Saie Terakhir Bersama Bapa

Diterbitkan: Khamis, 30 Julai 2015 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM.  Banyak kenangan dilalui ketika menunaikan umrah bersama-sama pembaca majalah Jelita. Setiap cabaran, ujian dan dugaan terus terpahat dalam ingatan. Tiada yang pahit bagi saya kerana segala yang dilalui menjadi pengajaran dan menyebabkan diri ini lebih tabah ketika berhadapan setiap ujian dalam kehidupan.

Kembara umrah bersama-sama pembaca Jelita juga meninggalkan kenangan abadi kerana tidak pernah saya sangka kunjungan pada Mei 2008 ke Tanah Suci Makkah dan Madinah adalah yang terakhir buat bapa saya, Abdullah Mubarak.

Alhamdulillah, tiga kali saya berpeluang mengerjakan umrah bersama-sama arwah bapa saya, iaitu pada 2005, 2007 dan 2008. Terlalu banyak kenangan manis ketika membawa beliau beribadat dan paling meninggalkan kesan mendalam dalam hati saya ialah setiap kali mengerjakan saie di antara Safa dan Marwah.

Ketika artikel ini ditulis, genap lima tahun bapa saya pulang ke rahmatullah. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 25 Julai 2010 iaitu kira-kira dua minggu sebelum umat Islam menyambut kedatangan Ramadan ketika itu.

Sebelum bapa meninggal dunia, saya sudahpun membayar deposit untuk mengerjakan umrah dan kami dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada hujung Ramadan dan menyambut Aidilfitri di Makkah. Impian beliau untuk ke Tanah Suci ialah menunaikan puasa sunat Syawal, namun hasratnya tidak kesampaian kerana Allah lebih menyayanginya.

Kesedihan mendalam begitu saya rasakan sehingga saya membatalkan hasrat untuk ke Tanah Suci ketika itu kerana ibu saya masih di dalam idah. Biarpun ibu menasihatkan saya agar pergi bersama-sama adik lelaki namun saya keberatan meninggalkan ibu yang dirundung kesedihan. Tambahan pula pada April 2010, saya sudahpun menunaikan umrah bersama-sama suami, anak dan adik perempuan.

Tidak pernah saya sangka umrah terakhir saya dengan arwah bapa ketika saya membawa pembaca Jelita mengerjakan umrah. Beliau turut gembira apabila dimaklumkan bahawa Jelita akan mengadakan program kembara umrah dan berhasrat menyertainya jika ada rezeki ke sana lagi.

Kegembiraan jelas terpancar pada seraut wajahnya, terutama ketika daftar masuk di kaunter Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang. Dengan kerusi roda beliau ditolak hingga ke tempat duduk di dalam pesawat. 

Di Madinah, beliau turut berziarah dan beribadat seperti jemaah lain. Arwah tidak cerewet. Tidak suka mengeluh dan tidak suka menyusahkan orang. Segala-galanya mahu dilakukan sendiri mengikut kemampuan diri.

Namun, ketegasannya kadangkala menguji kesabaran anak-anak dan ibuku. Justeru, kesabaran paling penting dalam hal ini. Semangatnya untuk beribadat sangat kental dan begitu kuat biarpun tubuh serta kakinya lemah ketika melangkah.

Abdullah berkerusi roda ketika tiba di KLIA.

“Bapak naik kerusi roda ye untuk tawaf,” ujar saya ketika berjalan beramai-ramai dengan jemaah menuju ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan ibadat umrah.

“Tak nak. Bapa boleh jalan sendiri,” balas beliau tegas.

“Bapak penat nanti. Orang ramai sekarang ini. Lagi pun dah malam,” ujar saya lagi.

“Tak penat. Bapak boleh jalan sendiri untuk tawaf,” balas beliau terus.

“Lah naik kerusi roda. Jadi kita boleh tolak sama-sama,” pinta ibu saya pula. Ibu saya memanggil bapa saya, Lah.

“Tak payah. Lah boleh jalan sendiri,” tegas bapa saya dengan nada sedikit tinggi dan memeranjatkan saya serta ibu di sisinya.

Mendengarkan suara beliau yang mula meninggi di perkarangan Masjidil Haram, Ustaz Wan Akashah Abdul Hamid menghampiri kami dan bertanya.

“Kenapa Ana?” tanya beliau ringkas.

“Ana dan ibu suruh bapak naik kerusi roda untuk mudahkan tawaf nanti tapi bapak tak nak,” ujar saya.

“Tak mengapalah. Biar ustaz bawa dia tawaf sekali nanti. Ana dan ibu ikut ye,” ujar Ustaz Wan Akashah.

“Terima kasih ustaz,” jawab saya sambil mencuri pandang pada wajah ibu saya yang kelihatan agak sedih.

Kami hanya diam dan menumpukan perhatian sebelum masuk ke pintu King Abdul Aziz. Selesai tawaf, Ustaz Wan Akashah menyerahkan bapa kepada saya. 

“Bapa nak saie dengan Shah ke Im?” tanya saya. Shah (Shahril) dan Im (Imran) adalah adik saya.

“Ana…,” jawab bapa saya ringkas.

“Ok. Kita saie sama-sama,” balas saya.

Tidak berani saya menyebut khidmat kerusi roda untuk saie kerana tentu sekali bapa tidak setuju. 

Saya dan ibu kasihan dan bimbang pada beliau kerana dikhuatiri mudah penat sebab bermasalah jantung, diabetes dan darah tinggi. 

Pada masa yang sama, saya menyuruh Humaira (anak saya) saie bersama-sama ibu saya.

“Humaira jangan tunggu umi. Kalau dah habis saie, bawa baba (panggilan anak-anak saya untuk ibu saya) balik ke hotel. Boleh ingatkan jalan balik ke hotel?” tanya saya.

“Insha Allah ibu ingat. Nanti ada jemaah lain boleh ibu dan Humaira jalan sama-sama balik hotel,” jawab ibu.

“Baiklah. Jumpa kat hotel je nanti,” balas saya.

Saya meminta mereka pulang ke hotel dahulu kerana menyedari ibadat saie saya dan bapa mengambil masa lebih lama berdasarkan pengalaman dilalui ketika mengerjakan umrah pada 2005 dan 2007.

Maka berpisahlah saya dengan ibu, anak, adik-adik dan jemaah umrah yang lain kerana perlu mengerjakan ibadat saie dengan bapa. Pada 2005 dan 2007, bapa memang memilih untuk bersama-sama saya bagi menyempurnakan ibadat saie beliau. 

Setiap kali saie, saya akan memimpin lengan atau tangannya. Saya tidak suka tergesa-gesa dalam beribadat. Justeru, saya akan nasihatkan bapa agar berjalan seperti biasa dan tidak perlu terkejar-kejar.

“Tak ada apa-apa yang kita nak kejar. Lambat pun tak mengapa,” ujar saya.

“Iyelah,” balas beliau sambil mengangguk.

Sesekali di lampu hijau, beliau hendak berlari tetapi saya nasihatkan sekali lagi agar tidak berlari-lari anak kerana kesihatannya yang kurang mengizinkan. Beliau akur. 

Masih saya ingat, di pusingan ketiga bapa hampir tersungkur di kawasan Safa tetapi saya memegang lengannya dengan erat dan menasihatkannya agar tidak berjalan cepat. Menyedari keadaannya itu, bapa berjalan perlahan dan mengikut langkah saya. Melihatkan keadaannya, saya sedikit bimbang dan mengajak beliau berehat seketika.

“Lepas habis pusingan ketiga, kita rehat ye pak,” ujar saya.

“Kat mana nak rehat?” tanya bapa.

“Di hujung bukit Marwah,” balas saya.

Beliau mengangguk tanda setuju.

Justeru, setibanya kami di hujung bukit Marwah, bapa duduk berehat seketika manakala saya mengambilkannya air zamzam. Selepas berehat kira-kira 15 minit, kami meneruskan semula langkah untuk menyempurnakan empat lagi pusingan.

Saya lihat bapa keletihan. Tidak seperti ibadat saie pada 2005 dan 2007, beliau lebih bertenaga. Wajahnya juga tampak lesu. 

Penulis (kiri) bersama bapa, Abdullah (kanan) serta ibu dan anaknya ketika berkunjung ke Tanah Suci pada 2005.

“Bapak dah letih ke? Nak berehat lagi tak?” tanya saya. 

“Tak payah. Habiskan saie terus,” balas beliau bersemangat.

Setiap kali saie, saya akan berzikir Subhanallah, Alhamdulillah, Walailahaillah Allahuakhbar…dan bapa akan turut sama berzikir. Begitulah kami dua beranak. Saie bersama-sama bapa seringkali berakhir pada jam 2 pagi. Selepas tahalul, saya membawa bapa pulang ke hotel untuk berehat. 

Itulah ibadat saie terakhir saya dengan bapa. Tiada lagi peluang memimpin dan memegang tangan serta lengannya di Safa dan Marwah.  Tiada lagi alunan zikir bersama-samanya di Safa dan Marwah. 

Selepas bapa kembali ke rahmatullah, rezeki saya ke Tanah Suci tidak pernah putus dan saya tidak pernah alpa melakukan badal umrah untuk beliau setiap kali ke Tanah Suci. 

Hakikatnya sekarang, setiap kali kaki melangkah di kawasan Safa dan Marwah, ingatan saya begitu kuat pada arwah dan kadangkala terbayang-bayang setiap langkahnya di kawasan berkenaan.  

Alunan zikir yang sama di Safa dan Marwah ketika membawa bapa tidak pernah luput daripada ingatan. Namun, setiap kali zikir yang sama membasahi bibir saya, air mata saya bergenang.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh bapa saya dan menempatkan Allahyarham bersama-sama golongan bertakwa. Al-Fatihah.

Tags / Kata Kunci: Tanah Suci , Abdullah Mubarak , saie

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan