Berat Hati Meninggalkan Tanah Suci

Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2015 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Nenek dan ibu saudaraku sudah ke Madinah pada tanggal 31 Mac 2000. Saya pulang semula ke Dar Al-Haramain atau lebih dikenali sebagai Maktab 79 ketika itu dan bertemu semula dengan rakan jemaah di dalam bilikku ialah kak Ijad, makcik Hasnah, nenek Selamah, kak Zainun, makcik Jemah dan nenek Singum.

Saya jemaah paling muda di dalam bilik itu dan bilik sebelah. Kadangkala mereka gemar mengusik dan bertanya pelbagai soalan apatah lagi mengetahui saya bertugas di akhbar Berita Harian Sdn Bhd.

Sejurus melihat saya dan menyambut salam saya, mereka bertanya adakah saya seronok duduk di Hotel Makkah dan macam mana dengan makanan yang diberikan oleh agensi dari Singapura. Saya sekadar ketawa kecil dan tidak sampai hati untuk memaklumkan kepada mereka masakan yang saya nikmati.

Namun sepupu kak Ijad, iaitu kak Annuma yang rajin berbual dan sudah dua kali mengerjakan ibadat haji memahami saya semestinya menikmati pelbagai masakan enak.

“Ana mesti makan sedap-sedap kan?” tanya kak Annuma.

“Biasalah kak. Alhamdulillah,” balas saya.

“Ada minum petang kan?” tanya beliau lagi.

“Betul. Ada minum petang. Dapatlah dua jenis kuih. Sejenis manis dan sejenis lagi pedas. Kadangkala ada bubur juga,” balas saya.

“Hah ada bubur dan kuih-muih?” kata kak Zainun mencelah.

“Ye kak. Ada kuih juga. Sedap-sedap pula tu,” balasku.

“Kakak dapat tahu daripada seorang kenalan dari Singapura yang mereka dihidangkan minum 

petang pada setiap hari,” ujar kak Annuma.

“Betul tu kak. Setiap hari ada saja kuih-muih yang berbeza dihidangkan untuk jemaah. Tak ambil terasa rugi juga. Macam tolak rezeki pula,” jawabku berseleroh.

“Ana makan lauk apa sepanjang di sana?” tanya nenek Selamah pula.

“Macam-macam. Paling Ana suka ikan duri masak asam pedas. Berpeluh masa makan tu. Sedap sungguh. Nangka masak lemak dan sambal belacan pun sedap juga,” jawab saya.

“Amboi. Rezeki Ana tu. Macam makan di Malaysia,” kata makcik Hasnah pula.

“Alhamdulillah cik…” balas saya.

Saya menceritakan kepada rakan-rakan sebilik nenek dimasukkan ke hospital selama tiga hari dan syukur tidak bermasalah serius dan sudahpun berangkat ke Madinah untuk ziarah. Mereka leka mendengar cerita saya.

Menjelang Zuhur, saya bersiap-siap untuk ke masjid. Pada petang  itu saya mengikut Busu Adnan, Busu Semah dan mummy ke Jaaranah untuk ziarah dan melafazkan niat ihram untuk mengerjakan umrah sekali lagi.

Pada keesokan hari pula, kami menziarahi Gua Tsur, Jabal Rahmah, Arafah, Muzdalifah, Mina dan Gua Hira’. Saya tidak melepaskan peluang untuk melakukan tawaf sunat setiap kali kelapangan, terutama selepas solat Subuh. 



Dalam kesibukan jemaah KT44 membuat persiapan untuk pulang, saya banyak menghabiskan masa beriktikaf di dalam masjid.  Saya terasa sungguh sedih dan kadangkala tidak pulang ke Dar Al-Haramain selepas solat Zuhur. Saya membeli kebab atau makanan ringan sebagai alas perut dan banyak minum air zamzam.

Selesai Isyak saya pulang ke hotel penginapan dan kadangkala ditegur oleh rakan-rakan sebilik yang risaukan saya kerana tidak pulang makan tengah hari tambahan pula mereka mengetahui saya tidak lagi ke Hotel Makkah untuk berjumpa nenek.

“Ana pergi mana? Tak balik-balik dari siang. Kami risau,” tanya kak Zainun.

“Ada di masjid. Maafkan Ana kak sebab tak maklumkan,” balas saya.

“Makan minum macam mana?” tanya kak Zainun lagi.

“Ana beli kebab, minum teh dan air zamzam,” jawab saya.

“Esok pagi kita pergi solat Subuh sama-sama ye,” pinta kak Zainun.

“Baiklah kak. Boleh. Insha Allah,” balas saya ringkas.

Pada jam 3 pagi, kami bersiap sedia untuk ke Masjidil Haram untuk beribadat. Selesai solat Subuh dan solat jenazah, kak Zainun mengajak saya mengerjakan tawaf sunat. Saya mengikut. Selesai tujuh pusingan dan bersolat sunat tawaf, kami berjalan perlahan menuju ke ruang solat di King Abdul Aziz Gate.



“Ana teringin nak solat berjemaah di dataran Kaabah kak. Susah nak dapat,” ujar saya kepada kak Zainun yang berasal dari Pelabuhan Klang.

Sejurus saya berkata-kata, tiba-tiba kedengaran suara melaungkan sesuatu dalam bahasa Arab. Saya dan kak Zainun termangu-mangu dan saling bertanya. Dalam masa yang sama, kelihatan ramai orang berkumpul membentuk  barisan.

“Pak, pak…kenapa ya pak? Apa yang dimaklumkan sebentar tadi?” tanya saya pada seorang lelaki warga Indonesia yang berbaju batik.

“Imam mengajak kita bersolat sunat istiskhoh. Mohon hujan kerana di sini sudah lama tidak hujan,” kata lelaki berkenaan.

“Terima kasih ya Pak,” ujarku.

“Ya. Kembali,” balas lelaki berkenaan.

Saya dan kak Zainun tidak dapat bergerak lagi ke tempat lain dan kami terus meluru ke kawasan yang dipenuhi jemah wanita untuk bersama-sama solat berjemaah memohon agar bumi Makkah dibasahi hujan.

Selesai solat, saya katakan pada kak Zainun bahawa baru sahaja saya minta solat jemaah di dataran Kaabah dan Alhamdulillah doa saya dimaklbulkan oleh Allah SWT dalam sekelip mata. Syukur.  Bergenang air mata saya kerana terharu.

Selesai solat itu, kami terus menunaikan solat-solat sunat yang lain dan kembali semula ke hotel pada kira-kira jam 9 pagi. Tiba di hotel, saya lihat ramai jemaah yang sibuk berkemas dan menyusun pakaian serta barangan yang hendak dibawa pulang.

Ada yang mencari tali, ada yang membeli pita pelekat. Tidak kurang juga mendapatkan kunci mangga tambahan kerana bagasi sudah beranak pinak dan bercucu. Lucu melihat keadaan itu. 

Namun, saya tetap dengan sebuah bagasi besar kerana banyak barangan saya sudahpun di pos ke Kuala Lumpur ketika saya masih di Madinah.

Tiba-tiba saya terfikir ibu memesan cerek kuning keemasan. Saya bergegas mendapatkannya. 

Sejurus pulang dan terlihat oleh rakan-rakan sebilik, mereka meminta saya membelikan cerek berkenaan untuk dibawa pulang.

Terkejut juga saya. Tidak sangka ramai yang suka cerek kuning emas itu. Saya tidak menolak permintaan mereka kerana simpati dan kasihan melihat makcik dan nenek yang semakin dimamah usia serta uzur untuk mencari ole-ole dari bumi Haramain.

Saya menjengok Busu Semah di dalam bilik dan mendapati Busu Adnan sedang memunggah dan menyusun barangan di dalam bagasi utama. Setelah dikunci bagasi itu, Busu Adnan mengikatnya dengan tali kasar untuk memastikan barangan di dalam bagasi itu tidak terkeluar dan berkeadaan selamat.

Pulang semula ke dalam bilik, hati saya semakin sayu kerana semakin hampir meninggalkan Makkah. 

Sudah beberapa hari saya tidak menghubungi suami dan ibu di tanah air. Hati saya hiba setiap kali azan berkumandang dan setelah selesai solat berjemaah.

Mendengar bacaan surah daripada imam Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman Sudais setiap kali solat berjemaah, hati saya semakin sayu dan tanpa disedari air mata membasahi pipi. Terasa berat hati meninggalkan kota suci yang menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia. 

Sesungguhnya, Makkah mempunyai tarikan tersendiri yang sukar dimengerti jika anda belum mengunjunginya. Hanya mereka yang sudah menjejakkan kaki ke Tanah Suci akan mengetahui kesedihan yang bertakhta di sanubari.

Tanggal 4 April kami menyempurnakan tawaf wada’sebelum melangkah keluar dari Tanah Suci Makkah. Berdoa dengan penuh harapan agar Allah SWT mengundang saya lagi ke Baitullah bersama-sama keluarga dan ibu bapa.

Jemaah KT44 meninggalkan Makkah untuk berangkat ke Jeddah dan ditempatkan di Madinatul Hujjaj sebelum pulang ke Malaysia.


Tags / Kata Kunci: Jeddah , Dar Al-Haramain , Hotel Makkah

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan