Utamakan Keperluan Diri Sebelum Melangkah ke Tanah Suci

Diterbitkan: Khamis, 12 Mac 2015 8:00 AM

Pintu masuk jemaah wanita di Masjid Nabawi.

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Lazimnya, bakal tetamu Allah SWT yang kali pertama mahu berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat umrah sering bertanya mengenai pakaiaan dan barangan yang perlu dibawa ke Makkah dan Madinah sepanjang tempoh beribadat.

Sebagaimana lumrah, telekung dan ihram adalah keperluan yang tidak lagi perlu dinyatakan kerana jemaah sedia maklum dengan kegunaan kedua-duanya. Namun, jumlah pakaian, sama ada baju kurung atau jubah, baju tidur, tuala dan seluar panjang menjadi persoalan.

Namun, tidak ramai yang bertanya sama ada perlu membawa peralatan mandian dan penjagaan diri ketika di Tanah Suci kerana menyangka barangan keperluan itu disediakan oleh pengurusan hotel.

Jika anda bernasib baik, peralatan mandian tersusun rapi di dalam bilik mandi tetapi bersabar sahaja jika jangkaan anda tersasar kerana bukan semua hotel menyediakan keperluan seumpama itu.

Ada jemaah naik berang setelah mendapati hotel yang dihuni tidak menyediakan tuala, syampu dan sabun mandi. Itu tidak mustahil dan sebaik-baiknya bawalah segala keperluan itu dari tanah air jika anda kali pertama mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Memang keperluan seumpama itu boleh dibeli di Makkah atau Madinah dengan harga rendah dan berpatutan tetapi dikhuatiri anda belum begitu arif mengenai kedai-kedai di kota suci sejurus tiba di sana dan kesuntukan masa kerana mahu beribadat dan berziarah.

Persekitaran Masjid Nabawi selepas solat fardu Subuh

Antara keperluan yang wajar dibawa ke Tanah Suci termasuk ubat-ubatan dan suplemen, minyak angin, peralatan penjagaan diri seperti gunting dan pengetip kuku, kelengkapan mandian serta penyangkut pakaian.

Tidak dinafikan, ada jemaah yang membawa banyak pakaian dan pelbagai keperluan kerana bimbang tidak diperoleh di Tanah Suci.

Tempoh mengerjakan umrah sekarang ini secara purata adalah 12 hari 10 malam. Justeru, ada jemaah yang membawa sehingga 12 helai pakaian hanya untuk tujuan beribadat dan ziarah.

Itu belum lagi termasuk baju tidur dan barang-barang lain sehingga menyebabkan beg bersaiz sederhana padat sejak dari tanah air.

Keadaan ini berlaku terutamanya di kalangan jemaah wanita yang mahu kelihatan kemas, rapi, bersih dan cantik setiap kali melangkah ke Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Tidak cukup dengan pakaian yang bertimbun, kasut atau sandal juga kadangkala bersusun kerana bertukar ganti mengikut warna baju.

Jika tidak berbelanja di Tanah Suci mungkin ia tidak menimbulkan masalah bagasi ketika berangkat pulang tetapi bayangkanlah jika pakaian dari tanah air berhelai-helai dan ole-ole yang dibeli juga bertimbun, sudah tentu bagasi lain perlu dibeli di Tanah Suci.

Justeru, lazimnya, saya akan menasihatkan jemaah agar tidak membawa pakaian terlalu banyak. Memadai dengan empat atau lima helai jubah saja. Tambahan pula, jika mahu membeli jubah sehelai dua, Makkah dan Madinah tempatnya. Murah dan cantik.

Bagaimanapun, setiap jemaah mempunyai faktor tersendiri apabila mereka membawa pakaian berlebihan. Selalunya, jemaah wanita mahu membawa banyak baju kerana teruja untuk kelihatan kemas, rapi dan cantik apabila beribadat.

Namun, jemaah lelaki pula enggan mencuci pakaian atau menghantarnya ke dobi sehingga menyebabkan mereka sanggup membawa pakaian secukupnya mengikut jumlah hari di Tanah Suci.

Perkara ini berlaku pada anak saudara saya sendiri, Umar, ketika mengerjakan ibadat umrah kira-kira empat tahun lalu bersama-sama saya dan ibu serta rombongan jemaah yang hampir mencecah 100 orang.

Sebagai remaja berusia 15 tahun ketika itu, Umar benar-benar teruja apabila berpeluang mengerjakan umrah pada Mac 2011. Untuk kali pertama dia bakal menghadap Baitullah dan menziarahi Rasulullah S.A.W. Rombongan kami menaiki pesawat Penerbangan Malaysia sewa khas dan tiba di terminal haji di Jeddah selepas hampir sembilan jam di udara.

Di Madinah, Umar riang dan rajin berulang alik ke Masjid Nabawi. Mulanya bersama-sama jemaah lain tetapi masuk hari kedua, dia berani bersendirian pergi balik. Malah peniaga di bawah hotel penginapan menjadi temannya setiap kali pulang dari solat berjemaah.

Pakaiannya rapi dan bersih sentiasa. Berjubah pelbagai warna. Putih, kelabu, coklat muda dan gelap. Dia menggantung jubahnya di almari hotel sejurus tiba di kota bercahaya. Saya dan ibu sekadar memerhati kerana kami juga sibuk dengan urusan ibadat masing-masing.

Oleh kerana lazimnya saya tidak mencuci pakaian di Madinah, tidaklah saya bertanya pada Umar mengenai pakaiannya kerana yakin dia akan mencucinya di Makkah atau mengikut saya menghantar pakaian ke dobi.

Tiba hari ke Makkah, Umar lengkap berihram sebagaimana jemaah lelaki lain. Pandai juga dia mengikat kain ihram. Kemas. Setelah tiba di Makkah dan menyempurnakan umrah, kami berziarah ke destinasi bersejarah di sekitar kota suci itu.

Dalam masa yang sama, saya lihat baju Umar bertukar setiap hari tetapi tidak pula pakaiannya terlonggok di dalam bilik hotel kami, iaitu Hotel Saraya. Katilnya juga bersih dan rapi. tiada pakaian atau seluar berlonggok. Entah di mana dia sembunyikan pakaian. Saya sendiri kurang periksa sebab sibuk menguruskan jemaah.

Umar dan ibu di Jabal Rahmah

Setelah beberapa hari di Makkah, ibu saya bertanya kepada Umar.

“Umar tak cuci baju ke?”

“Tak. Umi abah cakap tak perlu basuh baju. Umar bawa baju cukup-cukup.”

Spontan saya dan ibu ketawa memandangnya dan bertanya:“Berapa helai baju Umar bawa?” soal saya pula.

“Umar bawa 12 helai baju, tak termasuk baju tidur. Satu hari guna satu helai, jadi tak perlu cuci.”  Jawab Umar ringkas.

Sekali lagi saya dan ibu tertawa kecil sambil menggelengkan kepala.

“Patutlah tak nampak Umar basuh baju atau pergi dobi,” ujar ibu saya lagi.

Umar senyum sahaja dan mengemas begnya yang disimpan di bawah katil dan selepas itu meminta izin ke masjid terlebih dahulu.

Saya dan ibu tersenyum mengenangkan Umar yang membawa baju secukupnya kerana belum pernah bertemu jemaah umrah seperti itu.

Lazimnya, kami mencuci pakaian di hotel atau jika terlalu penat, menghantarnya ke dobi yang mudah ditemui di sana.

Tambahan pula, pakaian yang dicuci memang cepat kering dan selalunya baju tidak begitu kotor atau berbau kerana cuaca panas kering di kota suci. Kadangkala terfikir, bagus juga jika membawa pakaian secukupnya ke Tanah Suci kerana tidak perlu mencuci atau menghantar ke dobi tetapi apabila memikirkan terpaksa mengangkut lebih banyak baju, saya batalkan sahaja hasrat itu.

Umar rajin juga berbelanja membeli ole-ole untuk umi, abah dan adik-beradiknya. Malah dia juga tidak lupa pada emak dan bapa saudaranya. Pada mulanya dia mengikut saya berbelanja tetapi setelah mengenali laluan pergi balik, Umar tidak lagi menunggu saya dan ibu untuk membeli barangan yang mahu dibawa pulang.

Dua hari sebelum kembali ke tanah air, Umar menyatakan bahawa beg yang dibawa tidak muat. Dia kelihatan agak risau. Malah, beg kabin yang diberi oleh agensi pelancongan juga sudah penuh dengan buah-buahan kering dan kekacang.

Melihatkan perkara itu, saya dan ibu membawanya ke bazar berhampiran Hotel Saraya untuk membeli sebuah beg selepas menunaikan solat Isyak di Masjidil Haram. Beg berjalur biru bersaiz sederhana menjadi pilihannya. Tidak sampai SR50 dan beg itu masih boleh digunakan sehingga sekarang.

Umar di depan Hotel Saraya

Lucu apabila mengenangkan perkara itu. Ada kebaikan jika membawa pakaian secukupnya tetapi perlu diingatkan, setelah berbelanja, beg yang dibawa dari tanah air sudah tentu sesak nafas dan kembung untuk disumbat dengan cenderahati dari kota suci.

Berbelanja pula umpama kemestian di kalangan jemaah umrah dan haji. Tidak kiralah sama ada jemaah wanita mahupun lelaki, tentu rambang mata untuk membeli pelbagai barangan yang dijual di Tanah Suci.

Tags / Kata Kunci: Madinah , telekung , ihram , Masjid Nabawi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan