Disapa Wanita Berbaju Putih Di Jamrah

Diterbitkan: Khamis, 24 September 2015 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Masjidil Haram agak lengang pada tanggal 14 Mac 2000 kerana jemaah mula bergerak ke Arafah dan mereka memilih untuk berjalan kaki. Jemaah haji dari Malaysia juga turut berangkat pada hari yang sama secara berperingkat.

Giliran jemaah KT44 berangkat ke Arafah dijadualkan pada jam 4 petang iaitu selepas solat Asar di Masjidil Haram. Justeru, selepas solat Asar, semua jemaah berkumpul di lobi Dar Al-Haramain untuk menunggu bas.

Kami tidak menunggu lama. Namun, disebabkan pemeriksaan dan pemantauan setiap jemaah di dalam Dar Al-Haramain, kami berangkat agak lewat. Hanya setelah jam 5.50 petang bas kami bergerak ke padang Arafah. 

Alhamdulillah, tepat jam 6.30 petang, rombongan kami tiba di padang Arafah. Biarpun lama menunggu di depan hotel penginapan, kami tiba agak cepat kerana ramai yang mengatakan perjalanan ke Arafah kadangkala mengambil masa panjang akibat kesesakan lalu lintas. 

Serba putih! Itu detik hati saya. Sebahagian besar atau hampir semua jemaah wanita berrpakaian ihram serba putih. Spontan mengingatkan saya pada kematian. Cukup menginsafkan sejurus turun dari bas dan menghadap khemah di padang Arafah yang juga serba putih.



Hati terasa sayu. Saya melangkah mencari khemah yang disediakan bersama beberapa lagi jemaah lain. Khemah 8P yang memuatkan 30 jemaah wanita akhirnya saya temui. Busu Semah dan mummy turut bersama-sama saya di dalam khemah berkenaan. Semua jemaah sebilik saya turut berada di dalam khemah yang sama. Alhamdulillah.

Jemaah haji menghabiskan masa beribadat di dalam khemah. Kami tidak banyak bersembang. Berbual hanya yang perlu sahaja. Selainnya masing-masing beribadat sama ada membaca al-Quran, berzikir dan bersolat sunat.

Teringat pesanan kenalan di tanah air agar menghabiskan masa beribadat dan memperbanyak doa di padang Arafah terutama sepanjang wukuf. Saya sematkan dalam diri dan berdoa agar Allah memberi kekuatan dan kesempatan kepada saya untuk terus beribadah di bumi Arafah yang mustajab doa.

Pada kira-kira jam 10 malam, hampir semua jemaah sudah tidur. Saya agak sukar melelapkan mata namun tidur juga dan terjaga semula sebelum Subuh. Selesai mengerjakan solat sunat dan menyempurnakan solat Subuh di dalam khemah, semua jemaah bersarapan. Semua makan ala kadar dan tidak banyak bercakap.

Pagi 9 Zulhijah begitu hening. Terasa sayup memandang sekeliling khemah di bumi Arafah. Pepohon rendang meredupkan suasana. Cuaca tidak terlalu panas ketika itu dan agak nyaman.  Hendak ke bilik air untuk membersihkan diri amat sukar kerana ramai yang menunggu giliran. Di sinilah, kesabaran kita teruji.

Saya panjangkan pesanan daripada kenalan kepada rakan jemaah lain agar tidak leka dan lalai sepanjang tempoh wukuf iaitu dari waktu Zuhur hingga terbit fajar 10 Zulhijah. Kami saling mengingatkan. 

Alhamdulillah, ketika masuk waktu wukuf sebahagian besar kelihatan khusyuk beribadat dan berdoa. Bukan sekadar di dalam khemah tetapi di luar khemah memohon doa kepada Allah SWT. Hanya Allah juga yang mengetahui setiap doa dititip dan dilafazkan dengan penuh harapan.

“Kak, bangun kak. Kita masih dalam waktu wukuf lagi. Elok berdoa. Nanti boleh sambung tidur,” ujar saya kepada seorang daripada jemaah yang terbaring di sisi.

“Akak mengantuk. Letih sangat. Semalam tak berapa tidurlah Ana…” balas jemaah itu.

“Kakak tidur sekejap. Nanti Ana kejutkan kakak ye…”ujar beliau lagi.

“Insya Allah,” balas saya.

Selepas setengah jam beliau tidur, saya mengejutkan rakan jemaah itu dan beliau menyambung semula ibadatnya setelah mengambil wuduk. Beribadat dan berdoa. Begitulah semua jemaah yang berwukuf sehinggalah kami diminta untuk bersedia menunggu giliran berangkat ke Muzdalifah dan Mina bagi menyempurnakan ibadat 
seterusnya.

Sekali lagi kesabaran teruji. Selesai solat Isyak, iatiu kira-kira jam 9 malam, kami sudah menunggu bas yang sepatutnya mengambil kami di padang Arafah tetapi penantian cukup panjang itu menyebabkan ada antara jemaah hilang sabar.

Tunggu dan tunggu. Akhirnya, saya, mummy, Busu Semah dan Busu Adnan menaiki bas yang muncul di depan kami pada jam 3 pagi. Terdahulu ramai jemaah lain sudah menaiki bas yang lebih awal iaitu pada kira-kira jam 11 malam hingga 1 pagi. 

Kesejukan di padang pasir mula terasa. Kami tetap sabar. Semua jemaah beratur menaiki bas yang tiba pada jam 3 pagi. Namun, ramai juga yang tidak mematuhi arahan ditetapkan oleh LTH kerana mahu mengejar bas dan cepat tiba di Muzdalifah dan Mina.

Biarpun kami menaiki bas pada jam 3 pagi tetapi Alhamdulillah bas kami tiba di Mina pada jam 5 pagi. Semua bersyukur. Paling saya kasihan adalah pada warga berusia 60 tahun ke atas. Jelas kelihatan keletihan pada raut wajah mereka.

Saya pula masih bertenaga walaupun tidak tidur semalaman. Mungkin faktor usia banyak membantu. Tiba di Mina, sekali lagi mencari khemah ditetapkan oleh LTH. Khemah 5P itulah khemah yang saya huni untuk tiga malam di Mina. Cukup padat khemah itu kerana menempatkan 26 jemaah wanita. Namun, bersyukur kerana segala-galanya dipermudahkan oleh Allah SWT.

Selesai Isyak pada malam itu, Busu Adnan, Busu Semah, mummy, saya dan tiga lagi rakan jemaah lain berjalan kira-kira tiga km untuk melontar jamrah Aqabah. Syukur sekali lagi urusan kami dipermudahkan oleh-Nya.

Namun, ujian dan dugaan tetap saya hadapi ketika melontar ketiga-tiga jamrah selepas waktu Asar pada 11 Zulhijah. Sekali lagi kami bertujuh berjalan kaki ke tempat jamrah. Mulanya kami berkumpulan tetapi ketika melontar Jamrah ‘Ula, saya terpisah dengan enam lagi jemaah lain.



Dalam sekelip mata, keenam-enam jemaah lain hilang daripada pandangan. Saya kebingungan. Batu-batu kecil di dalam genggaman. Saya belum melontar kerana tidak berani untuk ke hadapan berikutan lautan manusia umpama ombak yang menghempas pantai. Spontan saya teringat ibu yang pernah menyatakan kerisauan ketika melontar  kerana menyedari saya mudah pening apabila melihat ramai orang.

Dalam masa yang sama, saya hanya teringat ibu. Hati saya berkata-kata, dapatkah saya melihat ibu saya lagi selepas ini. Ketika itu saya hanya teringat pada kematian kerana terasa begitu lemah di tengah-tengah lautan manusia.

“Dik, baca Rabbi Yassir Wala Tu Assir,” ujar seorang wanita berpakaian serba putih dan bertudung labuh putih sambil menepuk bahu saya. Beliau berjalan bersama-sama suaminya.

Dua kali wanita itu membaca ayat itu pada saya dan saya mengikut. Sejurus mahu mengucapkan terima kasih, pasangan itu hilang dari pandangan.

Saya terus membaca ayat itu berkali-kali dan Alhamdulillah, saya terasa diri ini kuat dan tinggi. 

Sejurus itu juga saya berjalan ke hadapan untuk melontar Jamrah ‘Ula yang terus dibanjiri jemaah. 

Selesai melontar, saya memusing ke kanan dan terlihat keenam-enam jemaah lain.

“Ana dah melontar ke?” tanya Busu Semah.

“Dah…” balas saya ringkas pada Busu Semah.

“Kami belum lagi…” balas Busu Semah dan meminta saya menunggu mereka di belakang jamrah berkenaan.

Selesai melontar, kami berjalan pulang ke khemah. Dalam perjalanan pulang, banyak makanan dan minuman diberikan. Tiba di khemah, saya tunaikan solat sunat sebagai tanda kesyukuran kepada Allah kerana memberi saya kekuatan untuk melontar ketiga-tiga jamrah yang begitu mencabar.



Lontaran pada 12 Zulhijah juga meninggalkan kenangan dalam diri saya kerana selesai melontar ketiga-tiga jamrah, saya pulang sendirian ke khemah di Mina kerana sekali lagi Busu Semah, Busu Adnan dan mummy terlepas daripada pandangan saya.

Perjalanan melalui terowong Muaisem turut mengingatkan saya pada tragedi  yang menimpa jemaah haji pada 1989. Saya berjalan pantas dan terus membaca Rabbi Yassir Wala Tu Assir agar tidak tersesat. Syukur saya tiba di khemah 5P sebelum waktu Maghrib.

Tiba-tiba saya terdengar nama saya dipanggil oleh Busu Semah.

“Ana ada?” tanya Busu Semah.

“Ada Busu. Dah sampai,” balas saya.

“Alhamdulillah. Tiba-tiba tengok Ana dah tak ada sebentar tadi,” ujar beliau.

“Ana baru sampai jugak ni,” sambung saya.

Hari terakhir melontar jamrah disempurnakan selepas solat Subuh dan selepas itu pulang semula ke Makkah untuk menyempurnakan tawaf dan saie haji pada pagi berkenaan. Sempurnalah rukun dan wajib haji. Syukur Alhamdulillah.

Setelah berehat dan dan tidur seketika di Dar Al-Haramain, saya memaklumkan kepada rakan-rakan jemaah lain bahawa saya mahu bertemu nenek dan ibu saudara di Hotel Makkah dan mungkin bermalam bersama-sama mereka.

Ikuti catatan seterusnya mengenai tugas yang perlu saya galas dan tidak pernah saya duga selepas bertemu nenek serta ibu saudara minggu hadapan, insyaAllah.

Tags / Kata Kunci: Masjidil Haram , Arafah , Busu Semah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan