Minggu Melanggar Pantang Larang

Diterbitkan: Jumaat, 25 September 2015 10:58 AM

(Ubah saiz teks)

MINGGU lepas merakamkan sesuatu yang luar biasa dalam berbicara soal melanggar pantang larang biarpun ianya datang daripada kumpulan yang tidak disangka-sangka.

Banyak pantang larang telah dilanggar mahupun tidak diikuti sejak kebelakangan ini. Pantang larang bahawa tidak boleh berdemonstrasi di tempat awam sudah lama tidak diamalkan tetapi sesuatu yang mengejutkan apabila pantang larang ini juga sudah tidak diikuti oleh mereka yang pro-kerajaan.

Dan pantang larang mencederakan pihak polis juga sudah berakhir minggu lepas apabila peserta perhimpunan baju merah mencederakan beberapa anggota polis kerana mereka dilarang daripada berarak ke kawasan-kawasan tertentu di Kuala Lumpur.

Oh, sudah tentu ada pihak dengan segera menafikan sebarang kaitan mahupun ikatan dengan peserta-peserta ini.  Keistimewaan sebegini adalah sesuatu yang tidak dapat dinikmati oleh sesiapa yang menyertai perhimpunan Bersih.

Pantang larang untuk melabel seseorang juga telah berakhir minggu lepas.Ketika saya masih kecil, perkataan babi adalah sesuatu yang dilarang sama sekali untuk diucapkan.

Hal ini berterusan sehinggalah ada individu yang membuat keputusan untuk menggantikan perkataan empat huruf itu dengan perkataan ‘’khinzir’’ yang berasal daripada bahasa Arab. Pertukaran ini dibuat agar anda boleh bercakap soal haiwan ini tanpa mengguris perasaan orang lain.

Minggu lepas, pantang larang ini berakhir apabila ada penjual ikan BBQ menggunakan nama haiwan tersebut untuk memanggil sesebuah komuniti di negara ini.

Perbuatan ini dibuat dengan niat untuk menghina dan kemudian individu yang sama juga menjelaskan bahawa ia tidak seharusnya menjadi sesuatu yang sensitif memandangkan komuniti tersebut menikmati hidangan haiwan tersebut.

Apa tujuannya menghina seseorang dengan perkataan yang tidak menghina? Dan ada pula individu yang genius melanggar pantang larang minggu lepas apabila mengaitkan agamanya dengan sesuatu yang negatif dan tercela.

Individu sebegini  jugalah yang menegaskan bahawa Islam adalah agama kedamaian tetapi pada masa yang sama tidak ada kesalahan dalam mengancam diri orang lain dan seterusnya mendakwa bahawa rasisme dibenarkan dalam Islam.

Apakah kita dapat menemukan masyarakat yang rasis hidup dalam aman damai di dunia ini? Adakah individu ini tidak sedar tindakannya itu boleh dikaitkan dengan individu-individu tertentu?

Lebih baik beliau cakap ‘’ Saya seorang yang jahat dan saya bangga menjadi orang jahat’’. 

Justeru, tidak boleh dinafikan bahawa minggu lepas adalah minggu yang luar biasa dalam melanggar dan mengenepikan pantang larang meskipun hal ini datangnya daripada kumpulan yang tidak diduga.

Saya fikir, identiti yang menjadi kebanggaan maruah orang Melayu seperti bersopan santun, lemah-lembut dan terhormat sudah hilang dan mati minggu lepas. 

Ironinya, tindakan yang tidak terhormat itu dilakukan untuk mengangkat kehormatan dan kedudukan orang Melayu. 

Apa yang menarik ialah semua perbuatan ini seperti ‘’menang jadi arang, kalah jadi abu’’.

Satu tinjauan dilakukan sebelum perhimpunan baju merah menunjukkan bahawa majoriti kaum Melayu tidak menyokong perhimpunan tersebut. Dan apa yang berlaku minggu lepas mungkin tidak berhasil untuk membawa lebih ramai orang untuk menyokong ‘perjuangan’ perhimpunan itu.

Hanya segelintir sahaja yang mafhum tentang perhimpunan tersebut memandangkan ia tidak lebih sekadar satu idea yang kabur untuk mempertahankan maruah orang Melayu. 

Saya pasti jika ada seseorang di dalam keramaian peserta itu melaungkan ‘’Tolak GST’’, seluruh peserta yang berada di Padang Merbok itu juga akan melakukan hal yang sama.

Maklumlah, mereka juga adalah golongan yang merasai kenaikan harga barang gara-gara GST dan bukanlah sesuatu yang terhormat apabila terpaksa memotong perbelanjaan keluarga.

Sementara itu, terdapat juga rakyat Malaysia yang menyambut Hari Malaysia dengan memaknai hari tersebut sebagai hari bersama-sama meraikan perpaduan dalam kepelbagaian.

Ada antara kita menganjurkan aktiviti beriadah di Taman KLCC sambil membawa belon dan kek sempena hari ulangtahun ke-52 Malaysia.

Mereka yang tidak mengenali antara satu sama lain bertukar menjadi sahabat dan bercerita tentang apa sahaja sambil berehat dan berteduh di bawah pohon sepanjang aktiviti tersebut diadakan.

Jelas ia menunjukkan bahawa kita sebagai rakyat Malaysia tidak mempunyai sebarang masalah antara satu sama lain meskipun terdapat perbezaan latarbelakang. Apa yang penting, hati kita sentiasa cintakan tanah air ini.

Dan lagu Negaraku dimainkan untuk mengakhiri aktiviti tersebut; sesuatu yang tidak ada di Padang Merbok pada waktu itu. Sementara itu, di bahagian kota yang lain, pertunjukan budaya sepanjang hari tersebut juga disambut dengan meriah.

Penduduk menikmati makanan yang pelbagai rasa dan warna, menonton persembahan kebudayaan, menyaksikan upacara perkahwinan kaum Peranakan, mendengar lagu-lagu dan secara keseluruhannya, mereka meluangkan masa antara satu sama lain dengan penuh rasa muhibah.

Setiap hati yang hadir dipenuhi dengan rasa bangga saat Sean Ghazi menyanyikan bait-bait indah Tanah Pusaka sebelum disusuli dengan lagu NegaraKu. Seperti tengah malam Ogos lepas, lagu kebangsaan adalah milik setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latarbelakang komuniti mereka.

Kami bertekad mahu Hari Malaysia menjadi hari yang dipenuhi dengan rasa gembira, bahagia dan kebahagiaan; bukannya diisi dengan rasa marah dan keganasan. Kami mahu gambar kami memotretkan rakyat Malaysia yang menikmati detik bersama dengan rasa aman dan muhibah. Kami pulang ke rumah dengan perasaan yang sungguh tenang dan gembira.

Saya tidak tahu kalau peserta perhimpunan Baju Merah merasakan hal yang sama namun saya harap perkataan ‘gembira’ itu dapat diungkapkan oleh mereka untuk menggambarkan aktiviti yang dilakukan.

Terdapat satu perbezaan yang mudah dikesan antara perhimpunan baju merah dan perhimpunan baju kuning sebelum ini. Jika anda tidak menghasilkan plakad dan kain rentang yang besar dan anda melakukannya kerana anda percaya dengan perjuangan tersebut,  anda berpeluang untuk menghasilkan sesuatu yang kreatif.

Dan kita masih boleh tertawa dengan hasil kreativiti tersebut meskipun berada di dalam badai kemarahan terhadap isu semasa dan bukannya mentertawakan orang lain.


Tags / Kata Kunci: baju merah , Bersih , GST

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan