Kerinduan Tunai Ibadat Haji Terlerai

Diterbitkan: Khamis, 22 Oktober 2015 6:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Ketika artikel ini ditulis, baru seminggu saya pulang ke tanah air setelah hampir satu bulan menunaikan ibadat haji di Tanah Suci Makkah bagi musim haji 1436 Hijrah.

Perjalanan bermula dari 17 September 2015 bersama-sama 130 jemaah haji Destinasia Travels Sdn Bhd.

Syukur Alhamdulillah, hasrat mengerjakan ibadat haji untuk kali kedua dimakbulkan oleh Allah SWT. Kerinduan menunaikan ibadat haji begitu sarat di sanubari, terutama sejak tiga tahun kebelakangan ini..

Justeru itu, saya tidak alpa memanjatkan doa kehadrat Maha Esa, terutama setiap kali berpeluang mengerjakan umrah saban tahun. Undangan menunaikan haji semestinya datang daripada Allah SWT dan kerinduan saya terhadap perjalanan haji direalisasikan sejurus menerima tawaran daripada Pengarah Urusan Destinasia Travels, Haji Aminuddin Ab Rahman pada Januari lalu.

Ketika itu, saya membawa Aminuddin atau lebih dikenali sebagai Amin bertemu seorang daripada rakan saya, iaitu Zurilawati atau lebih saya kenali sebagai Jun, yang sangat berhasrat untuk menunaikan rukun Islam kelima bersama-sama suaminya, Roslan.

Pertemuan diadakan di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya. Jun dan suami bersetuju untuk mendaftar dengan syarikat Aminuddin bagi menunaikan ibadat haji.

Sejurus berjalan pulang ke lif di pusat beli-belah itu Aminuddin mempelawa saya bertindak sebagai petugas wanita untuk musim haji pada tahun ini.

Pelawaan itu menyebabkan saya benar-benar tergamam dan tidak memberi sebarang jawapan pasti tetapi perkataan insha Allah terbit daripada bibir saya. Terkejut dan terkedu buat seketika. Orang pertama saya fikirkan ialah suami kerana sudah tentu keizinan daripadanya sangat diperlukan.

Sepanjang perjalanan pulang dari Subang Jaya ke Pandan Utama, air mata bergenang. Fikirkan saya melayang seketika meredah Federal Highway yang tidak pula sesak sepertimana hari-hari biasa. Sangat terharu dan begitu sebak memikirkan rezeki yang datang secara tiba-tiba. Allahu akbar.

Sejurus menarik brek tangan, saya menghubungi suami dan dengan suara yang bergetar saya berkata:

“Saya baru sampai dari Subang Jaya. Dah jumpa Amin dan Jun tadi. Insha Allah Jun dan suami nak pergi haji…’” kata saya tetapi terhenti seketika menahan sebak.

“Amin nak saya jadi petugas haji. boleh ke?” tanya saya sayu.

“Alhamdulillah. Pergilah…,” jawab beliau spontan.

Saya menangis semahu hati. gembira tidak terkata. Beribu-ribu kesyukuran.

Orang kedua yang saya hubungi ketika itu ialah ibu saya. Biarpun saya tahu selalunya selepas Zuhur beliau tidur tetapi saya mahu berkongsi kegembiraan itu dengan ibu tersayang.

Tidak sangka beliau yang mengangkat telefon.

"Ibu, Ana jumpa Amin tadi dan kenalkan dia dengan bakal jemaah haji. Amin minta Ana jadi petugas haji…” ujarku dengan nada sebak.

“Alhamdulillah. Baguslah. Rezeki Ana. Untuk haji tahun ini ke?” tanya ibu.

“Ye insha Allah. Haji pada tahun ini,” balasku ringkas dengan linangan air mata.

“Alhamdulillah…” jawab ibu dengan nada gembira.

Setelah menghubungi suami dan ibu, barulah saya keluar dari kenderaan dan terus ke rumah. Syukur, gembira dan terharu. Perasaanku bercampur baur ketika itu. namun, yang pasti saya perlu melengkapkan diri dengan menghadiri kursus haji bersiri yang akan bermula pada bila-bila masa ketika itu.

Ketika mengambil anak bujangku dari kerja, mata memandang ke arah kain rentang di Masjid Nurul Hidayah di Kampung Pandan yang akan memulakan kursus ibadat haji bersiri pada 8 Februari 2015.

Alhamdulillah, saya belum terlambat. Kursus haji bersiri di masjid berkenaan belum bermula jadi dapatlah saya mengikutinya dari awal. Biarpun sudah menunaikan ibadat haji pada 2000, saya perlu meningkatkan lagi pengetahuan dan mempersiapkan lagi diri sebelum berangkat ke Tanah Suci, Bukan sahaja sebagai jemaah malah sebagai petugas.

Tambahan pula, pemergian itu kelak menjadi pengalaman pertama saya sebagai petugas haji kerana sebelum itu saya pernah beberapa kali bertindak sebagai petugas umrah. Sudah tentu ada bezanya.

Hari berganti bulan berlalu. Sementara menunggu kehadiran September, saya diundang ke Tanah Suci pada April dan Mei bagi menunaikan umrah. Alhamdulillah. kesempatan itu saya gunakan untuk terus memanjatkan doa agar Allah mengundang saya sebagai tetamu-Nya untuk musim haji pula.

Hatiku berdebar menghitung hari yang semakin hampir. Tiba Ogos, badan tidak sihat, demam, lelah, batuk dan selesema mula menyerang. Hatiku semakin bimbang dan memohon kesejahteraan dan kesihatan yang baik daripada Maha Esa.

Saya juga berazam untuk menunaikan haji ifrad kerana wukuf adalah pada 23 September dan hanya kira-kira satu minggu saya terikat dengan pantang larang ihram.

Tiba September segala kebimbangan terlerai. Demam yang tidak kebah dan lelah yang menyerang secara tiba-tiba reda serta saya sihat kembali setelah dua kali bertandang ke klinik. Pejabat Destinasia saya kunjungi untuk mengetahui perkembangan terkini.

Dua minggu sebelum berangkat, saya ke pejabat Destinasia untuk membantu kerja-kerja urusan haji. Di pejabat itu, saya bertemu dengan Haji Masrol Apandi yang bertindak sebagai Ketua Operasi Haji Destinasia Travels.

“Saya tak pernah jadi petugas haji. Petugas umrah adalah beberapa kali. Apa persiapan yang perlu saya buat ye haji,” tanya saya pada beliau.

“Mental mesti kuat…,” ujar beliau tersenyum.

Saya faham apa yang dimaksudkan oleh beliau yang berpengalaman cukup luas dalam bidang operasi ibadat haji kerana pernah bertugas di Lembaga Tabung Haji.

Hari dinantikan tiba. Tanggal 17 September 2015 berangkatlah saya dan rombongan jemaah haji Destinasia Travels ke Tanah Suci Makkah pada jam 4.50 petang menerusi pesawat Saudi Airlines SV831 ke Jeddah.

Jadual perjalanan tidak ditunda dan segala urusan daftar masuk serta bagasi berjalan lancar. Suami, ibu, anak-anak dan adik-beradik serta anak-anak saudara turut menghantar saya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Begitu juga dengan jemaah lain. Ahli keluarga masing-masing mengucapkan selamat jalan dan saling bersalaman serta berpelukan dengan tetamu Allah yang bakal mengharungi perjalanan ibadat haji penuh cabaran.

Ikuti catatan saya setibanya di terminal haji di Jeddah dan pengalaman berwukuf dan bermalam di Mina pada minggu hadapan, insha Allah.

Tags / Kata Kunci: Haji , Tanah Suci , Destinasi Travel

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan