Hidup Dalam Kesamaran

Diterbitkan: Khamis, 29 Oktober 2015 6:33 PM

(Ubah saiz teks)

TIDAK ada hal yang lebih mematahkan semangat saya selain daripada pulang bercuti dari negara yang langitnya cerah ke tanah air sendiri yang begitu sukar untuk melihat apa-apa dari jendela pesawat.

Perubahan iklim apakah yang sedang kita hadapi ketika ini memandangkan negara yang saya lawati adalah beriklim sederhana tetapi disimbahi cahaya matahari yang lebih banyak daripada sebuah negara tropikal yang menjadi tempat lahir dan membesar saya?

Melihat ke langit yang berwajah muram, anda tidak dapat lari daripada berfikir bahawa musim jerebu ini adalah satu metafor yang sesuai mengenai negara kita di mana semuanya kabur, sukar difahami, tidak menemukan titik noktah dan sudah tentu menjejaskan kesihatan seseorang.

Tetapi sekarang, marilah kita berbicara soal kesan fizikal yang terhasil akibat jerebu ini. Berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya di mana kita diselubungi dengan asap tebal semasa musim jerebu yang telah saya kira ‘dinikmati’ oleh kita sejak tahun 1990, tahun ini boleh dikira sebagai sangat teruk.

Saya tidak ingat musim jerebu yang sangat lama dan tebal asapnya seperti tahun ini. Bahkan, kita dapat menghidu bau asap dan melihat debu-debu yang berterbangan di sekeliling. Situasi ini adalah seperti satu gambaran seakan-akan kita sedang bernafas di dalam beg pembersih vakum yang sarat isi kandungannya.

Apakah impak situasi ini ke atas paru-paru kita? Adakah terdapat mana-mana pihak yang memeriksa dan mengawasi tahap kesihatan golongan yang sukar bernafas seperti kanak-kanak, warga emas, penghidap asma dan penghidap HIV?

Dalam usia sebegini, saya masih lagi sihat dan cergas meskipun kadang kala dada saya terasa sesak akibat jerebu yang buruk ini.

Apa yang saya tahu, sekurang-kurangnya seorang penghidap asma telah meninggal dunia baru-baru ini di mana kemungkinan besar tahap kesihatannya semakin terjejas akibat jerebu.

Adakah tersedia apa-apa kajian mengenai kesan jerebu terhadap kesihatan kita? Pernahkah terjadi sekolah-sekolah terpaksa ditutup lebih lama daripada apa yang berlaku tahun ini? Apa yang terjadi ke atas pendidikan anak-anak kita? Bagaimana dengan mereka yang bakal menduduki peperiksaan? Bagaimana mereka belajar tanpa bimbingan dan pembelajaran di sekolah?

Dan bagi sesetengah ibu bapa, mereka terpaksa mengambil cuti kerana anak-anak tidak bersekolah dan majikan mana yang tegar melarang pekerja-pekerjanya mengambil cuti? Berapa banyak tempat kerja yang kekurangan tenaga kerja akibat fenomena jerebu ini?

Apabila keadaan semakin pulih, akankah ada pihak yang mengambilkira kos yang terpaksa ditanggung akibat jerebu dari sudut kemerosotan produktiviti, kos penjagaan kesihatan, kos kehilangan masa pembelajaran dan pengajaran di sekolah?

Atau adakah semuanya akan menjadi seperti biasa yakni kita tidak khuatir akan hal-hal yang tidak dapat dilihat dan dirasai ketika ini? Adakah kita akan menyesali sikap tidak peduli ini di masa akan datang dan berharap bahawa kita telah mengambil langkah yang sewajarnya bagi menangani masalah ini?

Tidak cukup situasi yang membebankan kita sekarang ini, sudah timbul pula ura-ura yang mengatakan bahawa jerebu ini akan menyelubungi negara kita hingga Mac tahun hadapan.

Sudahlah sekarang kita berhadapan dengan pelbagai isu dan masalah yang ditimbulkan oleh mereka yang seharusnya kita percaya, nilai ringgit yang terus merudum, kenaikan harga barang dan terpaksa menelan penjelasan-penjelasan ‘luar biasa’ mengenai penyelewengan duit, kini bekalan oksigen kita pula semakin berkurangan hari demi hari.

Oh sudah tentu politikus negara kita juga menghirup udara yang sama bukan? Atau..adakah mereka tinggal di satu tempat berasingan yang menghasilkan udara lebih segar? Kalau hal itu benar-benar wujud, saya tidak tahu kesahihannya pula dapat dipastikan jika diukur daripada hal-hal merepek yang keluar dari mulut mereka.

Dalam keadaan di mana kita sedang menghadapi defisit udara bersih, tidak dapat dinafikan bahawa kita juga mengalami krisis keyakinan terhadap apa yang pihak berkuasa mahu kita percaya. Apa tidaknya, bacaan API kekal rendah tatkala penglihatan kita sangat terhad untuk melihat persekitaran luar. Memandangkan kita menghirup udara yang sama, adakah pihak berkuasa juga merasa gembira dengan penipuan yang dibuat ke atas diri sendiri?

Dan jika mereka tidak kisah menyembunyikan perkara sebenar yang juga memberi kesan kepada diri mereka sendiri, bagaimana pula dengan hal-hal yang memberi kesan ke atas kita sebagai rakyat Malaysia?

Sejak kebelakangan ini, semakin sukar bagi saya untuk menjelaskan hal-hal yang indah tentang negara sendiri di mata dunia. Alangkah bagusnya jika saya dapat berbangga dengan negara saya dalam hal-hal selain daripada makanan dan identiti masyarakat berbilang kaum.

Apabila anda membaca perkembangan terbaru di Nigeria di mana presiden barunya sedang giat memburu mereka yang mencuri harta kekayaan negara atau penduduk Kanada yang menolak perdana menteri yang bersifat rasis dan Islamofobia dalam pilihan raya baru-baru ini, barulah anda akan terasa bahawasanya negara kita sedang ketinggalan dalam arus perkembangan semasa.

Sesungguhnya ia adalah satu hal yang sangat meremukkan jiwa dan perasaan saat mengakui hakikat tersebut.

Apa yang kita perlukan ialah pemimpin yang mampu memberi inspirasi kepada kita untuk menjadi lebih baik, pemimpin yang ‘berani kerana benar’ agar kita dapat menghadapi situasi sukar dengan suasana yang realistik dan pada masa yang sama memberikan kita harapan bahawa keadaan akan menjadi pulih sedia kala.

Kita perlukan mereka yang bukan sahaja berhikayat tentang masa depan tetapi mengambil langkah untuk menjadikan masa depan kita lebih cerah.

Malangnya, apa yang kita miliki sekarang ialah suara-suara sorakan palsu dan janji kosong yang penuh dengan kesamaran. Tidak ada bezanya dengan apa yang terjadi ke atas langit kita ketika ini.

Tags / Kata Kunci: jerebu , Nigeria , Islamofobia

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan