Ujian Sebelum Ke Tanah Suci

Diterbitkan: Khamis, 11 Jun 2015 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Ujian dan dugaan adalah asam garam dalam kehidupan. Setiap ujian yang dihadapi menjadikan kita lebih tabah dan matang dalam meniti ranjau hidup. Tidak dinafikan ujian dan dugaan turut melanda bakal tetamu Allah SWT.

Saya sendiri berhadapan dengan pelbagai cabaran sebelum berangkat mengerjakan umrah. Jika hendak diceritakan satu persatu memang terlalu banyak tetapi dugaan yang dilalui sekumpulan jemaah ketika saya bertugas di sebuah agensi pelancongan begitu meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupan.

Pada Mei 2010, sekumpulan jemaah seramai 36 orang dijadualkan berangkat menerusi pesawat Saudi Airlines pada jam 3 petang untuk menunaikan ibadat umrah. Justeru, pada jam 11 pagi jemaah mula berkumpul di kaunter L12 paras lima Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Saya dan seorang lagi kakitangan agensi pelancongan, Jaja, ditugaskan untuk menguruskan daftar masuk jemaah pada hari berkenaan. Pada hari itu, saya agak gementar kerana visa mereka belum keluar tetapi saya tetap diarahkan supaya ke KLIA untuk menguruskan daftar masuk mereka.

Tidak seorang pun jemaah mengetahui bahawa pasport mereka belum dimuatkan visa malah masih ada di Kedutaan Arab Saudi ketika itu. Saya mengharapkan visa akan diperoleh pada jam 11 atau paling lewat 12 tengah hari.

Seperti biasa, staf di kaunter mengeluarkan pas berlepas atau boarding pass kepada setiap jemaah berdasarkan senarai nama yang diberikan kepadanya sejurus saya tiba di kaunter berkenaan. Setelah semua bagasi disusun oleh Jaja dan pas berlepas dalam tangan saya, visa tidak juga kunjung tiba.

Berkali-kali saya menghubungi ketua saya, Haji Shahril, untuk mengetahui perkembangan terkini namun jawapannya begitu menghampakan.

“Visa tak siap lagi ke haji?”tanya saya ketika menghubunginya.

“Belum lagi. Ada masalah. Tak taulah jemaah boleh pergi ke tidak…” balas beliau.

“Masalah apa?” ujar saya cemas.

“Ada masalah pada stiker visa. Saya dimaklumkan dakwatnya kurang jelas dan ini menyebabkan kelewatan pengeluaran visa,” katanya dengan nada penuh kebimbangan.

“Macam mana ni haji? Apa yang saya nak cakap dengan jemaah. Mereka semua ingat visa dah lepas sebab pas berlepas semua dah ada dengan saya sekarang,” ujar saya hampa.

“Terpaksa maklumkan kepada mereka. Kita tak boleh buat apa-apa. Saya cuba sedaya upaya untuk sampai ke KLIA secepat mungkin sejurus urusan visa selesai,” ujar beliau.

Saya kebingungan. Tidak tahu apa hendak dikatakan dengan jemaah. Sebelum itu, sudah berkali-kali mereka bertanya mengenai pasport dan visa mereka kerana tidak nampak saya memegang pasport. Saya memanggil Jaja dan memaklumkan kepadanya masalah yang sedang menghantui fikiran saya.

Bukan saya sendirian di kaunter daftar masuk. Ada tiga empat lagi pengurusan agensi pelancongan yang turut menerima masalah yang sama. Kami berpandangan sahaja. Namun, mereka tidak pula memegang sekeping pas berlepas kecuali saya kerana tidak mendaftar masuk semua nama jemaah.  Saya tidak ambil pusing mengenai perkara itu kerana begitu bimbang dengan kemarahan jemaah.

Saya berjalan ke kiri dan kanan. Tidak senang berdiri dibuatnya. Terasa mahu bersembunyi di sebalik tiang-tiang di KLIA agar mereka tidak nampak saya. Jemaah mula resah apatah lagi waris yang menghantar. Mereka mula meninggikan suara pada saya dan Jaja.

“Mana pihak pengurusan?” ujar seorang lelaki bertubuh sasa dan berjambang.

“Saya daripada pihak pengurusan,” balas saya.

“Susah sangat ke nak pergi umrah ni? Saya nak pergi Amerika Syarikat pun tak susah macam ini,” katanya penuh lagak.

“Maaf Tuan. Visa untuk umrah berbeza dengan visa hendak ke Amerika Syarikat. Tanah Suci tempat beribadat dan kadangkala memang sukar nak dapat visa,” balas saya yang kurang selesa dengan sikap lelaki berkenaan.

“Mana visa dan pasport jemaah? Bukan ke pasport sudah lama kami hantar, takkan visa tak siap lagi?” tanya seorang wanita yang juga waris jemaah.

“Belum siap lagi Puan. Insha Allah sekejap lagi Haji Shahril tiba. Minta maaf Puan,” balas saya.

Saya terlihat seorang Penyelia Saudi Airlines berdiri di kaunter berlainan dan bertanya jika ada sebarang kemungkinan untuk melewat atau menunda jadual penerbangan.  Beliau mengatakan agak sukar tetapi akan berusaha.

Beberapa minat kemudian saya menghampiri lagi pemuda itu dan jawapan daripadanya menghampakan saya dan menyebabkan terpaksa berterus terang kepada jemaah mengenai kesulitan visa.

Saya mendapatkan jemaah dan memohon maaf atas kelewatan itu dan memaklumkan bahawa kelewatan itu berpunca daripada masalah stiker visa.  Mereka hanya buat tidak tahu dan terus berleter memarahi saya dan Jaja.

Tepat jam 2 petang, lampu di kaunter L12 dipadamkan menandakan segala urusan daftar masuk sudah selesai. Kecut perut saya ketika itu lantas terus menghubungi Haji Shahril untuk bertanya mengenai visa.

“Haji di mana?” tanya saya.

“Dekat sampai. Saya letak kereta di paras lima nanti. Tunggu,” balas beliau.

Sepuluh minit kemudian saya terlihat Haji Shahril membawa beg berisi pasport jemaah.  Jemaah semakin berang malah ada yang mengatakan, tak pernah sampai KLIA ke atau sesat di mana-mana sehingga lewat tiba di KLIA. Saya buat tidak faham sahaja. Begitu juga Jaja.

“Assalamualaikum semua. Saya mohon maaf kerana kelewatan visa. Saya akan berusaha untuk menguruskan pemergian jemaah insha Allah esok atau secepat mungkin. Dari urusan penginapan, pihak syarikat akan tanggung bagi jemaah luar dari Kuala Lumpur. Saya mohon maaf sekali lagi,” ujar Haji Shahril dengan nada bergetar.

Waris jemaah mencuka. Jemaah pula ada yang diam dan tidak kurang juga yang berleter. Saya dan Jaja hanya mendengar taklimat ringkas daripada Haji Shahril.

Ketika Haji Shahril menuju ke kaunter di bahagian lain untuk menguruskan penukaran tarikh berangkat, saya kembali ke kaunter L12. Bersendirian dan bermacam-macam melayang di dalam fikiran.

Beberapa minit kemudian, dua petugas wanita datang semula ke kaunter L12 dan membuka lampu di kaunter berkenaan serta menggamit saya. Tanpa berlengah, saya terus ke kaunter untuk mengetahui perkara sebenar.

“Kak, kumpulkan jemaah. Mereka boleh pergi sekejap lagi,” ujar wanita muda itu.

“Alhamdulillah…betul ke ni?”soal saya gembira sambil menadah tangan dan meraup pada wajah saya.

“Insha Allah. Suruh mereka berkumpul semula,” pinta wanita berkenaan.

“Ya Allah. Suatu keajaiban. Jika Allah menghendaki kita sebagai tetamu-Nya, segala-galanya boleh berlaku,” bisik hati kecil saya.

Sejurus itu, saya memanggil Jaja dan meminta dia mengumpulkan jemaah dan menyusun semula beg-beg.

Sepantas kilat Jaja mendapatkan jemaah. Dalam sekelip mata, jemaah berkumpul di belakang saya dan bertanya kenapa.

“Insha Allah, semua akan berangkat tapi saya minta kerjasama semua agar beg diletakkan dibahagian bagasi besar, bukan di sini. Semua mesti beres dalam masa satu jam. Sekarang hampir jam 3 petang dan insha Allah, pesawat berangkat jam 4 petang,” ujar saya.

Terpancar kegembiraan pada wajah mereka.  Semua mengucapkan syukur dan tidak lagi marah-marah. Waris-waris jemaah kelihatan ceria. Saya menghubungi Haji Shahril dan menyatakan bahawa jemaah akan berangkat pada jam 4 petang dan mereka dikehendaki bergegas ke Balai Berlepas Antarabangsa. Di kaunter saya bertanyakan pada kedua-dua wanita berkenaan apa yang berlaku pada pesawat terbabit.

“Sebenarnya ada kesilapan teknikal pada pesawat itu sebelum berlepas sehingga menyebabkan ia terpaksa berpatah balik ke ‘bay’. Semua penumpang diminta turun semula dan menunggu di ruang berlepas.

“Selalunya pesawat tidak lagi memuatkan penumpang tetapi entahlah kenapa kali ini, mereka beri kelonggaran itu untuk memuat naik penumpang lagi,” cerita wanita itu panjang lebar.

“Rezeki mereka. Semua kerja Allah. Apa yang jadi tadi, semua ujian untuk mereka sebelum berangkat,” ujar saya.

Setelah semua jemaah bersedia, saya turut bersalam dengan mereka. Jemaah wanita menangis memeluk saya memohon maaf. Waris jemaah juga tidak terkecuali. Mereka minta maaf kerana terlalu mendesak dan berkasar dengan saya serta rakan setugas. Kisah yang meninggalkan kesan mendalam dalam hidup saya ini sering saya ceritakan pada rakan-rakan lain untuk dijadikan iktibar dan pengajaran.

Tags / Kata Kunci: visa , umrah , Saudi Airlines

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan