Harga Minyak, Pendapatan Kerajaan Dan Ekonomi Malaysia - Bah 1

Diterbitkan: Khamis, 26 Februari 2015 7:58 PM

(Ubah saiz teks)

Soalan (S): Harga minyak dunia sudah jatuh daripada AS$110 setong kepada serendah AS$55. Tidakkah ini bermakna negara kita akan kehilangan pendapatan yang besar?

Jawapan (J): Memang benar sumber pendapatan negara akan berkurangan. Tetapi jumlahnya tidaklah sebanyak yang disangkakan. Mengapa? Ini kerana Malaysia bukanlah negara pengeksport minyak yang utama di dunia. Sebaliknya, kita lebih banyak mengimport minyak mentah dan petroleum berbanding dengan mengeksport produk tersebut.

Pada 2014, minyak mentah yang diimport adalah berjumlah RM92.5 bilion berbanding dengan jumlah yang dieskport iaitu sebanyak RM87.6 bilion.

Oleh yang demikian, kehilangan sumber pendapatan negara ekoran kejatuhan harga minyak akan ditampung melalui kos operasi kerajaan (seperti subsidi minyak) yang berkurangan.

Malah jika diselaraskan dengan harga minyak semasa, perbezaan di antara pendapatan dan kos operasi bajet 2015 hanyalah sekitar RM1.2 bilion. Dalam erti kata lain, inilah jumlah ‘kerugian’ sebenar yang bakal ditampung kerajaan setelah diambil kira harga minyak yang baru.

S: Tetapi itu adalah hasil minyak. Bagaimana pula dengan hasil daripada gas asli (LNG)?

J: Tidak dinafikan Malaysia adalah pengeksport bersih gas asli dengan kadar nilai RM58 bilion setahun. Bahkan kejatuhan harga minyak sebanyak 30% akan menyebabkan negara kehilangan pendapatan daripada LNG sebanyak RM20 bilion. Sekarang ini harga minyak sudah jatuh sebanyak 50%.

Tetapi persoalannya, adakah ekonomi Malaysia terlalu bergantung kepada hasil LNG?

Hakikatnya tidak. Jika beberapa tahun lepas, hampir 40% pendapatan negara berpunca daripada sektor minyak dan gas tetapi hari ini ekonomi Malaysia sudah dipelbagaikan. Sektor-sektor ekonomi yang lain diperhebatkan supaya kita tidak terlalu bergantung kepada sektor minyak dan gas semata-mata.

Hasilnya, kita mendapat lebih banyak pendapatan daripada sumber ekonomi yang lain seperti pembinaan, perbankan, pelancongan dan perkhidmatan.

Oleh itu, kebergantungan terhadap hasil minyak dan gas telah dikurangkan kepada 31% pada 2014 dan dijangka turun lagi kepada 22% untuk tahun ini.

Analoginya seperti ibu bapa yang mendapat RM1,000 sebulan daripada anak sulung tetapi apabila anak sulung itu kesempitan wang, dia hanya mampu memberi sebanyak RM600 sahaja. Namun RM400 yang berkurangan itu telah ditampung oleh anak kedua dan ketiga yang telah mula bekerja. Ibu bapa masih tetap memperolehi RM1,000 sebulan.

Inilah situasi yang berlaku di negara kita. Kehilangan pendapatan di sektor minyak dan gas telah ditampung melalui pendapatan di sektor lain.

S: Kalau benar kejatuhan harga minyak tidak memberikan impak yang teruk kepada ekonomi negara, mengapa mata wang ringgit jatuh begitu banyak dan indeks Bursa Malaysia merudum?

J: Sememangnya terdapat kesan ekoran kejatuhan harga minyak tetapi impaknya tidaklah sampai ke tahap krisis atau kegawatan ekonomi.

Untuk pengetahuan, ekonomi sesebuah negara hanya boleh dianggap gawat apabila pertumbuhan KDNK menguncup bagi dua suku tahunan berturut-turut. KDNK negara bukan sahaja tidak menguncup, malah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6% - yang tertinggi sejak 2007.

Ada pelbagai faktor yang menyebabkan mata wang ringgit jatuh berbanding Dolar Amerika. Antaranya adalah permintaan yang tinggi terhadap matawang Dolar itu sendiri. Ini menjelaskan mengapa mata wang lain seperti Yen, Euro, Rupiah, Dolar Singapura juga turut jatuh.

Antara sebab lain mengapa Ringgit adalah matawang yang paling teruk prestasinya adalah kerana persepsi bahawa Malaysia akan terkesan teruk apabila harga minyak jatuh.

Sebagaimana persepsi orang ramai, persepsi para pelabur dan penganalisis juga beranggapan ekonomi Malaysia terlalu bergantung kepada sektor minyak dan gas.

Oleh yang demikian, analisis yang kurang tepat ini telah mempengaruhi pelabur-pelabur di Bursa Malaysia. Mereka ini yang kebanyakannya pelabur jangka pendek telah membawa keluar modal sebanyak AS$18.6 bilion di antara September 2014 hingga Januari 2015.

Kekurangan modal di Bursa Malaysia ini bererti kekurangan permintaan terhadap matawang ringgit. Ini sekaligus menyusutkan lagi nilai mata wang Ringgit.

Jadi bagaimana kita rumuskan situasi harga minyak rendah dengan ekonomi Malaysia?

Pertama, hanya 22% sumber ekonomi Malaysia berasaskan minyak dan gas (bukannya 40% sebagaimana yang digambarkan oleh sesetengah pihak).

Kedua, Malaysia adalah negara pengimport bersih minyak/petroleum, bukannya negara pengeskport bersih. Oleh itu kenaikan harga minyak juga memberi keuntungan melalui kos operasi yang berkurangan.

Ketiga - yang paling penting, sektor minyak dan gas hanya menyumbang 1% daripada jumlah keseluruhan pekerjaan di Malaysia. Oleh itu impak terus dari sudut pengangguran amat rendah jika dibandingkan dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan yang menyumbang 87% kepada jumlah pekerjaan.

Kesimpulannya, ekonomi negara mempunyai asas yang kukuh untuk menangani situasi harga minyak rendah. Namun begitu, asas-asas yang kukuh ini menjadi kurang bermakna sekiranya persepsi orang ramai tidak diperbetulkan.

Sesuatu mesti dilakukan oleh kerajaan untuk membetulkan persepsi ini kerana pasaran, sebagaimana yang kita tahu, kebiasaannya didorong oleh persepsi.

> MatRodi adalah seorang penulis bebas dan kolumnis mStar

Tags / Kata Kunci: harga minyak , LNG , Ringgit

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan