Hiba Meninggalkan Madinah

Diterbitkan: Rabu, 9 September 2015 6:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM...

Hari-hari yang dilalui di Madinah tidak saya sia-siakan. Ketika mengikuti kursus ibadat haji perdana di Masjid Negara, setiap jemaah diingatkan agar merebut peluang mendapatkan solat 40 waktu di Masjid Nabawi. Begitu juga saya. Alhamdulillah segala urusan ibadat berjalan lancar.

Setiap hari ke Masjid Nabawi untuk solat fardu berjemaah. Kedinginan sebelum Subuh tidak menjadi penghalang kepada setiap jemaah untuk berlumba-lumba mendapatkan tempat di dalam Masjid Nabawi. Sejurus pintu masjid dibuka pada jam 3 pagi, semua jemaah menyerbu masuk ke dalam ruang solat.

Hendak solat di luar memang sejuk jadi sebaik-baiknya datang awal untuk memastikan kita mendapat tempat solat di dalam masjid. Tidak mengapa terlalu awal, niat iktikaf.

Terpesona dengan kelunakan suara imam Masjid Nabawi ketika itu. Syeikh Su’ud Syuraim.  Suaranya lemak dan lantang. Biarpun surah dibaca panjang terutama pada waktu Subuh namun, kita tidak jemu mendengar.

Selesai solat Subuh dan menikmati sarapan, Busu Adnan, Busu Semah, mummy dan saya akan bersarapan di sekitar restoran atau gerai makan berhampiran Masjid Nabawi. Keadaan di sekitar masjid tidak seperti sekarang yang sudah banyak diubah suai.

Masih saya ingat, ada sebuah pejabat pos dan tempat itu lazimnya menjadi tempat pertemuan antara saya, Busu Semah dan mummy setiap kali selepas solat. Siapa yang selesai solat terlebih dulu tunggu di depan pejabat pos dan kami akan berjalan bersama-sama untuk pulang ke Jawharat Elyas yang menjadi penginapan kami sepanjang di Madinah.

Alhamdulillah, saya cepat mengenal pasti kawasan di sekitar Masjid Nabawi dan ini sedikit sebanyak membantu agar tidak mudah sesat. Selepas sarapan, kami berbelanja mencari ole-ole untuk dibawa pulang ke tanah air.

Jemaah haji juga dibawa menziarahi kawasan luar tanah perkuburan Baqi, Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan pasar tamar.

"Ana nak beli kurma, coklat, kismis, eloklah beli di sini,” ujar Busu Adnan kepada saya ketika kami dibawa ziarah ke pasar kurma.

"Oh ye ke? Tak perlu beli di Makkah ke?" tanya saya.

"Elok beli di sini. Kurma Madinah lebih baik," nasihat Busu Adnan.

"Baiklah. Terima kasih Busu," balas saya.

Saya pun berbelanja membeli pelbagai jenis tamar, coklat tamar, kismis dan kekacang.  Selang sehari, saya membeli lagi tetapi bukanlah makanan tetapi sejadah, tasbih dan jubah untuk si kecil. Melihatkan barang yang semakin bertambah, saya mula terfikir mampukah saya membawa pulang semua itu sendirian.

"Ana, Busu nak pos barang-barang yang dah dibeli baru-baru ini. Ana nak pos barang juga ke?" tanya Busu Semah.

"Oh boleh pos ye. Senang macam tu. Ana pun nak pos baranglah kalau macam tu Busu," balas saya lega.

"Kalau Ana nak pos barang-barang, bolehlah ikut kami lepas Subuh esok," ujar Busu Semah.

"Ok. Ana ketepikan barang-barang yang nak dipos itu. Insha Allah. Terima kasih Busu," balas saya tersenyum.

Pada malam itu, selepas solat Isyak dan menikmati makan malam bersama-sama rakan sebilik, saya mengetepikan barang-barang yang mahu dihantar secara pos. Melihatkan kesibukan saya menyusun barang, rakan sebilik bertanya dan saya maklumkan kepada mereka bahawa saya akan hantar barang-barang itu secara pos.

Kalau macam tu akak pun nak pos barang macam Ana. Taklah berat nak bawa balik ke Kuala Lumpur nanti," ujar kak Roziah.

Berapa satu kilo Ana?” tanya kak Roziah.

"Sekilo SR17 sahaja kak," balas saya.

"Murahlah tu. Eh, lebih baik kita pos saja barang-barang ini balik ke sana," sambung kak Roziah.

Ketika itu, seingat saya, nilai ringgit Malaysia lebih tinggi dari Saudi Riyal. Faktor itu juga menyebabkan ramai jemaah haji Malaysia mewah berbelanja di Tanah Suci Madinah dan Makkah. Malah, saya lihat ada yang sanggup membawa pulang permaidani, ‘comforter’dan cerek berwarna keemasan . Namun, saya tidaklah begitu.

Saya berbelanja mengikut keperluan dan sederhana sahaja.

Esok paginya, saya mengikut Busu Adnan, Busu Semah dan mummy menguruskan barang-barang yang hendak dipos. Mudah dan ringkas saja. Barangan pula dijamin tiba di tanah air dalam tempoh tidak sampai dua minggu.

Selesai menguruskan barangan yang dipos, kami pulang semula ke tempat penginapan dan bersiap sedia untuk bersolat Zuhur berjemaah di Masjid Nabawi. Masa berlalu begitu pantas dan tibalah hari terakhir di Madinah.

Jemaah diberi taklimat oleh pengurusan Lembaga Tabung Haji (LTH) sebelum berangkat ke Makkah. Kami dinasihatkan agar melakukan ziarah wada’ pada sebelah malam, iaitu selaps solat Isyak dan bersolat Subuh esoknya di penginapan.

Ramai yang bertanya mengapa tidak diberi peluang untuk solat Subuh berjemaah di Masjid Nabawi tetapi dilarang kerana bimbang akan menjejaskan jadual waktu ditetapkan untuk bermiqat di Bir ‘Ali dan seterusnya ke Makkah bagi menyempurnakan rukun umrah iaitu tawaf, saie dan tahalul.

Oleh kerana kami adalah jemaah yang menaiki penerbangan pertengahan dan masih lama untuk berwukuf, semua jemaah ketika itu memilih haji tamatuk.

Dari kejauhan saya terdengar suara imam Sheikh Su’ud Syuraim membaca surah al-Fatihah. Hati begitu sebak dan saya tidak mampu menahan tangisan. Perasaan hiba itu datang secara tiba-tiba tanpa sebarang paksaan.

Saya menangis semahu hati di dalam bilik air. Sejurus keluar beberapa rakan jemaah lain bertanya melihatkan mata saya.

"Kenapa Ana?" tanya salah seorang daripada mereka.

"Sedih…," balas saya ringkas.

Semua terdiam seketika. Selesai solat, semua jemaah menikmati sarapan ringkas untuk mengalas perut. Saya tidak selera untuk makan ketika itu namun membawa bekalan untuk perjalanan ke Makkah.

Jam 7 pagi semua jemaah sudah menaiki bas yang sedia menunggu kami di depan Jawharat Elyas. Masing-masing sibuk menguruskan bagasi. Semua lengkap berihram berpakaian serba putih. Kesedihan saya sukar diucap. Saya berdoa agar diundang kembali ke Madinah untuk berkunjung ke Raudah dan menziarahi makam baginda Rasul. Hanya Allah sahaja yang mengetahui kesayuan hati saya untuk meninggalkan kota Madinah.

Sejurus kakitangan LTH mengenal pasti semua jemaah sudah berada di dalam bas, kami pun bergeraklah meninggalkan Madinah. Hiba bukan kepalang. Bermacam-macam bermain di fikiran saya ketika itu. Mampukah saya mengulangi kunjungan ke tempat bersemadinya jasad junjungan mulia? Doa dan doa agar dilimpahkan rezeki untuk terus menziarahi Rasulullah S.A.W.

Di dalam bas, kepala saya pening. Badan terasa panas. Air zamzam saya minum sedikit demi sedikit. Tidak sampai satu jam, kami tiba di masjid Bir ‘Ali untuk menunaikan solat sunat ihram dan seterusnya berniat ihram.

Semua jemaah berjalan secara berkumpulan dan mengikut arahan mutawif dan kakitangan LTH. Selesai solat sunat, semua jemaah naik semula ke dalam bas untuk meneruskan perjalanan selanjutnya ke Tanah Suci Makkah.

Kami bertalbiah beramai-ramai. Semua bersemangat. Sesudah itu,ada yang berzikir, mengaji dan membaca buku doa. Setelah letih, kami tertidur sehingga tiba di kawasan rehat untuk bersolat dan makan kira-kira satu jam. Perjalanan disambung semula dan sekali lagi jemaah bertalbiah beramai-ramai untuk beberapa ketika.

Semua kelihatan letih. Begitu juga saya. Dalam perjalanan cuaca agak panas namun  semua tampak tenang. Badanku terasa agak panas. Kepala pula pening lalat. Mungkin demam. Saya berdoa agar diberi kesihatan yang baik untuk mengerjakan ibadat haji.

Sebelum tiba di Tanah Suci, beberapa ‘check point’ harus ditempuh. Itu yang menyebabkan perjalanan menjadi agak lama namun semua memahami keadaan itu kerana sudah dinasihatkan agar bersabar dalam setiap situasi.

Sebelum Maghrib kami tiba di Makkah. Alhamdulillah. Kedengaran bunyi hon kenderaan merata-rata. Kesesakan lalu lintas yang begitu ketara. Cukup ramai di Makkah. Saya leka memerhati di dalam bas yang belum berhenti di depan maktab yang ditetapkan oleh LTH untuk jemaah KT44.

Sejurus tiba di depan sebuah bangunan berwarna putih dan kelabu, semua jemaah dinasihatkan agar turun dan mengambil semua bagasi masing-masing.

"Ahlan Wa Sahlan…Ahlan Wa Sahlan…Duyuffurahman…" ucap seorang lelaki berjubah serba putih berbangsa Arab kepada kami sejurus turun dari bas.

Lelaki itu memberi kami tasbih berwarna hijau muda dan senyuman sentiasa terukir di bibirnya. Beliau kelihatan ceria menyambut kedatangan tetamu Allah yang bakal menunaikan ibadat haji. Kami ditempatkan di Hotel Abraj Dar Al-Haramain di kawasan Ajyad. Ikuti sambungan catatan saya minggu depan, insha Allah.

Tags / Kata Kunci: Madinah , Masjid Nabawi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan