Penentuan Agenda Oleh Pemilik Media

Diterbitkan: Khamis, 9 Julai 2015 4:08 PM

(Ubah saiz teks)

SALAM perkenalan. Izinkan saya untuk memulakan bicara dalam kolum saya yang pertama di mStar Online tentang media - bidang yang saya ceburi sejak tahun 1983 lagi.

Media adalah antara elemen penting dalam mencorakkan kehidupan dan membentuk masyarakat. Media membabitkan peralatan dan bahan yang dibina, dirancang dan dilaksanakan untuk menyampaikan maklumat atau apa saja yang diingini oleh pemiliknya.

Jika sebelum ini, tumpuan media adalah dalam bidang media cetak atau media elektronik tetapi kini ia sudah menjangkau ke tahap yang lebih tinggi iaitu media baharu.

Di Malaysia, pembangkang dilihat lebih ke hadapan dalam penggunaan media baharu. Mungkin ada faktor pendorong seperti ketiadaan ruang di media perdana menyebabkan pembangkang menggunakan media baharu untuk menyampaikan mesej mereka. Ia sungguh berkesan.

Globalisasi media telah membolehkan masyarakat merentasi halangan ruang waktu untuk berhubung dalam keadaan yang sebelum ini tidak memungkinkannya. Kini, mereka di New York, Amerika Syarikat boleh berkomunikasi dengan rakan taulan atau sanak-saudara di Masjid Tanah, Melaka atau Kangar, Perlis. Begitu juga sebaliknya.

Marshall McLuhan dalam karyanya di tahun 60-an berjudul “The Gutenberg Galaxy: The Making of Typographic Man” (1962) dan “Understanding Media” (1964) melihat apa yang berlaku ketika ini dalam kaca mata lima dekad lalu meliputi ruang lingkungan yang cukup besar; bagaimana masyarakat di dunia dihubungkan dalam satu perkampungan sejagat melalui teknologi elektronik yang mampu dicapai hanya sekelip mata.

Jelas sekali metaphor seperti Internet dan World Wide Web (WWW) ketika itu sudah di dalam bayangan beliau.

Kini ia menjangkau kepada facebook dan twitter. Media sosial ini menjadi alternatif kepada media tradisi. Malah medium yang mula digunakan pada tahun 2000 di Malaysia, kini semakin meluas sehingga ramai yang menjadi ketagih dengannya terutamanya facebook.

Keberkesanan media ialah melalui proses jangka panjang penghasilan semula budaya sosial. Perubahan teknologi meletakkan komunikasi di barisan hadapan revolusi sosial.

Salah satu pendekatan untuk memahami sistem media di sesebuah negara adalah dengan meneliti pola atau proses pemilikan, kawalan dan peranan yang diberikan kepada media itu. Dengan memahami pola pemilikan, ia membantu memahami struktur dan kandungan media kerana kandungan media selalunya melambangkan kepentingan golongan yang membiayainya. Dengan kata lain, terdapat unsur kawalan di situ oleh mereka yang memilikinya.

Ada penyelidik komunikasi mendefinisikan kawalan media sebagai proses membuang atau mengehadkan kandungan atau pengedaran sebarang alat komunikasi dan ia boleh datang dari dalam struktur sistem media itu sendiri atau dari luar.

Peranan media dalam masyarakat perlu dilihat pada konteks sistem sosiopolitik sesuatu masyarakat kerana sistem media kebangsaan amat berkait rapat kepada sistem politik dan kerajaan di sesebuah negara.

Akhbar boleh dibentuk berdasarkan perjalanan sistem akhbar di sesebuah negara yang mengikut sistem politik yang diamalkan. Setiap negara mempunyai corak atau sistem pemerintahannya sendiri dan teori akhbar atau media boleh digunakan bagi menjelaskan sistem akhbar atau media di sesebuah negara berkenaan. Sesebuah negara mengamalkan sistem akhbar tertentu kerana ia selari dengan kepentingan negara itu.

Tidak hairanlah, media yang kini ditambah dengan media sosial memainkan peranan besar dalam menentukan kuasa pemerintah di sesebuah negara. Media menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan. Salah satu sebabnya, media dikatakan mempunyai kuasa untuk menyalurkan maklumat dan sebagai wadah khalayak untuk menganalisis sesuatu isu.

KUASA YANG STRATEGIK

Pakar komunikasi menganggap kuasa yang ada pada media dalam konteks ini sebagai strategik. Ia strategik dalam konteks ia boleh berfungsi sebagai wadah untuk mengukuh dan mengekalkan kuasa politik.

Media tempatan juga digunakan untuk mengekang pengaruh media massa sejagat. Malah ada kerajaan yang bimbang dengan kehadiran media massa sejagat di negara mereka. Media sejagat mempunyai kuasa yang amat kuat sebagai alat penyampai maklumat utama.

Media tersebut berpotensi menghapuskan pandangan yang salah atau stereotaip di samping mengendurkan ketegangan; media massa juga boleh menimbulkan ketakutan dan pergaduhan yang berpanjangan. Paling bahaya ia menyebarkan fitnah atau tohmahan.

Persoalan kuasa bukanlah sesuatu yang baru. Pakar komunikasi pernah membincangkan dengan melihat sekaligus kuasa, integrasi dan perubahan. Kuasa dilihat berasaskan tiga teori iaitu (I) Teori Masyarakat Massa, (II) Teori Marx dan (III) Teori Fungsional Berstruktur.

Berdasarkan Teori Masyarakat Massa, media dikawal atau dikendalikan dengan cara yang monopolistik dan adalah cara utama atau berkesan mengatur orang dalam massa, sebagai khalayak, pengguna, pasaran dan pengundi. Potensi yang dicipta oleh media ialah satu bentuk kawalan bukan demokratik dari atas.

Teori ini menekankan potensinya lebih kepada kemungkinan sekatan kepada kuasa media. Masyarakat massa sebagai satu ideologi boleh diambilkira dengan penggunaan terma yang selalu dikaitkan dengan perkataan lawan kepada masyarakat iaitu elit. Satu bentuk masyarakat boleh dikenali sebagai golongan elit yang mengawal kehidupan ramai pihak, menerusi pujukan dan manipulasi.

Ahli teori masyarakat massa menyatakan kumpulan elit yang mempunyai pelbagai keistimewaan itu sering menjauhkan diri mereka daripada tuduhan mengetuai masyarakat yang dipimpinnya.

Teori Masyarakat Massa banyak digunakan dalam kajian media, di mana ia memaparkan bagaimana media massa seperti televisyen dan panggung wayang (satu ketika dulu) mempengaruhi masyarakat. Oleh itu, media massa adalah alat penting bagi mencapai dan mengekalkan masyarakat massa.

Soal kuasa juga utama kepada Marxisme dan tafsiran Marxist mengenai media massa, yang sentiasa menekankan hakikat bahawa media adalah pada akhirnya menjadi alat kawalan oleh kelas kapitalis yang berkuasa.

Dalam Teori Fungsional Berstruktur, kuasa tidak begitu dibincangkan dengan mendalam, meskipun pelaksanaannya dikenal pasti dengan menekankan perlunya arahan, kawalan dan penyatuan dalam sistem sosial.

Sesetengah pihak melihat kuasa sebagai suatu faktor penting, lebih penting daripada faktor-faktor lain dalam kaitan media komunikasi kerana kuasa menentukan apa yang berlaku.

PERANG MINDA

Oleh itu, tidak hairanlah mereka yang memiliki media boleh menyusun strategi untuk menggunakan media mereka mengikut agenda tersendiri.

Di negara ini, menerusi pendekatan ekonomi politik, kita dapat melihat bagaimana kebanyakan parti politik memiliki media menerusi institusi ekonomi mereka. Umpamanya bagi Umno, menerusi Kumpulan Media Prima yang memiliki media cetak dan elektronik selain memperkenalkan media atas talian.

Begitu juga, parti pembangkang yang turut memiliki media mereka. Walapun akhbar parti tetapi mereka turut menjualnya kepada awam secara terbuka.  Akhbar parti itu seperti Harakah dan Roket sudah memasuki liga ‘akhbar perdana’ kerana jumlah jualannya tidak jauh bezanya dengan akhbar perdana.

Pemilikan media ini adalah tahap pertama dalam penyebaran maklumat perjuangan parti. Namun yang paling penting ialah keberkesanan penggunaannya daripada parti kepada rakyat atau kumpulan sasar iaitu pengundi yang menentukan kemenangan calon mereka pada pilihan raya umum nanti.

Jika media berjaya digunakan untuk membentuk pandangan umum menyokong mereka, maka tidaklah sukar untuk mendapatkan undi ketika pilihan raya. Kejayaan dalam penggunaan media baharu pasti berjaya menawan hati pengundi dari kalangan Gen Y.

Dalam pilihan raya lalu, parti kerajaan sendiri mengakui parti pembangkang berjaya menggunakan media baharu untuk menyebarkan pelbagai maklumat yang membentuk pandangan atau persepsi umum sehingga mereka mendapat lebih 50 peratus undi popular.

Terpulanglah kepada parti kerajaan untuk memperhebatkan penggunaan media baharu dan tidak hanya bergantung kepada media konvensional, jika mereka mahu mengubah peratus populariti dan seterusnya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Dalam peperangan minda ini, mereka yang berjaya mempengaruhi pandangan umum akan muncul sebagai pemenang.

> DATUK DR IBRAHIM YAHAYA adalah bekas ketua pengarang berita Kumpulan Berita Harian, bekas CEO Bernama Tv dan juga bekas ketua pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia. Beliau kini adalah kolumnis tetap mStar Online. Ini adalah artikelnya yang pertama.

Tags / Kata Kunci: Facebook , Twitter

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan