Kenapa Isu Air S'gor Perlu Dilihat Dari Perspektif Yang Paling Logik

Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 5:22 PM

(Ubah saiz teks)

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin (30 Mac) mahu perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri itu dimuktamadkan segera mengikut perjanjian utama yang ditandatangani oleh kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan pada 12 September 2014.

Baginda menggesa supaya proses itu dijalankan berlandaskan semangat dan terma perjanjian utama serta tidak dipolitikkan mana-mana pihak agar ia dapat dilaksanakan dengan sempurna bagi memenuhi keperluan pembangunan serta kehidupan rakyat Selangor.

Sultan Sharafuddin juga menitahkan supaya kerajaan Selangor sentiasa bersedia dengan langkah-langkah terbaik untuk memastikan bekalan air bersih mencukupi bagi keperluan domestik dan industri.

Pada pandangan penulis, mereka yang benar-benar sayangkan duit rakyat dan cintakan ketelusan perlu melihat isu ini sepertimana berikut:

> Tanpa pembinaan loji Langat 2, keseluruhan projek yang sudah 80% siap (termasuk 44.5km saluran paip dari Sg Pahang ke Selangor) ini akan menjadi projek gajah putih. Kerugian? RM8.5 billion.

> Kedegilan kerajaan negeri untuk mencari solusi lain seperti teknologi membran akan menelan belanja RM3 bilion. Tetapi ini adalah untuk jangka masa pendek.

> 11 projek mitigasi ketika krisis air tahun lepas menelan belanja RM750 juta. Tanpa Langat 2, sekiranya krisis air berlaku lagi, projek mitigasi baru diperlukan kerana tiada bekalan alternatif.

> Penilaian kembali tawaran aset syarikat air SPLASH akan meningkat daripada RM250 juta kepada RM2.8 bilion seperti yang dituntut. Ini adalah RM2.55 bilion lebih banyak yang terpaksa dikeluarkan daripada kantung kerajaan.

Jadi potensi kerugian jika kerajaan Selangor masih lagi berdegil untuk tidak meneruskan Langat 2 adalah seperti berikut pula:

> RM 8.5 bilion + RM3 bilion + RM0.75 bilion + RM2.55 bilion = RM14.8 bilion.

> Ini adalah 14,800,000,000 sebab mengapa isu air di Selangor juga memberikan 'risiko sistematik’ kepada kehidupan kita sebagaimana 1MDB.

Mari kita fahami mengenai krisis air di Selangor;

Pengeluaran Dan Permintaan

Kita tidak memerlukan mana-mana pakar air mahupun tukang tilik untuk memberitahu bahawa Selangor akan memerlukan lebih banyak sumber air di masa hadapan.

Lihat sahajalah menara-menara pencakar langit yang sedang dibina di Kuala Lumpur, perancangan beberapa bandar baru di sekitar Lembah Klang dan peningkatan mendadak penduduk Selangor.

Sudah jelas pembangunan di negeri ini begitu rancak dan kesemua pembangunan ini akan menambahkan permintaan terhadap bekalan air mentah.

Berapa banyak? Permintaan bekalan air akan meningkat sebanyak 3-4% setiap tahun.

Bagaimana dengan keadaan sekarang? Adakah ia mencukupi?

Pada tahun 2014, setiap hari rakyat Selangor memerlukan 4,907 juta liter air sedangkan pengeluaran hanyalah 4,431 juta liter.

Ini bermakna Selangor sudahpun mengalami kekurangan bekalan air sebanyak 500 juta liter setiap hari.

Itupun masih ada ahli politik yang mahukan kita percaya catuan bekalan air adalah disebabkan musim kemarau!

Penyelesaian

Jadi bagaimanakah cara untuk kita menampung permintaan air di masa hadapan? Jawapannya adalah dengan menyalurkan air sungai Pahang ke Selangor.

Sudah tentu untuk menampung air ini Selangor memerlukan sebuah empangan di samping saluran air sepanjang 44.6km.

Oleh hal yang demikian, Loji Rawatan air Langat 2 diperlukan dan kesemua projek ini menelan belanja sebanyak RM8.65 bilion.

Apabila projek ini siap, kapasiti bekalan air di Selangor adalah sebanyak 7,338 juta liter air. Kadar ini adalah 70% melebihi daripada pengeluaran sekarang.

Selangor akan mempunyai bekalan air yang mencukupi sehingga tahun 2025.

Masalah

Bagaimanapun, Kerajaan Selangor yang dipimpin oleh tokoh korporat, Tan Sri Khalid Ibrahim telah berulang kali enggan memberi kelulusan pembinaan Langat 2 di 15 lot tanah yang diperlukan. Alasannya?

“Terdapat air di mana-mana sehingakan masalah banjir kilat berlaku. Selangor mempunyai bekalan air mencukupi sehingga tahun 2019.”

Bersandarkan pada pemahaman inilah, kerajaan negeri telah mencari alternatif lain seperti mengurangkan kadar air tidak berhasil (non-revenue water) dan mencari sumber air baru seperti tadahan air hujan, tasik dan punca air bawah tanah.

Projek saluran air Pahang-Selangor tidak perlu diteruskan walaupun sudah 80% siap.

Tidak mengapa jika tanpa loji rawatan air Langat 2, 44.8km saluran air menjadi sia-sia dan kemungkinan menjadi projek gajah putih terbesar di dalam sejarah negara. Kesemua ini hanyalah kerana Selangor ingin ‘berjimat-cermat’.

Alternatif Selangor

Cadangan pertama yang dikemukakan kerajaan Selangor adalah menggunakan teknologi membrane daripada Kanada. Tetapi teknologi ini hanyalah merawat bekalan air mentah, bukannya menambahkan bekalan air.

Bukan sahaja tidak ada keperluan untuk meningkatkan kualiti bekalan air yang sudah sedia bagus, teknologi ini sangat mahal untuk dilaksanakan. Kos untuk teknologi ini digunakan adalah sekitar RM95 juta bagi setiap loji rawatan air.

Memandangkan ada 34 loji rawatan air, maka kos yang akan digunapakai adalah RM3 bilion- hanya RM650 juta kurang daripada kos pembinaan Langat 2. Oleh itu cadangan pertama tidak munasabah.

Cadangan kedua adalah dengan melabur sejumlah RM300 juta untuk menyalurkan air daripada bekas lombong di Bestari Jaya ke sungai bagi meningkatkan bekalan air.

Tetapi jumlah bekalan air yang boleh dipam hanya boleh bertahan selama empat bulan.

Selepas empat bulan, dari mana mahu dicari sumber bekalan air? Sudah jelas cadangan kedua, walaupun murah, tetapi hanya bersifat jangka pendek.

Persoalan seterusnya adalah sejauh mana air daripada bekas lombong selamat digunakan? Air daripada permukaan atas mungkin selamat tetapi jika diambil dari paras yang terlalu dalam, kemungkinan bahan logam turut dipam sekali.

Adakah penduduk di sebuah negeri yang termaju di Malaysia wajar dibekalkan dengan bekalan air sedemikian rupa?

Sudah jelas selepas bertahun-tahun cubaan untuk ‘berjimat cermat’, kerajaan Selangor masih gagal mencari alternatif bagaimana untuk meningkatkan bekalan air. Langat 2 tetap pilihan terbaik. Tetapi mengapa mereka masih berdegil?

Ini kerana mereka mahu mempertaruhkan kebenaran membina Langat 2 dalam usaha membeli aset air di negeri Selangor.

Pengstrukturan Air

Mengapa mereka begitu mahukan aset air di Selangor? Ini kerana Pakatan Rakyat telah berjanji untuk memberikan air percuma dan tidak akan menaikkan tarif air kepada rakyat Selangor.

Di bawah perjanjian konsesi air di Selangor, tarif air akan dinaikkan secara berperingkat. Kegagalan untuk menghormati perjanjian ini akan menyebabkan kerajaan negeri membayar pampasan kepada Syabas.

Sudah tentu ini adalah langkah populis. Tetapi siapa yang tidak mahu menjadi popular dan paling penting, siapa yang tidak sukakan air percuma?

Malangnya, urus tadbir yang baik bukanlah berkisar tentang populariti. Sebaliknya ia adalah soal pertanggungjawaban.

Menafikan 8 juta penduduk di Selangor daripada bekalan air yang berterusan adalah contoh paling jelas bagaimana tidak bertanggungjawabnya kerajaan negeri.

Hanya kerana manifesto populis ketika pilihan raya lalu, kerajaan negeri Selangor telah menolak sebarang bentuk kenaikan tarif air walaupun terma tersebut begitu jelas ditulis di dalam perjanjian konsesi.

Lebih memburukkan keadaan, sebarang pampasan tidak diberikan kepada Syabas.

Tanpa pampasan dan pendapatan daripada tarif air yang sepatutnya dinaikkan, Syabas tidak mempunyai dana yang mencukupi bagi meneruskan usaha menggantikan paip air yang lama di negeri Selangor.

Ini sekaligus menambah lagi kadar air tidak terhasil (NRW).

Air Tidak Terhasil (Non Revenue Water)

Selangor mempunyai kadar air tidak terhasil (Non-revenue water) yang tertinggi di Malaysia. Ini disebabkan paip yang sedia ada sudah berusia lebih 50 tahun.

Oleh itu sejumlah wang yang besar diperlukan bagi menggantikan kesemua paip yang panjangnya sekitar 6,000km.

Jika diambil kadar kos RM500 untuk setiap meter bagi paip besi bersaiz 300mm, kos keseluruhan adalah sekitar RM3 bilion.

Adalah mustahil bagi mana-mana kerajaan negeri untuk memperuntukkan wang sebanyak itu untuk tujuan menyelenggara aset air.

Sepatutnya fakta ini boleh memberi rasional mengapa industri air di Selangor perlu diswastakan. Ini disebabkan kerajaan negeri memerlukan pelaburan (modal) daripada sektor swasta. Dan itu adalah tindakan yang tepat.

Pada tahun pertama penswastaan, Syabas telah berjaya mengurangkan kadar air tidak terhasil sebanyak 10% iaitu daripada 43% kepada 33%.

Hanya apabila kerajaan negeri melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membekukan kesemua kerja-kerja penggantian paip pada 2008, kadar NRW kekal tidak berubah.

Kerajaan negeri Selangor bukanlah tidak bijak. Mereka tahu tentang pentingnya usaha menggantikan paip air di Selangor. Tetapi mereka telah terperangkap dengan janji pemberian air percuma.

Oleh itu, mereka tidak boleh membenarkan sebarang kenaikan tarif air kerana sebarang kenaikan hanya akan terus membebankan kerajaan negeri.

Akhirnya mereka memutuskan untuk memiliki kesemua syarikat bekalan dan rawatan air di Selangor.

Lagipun di dalam laporan audit 2008, Syabas telah didapati melanggar kontrak apabila memberi tender bernilai RM600 juta secara rundingan terus dan bukannya tender terbuka.

Tetapi ini masih tidak menafikan ketidakcekapan kerajaan negeri apabila selepas lima tahun, mereka masih gagal mecapai kata sepakat dalam urusniaga pengstrukturan air.

Seharusnya kerajaan negeri membezakan di antara menyelesaikan masalah bekalan air di Selangor dengan mengambil alih aset air di Selangor.

Logiknya, adakah wajar kerajaan pusat menghentikan kerja-kerja pembinaan projek MRT hanya kerana mahu mengambil alih konsesi tol di Malaysia?

Kesan

Pada akhirnya kerajaan negeri akan kelihatan seperti telah bermain politik dengan isu air. Permainan politik ini mempunyai kesan yang buruk.

Lebih 700 projek pembangunan baru tidak dapat diteruskan kerana bekalan air yang tidak konsisten.

130 kilang yang membawa masuk pelaburan berjumlah RM4 bilion serta 12,300 jumlah peluang pekerjaan tidak dapat diteruskan kerana tidak memperoleh kebenaran membina premis di Selangor.

RM750 juta telah dibelanjakan untuk 11 projek mitigasi yang sepatutnya tidak perlu dilaksanakan pun sekiranya Langat 2 sudah siap.

Inilah yang dinamakan politik harapan baru.

Jika loji rawatan air Langat 2 dibina tiga tahun lalu, bukan sahaja kosnya lebih murah, bahkan kini ia sudah boleh mula beroperasi dan menyumbang kepada 1,130 juta liter bekalan air setiap hari kepada rakyat Selangor.

Krisis air dapat dielakkan dan sudah pastilah tulisan ini tidak diperlukan lagi.

> MatRodi adalah nama pena bagi Radzi Tajuddin. Buku sulungnya ‘Saring Sebelum Mereng’ boleh didapati di www.dubookpress.com)

Tags / Kata Kunci: Selangor , Air , 1MDB

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan