Hikmah Di Sebalik Ketiadaan Mutawif

Diterbitkan: Khamis, 26 Februari 2015 8:00 AM

Tugas mutawif menuntut kesabaran kerana perlu berurusan dengan jemaah pelbagai latar belakang.

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Bagi yang pernah ke Tanah Suci Makkah dan Madinah, tentunya faham pentingnya khidmat mutawif.

Antara lain, tanggungjawab mutawif ialah menyambut ketibaan tetamu Allah di lapangan terbang, menguruskan perjalanan jemaah untuk ziarah, membaca doa dan tazkirah di dalam bas, membimbing mereka menyempurnakan umrah dan menguruskan kepulangan duyufurahman.

Namun, tidak keterlaluan dikatakan kadangkala jemaah begitu bergantung harap kepada mutawif hatta membabitkan perkara yang remeh-temeh seperti membeli kad sim, sabun, menghantar pakaian ke dobi dan membeli makanan ringan.

Mutawif  sedang memberi penerangan kepada jemaah.

Sebaik-baiknya, usahlah terlalu bergantung kepada mutawif kerana mereka juga sibuk dan acapkali keletihan jika perlu menguruskan ratusan jemaah pada setiap hari. Tambahan pula, ketika ini peniaga di Tanah Suci mampu berbahasa Melayu dan memahami kemahuan jemaah ketika berbelanja mendapatkan keperluan untuk diri sendiri.

Bagi pembaca yang sudah beberapa kali mengerjakan ibadat umrah dan haji, mungkin pernah melalui pengalaman ketiadaan mutawif apabila tiba di Madinah atau Makkah. Tentu sekali keadaan ini sedikit mencemaskan dan menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan jemaah apatah lagi jika baru kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Bayangkanlah jika ketua rombongan yang dilantik juga baru sekali dua menunaikan umrah dan kurang pengalaman di Tanah Suci. Tentu pelbagai persoalan bermain di fikiran. Lebih mencemaskan jika seorang daripada jemaah dilantik sebagai ketua jemaah oleh agensi pelancongan yang tidak menghantar petugas kerana pemergian itu hanya membabitkan sekumpulan kecil tetamu Allah.

Makkah sering dibanjiri jemaah umrah dan haji.

Saya tidak dapat melupakan pengalaman bertindak sebagai ‘mutawif’ ketika menunaikan umrah untuk kali pertama bersama-sama suami dan anak-anak kira-kira 14 tahun lalu. Alhamdulillah, ketika itu saya sudahpun mengerjakan ibadat haji dan mempunyai sedikit pengalaman.

Rombongan disertai 25 jemaah lelaki dan perempuan. Jemaah paling kecil ketika itu ialah anak saya yang berusia hampir enam tahun manakala sebahagian besar berumur dalam lingkungan 30-an dan 60 tahun.

Tidak terlintas dalam fikiran kami akan berdepan dengan situasi ketiadaan mutawif di Tanah Suci Makkah kerana di Madinah, segala urusan ziarah berjalan lancar dan kami dilayan dengan baik bermula dari lapangan terbang hingga selesai segala urusan di Madinah.

Kekalutan bermula sejurus kami tiba di Makkah kerana ketika itu mutawif yang mengiringi kami gagal mendapat kepastian hotel yang bakal kami huni untuk 10 malam. Bas berhenti di sebuah hotel berhampiran Zahret Makkah tetapi kami tidak dibenarkan turun dan selepas itu bas menuju pula ke sebuah lagi hotel dan sekali lagi kami hanya duduk menunggu arahan mutawif.

Akhirnya, kami diminta turun dari bas apabila tiba di depan Hotel Firdaus Marwah. Kami tiba di hotel itu tepat pada jam 12 tengah hari dan kelihatan ramai jemaah mula menuju ke Masjidil Haram, menandakan azan solat fardu Zuhur akan berkumandang tidak lama lagi.

Setelah semua jemaah berkumpul di lobi, mutawif yang mengiringi kami memaklumkan bahawa bilik belum dikemaskan lagi dan meminta kami menunaikan solat Zuhur di masjid. Semua jemaah diam walaupun tidak dapat masuk ke dalam bilik. Semua kelihatan tenang walaupun cuaca panas terik di luar mencecah hingga 45 darjah Celsius.

Masjidil Haram tidak pernah sunyi daripada dikunjungi umat Islam seluruh dunia.

Sekembali dari mengerjakan solat, semua jemaah sekali lagi berkumpul di lobi dan setiap keluarga dipanggil untuk penyerahan kunci bilik. Semua nampak lega dan kami diminta untuk menikmati makan tengah hari di dewan makan sejurus meletakkan bagasi di dalam bilik masing-masing.

Selesai makan, mutawif yang mengiringi kami memohon diri untuk pulang semula ke Madinah kerana mempunyai tugasan dan memaklumkan tiada mutawif lain sebagai ganti pada hari berkenaan dan keesokannya. Mutawif akan datang untuk membawa kami ziarah ke tempat bersejarah di sekitar Makkah.

Semua terkejut dan memandang satu sama lain. Pelbagai soalan dilontarkan kepada mutawif di depan mata. Anak muda bertubuh kecil itu melayan setiap soalan dengan penuh berhemah. Akhirnya semua akur dan menganggap ia sebahagian dugaan.

Seorang jemaah yang dilantik oleh mutawif sebagai ketua jemaah mula bersuara: “Siapa di kalangan kita semua ni yang pernah datang ke sini sama ada untuk tunai haji atau umrah?” tanya ketua jemaah itu yang saya kenali sebagai Haji Johari.

Sejurus mendengar pertanyaan Haji Johari, beberapa orang mengangkat tangan, termasuk saya. “Alhamdulillah, ramai juga yang dah sampai ke sini dan pastinya ada pengalaman untuk kita bergerak bersama-sama menyempurnakan tawaf, saie dan tahalul. Saya mohon kita bantu jemaah yang belum pernah sampai ke sini,” ujar Haji Johari.

Jemaah yang baru kali pertama menjadi tetamu Allah kelihatan lega dengan cadangan Haji Johari.

“Insya Allah selepas solat Asar kita sempurnakan umrah. Memang cuaca panas sekarang ini tetapi kita perlu ingat yang kita terikat dengan pantang larang ihram dan bimbang jika terlanggar pantang larang itu nanti kita perlu bayar dam.

“Untuk mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan kita melanggar pantang larang, eloklah kita sempurnakan umrah selepas solat Asar. Selalunya, selepas Asar tidak ramai jemaah tawaf di Baitullah. Saya mahu bahagikan jemaah kepada beberapa kumpulan kecil. Semua setuju ke?” tanya Haji Johari.

Semua mengangguk tanda setuju. Tiada seorang pun membantah dengan saranan Haji Johari yang dikenali sebelum berangkat ke Tanah Suci.  Kami menaiki pesawat Saudi Airlines dan transit di Riyadh kira-kira satu jam sebelum mendarat di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah.

Setelah semua jemaah dibahagi kepada kumpulan kecil, Haji Johari melantik setiap jemaah yang berpengalaman untuk membawa jemaah kali pertama menyempurnakan umrah. Saya tidak terkecuali. Kumpulan saya termasuk suami, dua anak dan dua jemaah wanita.

Pada jam 3.30 petang kami bergerak ke Masjidil Haram untuk bersolat Asar dan selesai solat, semua memulakan tawaf.

“Jangan lupa niat tawaf umrah ye. Harap-harap kita tidak terpisah. Jika terpisah, tunggu saya di lampu hijau sambil menunjukkan tiang yang menempatkan lampu hijau,” ujar saya kepada mereka yang mengikut saya pada petang itu.

Jumlah jemaah yang sentiasa meningkatkan mendorong kerajaan Arab Saudi membangunkan kawasan sekitar Masjidil Haram.

Alhamdulillah, pengalaman sebagai jemaah haji meningkatkan keyakinan saya untuk membantu mereka yang baru kali pertama berkunjung ke Baitullah. Melihatkan wajah mereka yang sebak dan terharu apabila memandang Kaabah menyebabkan saya mahu membantu selagi terdaya walaupun ketika itu saya hamil.

“Ya Allah permudahkan, jangan disusahkan…” itu doa yang sering saya lafaz untuk memastikan kelancaran setiap urusan, terutama ketika berada di Tanah Suci.

Syukur segala-galanya berjalan seperti diharapkan sehingga selesai tahalul, iaitu selepas solat Isyak. Semua kelihatan lega. Saya nampak jemaah lain turut gembira dan ada yang berpelukan selesai bertahalul di Bukit Marwah.

Khidmat mutawif sentiasa diperlukan di Makkah dan Madinah.

“Alhamdulillah. Terima kasih Ana bawa makcik dan anak tawaf tadi,” ujar makcik yang turut bersama-sama saya sekeluarga untuk menyempurnakan umrah sambil memeluk saya.

Beliau menunaikan umrah bersama-sama anak perempuannya bernama Ida berusia dalam lingkungan 30-an.

“Sama-sama. Alhamdulillah. Maafkan saya makcik dan Ida kalau ada kekurangan sebentar tadi,” balas saya pula.

Kami berjalan bersama-sama untuk pulang semula ke Hotel Firdaus Marwah yang menjanjikan keselesaan kepada jemaah kerana berhampiran masjid dan tidak perlu melintasi jalan raya.

Hotel itu terletak berhadapan deretan kedai gunting rambut dan jemaah di kawasan berkenaan lazimnya akan memasuki Masjidil Haram melalui tempat saie atau Bab As-Salam.

Bertitik tolak dari situ, hati saya sering terpanggil untuk membantu jemaah, terutama mereka yang kali pertama menjejakkan kaki ke Baitullah menyempurnakan ibadat.

Saya tidak pernah menyangka  ketiadaan mutawif suatu ketika dahulu meninggalkan kesan mendalam dalam diri saya untuk membantu jemaah pada masa sekarang dan akan datang, insya Allah.

Tags / Kata Kunci: mutawif , duyufurahman , Makkah , Madinah

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan