MB Mulut Becok Atau Mulia Bestari?

Diterbitkan: Selasa, 12 Mei 2015 2:26 PM

Azmin Ali

(Ubah saiz teks)

AZMIN Ali menjelajah dari Shah Alam ke Permatang Pauh untuk memancing undi bagi ketua partinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Setelah jauh berjalan, ia suatu peluang untuk  Azmin memberi pencerahan kepada orang utara mengenai cabarannya sebagai ketua kerajaan selepas Tan Sri Khalid Ibrahim dipaksa melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor di akhir bulan Ogos tahun lepas.

Sebaliknya, Azmin memilih untuk membidas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar dan, mengikut laporan-laporan media dia telah menggunakan kata-kata “bacul”,  “barua” dan “pencacai” ke atas KPN.

Selain media perdana, beberapa media `online’ turut melaporkan Azmin menggelar KPN dengan panggilan tersebut sewaktu MB itu berucap di sebuah rapat umum menjelang pilihan raya kecil Permatang Pauh pada hari Khamis lalu.

Agak menjengkelkan bila seorang mentri besar menggunakan kata-kata yang kesat seperti itu kepada sesiapa saja; ini pula Ketua Polis Negara.

Sungguh memalukan bila seorang yang telah diberi kepercayaan oleh baginda Sultan untuk menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat sebaliknya mempamerkan aksi yang sangat menjelekkan.

Tanggungjawab polis ialah untuk memelihara negara dan rakyat dari sebarang ancaman yang boleh menjejaskan kestabilan dan keselamatan awam.

Mungkin Azmin menganggap dia lebih bijak dalam urusan tersebut dan mengibaratkan apa yang dia kata itu sebagai hak kebebasan bersuara.

Tapi, tidakkah dia sedar bahawa kata-katanya telah menyinggung seluruh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ahli keluarga mereka?



Sudah pasti ia telah menggugat keadaan emosi dan penumpuan pasukan; sekaligus kedudukan mereka sebagai penjaga keamanan.

Namun, Azmin memberitahu pihak media di suatu majlis sekolah Tamil pada Sabtu bahawa kenyataannya itu hanya ditujukan kepada Khalid dan bukan kepada seluruh pasukan polis.

Tanpa merasa bersalah, Azmin memberitahu bahawa dia hanya bertanya soalan kepada KPN.

“Adakah sekarang soalan pun tak boleh? Adakah saya perlu memohon maaf untuk bertanya soalan?" dia dilaporkan bertanya.

MAAF SECARA TERBUKA

Sebelum ini, Persatuan Pegawai Kanan Polis (Cawangan Pegawai Diwartakan) mendesak Azmin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh warga PDRM kerana menghina pasukan itu.

“Seluruh warga PDRM amat terguris dengan kenyataan itu kerana Ketua Polis Negara adalah sebuah institusi dan penghinaan sebegini bererti seluruh institusi PDRM adalah barua politik

“Penghinaan tersebut memberi kesan mendalam ke atas warga PDRM,” tegas,” menurut Pengerusi persatuan itu, Shah Gzali Shahadad
dalam kenyataan media ekoran keceluparan menteri besar itu.

Beliau berkata, tindakan Azmin mencaci KPN  bererti menghina seluruh institusi PDRM yang menjalankan tanggungjawab kepada rakyat tanpa berkiblatkan mana-mana fahaman politik, bangsa atau agama.

Sekurang-kurangnya tiga laporan polis telah dibuat terhadap Azmin mengenai isu tersebut.

Aktivist politik pembangkang yang kini menjadi MB ini dikatakan mempunyai zaman silam yang agak mengaibkan. Dia sepatutnya bersyukur kerana masa lampaunya tidak diambil kira bila dilantikkan menjadi ketua kerajaan negeri Selangor; demi mengakhiri krisis politik yang telah menyusahkan rakyat dan pihak istana selama kira-kira sembilan bulan pada tahun lepas.

Walaupun sudah mengangkat sumpah sebagai mentri besar, ia tidak menahan keegoan individu tersebut untuk memperkecil-kecilkan pihak lain, walaupun pihak lain itu adalah pegawai polis yang berpangkat tertinggi di negara.

Di Malaysia, sesungguhnya, ramai menganggap diri mereka pemimpin yang sempurna. Maka, mereka tidak jemu melontarkan teguran kepada orang lain yang dianggap pemimpin mangkuk ayun.

Katakan anda seorang pengurus atau seorang pegawai eksekutif atasan atau seorang yang diberi tugasan menjaga modal insan di sesebuah pertubuhan atau syarikat; anda juga seorang pemimpin. Tanggungjawab anda ialah untuk memimpin anak buah anda.

Bukan itu saja, anda juga mempunyai peranan penting dalam memilih petugas yang layak dinaikkan pangkat, diberi tangungjawab lebih besar atau untuk mengetuai sesuatu pasukan atau projek.

Bagaimana anda dapat mempastikan siapa yang layak menyertai pasukan anda dan siapa yang layak dibimbing menjadi seorang pemimpin di masa depan?

Sememangya, itu urusan anda; menjaga kepentingan syarikat sendiri dan bukan untuk cuba memperkemaskan pentadbiran pertubuhan atau syarikat lain yang tiada kena-mengena dengan hal ehwal syarikat anda.

Oleh demikian, sebagai seorang pemimpin parti politik dan ketua kerajaan, Azmin juga diletakkan di dalam keadaan yang serupa. 

IKUT RESMI PADI

Menjaga sebuah kerajaan atau diamanahkan mengetuai pasukan keamanan untuk mengawal kejadian jenayah dan songsang, masing-masing mempunyai kekangan tersendiri serta tatatertib kerja yang khusus dalam melaksanakan tugas dan tanggugjawab kepada rakyat.

Maka, tidak boleh dianggap sopan atau professional bagi satu pihak memperlekehkan kepimpinan pihak yang lain, yang kononnya tidak bijak menguruskan pasukannya secara bijak.

Pada hemat penulis, Azmin yang dilaporkan mencaci KPN dengan begitu hina sekali, sebenarnya bukanlah seorang pemimpin mithali yang boleh dicontohi atau di hormati. 

Secara peribadi dan bukan dari hasil apa-apa tinjauan, penulis meletakkan MB itu di kalangan pemimpin yang tidak berdaya maju kerana dia memberi beberapa isyarat yang menuju kegagalan.

Pepatah Melayu menyebut  “biar ikut resmi padi, makin berisi, makin tunduk”.

Mereka yang menganggap dirinya mempunyai ilmu dan pengetahuan yang lebih daripada orang lain sepatutnya bersikap kerendahan hati dan tidak menunjuk-nunjuk kepandaiannya.

Orang yang bertindak seperti dia seorang sahaja yang boleh melakukan tugasan dengan baik - kerana ilmu dan pengetahuannya - tidak mungkin menjadi seorang pemimpin hebat.

Ini kerana dia asyik menegur tugasan orang lain di pertubuhan atau pasukan yang lain hingga lupa apa sebenarnya fungsinya di dalam kumpulan atau organisasinya sendiri. Inilah Azmin.

Ungkapan Inggeris “putting oneself into another person’s shoes” merupakan suatu ciri penting dalam daya urusan kepimpinan.

Malangnya, unsur empati ini tiada pada MB Selangor baharu ini yang lebih cenderung kepada “mulut becok” daripada bersikap “mulia bestari”.

Amnya, jika seseorang itu tidak dapat melihat keadaan dari perspektif orang lain, maka dia (yang tiada sikap prihatin)  tidak mungkin menjadi seorang pemimpin yang baik.

Azmin juga bersikap “bossy”; iaitu suka menunjuk-nunjukkan kuasanya kepada sesiapa saja, walaupun golongan di luar pentadbirannya.

Seseorang yang berkeras dengan orang lain, mungkin seperti dia keras kepada anak buahnya, tidak mungkin mendapat kesetiaan atau kerjasama yang tulen dari kalangan orang di bawah atau di luar pengelolaannya.

Pemimpin sejati mempunyai penyokong dan pengikut yang tidak berpura-pura mengijkut jejak dan arahannya.

YANG PENTING IALAH PENGUNDI

Azmin, pada pendapat penulis, bukan jenis ketua yang dapat menilai sumbangan pasukan lain; dia menumpukan perhatian hanya kepada mereka yang boleh membawa erti kepada agendanya. Pihak polis dianggap penghadang kepada cita-citanya.

Dalam hal ini, Azmin hanya mementingkan sokongan pengundi di Permatang Pauh, di mana Dr Wan Azizah bertarung dengan calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin dan dua lagi pencabar;  iaitu, calon Parti Rakyat Malaysia Azman Shah Othman dan calon Bebas Salleh Isahak.

Pilihan raya kecil di Permatang Pauh baru-baru ini diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan kesalahan liwat dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.

Tidak kira di tempat kerja, pertubuhan sukarela atau menjadi sebahagian daripada pasukan pemerintah; jika seseorang yang mengaku dirinya sebagai pemimpin tapi mempamerkan kepada umum sikap-sikap yang menjengkelkan, dia bukan pemimpin yang tulen.

Mulut memudahkan kita makan, minum serta  bertutur dan berkomunikasi dengan sempurna. Ia mampu menambah pahala mahupun dosa dan kita tidak serpatutnya menyalahgunakan fungsi mulut untuk tujuan yang tidak sepatutnya. 

Bak kata simpulan bahasa Melayu; mulut buyung dapat dipendam. Pertanyaannya ialah, mulut orang bagaimana menyumbatnya?

Orang Permatang Pauh yang mendengar kata-kata Azmin bukan semuanya 
bersetuju dengan cemuhan beliau yang menyakitkan hati. 

Mungkin ada yang ingin memberitahu MB Selangor itu: “Mulut hang lebih daripada gedembai."


Tags / Kata Kunci: Azmin Ali , KPN , barua , Permatang Pauh

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan