Kagum Melihat Keindahan Masjid Nabawi

Diterbitkan: Khamis, 27 Ogos 2015 5:06 PM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Penerbangan Saudi Airlines membawa kira-kira 400 jemaah haji tiba di lapangan terbang Madinah pada kira-kira jam 8 malam waktu tempatan. Urusan imigresen kami tidaklah begitu panjang. Alhamdulillah. Kami adalah jemaah KT44 iaitu penerbangan yang ke-44 bagi jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadat haji.

Ketika itu, bagasi jemaah perlu dibuka untuk pemeriksaan kastam di imigresen Madinah. Semua jemaah bersiap sedia membuka bagasi. Semua beratur penuh kesabaran. Semua tampak teruja walaupun jelas terpancar keletihan selepas berada di dalam pesawat hampir sembilan jam.

Tiba-tiba kedengaran di barisan sebelah saya seorang pakcik bertubuh kecil berusia dalam lingkungan hampir 70-an merungut dan menyalahkan anak-anaknya kerana dia tidak mampu membuka bagasi besar beroda.

“Tak ingatlah saya nombor untuk beg ini. Anak-anak saya yang punya pandai ni. Saya tak ingat. Saya tak ingat…,” rungut pakcik itu.

“Cuba ingat semula nombor tu. Sabar…,” ujar seorang lagi jemaah di depan pakcik berkenaan.

“Ya Allah…Astaghfirullah…susah nak buka beg ini. Macam mana ni? Giliran saya dah dekat ni. Astaghfirullah…,” ucap warga tua itu dengan wajah penuh cemas.

“Hah. Ingat dah. Alhamdulillah,” ujarnya sambil memutar nombor pada bagasi itu.

“Eh tak dapat juga. Tak nampaklah pulak nombor ni. Kecil sangat,” rungut beliau lagi.

“Ada sesiapa boleh tolong pusingkan nombor pada beg ni tak?” Kedengaran suara jemaah berhampiran pakcik itu.

Saya terus meluru ke arah pakcik berkenaan dan bertanya nombor untuk membuka bagasi itu. Sejurus pakcik itu memaklumkan saya nombor untuk bagasi itu, saya lantas memutar nombor disebut dan bagasi itu pun terbuka.

“Alhamdulillah,” ucap pakcik itu girang.

“Terima kasih ye nak,” ujar beliau tersenyum.

“Pakcik jangan guna nombor lagi. Beli mangga kecil saja nanti,” pesan saya.

“Betullah. Nanti pakcik nak cari mangga kecil saja. Lebih senang nak tutup dan buka beg. Mata pakcik dah kurang jelas, susah nak putar nombor untuk buka beg. Terima kasihlah nak tolong pakcik buka beg ni,” ujar pakcik itu lagi.

“Sama-sama,” balas saya berlalu meninggalkan pakcik itu dan beratur semula.

Masjid Nabawi pada waktu malam.

Selesai urusan imigresen dan pemeriksaan kastam, kami menaiki bas untuk ke penginapan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Tabung Haji (LTH). Kami tiba di depan hotel Jawharat Elyas, berhampiran perkuburan Baqi’ pada kira-kira jam 10 malam. 

“Cantiknya masjid tu…,” ujar saya penuh kagum kepada Busu Semah (ibu saudara suami).

“Itulah Masjid Nabawi,” balas Busu Semah ringkas.

“Cantik sungguh. Tak sangka Masjid Nabawi cantik sekali,” ujar saya terus mengagumi keindahan Masjid Nabawi yang bermandi cahaya malam.

Semua bagasi disusun di depan pintu hotel dan jemaah terus mengambil setiap bagasi milik mereka dan menunggu petugas LTH memaklumkan bilik masing-masing.

“Esok jam 3 pagi tunggu di lobi. Kita pergi solat Subuh sama-sama,” pesan Busu Adnan pula. Busu Adnan adalah suami kepada Busu Semah.

“InsyaAllah,” balas saya akur.

Semua jemaah naik ke bilik masing-masing. Lima orang di dalam sebuah bilik umpama suite kecil. Hanya ada satu tandas. Bilik itu selesa kerana besar dan sesuai untuk memuatkan lima jemaah. Bersama-samaku ada jemaah dari Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. Busu Semah dan mami (seorang lagi ibu saudara suami) di bilik lain dan di aras lain.

Seorang demi seorang membersihkan diri dan melelapkan mata seketika selepas menikmati makan malam sejurus tiba di Jawharat Elyas. Pada kira-kira jam 2 pagi saya terjaga dan terus memasuki tandas untuk berwuduk.

Sebelum jam 3 pagi, saya sudah menunggu Busu Semah, Busu Adnan dan mami di ruang lobi. Suasana masih sepi walaupun di luar sudah kelihatan jemaah menuju ke kawasan Masjid Nabawi. Tepat jam 3 pagi, ketiga-tiganya muncul di depanku.

“Dah lama tunggu?” tanya Busu Semah.

“Baru saja,” balas saya.

Kami berjalan menuju ke Masjid Nabawi. Ketika itu, pagar di Masjid Nabawi dibuka pada jam 3 pagi dan jemaah akan terus memasuki ruang masjid untuk beriktikaf dan qiamulail. Bibirku tidak henti-henti berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Saya benar-benar kagum dengan keindahan Masjid Nabawi. Terasa tenang dan damai sejurus menjejakkan kaki ke Madinah apatah lagi sudah berada di dalam masjid berkenaan. Aku benar-benar bersyukur kerana selamat sampai ke bumi Madinah dan tidak sabar untuk menziarahi Rasulullah dan berada di Raudah.

Sejurus tiba di depan pintu Masjid Nabawi, petugas masjid memeriksa beg galas setiap jemaah. Ketika itu kamera tidak boleh dibawa masuk. Kawalan lebih ketat berbanding sekarang yang membolehkan jemaah mengambil foto dan membawa telefon bimbit.

“Ana buat solat sunat tahyatul masjid, solat tahajud, taubat dan hajat tau,” pesan Busu Semah.

“Baiklah Busu. Terima kasih,” balas saya sejurus kami menghamparkan sejadah.


Walaupun jemaah sudah mula ramai tetapi masih ada ruang yang selesa untuk kami mengerjakan solat. Selesai solat, saya lihat mami dan Busu Semah berzikir dan berdoa. Teringat pada pesanan bapa agar berusaha untuk khatam al-Quran di Tanah Suci. 

Saya memerhati deretan al-Quran di atas rak tembaga yang bersusun rapi. Tanpa berlengah, saya terus mencapai senaskhah dan memulakan bacaan pada surah al-Fatihah dan diikuti al-Baqarah. Tidak lama selepas itu azan berkumandang. Lunak suara muazin. Sekali lagi saya terasa kagum sejurus mendengar laungan azan.

Namun dalam hati, terfikir sejenak, mengapa begitu awal solat Subuh. Belum jam 4 pagi pun lagi tetapi mengapa sudah azan Subuh.

“Dah Subuh ke mami?” tanya saya pada mami yang berada di sebelah saya.

“Belum. Satu jam lagi baru azan Subuh. Di sini, memang macam tu. Dua kali azan. Lagi sekali baru azan Subuh,” ujar mami tersenyum.

“Oh. Bagus ye di sini. Kejutkan kita untuk solat Subuh. Jadi bolehlah bersiap-siap lagi satu jam nak masuk waktu Subuh,” balas saya.

“Tapi kalau kita lambat dalam masjid dah penuh. Sebab tu kena datang sebelum azan pertama, jadi dapatlah solat dalam masjid. Kalau lambat, kita kena solat di luar,” balas mami berpesan.

“Ok. Ana faham. Patutlah semua jemaah berpusu-pusu dan berlumba-lumba datang awal sebab nak rebut tempat agar dapat solat di dalam masjid,” ujar saya pula.

Suasana di dalam masjid makin sibuk. Jemaah semakin ramai. Kedengaran suara anak-anak kecil menangis dan merengek. Saya kehairanan.

“Ramai juga budak-budak kecil ye Busu,” ujar saya.

“Orang Arab memang suka bawa anak-anak kecil ke masjid,” balas Busu Semah.

“Kalau di tempat kita, taklah macam ni kan,” ujar saya lagi.

Saya terus memerhati sekeliling. Kagum. Hairan. Pelbagai persoalan bermain di fikiran. Sementara menunggu azan Subuh berkumandang, saya mengaji, berzikir dan berdoa. Begitu juga sebahagian besar jemaah lain.

Sejurus azan Subuh berkumandang, suasana di dalam masjid menjadi lebih padat. Semua bersiap sedia untuk solat berjemaah.

“Nanti lepas solat fardu selalu ada solat jenazah,” pesan mami.

“Hah. Ingat. Ibu dan bapak ada bagitahu Ana juga setiap waktu ada solat jenazah,” balas saya.

“Baguslah kalau Ana dah tahu. Nanti boleh solat jenazah sekali,” ujar mami tersenyum.


Betul. Selepas solat Subuh pada pagi itu ada solat jenazah dan sebahagian besar jemaah turut sama-sama bersolat jenazah yang ganjarannya sebesar Bukit Uhud. Selesai solat, kami bergerak perlahan-lahan menuju ke Jawharat Elyas untuk bertemu Busu Adnan. 

“Kita pergi minum di restoran Pakistan,” ujar Busu Adnan sejurus melihat kami di lobi hotel.

“Ana nak tukar tudung sekejap,” pinta saya.

“Tak payah. Semua orang jalan pakai telekung saja,” ujar Busu Semah ketawa.

“Oh ye ke?” tanya saya.

“Ye. Boleh jalan saja dengan telekung ni,” ujar mami pula tersenyum.

“Hah. Ok. Baiklah,” balas saya pula.

Selesai menikmati roti dan dal di restoran Pakistan, saya mengikut Busu Adnan, Busu Semah dan mami yang sudah beberapa kali menunaikan haji dan umrah. Mereka kelihatan mahir dengan persekitaran di Madinah. 

Dalam perjalanan pulang ke Jawharat Elyas, kami singgah di beberapa bazar di sekitar kawasan penginapan jemaah haji dan saya membeli al-Quran dan singgah seketika di kedai runcit untuk membeli kudapan.

Ketika itu, LTH hanya menyediakan makan tengah hari dan makan malam untuk jemaah haji muasasah manakala untuk sarapan, jemaah perlu membeli makanan sendiri tetapi untuk membancuh minuman, LTH menyediakan teh, kopi, milo dan air panas di setiap maktab atau penginapan jemaah haji.

Ikuti sambungan catatan pengalaman pertama saya apabila berkunjung ke Raudah dan makam Rasulullah S.A.W pada minggu akan datang, insyaAllah.

Tags / Kata Kunci: tanah suci , Madinah , Masjid Nabawi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan