Jemaah Fobia Masuk Bilik Setelah Dirompak

Diterbitkan: Khamis, 21 Mei 2015 8:00 AM

Banyak burung merpati di sekitar bandar Misfalah.

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM.  Segala-galanya berkemungkinan dan tidak mustahil dalam kehidupan. Tidak kiralah sama ada kita di tanah air sendiri atau di negara orang.

Namun, apabila mengalami kecurian atau dirompak ketika di Tanah Suci, tentu sekali perasaan kita dibaluti pelbagai kegusaran dan ketakutan.

Begitulah yang pernah saya lihat pada empat jemaah yang baru kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci setelah bilik mereka diceroboh dan digelidah hingga berselerak umpama kapal pecah.

Peristiwa ini berlaku ketika saya menunaikan umrah pada Mei 2008 bersama-sama 44 lagi jemaah. Kami menginap di Hotel Zahret Shams di Jalan Ibrahim Khalil di kawasan Misfalah, yang terletak kira-kira 350 meter dari perkarangan Masjidil Haram.

Selepas tiga hari di Makkah,saya dikejutkan dengan berita bilik jemaah dimasuki pencuri dan wang mereka turut hilang dalam kejadian yang begitu memeranjatkan kesemua jemaah terutama setelah melihat bilik yang amat berselerak kerana dipunggah.

“Raihanah, bilik jemaah dimasuki pencuri. Duit habis tapi barang-barang lain ada…” ujar Pak Engku Abdul Rahman, ketua rombongan dan pembimbing jemaah sejurus terlihat saya di lobi hotel pada kira-kira jam 9 pagi sekembali dari Masjidil Haram.

“Astaghfirullahal azim…” ujar saya dengan nada terkejut.

“Bilik siapa? Apa yang hilang Pak Engku,” tanya saya lagi.

“Mari tengok. Bilik Zuraini…” balas Pak Engku Abdul Rahman ringkas.

Terowong Misfalah

Sejurus tiba di koridor bilik penginapan mereka, saya mengucap panjang dan terperanjat melihatkan keempat-empat jemaah duduk bersila di luar bilik. Mereka termenung dan tidak mampu berkata-kata. Saya meninjau ke dalam bilik seketika dan tidak sangka ia digelidah sedemikian rupa. Habis semua beg dipunggah dan ada beg dikoyakkan. Semua pakaian dikeluarkan dari bagasi utama manakala tilam pula diterbalikkan.

Hilang selera saya untuk bersarapan melihatkan keadaan bilik yang berselerak dan wajah empat  jemaah yang sedih dan murung. Mereka benar-benar sugul kerana wang tidak lagi berbaki. Pastinya, pelbagai persoalan bermain di fikiran mereka.

Pak Engku Abdul Rahman menasihatkan mereka agar bersabar dan meminta mereka masuk ke dalam bilik tetapi mereka enggan. Kesemua nampak takut dan bimbang dengan kejadian itu.

“Tak elok duduk di sini. Masuk ke dalam biliklah. Nanti ramai pula yang datang tengok,” ujar Pak Engku Abdul Rahman.

Semua diam sahaja. Saya simpati pada mereka apatah lagi baru kali pertama menjadi tetamu Allah. Mereka tentu fobia dan risau perkara seumpama itu berulang kembali.  Saya ingat nama tiga jemaah itu adalah Zuraini, kak Noni dan makcik Zaharah manakala seorang lagi saya terlupa namanya dan biarlah saya mengenalinya sebagai Ida.

Mereka memohon agar Pak Engku Abdul Rahman memaklumkan kepada pengurusan hotel agar mereka dipindahkan ke bilik lain dan enggan tidur di dalam bilik yang sudah dimasuki perompak itu. Alhamdulillah Pak Engku Abdul Rahman sudah maklumkan kepada hotel sejurus mendapat tahu bahawa bilik jemaah dimasuki perompak.

Melihatkan keadaan mereka yang enggan masuk semula ke dalam bilik hotel, saya lantas bertanya mengenai kejadian itu.

“Bagaimana boleh berlaku? Bilik berkunci atau tidak?” tanya saya.

“Kami keluar ke masjid pada jam 1 pagi dan kunci bilik diletakkan di kaunter lobi. Ketika itu, memang ada seorang penjaga di kaunter. Kami balik semula ke hotel setelah solat Subuh tetapi kak Noni tiba di hotel lebih awal dan terus naik ke bilik setelah dimaklumkan bahawa kunci bilik sudah diambil. Dia ingat kami telah sampai tetapi sebenarnya saya dan makcik Zaharah terus ke dewan makan untuk bersarapan dan kami tidak mengambil kunci bilik lagi.

Ruang lobi hotel di Tanah Suci

“Kak Noni naik ke bilik dan terlihat pintu bilik renggang dan menyangka kami ada di dalam bilik tetapi dia terperanjat apabila melihat bilik berselerak dan semua barang habis dipunggah. Kak Noni terus turun ke dewan makan dan memaklumkan kepada Pak Engku.

“Sejurus itu, saya dan makcik Zaharah pun bergegas ke bilik dan alangkah terkejut melihat keadaan bilik yang teruk digelidah,” cerita Zuraini panjang lebar pada saya yang mendengar dengan penuh khusyuk.

“Ya Allah, kesiannya.  Apa yang hilang? Dah periksa ke?,” tanya saya.

“Duit makcik Zaharah, kak Noni dan Ida habis diambil. Alhamdulillah duit saya mereka tak perasan sebab saya selitkan di dalam kain batik pemberian mak saya,” ujar Zuraini.

Saya lantas mendapatkan makcik Zaharah, yang juga besan kepada ibu saya. Saya turut menghampiri kak Noni dan Ida sambil menasihatkan mereka agar bersabar dan bertenang dengan peristiwa yang baru menimpa.

Saya turut bertanya jumlah wang yang dicuri dan dianggarkan hampir RM10,000 hilang dalam kejadian itu. Kali pertama saya berdepan dengan situasi jemaah dirompak di Tanah Suci. Umpama sebuah mimpi menakutkan.

Di Madinah mereka berbelanja membeli buah-buahan, kekacang dan manisan.  Justeru, sudah tentulah duit pemberian anak-anak, saudara-mara dan kenalan masih banyak berbaki. Buntu seketika memikirkan keadaan mereka.

Barang jualan sering menjadi tarikan 

Namun, Pak Engku Abdul Rahman terus berusaha untuk mendapatkan bilik lain untuk keempat-empat jemaah berkenaan. Alhamdulillah, beberapa jam kemudian, pihak pengurusan hotel memindahkan semua barang-barang mereka ke dalam sebuah bilik lain.

Pakaian dan pelbagai barangan yang berselerak di lantai hotel turut menimbulkan perasaan tidak selesa kepada jemaah terbabit kerana memikirkan kebersihan pakaian berkenaan. Sudah tentu perlu dihantar ke dobi untuk dicuci. Beg yang koyak dan rosak pula perlu diganti. Semuanya memerlukan wang.

Atas ihsan pengurusan hotel, Pak Engku Abdul Rahman memaklumkan kepada jemaah bahawa pemilik hotel berkenaan akan menggantikan semua wang yang hilang dan mereka mahu tahu jumlah sebenar daripada ketiga-tiga jemaah yang kehilangan wang.

Ketiga-tiga jemaah memberikan jumlah sebenar wang yang hilang kepada Pak Engku Abdul Rahman untuk dimaklumkan kepada pengurusan hotel. Alhamdulillah, setelah mereka berpindah ke bilik lain,  wang mereka pula dikembalikan. Syukur.

Namun, yang tidak mampu dibayar dan dilenyapkan ialah perasaan fobia dan takut pada jemaah yang melalui peristiwa berkenaan. Terkejut, tidak sangka dan lemah semangat sejurus melihat keadaan bilik dan kecewa apabila menyedari kehilangan wang.

Makkah yang sentiasa sibuk.

Makan tengah hari yang dihidang di dewan makan sukar ditelan. Mereka benar-benar nampak sugul tetapi Alhamdulillah sebahagian besar jemaah memujuk dan menasihati. Wang juga dihulurkan tanda simpati kepada mereka yang ditimpa musibah itu.

“Raihanah, pemilik hotel akan menyiasat semua petugas di hotel ini dan besar kemungkinan meminta mereka menjunjung al-Quran sebagai tanda mengangkat sumpah untuk mengetahui kebenaran,” ujar Pak Engku Abdul Rahman selepas solat Asar pada petang itu.

“Alhamdulillah. Bagus pemilik hotel ini. Sanggup mengeluarkan duit untuk mengganti semula wang yang hilang dan bertegas untuk mencari kebenaran,” balas saya.

“Itu cara terbaik untuk mengenal pasti sama ada mereka terbabit dalam kejadian itu atau tidak,” balas Pak Engku Abdul Rahman pula.

Esok paginya, saya difahamkan semua pekerja sudah mengangkat sumpah dan tidak seorang pun di kalangan mereka mengaku melakukan perkara itu. Hanya Allah sahaja yang mengetahui namun jauh di lubuk hati, saya yakin kakitangan hotel tidak melakukan rompakan itu.

Pelbagai kemungkinan bermain dalam fikiran selepas itu. Pandangan saya, kunci yang diletakkan di kaunter lobi hotel diambil oleh individu tertentu dan terus memasuki bilik berkenaan. Tugas menjadi lebih mudah kerana pada setiap kunci sudah tertera nombor bilik.

Bertitik tolak dari situ, saya kadangkala khuatir untuk menyimpan kunci di kaunter lobi hotel, lebih-lebih lagi jika penjaga di kaunter tiada atau sedang lena dibuai mimpi.

Lebih membimbangkan jika lokasi hotel begitu mudah dimasuki dan menjadi tumpuan ramai pejalan kaki. Bukan bersangka buruk tetapi setiap jemaah perlu berhati-hati untuk mengelak peristiwa tidak diingini.



Tags / Kata Kunci: Misfalah , Masjidil Haram , Zahret Shams

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan