Masa saya datang umrah tak pernah pula mereka ambil pasport. Mana boleh orang lain ambil pasport kita sewenang-wenangnya. Itu satu-satunya dokumen yang kita ada untuk di luar negara. Jika hilang bagaimana? Kenapa mereka nak ambil pasport kita pula?” tanya seorang jemaah bertalu-talu.

Mendengarkan rungutan jemaah terbabit, beberapa jemaah lain turut menyampuk dan menyatakan tidak senang hati kerana pasport mereka diambil dan bimbang tidak dikembalikan semula.

“Sebelum ini pernah mereka ambil pasport jemaah walaupun untuk tunai umrah tetapi pada tahun ini, seingat saya mereka tidak ambil lagi pasport jemaah.

Namun, untuk pengurusan haji, mereka ambil semula. Insha Allah tak ada apa-apa, jangan risau sangat,” jawab saya.

“Sepatutnya mesti maklumkan kepada kami semua awal-awal lagi jadi taklah kami tertanya-tanya apa perlu diambil pasport kita,” jawab segelintir daripada mereka.

Saya hanya mendiamkan diri saja. Tidak mampu lagi untuk berkata-kata apatah lagi ketika itu di dalam ihram. Pastinya, kesabaran setiap insan akan diuji, namun lazimnya, kita alpa.

Semua jemaah duduk di kawasan menunggu di terminal haji. Ada yang tersengguk, ada yang berbual dan tidak kurang juga membantu menyusun bagasi berhampiran ruang menunggu yang turut menempatkan ramai jemaah haji bukan saja dari Malaysia malah beberapa negara luar.

Dalam penantian itu, seorang wanita berusia lewat 60-an menghampiri saya yang sedang berdiri berhampiran bagasi.

“Dari mana?” tanya beliau lesu.

“Kuala Lumpur,” jawab saya ringkas.

“Makcik dari mana?” tanya saya pula.

“Samalah. Kuala Lumpur juga,” balas beliau.

“Jam berapa makcik sampai sini?” tanya saya lagi.

“Petang tadi dah tiba. Anak?,” ujar beliau.

“Oh, saya tiba sini 8.30 malam,” balas saya.

“Hari ni ke berangkat dari Kuala Lumpur?” tanya beliau.

“Ye. Tadi (17 September) kami berangkat lebih kurang jam 5 petang,” cerita saya.

“Ok lagi tu. Makcik berangkat dari Kuala Lumpur 16 September, transit di Bangkok dan Amman, Jordan dan hari ini baru tiba di Jeddah,” cerita beliau lagi.

“Hah. Kenapa banyak singgah? Naik kapal terbang apa makcik?” soal saya terkejut.

“Makcik naik kapal terbang Jordan (Royal Jordan) sebab itu banyak singgah,” balas beliau.

“Oh ye. Kesiannya. tentu letih sangat makcik dan semua jemaah lain,” ujar saya.

“Iyelah. Nak buat macam mana kan,” kata makcik itu.

“Alhamdulillah dah sampai. Tak mengapalah makcik. Kita sabar saja,” balas saya.

Beliau kemudiannya berlalu meninggalkan saya sendirian. Badan terasa letih tetapi tidak pula mahu melelapkan mata ketika itu. Saya bersandar di bagasi yang tersusun rapi sambil berbual-bual dengan beberapa jemaah.

Sesekali saya menjengah semula ke tempat pengumpulan pasport dan ternampak Pengurus Operasi Haji Destinasia Travels, Haji Masrol Apandi yang sedang sibuk menyusun pasport.

“Nak buat apa haji?” tanya saya.

“Hajah tolong kira jumlah helaian cek ini yang telah saya asingkan daripada pasport jemaah,” pinta beliau.

“Baiklah,” balas saya ringkas sambil terus mengira setiap helaian cek itu dan menyerahkannya semula kepada beliau.

Jumlah keseluruhan tidak cukup dan saya memohon jemaah agar menyerahkan helaian itu jika ada bersama-sama mereka. Setelah memperolehinya, saya memberikannya kepada Haji Masrol.

Malam semakin larut. Saya memerhatikan di kawasan menunggu terminal haji. Sebahagian besar jemaah sudah terlentuk tidur. Saya duduk berhampiran bagasi. Cuba melelapkan mata tetapi tidak berjaya. Kawasan sekeliling mula sepi. Ada jemaah yang sudah berlalu pergi meninggalkan terminal haji tetapi kami dan rombongan jemaah dari beberapa agensi haji lain masih lagi menanti dan menanti.

Di ruang musolla kelihatan jemaah tidur dengan nyenyak. Saya hanya memerhati. Masih tidak dapat melelapkan mata. Hanya tinggal dua jam saja lagi azan Subuh akan berkumandang. Di tandas dan tempat berwuduk tidak sepi daripada jemaah dari India dan Pakistan. 

Tinggal satu jam saja lagi masuk waktu solat Subuh dan semakin ramai jemaah mula bersiap sedia untuk berwuduk dan menunaikan solat sunat diikuti solat Subuh.

Tepat jam 4.50 pagi, azan Subuh berkumandang. Terasa begitu sayup. Dalam pada masa yang sama belum ada sebarang tanda-tanda kami akan keluar dari terminal haji. Justeru, semua jemaah bersolat Subuh berjemaah di situ. Tiada lagi suara-suara yang asyik bertanya bila akan berangkat ke Makkah. Tentu sekali mereka keletihan kerana terpaksa mengharungi penantian yang sungguh panjang.

Usai solat Subuh, seorang daripada jemaah mengajak saya makan. 

“Ana, jom kita sarapan,” ujar kak Zaini.

“Boleh. Jomlah,” balas saya ringkas.

Nasi Bukhari mengisi perut kami. Ayam yang dikukus dan diperap dengan rempat-ratus terasa sungguh enak sekali. Selesai makan, kami berlalu mencari kad sim di terminal haji untuk memaklumkan kepada ahli keluarga bahawa kami selamat tiba di Arab Saudi.

Kad sim Mobily berharga SR100 menjadi pilihan saya dan beberapa jemaah lain yang turut membeli di  kiosk di terminal haji. Sejurus kakitangan di dalam kiosk itu memuatkan kad sim di dalam telefon bimbit, kami leka dengan telefon bimbit masing-masing.

Tentu sekali maklumat selamat tiba disampaikan kepada ahli keluarga di tanah air yang pastinya ternanti-nanti khabar berita daripada kami. Alhamdulillah, terasa lega apabila dapat berwhatsapp dengan suami dan anak untuk menyatakan berita setelah tiba di Jeddah.

Namun, tidak sekali pun saya maklumkan kepada mereka bahawa kami belum berangkat ke Tanah Suci Makkah. 

Tidak lama selepas itu, saya ternampak ketua rombongan Destinasia, Haji Aminuddin Ab Rahman dan beberapa petugas lelaki lain berjalan beriringan.

“Alhamdulillah, dah selesai semua urusan pengasingan pasport. Insha Allah, sekejap lagi kita berangkat,” ujar beliau.

“Alhamdulillah. Lega dengar,” balas saya ringkas.

Haji Masrol kemudiannya mengarahkan semua jemaah membawa bagasi masing-masing dan beratur menuju ke bas yang sedia menunggu di kawasan luar terminal haji.

Jelas terpancar kelegaan di wajah setiap jemaah walaupun mereka kelihatan sungguh letih. Setelah semua bagasi dinaikkan ke atas bas dan perut bas, berlalulah kami meninggalkan terminal haji pada jam 8.30 pagi, iaitu setelah 12 jam menanti segala urusan pengasingan pasport di terminal haji selesai.

Hakikatnya, penantian itu benar-benar menguji tahap kesabaran setiap jemaah. Bukan kami sahaja yang terpaksa menanggung penantian berpanjangan tetapi beberapa agensi pengelola jemaah haji turut mengalami nasib yang sama. 

Di dalam bas, ramai yang tidur termasuklah saya. Tersedar semula apabila bas berhenti mengambil ais pop perisa lemon yang disedekah untuk jemaah haji. Terasa enak menikmatinya dalam cuaca panas yang mencecah 45 darjah Celcius.

Dalam perjalanan itu, kami berhenti di beberapa ‘check point’ dan akhir sekali di sebuah pejabat penentuan maktab untuk mengambil tag nama dan gelang yang perlu dipakai sepanjang berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Oleh sebab cuaca panas terik, alat penghawa dingin di dalam bas tidak begitu terasa. Justeru, apabila bas berhenti agak lama di pejabat berkenaan, Sebahagian besar jemaah keluar dari bas dan menuju ke pejabat itu.

Ada kisah menarik yang mahu saya kongsikan dengan pembaca sekalian ketika singgah seketika di pejabat berkeneaan. Ikuti catatan saya minggu depan insyaAllah.



Tags / Kata Kunci: Royal Jordan , Jeddah , haji , Masrol Apandi

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan