Jemaah Enggan Pulang Undang Kebimbangan

Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 8:00 AM

Jabal Uhud antara tempat bersejarah di Madinah yang diziarah jemaah.

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Memegang amanah paling berat apatah lagi dipertanggungjawabkan agar mengawasi ibu-ibu saudara yang semakin dimamah usia sepanjang tempoh di Tanah Suci Madinah dan Makkah.

Justeru, mereka yang diamanahkan agar menjaga waris terdekat perlulah memberi perhatian sewajarnya agar tidak menimbulkan sebarang kesulitan.

Kisah dipaparkan ini berlaku ketika saya bertindak sebagai petugas umrah di sebuah agensi pelancongan dan menguruskan hampir 100 jemaah bersama-sama seorang ustaz yang dilantik sebagai ketua rombongan.

Pelbagai ragam manusia saya temui ketika mengerjakan umrah pada ketika itu. Lucu, mencemaskan, membimbangkan, menghairankan dan menyedihkan. Semuanya masih segar dalam ingatan, tidak mampu saya lenyapkan apabila sesekali peristiwa itu menerjah di fikiran.

Pemergian kami menerusi pesawat sewa khas Penerbangan Malaysia (MAS) berjalan lancar dan seperti dirancang. Semua jemaah kelihatan puas hati di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang sejurus taklimat dan doa dilafazkan oleh ketua rombongan memohon kesejahteraan, keselamatan dan kelancaran sepanjang perjalanan serta ibadat di Tanah Suci.

Kami tiba di Terminal Haji di Jeddah dan terpaksa menunggu hampir empat jam kerana proses imigresen dan tuntutan bagasi yang agak lama sehingga ada kalangan jemaah yang hilang sabar kerana keletihan.

Hakikatnya, sesiapa sahaja yang pernah melalui proses imigresen di Jeddah pasti sedia maklum dengan pelbagai kelewatan. Malah, pernah rakan-rakan mengadu terpaksa menunggu sehingga lima jam setelah pesawat mendarat akibat kelewatan di imigresen yang sungguh menguji kesabaran.

Pesan saya, bersabarlah kerana bukan mudah mahu menjadi tetamu Allah SWT. Kita perlu menempuh pelbagai ujian dan cabaran. Jika kita terus bersabar dan banyak bermuhasabah diri, insyaAllah, peluang menjadi tetamu Allah akan sentiasa menyebelahi kita.

Dari Jeddah, kami berangkat ke Madinah dan sebagaimana lazim, empat hari tiga malam, kami menginap di hotel yang berjarak kira-kira 100 meter dari Masjid Nabawi. Alhamdulillah, semua jemaah nampak lega sejurus kunci bilik diserahkan kepada mereka.

Masjid Nabawi di Madinah yang menjanjikan ketenangan hakiki.

Ziarah dalam dan ziarah luar disempurnakan tanpa sebarang halangan. Keluarga dari selatan tanah air menarik perhatian saya kerana lima ibu saudara tampak gembira dengan seorang anak saudara lelaki mereka.

Maaf saya lupa nama lima jemaah wanita itu. Saya kenali anak saudara lelaki mereka sebagai Sulaiman yang berusia dalam lingkungan awal 40-an. Bertubuh sederhana, tinggi dan berkulit kuning langsat. Dia diberi tanggungjawab untuk mengawasi dan menjaga ibu-ibu saudaranya sepanjang mengerjakan umrah.

Saya lihat lima makcik itu sentiasa ceria dan kadang kala bergurau senda ketika menikmati sarapan serta makan tengah hari di dewan makan di Madinah. Mereka juga saling membantu dan nampak bersepakat dalam banyak perkara.

Setelah empat hari di Madinah, berangkatlah kami semua ke kota Makkah untuk menyempurnakan rukun umrah. Semua kelihatan tenang dan banyak berzikir seperti dinasihatkan oleh ketua rombongan setelah berniat ihram di masjid Bir Ali dan bertalbiah sejurus menaiki bas.

Tiba di Makkah, kami ditempatkan di Hotel Saraya Ajyad yang terletak tidak jauh dari Hotel Le Meridien. Sebahagian besar jemaah umrah dari Malaysia menginap di hotel berhampiran kawasan Ajyad. Laluannya mendatar dan memudahkan semua jemaah untuk ke Masjidil Haram.

Setelah semua jemaah menikmati makan malam dan membersihkan diri, semua berkumpul di lobi untuk bersama-sama menunaikan tawaf, saie dan tahalul. Begitu juga dengan lima makcik dan Sulaiman yang kelihatan satu hati untuk menyempurnakan umrah. Mereka kelihatan tenang.

Menyempurnakan saie adalah antara rukun umrah.

Alhamdulillah, selesai umrah pada hampir jam 3 pagi. Semua keletihan dan duduk di kawasan Bukit Marwah sesudah bertahalul.

Jemaah wanita bertanya saya adakah saya mahu balik atau duduk di masjid sehingga waktu Subuh.

“Hajah nak balik ke atau tunggu sehingga waktu Subuh?” tanya seorang jemaah wanita.

“Tidak lama lagi masuk waktu Subuh. Tapi jika semua mahu pulang saya akan tunjukkan jalan pulang ke hotel penginapan. Jika semua tidak mahu pulang, kita tunggu sehingga Subuh dan solat berjemaah,” balas saya.

“Tak lama lagi dah Subuh hajah. Elok kita tunggu sahajalah,” pinta jemaah berkenaan.

“Boleh saja. Kira-kira dua jam lagi dah masuk waktu Subuh. Jika letih tidur sahaja di sini dulu dan boleh ambil wuduk selepas itu,” ujar saya pula.

“Kita tunggu sajalah hajah di masjid…” Kedengaran ramai jemaah bersuara tanda sepakat untuk bersama-sama menunggu waktu Subuh.

“Baiklah. Kita solat Subuh di sini (Masjidil Haram). Hendak balik pun dah penat. Lebih baik rehat di masjid dulu, lagi pun dah hampir azan pertama,” balas saya lagi.

Ada yang tidur duduk dan tidak kurang juga yang tidur-tidur ayam.

Hakikatnya, memang semua kepenatan setelah mengharungi perjalanan dari Madinah ke Makkah serta menyempurnakan umrah. Selesai solat Subuh, kami kembali ke hotel penginapan untuk bersarapan. Usai bersarapan, semua membawa haluan masing-masing.Masuk ke bilik untuk melempiaskan segala kepenatan.

Begitulah kelazimannya setelah umrah wajib disempurnakan. Kami berehat seharian sebelum memulakan ziarah di sekitar kota Makkah seperti di Jabal Tsur, Jabal Rahmah, Arafah, Mina, Muzdalifah dan Jaaranah.

Masjidil Haram masih pesat dibangunkan ketika ini.

Lima makcik dan Sulaiman mencuri perhatian saya. Hati saya mula tertanya-tanya ke mana hilangnya Sulaiman kerana tidak melihat kelibatnya.

“Sulaiman tak balik dari masjid ke makcik?” soal saya.

“Belum. Selalu lambat balik sekarang ni. Katanya jumpa kawan,” jawab makcik yang berusia dalam lingkungan 60-an.

“Jumpa kawan di mana?” tanya saya lagi.

“Entahlah. Makcik pun tak tau. Ada dia sebut tapi makcik tak ingat,” balas makcik yang mula nampak gusar.

“Sabarlah makcik. Mungkin dia iktikaf di masjid dan selepas itu makan di luar dengan kawan,” pujuk saya pula.

Jemaah menjamu selera di dewan makan sebelum meneruskan ibadah di Tanah Suci.

Dua hari sebelum pulang, semua ibu saudara Sulaiman menemui saya di dewan makan selepas sarapan. Mereka menangis dan merayu agar saya menghubungi Sulaiman dan memujuknya agar pulang ke tanah air.

“Hajah, tolonglah kami semua ini. Sulaiman tak nak dengar cakap kami. Dia tak nak balik. Dia nak ikut kawan dia…” pinta mereka.

“Sulaiman tak nak balik? Betul ke makcik? Mungkin dia gurau saja.

Dia mesti balik nanti…” balas saya.

“Tak hajah. memang dia tak nak balik. Cuba hajah telefon Sulaiman dan cakap dengan dia sendiri,” rayu mereka.

Tanpa berlengah saya mengambil nombor telefon Sulaiman daripada ibu saudaranya dan terus menghubunginya. Alhamdulillah, dia menjawab panggilan saya.

“Assalamualaikum Sulaiman,” ujar saya.

“Waalaikumsalam,” balas Sulaiman.

“Siapa ni?” tanya Sulaiman.

“Raihanah, hajah Raihanah ni, petugas…” balas saya.

“Ye hajah. Kenapa?” tanya Sulaiman tanpa sebarang perasaan bersalah.

“Emak saudara awak nangis ni. Mereka ajak awak balik Malaysia,” jawab saya.

“Oh ye ke? Bila kita balik Malaysia hajah?” soal Sulaiman lagi.

“Esok selepas Zuhur kita keluar dari Makkah,” balas saya.

“Kalau saya tak balik boleh kan?” soal Sulaiman.

“Jangan macam tu Sulaiman. Awak mesti balik. Awak mesti ingat emak saudara awak semua bergantung harap pada awak seorang. Kasihan mereka…baliklah Sulaiman. Awak tak kasihan pada mereka ke yang dah tua dan harapkan awak membantu mereka sepanjang di Tanah Suci. Takkan awak nak lepaskan mereka berlima pulang…” jawab saya panjang lebar.

Sulaiman membisu. Tidak sebutir perkataan pun kedengaran.

“Sulaiman, Sulaiman…dengar tak?” tanya saya.

“Ye, saya dengar,” balas Sulaiman ringkas.

“Baliklah Sulaiman. Mereka semua susah hati dan menunggu awak. Mereka tak selera makan minum disebabkan awak tak balik-balik ke hotel dah beberapa hari. Balik ye Sulaiman sebab esok kita berangkat pulang. Macam-macam masalah boleh timbul jika awak tak balik nanti,” pinta saya.

“InsyaAllah saya balik sekejap lagi,” balas Sulaiman ringkas.

“Terima kasih. Sulaiman balik ye. Mak saudara awak nak bercakap dengan awak ni. Tunggu sebentar,” ujar saya.

“Man…balik Man…jangan buat makcik macam ni…ini tempat orang, kita balik tempat kita esok. Balik Man. Kemas barang-barang semua hari ini, esok dah nak balik…” rayu seorang daripada ibu saudara Sulaiman dengan linangan air mata.

Beberapa saat kemudian, telefon diserahkan semula kepada saya dan ibu saudara Sulaiman saling berpelukan. Mereka bersyukur kerana Sulaiman akan balik ke hotel penginapan selepas solat Zuhur pada hari berkenaan.

Saya turut mengucapkan syukur. Terharu melihatkan reaksi ibu-ibu saudara Sulaiman. Mereka mengucapkan terima kasih kepada saya dan memeluk saya dengan erat. Suasana di dalam dewan makan berubah menjadi hening seketika. Mujur ketika itu, sebahagian besar jemaah sudah bersarapan dan kembali ke bilik hotel masing-masing.

Alhamdulillah, ketika taklimat berangkat pulang ke tanah air pada malam itu, saya ternampak Sulaiman duduk bersama-sama semua ibu saudaranya. Dia kelihatan sugul dan badannya agak menyusut.

Esoknya, berangkatlah kami pulang ke tanah air. Saya perhatikan sahaja gerak geri Sulaiman. Nyata sekali, semua ibu saudaranya mengharapkan beliau untuk menguruskan bagasi  dan Sulaiman mengendalikannya dengan penuh kesabaran.

Tags / Kata Kunci: Madinah , Makkah , Masjid Bir Ali

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Jumaat, 13 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Farisha Irish - Tak Malu

Kolumnis

iklan

Iklan